SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA

Thursday, June 30, 2016

Tidurlah Awak

Apa khabar awak hari ni? Mungkin bertambah sihat dengan ketiadaan saya. Apapun, semoga Allah pelihara awak dalam lindunganNya. Saya ingat kat awak. Awak tak ingat saya ke?Mungkin saya boleh teka jawapan awak. 

Ya Allah, 
Jaga dia untukku, kalaku masih jauh. 

Seakan Direntap Semuanya

Ya Allah, 
Malam ni hati saya sangat terluka dengan sikap kawan-kawan.Mungkin mereka fikir saya tak tahu akan kehadiran mereka dan bagaimana mereka mengharapkan saya tidak semeja dengan mereka. Sememangnya Allah tu Maha Kuasa, ia mengurniakan kepekaan kepada saya. Kalau kamu semua mahu mempersendakan saya, silakanlah. Sekurang-kurangnya saya masih mampu hadapi kerenah kamu beramai-ramai dalam seorang diri. Cuba kamu letakkan diri kamu di tempat saya. Mampukah kamu hadapi orang-orang berperangai seperti kamu? Dan Allah semakin menunjukkan kepada saya akan ketulinan sahabat. Pergilah kalau kamu mahu menjauh. Sedikitpun takkan saya halang jika begitulah sikap kamu. Kamu tiada kala saya memerlukan malah melukakan lagi hati saya. 

Ya Allah, 
Kali ini saya rasa dugaanMu amat berat. Seakan semuanya Kau rentap serentak. Sesungguhnya aku tiada daya melawan kehendakMu melainkan ada ehsan pemberianMu. Kau berrrikanlah aku kekuatan, kesabaran serta kemenangan dalam menempuh dugaan ini. Aku yakin, setiap sesuatu ujianMu itu pasti ada suatu kurnia yang akan Kau berikan. Insya-Allah, amin. 


Anak Dan Ibu

Hari ni, saya Solat Maghrib di surau pejabat. Macam biasalah, ramai yang akan berkunjung ke surau ni selepas berbuka puasa. 

Saya tengok kehidupan orang lain indah. Usia baya-baya saya ni dah ada anak dua tiga. Yang muda dari sayapun dah ada anak. Seronok tengok gelagat anak-anak mereka. Cara ibu-ibu melayan kerenah anak-anak, gelagat bapa yang jaga anak kat luar surau sementara ibu solat. Semuanya menyentuh hati saya. Tak adalah mereka keseorangan macam saya. Dunia saya hanya pejabat dan rumah. Ada kawanpun jauh. Yang dekat pula menjauh.Awakpun tinggalkan saya. Pada siapa saya nak harap untuk ubati kesunyian? Keluarga tentulah jauh. 

Ya Allah, jagalah hatiku agar aku tetap menjadi orang yang bersyukur. 


Darah Tinggi, Gout Dan Jantung

Sewaktu saya dan Kak Su di bilik faksimili tadi, Angelin tiba-tiba menerpa. "Kak! Kak! Cuba tengok, kenapa dengan En. Safni tu? Dia pengsan ke tidur?" Katanya dengan suara cemas dan ditahan agar tidak kuat. "Kenapa?" Saya dan Kak Su meluru ke cermin bilik boss. "Macam mana nak buat ni? Tidur ke pengsan?" Angelin bertanya lagi. "Tidur kot," Balas Kak Su teragak-agak. "Semalam dia pengsan. Saya takut dia pengsan lagi," "Pengsan?" Saya berdebar. Ya Allah, ingatan saya terus melayang ke Perlis, teringatkan awak. Awak ada sakit Darah Tinggi dan Gout jugak. Cuma jantung tak dapat dipastikan. Tapi awak pernah mengadu rasa berdebar-debar. Menurut pembacaan saya, kalau rasa berdebar tu tanda-tanda sakit jantung. Ya Allah, kalau awak tak sedarkan diri sorang-sorang macam mana? Kalau jadi apa-apa pada awak macam mana? Bolehkah awak diselamatkan kalau lewat diketahui orang? Saya risau dan sedih segera menyelinap dalam hati saya. Awak, Selama ni, saya selalu call awak bukan semata-mata kerana rindu tapi saya nak pastikan yang awak OK pada hari tu. Sekurang-kurangnya kalau awak tak OK saya boleh usahakan sesuatu walaupun dari jarak jauh. Tapi awak selalu rasa saya tak boleh buat apa-apa untuk awak sebab jauh. Kadang-kadang awak marah saya call. Awak, saya sayang awak. Sebab tu saya nak awak jaga kesihatan awak baik-baik. Awak selalu tidur lewat. Tidur lewat tu tak baik untuk kesihatan awak yang ada darah tinggi. Tapi awak tak nak dengar cakap saya. Awak tak tahu betapa berharganya awak pada saya. Saya sayang awak dan saya tak nak awak sakit lebih-lebih lagi kita jauh. Saya nak pergi tengok awakpun susah. Kalau awak sakit, saya nak ada dengan awak.

Wednesday, June 29, 2016

Selamat Malam Awak

Awak, 
Saya tahu, waktu-waktu macam ni, awak mesti tengah rancak balas-balas komen dengan dia di Facebook. Takpun sedang sibuk chatting dengan dia. Macam awak cakap, itu hak awak. Mungkin kerana hak itulah awak lupa segala-galanya. Lupa dunia dan lupa rialiti. Sayapun tak terkecuali awak lupakan. Tak apalah. Allah mengetahuinya. Tapi sampai saat ni, saya belum lupakan awak, lelaki yang saya sayang. 

Awak, 
Sebenarnya, kalau diikutkan hati, saya nak call awak, nak wish good night macam biasa. Tapi saya tahu, awak mesti tak suka ganggu masa awak berfacebook nak-naknya kalau sedang berbalas komen gedik-gedik dengan si dia. Pun tak apa, sebab Allah pun tahu. Jadi, biarlah saya ucapkan di sini. Di blog saya sendiri tanpa awak tahu, tanpa awak membacanya. Yelah, apalah sangat Suria Khatulistiwa yang saya tulis ni. Tak penting untuk awak skodeng dan stock macam wall si dia tu. Kalau suruh kira berapa status yang ada kat wall tu pun awak sanggup rasanya. Kalau dah nenek orang tu tinggal kat manapun awak siasat, entah-entah awak dah hafal semua yang ada kat wall dia. Pun tak apa, itu hak awak. 

Awak yang saya sayang, 
Saya tahu, saya tak boleh dekat dengan awak, sebab awak enggan mendekat buat masa ni. So, dari jauh, dari blog yang sepi dari pembacaan awak ni, saya ucapkan selamat malam kat awak yang sentiasa saya rindu. Saya doakan, semoga Allah beri kefahaman tentang agamaNya kepada awak. Jangan asyik berfacebook sampai lewat malam awak. Jagalah kesihatan awak. Awak tu ada penyakit. Saya selalu fikirkan tentang awak walaupun awak tak minta. Saya nak awak sihat. Saya sayang awak. 

Tudung Pemberian Orang

Semalam, waktu saya menerawang jauh dalam meeting office, telefon bimbit saya berdering. 

"Akak kat mana? Meeting ke?" Operator pejabat sopan bertanya. 

"Meeting kat atas," Jawab saya dalam tak ada mood. 

"Kak, En. Mahathir ada kat sini. Dia nak jumpa akak. Sekarang," Beritahunya sedikit tegas. 

Hah?Kenapa dia datang? Rasanya tak ada temujanji atau apa-apa urusan. Ke saya yang lupa. Maklumlah, dalam keadaan sekarang ni, hidup saya tak menentu. 

"Akak turun tau. Sekarang," Suara Dayah mengejutkan saya . 

"OK," Balas saya ringkas. 

Amboi, sekarang. Macam HR bagi arahan pulak. Tahulah dia tu HR Manager kat office dia. Tapi saya tahu, yang cakap sekarang tu mesti Dayah, sebab itulah taktik dia nak suruh staff datang cepat entertain tetamu. 

Sebaik saja saya sampai ke ground floor, 

"Tinta, tak sihat ke? Kurus sangat. Tinta sakit ke?" Sapanya. 

"Taklah," Jawab saya ringkas. 

"Serius Tinta, you nampak tak bermaya. Tak ceria, sakit ke?" Tanyanya lagi. 

"Tak adalah. Kenapa?" 

"Saya nak bagi ni." Dia menghulurkan sekeping sampul surat besar. 

Dokumen apa ni? Fikir saya. 

"Tudung. Saya beli. Cubalah tengok. OK tak. Saya tak tahulah warna tu Tinta suka ke tak" 

Saya mula membuka sampul. 

"Tinta sibuk ke? Nak berbual? Ada apa-apa Tinta nak cakap ke?" 

Saya terus mengisyaratkan agar kami duduk di sofa lobi. Saya menarik keluar tudung dari sampul Instant shawl Sofea Ross warna pink ke purple. Cantik. 

"Macam mana pakai saya tak tahulah. Kawan saya jual. Nampak cantik je, saya belilah. Modern tudung ni. Kawan saya kata, sesuai untuk orang muda." 

Saya cuba memakainya. 

"Haaaa... Saya tengok dalam gambar macam tulah, betullah tu," 

Setelah mencuba, saya lipat dan simpan semula. 

"Ada apa-apa Tinta nak cerita ke? Tinta nampak sedih. Ada masalah?" Saya diam. 

"Masalah kerja? Kerja baru macam mana? sibuk? Ke tak sesuai?" Saya geleng. Tangisan segera datang tapi saya tahankannya. 

Dia seakan memberi peluang untuk saya cari kekuatan membuka mulut. 

"Saya harap tu masalah kerja je," Komennya setelah lama saya diam menahan tangis. 

"Sesusah manapun kerja, saya akan usahakan. Tu semua kecil bagi saya. Kerja biasalah ada cabaran. Saya akan cuba sehabis baik," Kata saya dalam esak yang tertahan. 

Sepi mengisi ruang lagi. 

"Kalau ada apa-apa, janganlah segan nak cerita. Kitakan dah macam adik-beradik. Kalau kita ikhlas, kita mesti dapat rasa antara kita ada yang sedang bersedih. Saya tengok status Facebook Tinta kebelakangan ni sedih-sedih je," 

"Bila tengok status saya?" 

"Ahad kalau tak silap," 

Sengaja saya tanya takut deactivate saya tak jadi. 

Tiba-tiba Pak Lah atau En. Abdullah pulak datang. 

"Kenapa status Tinta sejak akhir-akhir ni sedih sangat? Ada masalah ke? Tintapun nampak sedih," 

Saya diam. 

"Kalau ada apa-apa bagi tahulah. Apa yang tak kena?" 

"Tengok, semua orang perasan status Tinta. Kita semua dapat rasa yang Tinta sedih dan ada yang tak kena. Tinta bukan macam ni yang kami kenal." En. Mahathir menambah. 

Terima kasih Allah, walaupun kawan-kawan saya menjauh, saya masih ada mereka yang benar-benar ikhlas bersama saya. Semoga ukhwah ini kekal dalam kasih sayangMu. 

Ni gambar tudung tu. Tapi tak ada model, so, tak nampak bentuk. Just warna je bagi korang tengok. 



Akibat Minum Ais

Badan saya sekarang ni sangat cepat bertindak balas. Hari ni sejak tengahari saya rasa dahaga amat. Waktu berbuka saya minum air banyak. Air longan ais dan Chinese Tea Ais. Mula-mula OK je. Tapi bila air kena kaki, kedua-dua belah kaki saya kejang. Sakitnya bukan sikit. Habis macam mana kalau semua nak kena pantang? 

Tiadakah Sedikit Rindu?

Awak, Sampai saat ni, rindu saya masih merah buat awak. Saya tak boleh makan, tak boleh buat kerja dan tak boleh tidur. Apa tiada sedikitpun rasa rindu di hati awak buat saya? Ataupun dunia awak sekarang makin berseri? Kenapa awak? Kenapa awak tergamak melukai saya setelah harapan awak suakan? Bukan saya yang mengejar cinta awak. Tapi awak, awak yang menagihnya dari saya. Masihkah awak ingat saat perkenalan kita dulu? Atau memangkah bagi awak menukar cinta itu bagai menukar baju? Pernah tak awak fikir tentang hati yang dilukai dan ditinggalkan? Apa yang awak cari sebenarnya? Awak mencari kesempurnaan ya? Kalau kesempurnaanlah yang awak cari, awak tak akan menemuinya sampai bila-bila. Kalau kesempurnaan itu ukuran kebahagiaan, maka awak takkan bertemu dengan kebahagiaan itu. Ingatlah, setiap apa yang kita buat dikira dosa pahalanya walaupun sekecil zarah. Memang hak awak untuk memilih tapi pernahkah awak fikir siksanya orang-orang yang pernah awak tinggalkan? Sebab tu awak, sebab tu saya nak awak dekatkan diri dengan Allah, supaya awak faham akan hakikat hidup yang sebenar bukan sekadar berdasarkan akal dan hak bahkan hakikat kehidupan menurut sunnatullah dan pandangan Islam. Awak ingat tak? Dulu awak pernah cakap, kalau ada masalah, awak dah belajar dari kegagalan silam awak. Bila ada masalah, jangan sesekali kita melayan orang berlainan jantina. Kelak, kita akan merasakan orang baru tu lebih baik dari yang kita ada dan itu yang membawa kepada kemusnahan. Tapi kali ni, awak buat juga benda yang sama. Sudah lupakah awak akan kegagalan silam awak? Apa penyebab dan faktornya sehingga tergamak awak mengulanginya? Awak yang mengingatkan saya, akhirnya, awak yang buat. Marah macam manapun saya pada awak. Tak puas hati bagaimanapun saya dengan awak, semuanya bersifat sementara dan tak terlintaspun saya nak cari orang baru yang lebih baik dari awak. Bagi saya, saya amat bersyukur bila Allah temukan saya dengan awak walaupun dari segi luaran, awak tidak lagi muda seperti pasangan orang lain. Cinta saya bukan kerana pangkat, kebendaan yang awak limpahkan pada saya atau gaji awak yang besar. Tapi bagaimana awak menghargai saya, menyokong setiap apa yang saya lakukan, sentiasa menenangkan hati saya biarpun adakalanya awak kasar dengan saya. Kekasaran atau kemarahan awak pada saya tidak pernah berbekas dalam hati saya sebab tu saya tak ungkit semua tu bila kita bergaduh. Awak, Tak adakah sedikitpun kebaikan saya yang boleh membuatkan awak menilai semula keputusan yang awak buat? Atau saya memang tak pernah membahagiakan awak? Dan apakah kebaikan seseorang perempuan tu boleh dinilai dari jarak jauh? Menerusi gambar-gambar di Facebook? Melalui status laman sosialnya atau chatting-chatting di internet yang belum pasti kebenarannya? Awak lelaki yang bijak, maka terserahlah pada awak untuk menilainya. Mungkin saya ini tidak pernah mendamaikan hati awak sebab tulah cinta awak mudah beralih arah.

Tuesday, June 28, 2016

Tak Sedap Atau Tak Ada Selera?

Setelah dua hari berbuka sekadar dengan beberapa keping biskut dan bersahur dengan air, saya rasa lesu. Saya cuba isi perut dengan sedikit makanan. Saya rasa tak sedap. Rasa nak muntah bila makan. Mungkin kerana saya hilang selera. Selera saya mati. 

Perasaan pula tak stabil. Saya boleh menangis bila-bila masa.Dalam tangis yang ditahan, Allah bagi peringatan lagi dengan melanggarkan lutut saya dengan handle eskelator. Subhanallah! Sakitnya, Tuhan. Kau saja yang tahu. Harap ia tak memberi kesan pada saya esok. 

Rindu Menyerang

Ya Allah, Dahsyatnya rindu ini. Aku rindukan suaranya, kemesraannya, gurauannya, saat-saat bersamanya dan segalanya tentang dia. Sampai detik ini, aku terkenangkan segala kebaikannya. Hati ini, jiwa ini dan fikiran ini enggan mengingati kekurangannya. Apabila aku memaafkan kesilapan seseorang, aku akan terus melupakannya, tiada lagi aku simpan jadi ingatan. Ya Allah, Jika dia milikku, Kau kuatkanlah kasih sayangku padanya. Hangatkanlah rindu ini buatnya. Marakkanlah api cinta ini untuknya Namun janganlah melebihi cintaku padaMu. Amin...

Aku Yang Lemah

Ya Allah, Kelukaan ini amat pedih, menjalar ke seluruh jiwa. Kesakitan ini amat menyiksakan, menusuk serata hati. Ya Allah, Apa sebenarnya tiada kasih sayang tulus dari seorang lelaki buatku di dunia ini? Jika tiada Ya Allah, janganlah Kau izinkan aku mencintai selepas ini, Jika tiada Ya Allah, tutuplah semua pintu rinduku selepas ini, Jika tiada Ya Allah, leraikanlah segala kasih sayangku selepas ini, Buat insan bernama lelaki. Ya Allah, Engkau anugerahkan aku sekeping hati, Lalu di dalamnya Engkau bekalkan Sebidang cinta malar Selaut kasih membiru Sebendang sayang menghijau Sejuta bintang rindu gemerlap, Namun... Kau pertemukan aku dengan mereka yang memandang sepi perasaanku Apa ada dosa menghijab diriku sehingga aku sering diuji begini? Jika ada Ya Allah, sucikanlah hitam ini Biar mendung segera berarak pergi. Ya Allah, Aku tidak minta... Dikasihi lelaki semulia Adam, Disayangi lelaki sekacak Yusuf, Dirindui lelaki sekaya Sulaiman, Dicintai lelaki sezuhud Muhamad Kerana... Aku tidak sesuci Hawa, Tidak secantik Zulaikha, Tidak sehebat Balqish, Tidak sesolehah Khadijah. Tidak juaku pinta Ya Allah, Lelaki soleh menjadi yang halal bagiku melainkan Engkau memberinya Kerana aku bukanlah perempuan solehah Aku hanya minta cinta dari seorang lelaki yang tulus Bersedia untuk mengharungi susah senang bersama Sama-sama berusaha untuk menjadi lebih baik Saling melengkapi kekurangan yang ada Kerana aku percaya, Setiap manusia itu ada kelebihan Dan pasti boleh berubah menjadi lebih baik Apabila Engkau mengizinkan. Siapalah aku Ya Allah, Untuk meminta lelaki baik menjadi halal bagiku? Sedang diri sendiri tidak sebaik mana, Aku hanya mahukan pelengkap menjadi puzzle dalam kehidupan Untuk kesempurnaan sesebuah hubungan. ************************ Awak, Saya terima segala kelebihan dan kekurangan awak untuk jadi pelengkap saya Dan untuk saya lengkapi awak. Mungkin pada pandangan awak saya tak mampu melengkapi awak tapi kita tak tahu apa yang Allah tentukan. Jika hari ini awak mencampakkan cinta saya ke tepi, mungkin kerana Allah belum mengizinkan kita bersatu. Mungkin kerana Allah mahu kita sama-sama bersedia Dan Dia mahu kita mencintaiNya terlebih dahulu Agar kita memperoleh hidayah dan petunjukNya untuk menjalani hidup penuh cabaran. Sebelum disatukan kita pada masa yang sesuai. Awak, Saya percaya, dengan izin Allah, awak pasti berubah menjadi yang lebih baik seperti yang saya harapkan. Kerana awak manusia yang boleh berubah dengan kehendak Allah.

Monday, June 27, 2016

Tidak Mampu Menjaga

Luka ini masih berdarah. Cedera parah. Kalau tubuh dah masuk ICU rasanya. 

Awak, kenapa sampai hati awak buat saya macam ni? Apa yang tak kenanya? 

Ya, saya ingat, awak pernah cakap dengan saya, saya tak mampu nak jaga awak bila awak tua dan sakit dengan keadaan saya yang macam ni. Kalau awak dengan orang lain yang sempurna, logiknya memang dia boleh jaga awak. Tapi, confirm ke dia nak jaga awak bila awak tua atau sakit? Jaga tak jaga ni bukan terletak pada kesempurnaan luaran, tapi keinginan seseorang untuk menghadapi susah bersama kita. Kalau sekadar sempurna zahir tapi tiada kesanggupan, awak tetap terabai. Buktinya, keluarga tempat arwah moyang saya tinggal dulu, bila saya datang untuk menjaganya, sorangpun tak ambil peduli dah tentang arwah. Malah, arwah sering mengadu pada saya sambil menangis, 'Kalau Along tak ada, chek dahaga malam-malampun susah nak minum. Dia orang ni chek jerit-jerit panggilpun tak datang. Tak tahulah sedar ke tidak,' Saya sendiri terperanjat mendengarkan aduannya. Kenapa orang sakit tua terlantar dibiarkan tidur seorang tanpa ada yang menemani? Bagaimana kalau berlaku sesuatu dan dia berkehendakkan apa-apa? 

Pernah suatu pagi sewaktu membantunya membuat senaman tangan dan kaki sebagai satu usaha untuk menggerakkan semula, chek berkata dengan sayu. 

'Kalau Along tak ada, susahlah, chek. Tak buatlah senaman,' 

Perlakuan saya terhenti. 'Kenapa tak buat pulak chek? Kalau nak boleh bergerak kenalah buat hari-hari. Tuam air panaspun kena hari-hari sebelum senaman,' 

'Entahlah Long. Susah. Semua orang tak boleh, sibuk,' 

Saya terfikir sendiri. Masakan tak ada masa, mereka berniaga sendiri. Sepatutnya mereka boleh uruskan masa untuk chek.  

Maka saya faham, menjaga orang sakit ni bukan semua orang nak buat walaupun mereka sempurna dan sihat. Sebab menjaga orang sakit ni kena teliti, guna tenaga dan perlukan perhatian khusus. Bukan bermakna tak sempurna tak boleh jaga orang sakit dan orang tua. Semuanya terletak pada hati. Nak seribu daya, tak nak seribu dalih. 

Tapi kalau begitu pemikiran awak, apa boleh saya buat. Semoga suatu hari nanti Allah bukakan jalan fikir yang baik untuk awak. 

Masak-memasak

Petang ni seorang kawan berbual dengan saya di telefon bagi mengubat kelukaan saya. Dia bercerita tentang masakan. Ya, sayapun rindu nak memasak. Dah lama tak memasak. Dulu masa duduk bertiga rajinlah memasak sebab ramai makan. Bila duduk berdua, housemate saya ni kurang makan di rumah. Mula-mula saya masak juga lepas tu asyik buang je. So tak yahlah masak. Kalau boleh rumah baru nak buat kabinet dapur terus, senang nak masak nanti. Masa duduk bertiga dulu, saya kerja jauh. Pukul 7.00 malam baru sampai rumah. Yelah, dari Ampang, naik LRT tukar Putra dahlah kena lalu banyak stesen. Jadi turn saya hari Sabtu dan Ahad. Selalu pukul 7.00 tu sampai rumah Hana dah siap masak dan kami makan. Hari Sabtu, Ahad mestilah special sikit kan. Paling untung masa tu, boy friend pertama saya. Saya masak, bila keluar jumpa dia, saya bungkus bagi dia makan. Niat jahat jugaklah masa tu, nak bagi dia gemuk supaya perempuan tak berkenan kat dia. Orang handsome katanya. Pernah dulu masa birthday dia, saya tak ada duit. Masa tu gaji saya kecil sangat. Nak beli kek tak ada duit. Belanja makanpun KFC je kot masa tu. Jadi, sebagai ganti kek, saya buatkan dia puding laici aneka warna. Bolehlah ganti kek, sebab puding tu cantik letak pulak dalam bekas cantik. Zaman susahkan. Sekarangpun tak adalah senang sangat tapi OK sikit dari gaji tak sampai seribu dulu. Makan tu apa je yang saya masak kat rumah, saya lebihkan dan bawa bagi dia makan. Kembanglah juga masa tu sebab selalu dapat pujian. Tapi, kalau ada kurang sikit je nak-naknya masak lemak cili api, memang sedap je dia kompelen, orang negoghi kan. Tapi sekali jelah kena complain tu, lepas tu kalau masak lemak cili api, saya memang berhati-hati kalau nak bagi dia makan. Minggu lepas, saya dah survey thermoss food jar. Nanti masuk rumah baru, saya nak bawa bekal pulak untuk lunch. Sorangpun soranglah, tak peduli nak masak juga. Sebab dah bosan makan kedai. Tak banyak pilihan. Ni senarai yang akan didahulukan untuk masak. Tapi tak adalah gambar sebab kebanyakan resipi ni dari nenek dan ada yang moden sikit tu saya memang ingat bahan-bahannya. Hari ni senarai je dulu. Esok-esok baru saya update resipi satu persatu. Gambar, nanti bila dah masak. 1. Ayam Black Pepper - kegemaran Kak Sida. 2. Roti Bakar Keju inti sosej - kegemaran kami bertiga dan adik-adik saya. 3. Ikan Masak Sos Limau Purut - kegemaran Zura. 4. Daging/ayam Masak Lemak Cili Api - kegemaran si dia lapan tahun lalu dan abah. 5. Ikan Masak Asam Pedas - kegemaran Haida. 6. Nasi Ayam. 7. Bubur Nasi Special - kegemaran Haida. 8. Pizza maggie. 9. Sambal Sardin - resipi Abang Nuar, saya dah buat banyak kali, dia sendiri tak buat-buat lagi. 10. Nasi Lemak. 11. Ikan Pekasam dan cecahnya - Nak kena cari pekasamlah pulak. Ni simple je ni. 12. Daging/Ayam Tomato. 13. Ayam Sambal. 14. Mihun Goreng Tomato. 15. Tauge Masak Aneka Kicap - kegemaran Hana. 16. Tauhu Jepun Kicap. 17. Ayam Paprik. Amboi, banyaknya. Cukuplah dulu.

Pesanan Buat Awak

Awak, Sekiranya ditakdirkan suatu hari nanti awak membaca entri ni, bacalah dengan tenang dan perlahan. Janganlah tergopoh-gopoh agar semua pesanan ni lekat di hati awak. Awak, Biarpun buat masa ni ada dia dalam hati awak, tapi hati awak itu milik Allah dan Dialah yang mentadbirnya. Segala-galanya akan berlaku mengikut ketentuanNya. Awak, Mungkin Allah pisahkan kita buat masa ni supaya kita sama-sama tingkatkan cinta kita kepadaNya untuk Dia pertemukan kita semula suatu hari nanti dalam rahmat kasih sayangNya yang indah seperti Zulaikha dan Yusuf. Mungkin, kita lalai dalam berhubungan sebelum ini, maka Allah utuskan Jibril memberi hadiah ujian kepada kita untuk Allah nyatakan kerinduanNya dan berikan kepada kita kasih sayangNya. Ya, sepertimana lalainya Zulaikha memikat Yusuf dengan cara tidak sepatutnya. Kemudian, Allah bukakan hati Zulaikha untuk bertaubat agar ia setanding dengan Yusuf yang mulia. Dari perempuan yang hina, Allah angkat martabat Zulaikha menjadi wanita solehah setelah mendengar taubat dan doa-doanya. Awak, Pesanan yang selalu saya ingatkan pada awak sejak mula-mula kita kenal dulu, jagalah solat lima waktu awak kerana bila kita kembali padaNya, solatlah amalan pertama yang dihisab. Solat juga pelembut hati kerana hati yang keras susah meresap hidayah. Dan saya pernah baca, bila kita tidak menjaga solat maka doa dari orang pun susah sampai kepada kita. Awak selalu cakap, awak mengharapkan doa orang-orang di sekeliling buat awak. Oleh itu solatlah, awak. Seterusnya awak, banyakkanlah zikir dan istighfar agar Allah sentiasa dekat dengan awak supaya awak tidak mudah terpedaya dengan tipu helah dunia ini. Istighfar dan zikir juga mampu melembutkan hati. Bila hati kita lembut, maka keegoan kita akan rendah manakala kesombongan kita akan kurang kerana kedua-duanya penyebab kepada keharuan hidup. Harapan saya juga buat awak, mulakanlah belajar Al-Quran kerana di dalamnya terkandung petunjuk dan hikmah. Di situlah sumber ketenangan, kesyukuran dan kebijaksanaan. Manfaatkanlah buku yang saya hadiahkan pada awak sewaktu ulang tahun kelahiran awak tempoh hari untuk mula mendekatkan diri dengan Al-Quran. Mulakanlah awak untuk mengikuti kelas-kelas agama sebagai persediaan untuk berwawansabda dengan pencipta nanti supaya kita lebih kenal akan pencipta kita. Semoga dapat juga kita pelajari cara hidup muslim yang sebenar. Saya mohon, awak kurangkanlah penggunaan laman sosial yang sangat awak gemari tu kerana ianya akan mendatangkan masalah jika menggunakannya sebagai teman karib. Saya lihat, penggunaan Facebook awak setiap hari dan hampir setiap masa. Paling lamapun awak tak aktif dua jam. Malah, dalam meeting dan majlispun awak masih sempat berfacebook. Kan lebih baik kalau masa tersebut digunakan untuk membaca buku-buku ilmu dan agama? Destinasi hidup kita dalah mati, awak. Kita tidak tahu nasib kita di alam sana. Kalau indah, alhamdulillah. Tapi jika sebaliknya... Kita tak boleh berpatah balik ke dunia untuk beramal. Jadi biarlah kita bersedia lebih awal. Usaha tangga kejayaan. Akhirnya awak, berfikirlah secara matang berpandukan agama indah ini bukan semata-mata mengikut logik akal kita yang terbatas. Sebab tu hati kita harus lembut kerana akal dan ketajaman mata hati itu penting dalam kita melaksana dan membuat sesuatu keputusan. Ingatlah awak, hidup ini sangat singkat untuk kita. Mempunyai jiwa muda dan happy go lucky itu memang awet muda tapi janganlah kita berfikiran singkat untuk mengejar keseronokan sahaja kerana hidup lebih dari itu. Sekecil zarah amalan kita tetap dikira baik buruknya dan akan ada ganjarannya. Kita dipisahkan ribuan batu. Namun saya harap, kita sama-sama dapat laksanakan apa yang tersenarai di atas. Apabila saya mahu awak menjadi lelaki yang baik untuk menjadi yang halal bagi saya, maka sayapun harus berusaha untuk menjadi perempuan baik untuk menjadi yang halal bagi awak seperti yang awak dambarkan lewat komen awak di satu status yang awak update di Facebook tempoh hari. Kita sama-sama mahukan pasangan yang baik. Namun saya tidak mendambarkan lelaki lain yang baik bagi saya kerana sekali saya mencinta, saya mencinta dengan sepenuh hati. Dan saya mahu kita sama-sama berusaha untuk jadi baik sesama kita. Mengapa perlu kita mencari orang lain dengan meninggalkan apa yang kita ada sedangkan hidayah Allah itu untuk semua dan akan diberikanNya andai kita berusaha memperolehnya? Mengapa kita harus pentingkan diri sendiri untuk jadi baik bersama orang lain dengan membiarkan orang yang pernah kita sayang begitu sahaja? Sedangkan ia adalah tanggungjawab kita untuk membimbingnya. Sungguh awak, saya bukan perempuan yang baik, tapi saya akan cuba kerana ini tuntutan agama dan saya tak mahu lagi Allah jauh dari saya. Mungkin juga dialah perempuan baik yang awak dambarkan untuk menjadi yang halal bagi awak, sebab tula awak tulis di situ, dalam reply komen awak kepadanya. Tapi saya percaya, baik buruknya manusia, bukan manusia sendiri yang menilainya. Allah lebih Mengetahui akan baik dan buruk hamba-hambaNya. Dari kejauhan ini, saya sentiasa merindui awak selama Allah izinkan. Andainya takdir Allah telah mencatatkan di Loh Mahfuz awak diciptakan untuk saya, maka saya mohon Allah makin kuatkan rasa kasih saya pada awak dan semoga Allah tanamkan rasa yang sama dalam hati awak buat saya. Saya telah berusaha untuk memenangi hati awak kembali. Tapi saya gagal mungkin kerana saya tak cukup baik dan ada dosa yang menghalang. Maka sekarang, saya serahkan pada Dia, Tuhan sebaik-baik perancang. Awak, pergilah sejauhmana yang awak mahu. Bertemulah dengan seramai mana perempuan yang awak suka. Jika telah tercatat awak milik saya, suatu hari nanti awak pasti akan kembali kepangkuan saya. Dan begitu juga saya, andai saya ini telah disuratkan milik awak, maka saya akan terus setia menanti awak di sini dengan cinta yang tidak berbelah bagi serta kerinduan yang menyiksakan. Salam sayang buat awak, cinta hati saya. Daripada saya, perempuan yang penuh dengan dosa dan kelemahan.

Tahukah Awak?

Tahukah awak bahawa, pada malam awak berterus-terang dengan saya tentang usia, tentang perkahwinan dan anak awak sebelum ni dan tentang sejarah silam awak, saya berfikir tentang rumahtangga yang akan kita bina. Dalam usia kita yang jauh, bagaimana sekiranya awak sakit? Mampukah saya menjaga awak? Dan akhirnya saya temukan jawapan. Jika Allah mentakdirkan cinta itu bersemi dalam keredhaanNya, mustahil Dia akan menyusahkan hidup kita. Ujian menjaga chek yang sedang sakit terlantar seorang diri tanpa bantuan sesiapa membuatkan saya yakin yang saya mampu menjaga awak kelak. Malah saya rasa bertambah sayang pada chek sewaktu saya menguruskannya. Insya-Allah itulah perasaan yang Allah akan bagi sekiranya kita ikhlas terhadap suami. Mungkin sebab itu chek menjaga arwah ayah yang terlantar akibat strok dengan penuh kasih sayang. Nasihat mama, jika saya bersedia untuk menerima awak, saya harus jadi seperti arwah chek, menerima awak seadanya termasuk baik dan buruk awak, anak-anak awak dan sejarah silam awak. Amaran mama, jangan sesekali dihalang kasih bapa terhadap anak. Jangan disekat pemberian nafkah bapa kepada anak. Kerana mama adalah mangsa kepada penceraian datuk dan nenek. Hidup dalam status tiri ni sudah biasa dalam keluarga kami. Tapi kami hidup dalam keadaan harmuni sebagaimana chek menyayangi kami seolah-olah dialah moyang sebenar kami. Lalu, menjadi ibu tiri kepada anak-anak awak bukanlah suatu masalah bagi saya. Mulai dari hari itu, saya mula memasang impian untuk hidup bersama awak, dikelilingi anak-anak awak sekurang-kurangnya ada sekali seminggu masa yang diluangkan makan bersama keluarga untuk mengeratkan hubungan kita. Dan saya mula merasakan indahnya jika ada anak awak yang akan tinggal bersama kita seperti chek yang menjaga kami cicit tirinya. Daripada hari itu, saya mula berangan bagaimana mak awak datang ke rumah kita dan menginap kerana mak awak memang suka tinggal di rumah awak. Dan mulai hari itu jua, saya memasang niat untuk menjadi isteri terakhir awak yang membawa hingga ke Jannah. Saya mahu jadi yang terbaik dari yang sebelumnya. Sebagai manusia, saya bukan perempuan yang sempurna, pastinya ada kekurangan dan kesilapan saya sewaktu bersama awak. Dan saya amat mengharapkan awak sebagai orang yang lebih matang serta berpengalaman menegur salah saya, membimbing saya jika saya silap. Awak, andainya awak dapat selami dasar hati saya, pastinya awak tahu sedalam mana cinta saya pada awak. Cuma silapnya, saya tidak tunjukkan rasa cinta itu lantaran serik dek masa silam saya. Dan akhirnya, awak hadiahkan kepada saya kelukaan yang maha dahsyat. Ianya lebih dari kelukaan pertama.

Rintihan Pada Chek

Chek, 
Chek ingat tak dia yang Along pernah cerita pada chek dulu. Dia yang selalu hantar Along kat Stesen Keretapi bila Along nak balik jaga Chek. 

Chek, 
Dia dah tinggalkan Along. Along tak tahu apa salah Along. Along tak kuat chek untuk hadapi semua ni. Kalau chek masih ada, mesti chek bagi kekuatan pada Along untuk harungi semua ni. 

Chek, 
Along lemah. Along sorang diri kat rumah ni. Melawan semua sakit ni. Bergelumang dalam pedih ni. Along rasa tak ada satu tempatpun yang tak sakit. Seluruh hati, perasaan dan tubuh terasa bisanya.Tangisan ni sejak pagi semalam tak mahu reda chek. Ianya pecah bila-bila masa. Tak tertahan esak ni. Along cuba untuk perlahankan tangis tapi tak boleh, tak boleh. Kalau chek masih ada mesti chek akan peluk Along dengan penuh kasih sayang dan memberi prangsang dengan suara lembut lunak chek. 

Chek, 
Along tak boleh pergi pejabat hari ni. Along tak mampu. Untuk menahan tangis nipun Along tak mampu, bagaimana harus Along duduk di pejabat berhadapan dengan kakitangan lain? Kalau makananpun tak boleh masuk ke perut, bagaimana harus Along duduk di kerusi menjalani tugas? 

Chek, 
Kenapa dia tegar menyakiti Along? Kenapa dia sanggup menganiaya Along sampai macam ni? Empat tahun bukanlah satu masa yang pendek untuk kasih sayang Along sebati buatnya dalam hati Along. Apakah tidak ada sedikitpun kebaikan Along padanya? Apakah tidak ada sedikitpun rasa sayangnya pada Along? Sedangkan dia yang memulakan semua ni. Dia yang mengejar Along saban hari waktu awal perkenalan kami dulu, chek. Mengapa sebegitu hatinya mudah berubah hanya kerana kenalan Facebook, chek? 

Chek, 
Kenapa dia buat Along macam ni setelah Along mempersiapkan diri untuk jadi macam chek, terima ayah dan anak, cucu dan cicitnya sebagai anak, cucu dan cicit tiri dengan kasih sayang tak berbelah bagi? 

Chek, 
Along sedih, chek. Along rasa derita, rasa teraniaya. Mengapa seorang yang menyayangi kita tergamak melukakan hati kita chek? Bukankah ajaran chek memaafkan segala kesilapan orang yang kita sayang?Bukankah sayang itu harus saling melengkapi, chek? Bukankah sayang itu suatu tanggungjawab? Bukankah cinta itu menerima seadanya pasangan kita dalam apapun keadaan?Bukankah cinta itu tunggak kepada sebuah hubungan yang utuh, yang perlu sentiasa dibaja, bukan untuk dihancurkan? Kenapa dia mesti mengkhianati cinta Along? Dugaan tu ada di mana-mana tapi kalau kita tak melayan takkan jadikan, chek? Chek, susahkah untuk setia? Along tak mampu chek, tak mampu untuk membencinya kerana kasih sayang ini lahir dari hati yang dalam. 


Sahur Ini

Sahur ini tidak seperti sahur-sahur yang lalu. Tiada lagi whatsapp mengejutkan awak bangun bersahur. Bukan kerana saya membenci tapi saya sedar, kehadiran whatsapp, mesej dan sebagainya dari saya tidak bermakna lagi buat awak. Mungkin juga awak dah ada tukang kejut yang awak harapkan untuk mengejutkan awak kala ini. 

Awak, kalau diikutkan hati, saya ingin membuat panggilan untuk mengejutkan awak. Tapi itu akan membangkitkan kemarahan awak kan? Sebab awak sudah tidak tahu lagi bagaimana cara untuk menghargai apa yang saya lakukan. Kalau dulu, panggilan saya kejutkan awak yang lewat bangun seharian awak ucapkan terima kasih pada saya. Kini semua tu tiada.Besar sangatkah salah saya pada awak sampai begini awak menghukum saya? 

Ya Allah, 
Selama aku tiada bersamanya, selama belum ada yang benar-benar halal baginya, aku mohon, Kau jagalah dia untukku. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Penjaga dan Pelindung. Ku serahkan dia dan hatinya untukMu untuk Kau jaganya selama aku tidak di sisinya. Aku tidak mahu pesanan-pesananku mengganggunya lantas membangkitkan kemarahannya padaku biarpun pesanan tersebut ku hantar dengan rasa kasih sayangku yang mendalam yang Kau izinkan buatnya. 

Awak, selagi Allah mengizinkan, selama itulah cinta dan hati saya milik awak. Andainya suatu hari nanti kerinduan tiba-tiba menjengah hati awak untuk saya, carilah saya. Andainya tiba-tiba suatu hari nanti sayang awak menjelma kembali buat saya, saya sentiasa ada di sini selama Allah izinkan saya menanti awak. 

Salam rindu di pagi syahdu buat awak. 


Sunday, June 26, 2016

Seperti Yang Saya Jangka

Awak tak akan call saya malam ni. Alasannya, letih sebab baru balik dari rumah mak. Saya dah masak benar dengan alasan tu. Memanglah letih kalau nak bercakap dengan saya sejak akhir-akhir ni. Banyak kali juga saya perhatikan pada malam awak pullang dari rumah mak. Awak cakap letih, tak boleh bercakap dengan saya tapi di FB, awak segar-bugar balas-balas komen dan sering kali tidur lewat kerana FB. 

Awak, kenapa tergamak awak mengkhianati cinta kita? Awak yang datang menagihnya dari saya. Setelah saya berikan, ini yang awak lakukan pada saya. Kalau adapun salah saya, semuanya telah saya pohon kemaafan dari awak dan kita damai sebelum awak pindah ke sana. 

Awak, saya tahu, awak mesti tak sabar nak chatting dengan dia. Maklumlah sedang hangat dilamun cinta kan. Macam tulah juga masa mula-mula awak jatuh cinta pada saya. Hari-hari awak datang jemput saya keluar makan. Dia jauh, so, chatting dan balas komen di FB la sebagai ganti pengubat rindu. 

Sungguh, saya rasa teraniaya. Kalau hubungan ni sebulan dua mungkin tak apa. Tapi empat tahun awak, empat tahun.Saya bersama awak. Macam-macam kita hadapi bersama. Dari awak pakai Kereta Waja sampailah pakai Ford Ranger, dari awak gred 44 sampailah awak gred 48. Sebegitu mudah hati awak berubah hanya kerana kenalan baru di FB. 

Ya Allah, aku yakin, Engkau sentiasa bersamaku. 

Episod Luka Berulang

Allah mentadbir mengikut takdirNya. Subhanallah, tak dapat saya gambarkan betapa peritnya kelukaan ini. 

Awak yang saya sayang, yang pernah mengaku menyayangi saya, mengapa tegar awak lakukan ini semua pada saya? Tahukah awak betapa saya mencintai awak? Tahukah awak bagaimana saya merindui awak? Bagaimana setiap waktu saya memikirkan tentang awak? 

Awak, saya cuba awak, cuba untuk perbaiki hubungan kita. Tapi saya dapat rasakan awak menolaknya. Awak saja keraskan hati awak untuk saya. Kenapa awak? Kenapa? Besar sangatkah dosa saya pada awak? 

Awak, sebenarnya saya dapat rasakan kelainan cara awak dan dia di FB. Tapi awak tak pernah membincangkan hubungan kita secara baik. Bila bercakap tentang hubungan kita, saya tanya apa-apa, awak mesti marah-marah. Kan baik kalau kita berdiplomasi dan jelaskan apa yang patut dengan baik? 

Awak, sebenarnya, saya dapat rasakan sesuatu antara awak dengan dia. Saya baca semua komen dia di status awak dan reply awak kepadanya. Saya juga baca semua komen awak di statusnya dan replynya pada awak. Bila awak komen kat dia fasal bonus yang abang bagi dan dia menidakkan lepas tu awak kata ada harapan, hati saya hancur. Adakah awak benar-benar mengharap padanya? Tapi saya tak boleh tanya awak, sebab awak suka marah saya, enggan membincangkan hal ni dengan baik. Berlainan sekali pada awal hubungan kita dulu. Awak sering ingatkan saya supaya berkomunikasi dengan awak sekiranya ada perkara yang tidak memuaskan hati agar hubungan kita baik sentiasa. 

Awak, saya juga sering perhatikan sejak akhir-akhir ini, awak selalu update status fasal Sabah. Saya tahu, itu negeri kelahiran dia. Saya diamkan saja sebab tak nak bergaduh. Saya mohon pada Allah agar beri saya kesabaran terhadap apa yang awak lakukan. Sebab saya memang tak nak bergaduh. 

Awak, saya tahu, awak tak nak balas komen saya di FB sejak kebelakangan ni. Awak hanya like je komen saya. Saya tak pasti apa sebabnya. Mungkin awak tak nak dia tahu fasal kita. Yelah, mungkin awak takut misi awak menawan hatinya gagal. 

Awak, sejak dua tiga hari lepas, saya perhatikan, dia aktif bila awak aktif di FB cuma saya tak dapat pastikan sama ada ianya kebetulan atau ada komunikasi personal antara awak dan dia. Ada satu malam tu, saya tengok waktu awak tak aktif sama dengan waktu dia tak aktif. Tapi itupun saya tak dapat pastikan sama ada ianya kebetulan atau sebaliknya sebab awak memang suka online FB. 

Awak, saya juga tahu bahawa,sejak dua tiga hari lepas, awak sengaja tak jawab panggilan saya sedangkan handset di tangan awak. Macam mana saya tahu handset di tangan awak? Sebab saya call awak bila saya tengok FB awak aktif dan lepas saya call FB awak juga aktif. Tak tahulah kalau awak guna laptop online FB sebab kebiasaannya awak tak bawa laptop balik rumah mak dan selalu online guna phone. Tapi saya diamkan saja bila awak mengatakan tak jawab call saya sebab sibuk mengemas rumah mak. Saya turutkan saja permainan awak. Saya mahu tahu sejauh mana ianya berjalan. 

Sahur tadi saya tengok dia update status malam tadi yang ada orang stock FB dia. Dan awak mengaku.Walaupun hati saya kurang enak, saya anggap itu suatu gurauan. 

Dan pagi ini kemuncaknya, awak update foto yang awak ambil dari wall dia dan awak kata itu hasil ppenemuan awak stock wall seseorang. Foto tu lebih kurang bertulis, 'Kalau suka kata suka' saya lupa exactly ayat tu. Saya komen yang saya dapat agak dari mana awak dapat foto tu. Awak like. Tak lama kemudian, dia komen mengaku. Saya komen mengiakan agakkan saya dan awak like lagi. Seterusnya berlakulah balas-balas komen antara awak dan dia. Awak tahu tak betapa luluhnya hati saya ketika tu? Lalu saya PM awak mengatakan, jika awak jatuh cinta padanya itu hak awak. Apa yang saya mahu, kejujuran awak. Awak mengiakan. Sekali lagi hancur berderai hati saya seperti kaca terhempas ke batu. Awak minta saya hormat hak dan pilihan awak. Saya minta nak bercakap dengan awak untuk yang terakhir kali. Meskipun pada mulanya awak bersetuju, tapi awak nak call saya malam ni.Kata awak, saya tetap kawan awak dan awak takkan berpatah arang dari saya. Apa makna semuanya tu? Awak nak saya jadi kawan awak dan saksikan kebahagiaan awak ke? Atau dengan cara tu awak mahu menghilangkan rasa bersalah awak pada saya? Bila saya balas lagi, awak suruh saya diam kalau tak awak nak block saya di FB. Tak perlu awak, tak perlu ugut saya macam tu. Saya sendiri secara sukarela menghilangkan diri dari FB. FB tu terlalu banyak kenangan kita. Dari mula kita kenal hinggalah hadirnya dia dalam hidup awak. 

Awak, kalau itu pilihan awak, pergilah. Walaupun saya tidak merelakannya, siapalah saya untuk menghalang kehendak awak. Alasan awak dah tua, tak ada apa lagi yang awak cari tentang cinta dan sakit itu hanya alasan semata. Sebab awak tak sampai hati nak beritahu saya hal yang sebenar. Andai kata suatu hari nanti awak perlukan saya, saya yakin, awak tahu di mana harus cari saya. 

Awak, selama Allah izinkan, selama itulah cinta, rindu, kasih dan sayang saya milik awak walaupun masa tu awak sedang bahagia bersamanya. 

Ya Allah, saya mencintainya dari hati saya yang dalam. 
k

Saturday, June 25, 2016

Titipan Buat Awak

Awak, 
Badai yang melanda kita ini mungkin peringatan dari Allah agar kita dekat denganNya. Mungkin kita lalai terhadapNya jadi Dia utuskan Jibril untuk sampaikan hadiah ini kepada kita di mana di dalamnya terkandung ujian untuk kita lalui agar kita hampir denganNya.  

Awak, 
Sebenarnya Allah rindukan kita. Sebab tu Dia panggil kita supaya dekat denganNya. Dia rindu mendengar rintihan kita.  

Awak, 
Saya bukanlah perempuan baik seperti dambaan lelaki mungkin awak juga. Saya tak sempurna, awak. Tapi, kita sama-sama kembali kepada pencipta kita untuk mencari kekuatan dan kesempurnaan kerana kesempurnaan itu terhasil daripada dua insan yang saling melengkapi. Sepertimana yang kita sedia maklum, tiada yang sempurna melainkan Dia. 

Awak, 
Kerana kasih sayang saya pada awak, saya mahu kita sama-sama berubah agar kasih sayang kita dalam cinta pencipta. 

Awak, 
Kita sama-sama ya cuba meraih cintaNya agar setiap badai yang melanda dapat kita hadapi dengan tenang serta teguh bersatu dalam rahmat kasih sayang Ilahi. 

Saya sayang awak. Sayang saya pada awak, bukanlah ketika awak senang dan sihat sahaja. Sayang saya pada awak meliputi sisi kehidupan awak yang susah dan sakit. Awak, jika Allah mengizinkan, saya mahu menemani awak untuk sepanjang hidup saya hingga ke Jannah. 

Ya Allah, 
Sampaikanlah rasa kasih sayang dan kerinduan ini kepadaNya,lelaki yang saya sayang. Getarkanlah jiwanya dengan segala kasih sayangku yang Kau izinkan buatnya. Maha Baik dan Maha IndahMu, aku memohon dan berserah. 

Amin. 

Friday, June 24, 2016

Kurus, Kurus Dan Kurus

Situasi 1: Sewaktu berbaris panjang di suatu majlis, Seorang kawan memegang lengan dan bahu saya. "Akhirnya kau dapat jugakkan badan kau yang dulu? Kau diet ya?" Saya terperanjat. Takkanlah saya sekurus lapan tahun dulu??? Patutlah jeans dan kebaya lapan tahun dulu saya boleh pakai. Apa nak dihairankan? Saya sepatutnya dah bersedia dengan teguran-teguran seumpama ini. "Taklah, kurus ni sebab sedih," Saya berterus-terang dengannya kerana dia merupakan salah sorang yang rapat dengan saya sejak bangku sekolah lagi. "Patutlah..." Sememangnya dia tahu bagaimana saya bila saya sedih. Situasi 2: Awal pagi ketika masuk pejabat. "Tinta, tak cantiklah kurus-kurus sangat. Bajupun dah nampak besar. Tak eloklah perempuan kurus sangat. Macam hari tu cantik," Tegur Kak Linda, cleaner office saya. Saya hanya ketawa mendengarkan tegurannya. Biarlah apa anggapnya. Tak mungkin saya membuka mulut. Cukuplah sekadar ketawa yang dibuat. Situasi 3: Dalam bilik mesyuarat ketika perjumpaan staff satu pejabat. "Tinta nampak kuruslah sekarang. Kenapa?" Tegur pengarah sebelum memulakan mesyuarat. Mujurlah saya duduk dekat dengannya. Harap staff lain tak dengar. Saya buat-buat tak dengar. "Tinta, Tinta makin kurus ya sekarang?" Pengarah mengulangi soalannya. Saya kelu. Nak jawab apa? Kenapa mesti mahukan jawapan saya? "Ha'ah, dia diet." Sampuk Penolong Pengarah menyelamatkan keadaan. "Tinta diet ke?" Tanya pengarah lagi. "Ha'ah, nak jadi pramugari, nak tingalkan pejabat ni," Lawak saya spontan. Sebenarnya kalau nak jadi pramugari tubuh hari tulah yang bagus. Kalau kurus ni nak jadi model sebenarnya. Hentam sajalah, bukan betulpun. Sekadar nak bagi dia lupa dengan soalannya. Semua staff yang berdekatan ketawa. Situasi 4: Majlis berbuka puasa bersama Telekom Malaysia, Pullman Hotel Bangsar. "Eh, dah kuruslah sekarang," Tegur salah seorang jemputan lain yang memang mengenali saya. Saya mekarkan senyuman agar kekurusan ini dianggap biasa ataupun sememangnya kemahuan saya. "Diet ke?" Tanyanya lagi. Ya Allah, janganlah tanya saya sebab saya tak mahu mengiakan apa yang bukan. Tapi ia kan sajalah. Fikir saya. "Ha'ahlah, nak raya," Jawab teman sepejabat saya. Syukur, terima kasih, Qilah kerana menyelamatkan keadaan. Tak cukup dengan tu, salah sorang boss TM yang pernah berurusan dengan sayapun tegur saya dah kurus. Mungkin benar kata mereka, sebab cincin yang dulu saya pakai ngam-ngam dah mula mudah nak dipakai. Begitu juga dengan baju dah banyak yang longar. Dua tiga menjak ni pun, saya tak begitu berselera dengan makanan. Tak tahulah kenapa. Makanan yang sedappun saya rasa tak sedap. Ya Allah, apakah saya menuju kepada kemurungan?

Thursday, June 23, 2016

Berjauh Hati

Awak, sebenarnya saya terasa hati sangat dengan awak. Tapi tak apalah, cinta itu kan menerima seadanya. Kalau ikutkan hati saya, macam-macam saya nak luahkan di FB tanpa menyebut nama awak. Tapi bila saya fikirkan hati dan perasaan awak, saya diamkan saja. Kadang-kadang saya dah tulis status, tapi saya padam kan balik, tak jadi update. Saya tak nak kita gaduh. Untuk menjaga keharmunian, biarlah saya berdiam diri. Allah kan ada. Semoga suatu hari nanti Allah bukakan hati awak untuk sekurang-kurangnya tahu perasaan saya. 

Awak, saya sayang awak. Tak apalah kalau awak nak sakitkan hati saya. Allah tu ada, Dia Maha Mengetahui. Semoga suatu hari nanti, awak sedar betapa dalamnya sayang saya pada awak. Tak apalah, awak nak buat apapun, mungkin perasaan saya dah tak penting bagi awak. Saya tak boleh paksa awak untuk jaga hati saya. Tapi saya, saya akan cuba sedaya-upaya saya untuk jaga hati awak. 

Awak, awak tahu tak, awak sangat berharga bagi saya. Saya sayang awak. Apapun yang awak buat pada saya, ia takkan merubah perasaan saya pada awak kecuali dengan izin Allah. 

Senyuman Dari Hati

Assalammualaikum pembaca budiman, Semoga anda semua sentiasa dalam barakah Ilahi. Senyuman dari hati adalah senyuman yang terzahir kerana kegembiraan yang dirasakan hati. Senyuman yang benar-benar buat kita rasa bahagia. Sejak tujuh bulan kebelakangan ni, tiada lagi senyuman seumpama itu yang dapat saya lahirkan. Selama itu juga, rasa bahagia dari dasar hati saya tidak terbit. Yang ada hanya senyuman sekadar bermanis muka dengan pelawat atau rakan-rakan. Senyum sekadar menutup kedukaan. Namun terkadang terlihat jua dek mereka yang peka garis duka itu kerana saya bukanlah orang yang pandai menyembunyikan air muka sebenar. Hanya rasa syukur yang saya panjatkan kepada Ilahi atas segala kemurahanNya pada saya meskipun dalam ujianNya yang menyiksakan. Mungkin syukur itu lebih mendekatkan saya padaNya. Mungkin syukur itu akan menghadirkan bahagia sebagaimana janjiNya sesudah derita itu bahagia. Semoga saya belum lupa rasa bahagia itu. Semoga Allah juga sentiasa mengingati hamba hinaNya ini yang sedang berduka. Mohon doa pembaca sekalian agar Allah mendengar doa saya dan mengangkatnya.

Suara Di Arasy

Ya Allah, Aku ini hambaMu yang hina. Berlumuran dosa tebal. Mungkin tidak layak Engkau pandang kerana Engkau Maha Suci. Tapi pada siapa lagi harusku gantungkan harapan selain daripadaMu Tuhan yang Maha Berkuasa? Maka aku hamba hina ini mengharapkan belas kasihanMu. JanjiMu, Kau akan memakbulkan doa hambaMu. Meskipun doaku mungkin tidak terdengar di Arasy seperti suara Nabi Yunus dari dalam perut Ikan Nun, namun aku tahu Engkau Maha Mendengar. Dengarkanlah Ya Allah akan rintihan-rintihanku.

Wednesday, June 22, 2016

Ketika Bintang-bintang Bergemerlapan

Ya Allah, 
Ketika kegelapan menyelubungi dunia 
Ketika bintang-bintang bergemerlapan 
Ketika unggas-unggas dan cengkerik bersahutan 
Ketika manusia lena diulit mimpi indah, 
Ketika pintu dunia tertutup 
Dan ketika pintu-pintu langit terbuka, 
Sudilah apa kiranya Engkau memandang aku barang sesaat 
Mendengarkan suara hinaku barang sejenak 
Yang datang berlumuran dosa selautan buih memutih. 

Tuesday, June 21, 2016

Kala Ini

Subhanallah, rasa ini amat menusuk jiwa. Kerinduan yang amat padanya membuatkan hati dibalut sayu. Ya Allah, betapa indah dan syahdunya perasaan ini. Ya Allah, Kau menguji aku dengan apa yang berlaku. Dalam masa yang sama, kau titipkan rasa rindu yang amat dalam hatiku buatnya. Ya Allah, Demi Tuhan yang Maha mengasihani, Sebagaimana kau tanamkan rasa ini dalam hatiku, Kau tanamkanlah jua rasa ini dalam hatinya, Demi Tuhan Yang Maha Indah, Izinkanlah kami berkongsi rasa yang sama. Ya Allah, Tuhan Yang Maha Penyayang, Hapuskanlah derita yang ku tanggung ini, Kembalikanlah sinar bahagia itu buatkami. Amin ya rabbal alamin...

The Body Shop, Make up Remover

Sebenarnya dah lama saya guna make up remover dari jenis Seaweed ni jika saya tidak menggunakan remover dari SK-II. Saya sangat suka make up remover ni sebab terasa kebersihan dan kelicinan kulit setelah menggunakannya. Tidak semua make up remover sesuai dengan kulit saya. Baru-baru ni, saya nak ulang beli produk ni. Katanya tengah tunggu new packaging dan tak tahu bila akan masuk pasaran. Habis macam mana? Takkan tak pakai make up remover? Muka saya sangat sensitif. Kalau tak pakai make up remover, maka akan segarlah tumbuhan di wajah saya. So salesgirl kat situ suggest saya beli Remover dari jenis Vitamin E. Nak tak nak saya belilah jugak. Melayang RM60.00 saya. Apa nak buat? Remover Sephora yang saya belipun tak boleh pakai. Tak sesuai. Percubaan pertama saya memakainya dah buat kulit saya kurang elok. Ada bintik halus timbul tapi bukan jerawat. Tak maulah saya pakai. Selang beberapa hari saya cuba lagi. Masih perkara sama berlaku. Semalam, sebelum berbuka puasa, saya bersama teman ke The Boddy Shop. Manalah tahu kot-kot si Rumpai Laut dah sampai. Memanglah dah sampai, pencucinya saja. Krim tu tak ada. Untuk kali kedua saya adukan masalah saya kepada salesgirl. Dia suggest saya ambil butter lupa pulak saya jenis apa. Saya minta sample tapi mereka kehabisan bekas sample. Menurutnya, Vitamin E yang saya beli tempoh hari boleh ditukar dengan butter tu. Alhamdulillah. Saya katakan padanya yang saya akan datang Jumaat nanti. Kenapa Jumaat? Sebab hari ni dan Khamis saya ada jemputan berbuka puasa di luar.

Saat Kawan-kawan Menjauh

Sejak dari akhir tahun lepas, Allah banyak menguji saya. Mungkin Allah rindukan saya. Mungkin kerana saya jauh dariNya. Mungkin juga kerana saya lalai. Ampunilah Ya Allah atas semua kealpaan saya. Saya bukanlah orang yang baik, warak atau alim, tapi syukur kerana Allah membukakan hati saya untuk berfikir seperti ini. Sekurang-kurangnya saya tidak berterusan buat salah. Allah turut menguji saya tentang rakan-rakan saya. Allah jauhkan rakan-rakan saya termasuk yang sebelum ini kononnya kawan baik saya. Penat saya fikirkan apa sebabnya. Mungkin akal lemah saya tidak mampu mengingati kesalahan saya pada mereka atau lebih tepat lagi, dia (kawan baik) saya. Bukan setakat menjauh tapi cukup melukakan hati saya. Allah memang nak saya jatuh kali ni. Memang nak saya keseorangan. Semuanya kerana mahu memberi saya rasa dan nikmati kasih sayangNya pada saya. Bila tiada orang di sekeliling saya, siapa lagi harus saya sandarkan semua masalah saya? Pastinya Dia Yang Maha Baik. Ya, mungkin juga Allah nak tunjukkan siapa sebenarnya kawan saya. Kita akan tahu siapa kawan kita waktu kita susah. Betul tak? Tiba-tiba, Allah gerakkan hati Hana bekas housemate saya dulu untuk menghubungi saya. Persahabatan yang seakan sepi mula hidup kembali dan kami mula saling menghubungi antara satu sama lain hingga sekarang bertanya khabar dan menyatakan kerinduan. Manakala housemate saya juga sentiasa ada bersama saya untuk memberi semangat walaupun kebanyakan masanya bukan dengan saya. Saya faham tuntutan dia sebagai seorang isteri yang harus sentiasa bersama suaminya. Katanya, dia juga tak percaya dengan apa yang berlaku. Baginya, sebagai kawan rapat, bergaduh, tidak bertegur, mengata belakang, tak puas hati itu perkara biasa. Sama seperti situasi dia dengan saya tapi bagi kami, kami tak pernah sampai mahu menghina, mempersenda dan memutuskan persahabatan. Gaduh sekejap, lepas tu baik balik dan apa yang berlaku, kami lupakan dan kami boleh baik semula seperti tiada apa yang berlaku setelah bersemuka. Padanya, apa yang saya alami amat menyakitkan. Kemudian, Allah hantar seorang kawan yang pernah bersekolah bersama saya dulu. Dia senior saya. Kat sekolah kami tak rapatpun. Tapi setelah membaca blog saya, dia lantas menghubungi saya dan sentiasa memberi semangat serta sentiasa ada saat saya memerlukannya walaupun jasad kami jauh. Allah juga kirimkan seorang wartawan yang pernah menemuramah saya beberapa tahun lalu untuk menjadi kawan saya dari jarak jauh. Semuanya Allah bagi dalam jarak jauh. Kenapa? Sebab Dia nak saya rapat denganNya. Yang ada dengan saya sekarang hanyalah dua ekor kucing peliharaan saya yang saban waktu menemani dan menghiburkan saya. Awak, saya rindukan awak. Kalau awak ada dekat dengan saya, pasti saya tak sesunyi ini jika awak masih selalu mahu ada dengan saya.

Musium Peribadi

Assalammualaikum readers, Semoga anda semua sentiasa dilembutkan hati untuk merasai sifat kasih sayang Allah dan diberi kefahaman tentang agamanya. Amin... Sekiranya Allah takdirkan saya ini menjadi seorang yang kaya, saya memang teringin nak buat satu musium peribadi. Bukan untuk sesiapa. Yelah, takkan nak buka pada umum pulak, saya bukan Siti Nurhaliza atau pemimpin negara yang semua orang nak tengok barangan peribadi saya. Sekadar untuk menyimpan barang-barang kesayangan saya yang sudah tidak digunakan dan untuk saya sendiri tengok. Sejujurnya, saya memang ada banyak barang yang saya simpan. Sama ada ia pemberian orang atau barang yang saya beli bersama orang-orang yang saya sayang. Antara barang yang saya simpan: 1. Sebentuk cincin suasa bertatah nilam pemberian arwah moyang perempuan saya ketika saya berusia 5-6 tahun dulu. - Dah tak boleh pakai sebab jari saya dah besar. Hehehe tapi bukan gemuk tau. 2. Anak patung yang bila dicabut putingnya dia akan menangis - sayapun tak ingat bila dan siapa yang memberi anak patung ini. Sebab masa tu saya terlalu kecil. 3. Sebuah anak patung yang boleh bercakap apabila ditekan pusatnya - pemberian mami waktu saya kecil pun tak ingat masa tu berapa umur saya. 4. Patung monyet yang duduk atas kerusi malas - hadiah hari jadi dari mama pun ketika saya kecil dulu. 5. Beberapa helai gaun kembang, handbag dan kasut tumit tinggi - pemberian mami sejak saya berusia empat tahun. 6. Dua pasang baju kurung - Baju raya pemberian mami sewaktu usia saya 13 tahun - masih muat dipakai. 7. Sepasang kebaya hijau - pemberian mami untuk hari raya tahun 1998. 8. Set tilam bayi - ketika saya baby dulu. 9. Jubah dan beg tangan - Pemberian arwah moyang perempuan yang dibeli dari Mekah pada tahun 1992. 10. Jam tangan - pemberian arwah moyang lelaki yang dibeli ketika umrah tahun 1990. 11. Sebuah walkman - pemberian abah ketika hari lahir saya ke 15. 12. Sebuah katil bayi pagar sekeliling buatan tukang kayu menggunakan kayu bermutu tinggi - Katil sewaktu saya baru dilahirkan dan masih elok serta boleh digunakan. 13. Seutas tasbih perak yang telah putus - pemberian kawan sewaktu di tingkatan enam yang saya masuk sekejap dulu. 14. Dua pasang baju kebaya - pemberian Cikgu Zanariah dan Cikgu Sakinah sewaktu tamat tingkatan lima - masih muat dipakai. 15. Sehelai sarung bantal kait dan ada corak ejaan nama saya hasil tangan Cikgu Salmah serta beberapa tupperware kecil - pemberian Cikgu Salmah. 16. Botol minyak wangi Salvatore Ferragamo Incanto Bloom - pemberian awak kerana saya berkelakuan baik. 17. Pet carrier yang telah rosak - saya beli bersama awak. 18. Selipar Croc yang sudah haus tapaknya - Pemberian awak tahun 2013. 19. Beberapa barangan lain yang rosak seperti handbag dan sebagainya - pemberian awak. 20. Bekas SK-ii - Pemberian awak. 21. Beberapa botol minyak wangi kegemaran saya. 22. Beberapa barang pemberian abah, mama, mami, arwah moyang sejak zaman kanak-kanak saya. 23. Beberapa barang pemberian rakan-rakan saya. 24. Beberapa keping kad raya dan surat yang saya terima sejak saya kecil. 25. Kotak pencel - pemberian pakcik saya ketika saya kecil dan belum masuk umur persekolahan masa tu. 26. Diari yang saya tulis sejak zaman persekolahan walaupun tak istiqamah hari-hari tulis. Banyaklah kalau nak disenaraikan. Barang-barang yang visitors bagipun banyak waktu saya jadi PR. Kalau senarai sampai esokpun tak habis. Belum kira key chain yang sebalang tu lagi, beberapa buah tabung yang masih ada dan hilang.

Monday, June 20, 2016

Pet Carrier Baru

Assalammualaikum readers, Saya tengok blog saya ni makin hari makin cepat bilangan pengunjung bertambah. Semalam sahaja dari jam 10.00 pagi menjelang 2.00 petang pertambahan sebanyak 78 orang pembaca. Tapi semuanya silent reader. Tak apalah. Cuma mohon korang doakan saya supaya Allah bagi kebahagiaan kepada saya. Sabtu lepas, officemate saya berkenan untuk teman saya beli barang Chiko dan Hazel AKA Serak. Beli pet carrier lagi sebab pet carrier lama tu dah rosak. Yelah, kan nak bawa dia orang pergi klinik tak lama lagi. Hajat di hati, sebelum pindah rumah baru saya nak kasi kan mereka. Si Chiko ni tak inject lagi. Si Serak paling merisaukan saya. Pergi injectpun dah meroyan tak hengat dunia, siap panjat kabinet ubat naik ke atas lepas tu terkencing pulak kat atas tu. Petugas klinik siap kena bawa pukat tangkap dia. Macam mana gayanya tu? Pet carrier saiz M. Beli kat uncle ni memang murah sebab dia jual kat rumah. Pet Carrier yang ada bekas makan tu baru RM63.00. Saya tengok kat kedai RM80.00. Jimatkan? Tapi sayang, makanan kucing uncle dah hantar ke kedainya di Ampang dan Puchong. Lepas beli pet carrier teruslah ke Carrefour atau sekarang ni dah tukar nama jadi Aeon Big di Wangsamaju. Beli Smart Heart kebetulan ada offer, hanya RM59.90 sahaja untuk pack 7 kilogram. Dah alang-alang tu, beli terus Dinamo Power Gel kesukaan saya.

Sunday, June 19, 2016

Sekali Saya Mencinta

Awak, Sekali saya memberikan hati saya pada awak, maka saya tahu di situ ada banyak kemungkinan. Kemungkinan untuk dibahagiakan dan untuk dilukai. Saya tak tahu kenapa Allah anugerahkan perasaan ni dalam hati saya untuk awak. Pasti, pasti ada hikmahnya. Saya amat percaya akan hal itu. Sejak dari dulu saya sangat sayangkan awak. Mungkin salah saya kerana tidak menzahirkannya. Tapi awak pernah tak fikir kenapa saya masih ada dengan awak walaupun kita pernah bergaduh, awak pernah marah saya dengan kasar, kadang-kadang awak ungkit kesilapan saya yang lalu. Awak pernah fikir tak kenapa semua tu? Awak pernah fikir tak kenapa dengan mudah saya maafkan awak bila saya tersinggung dengan tingkah dan kata-kata awak? Dan saya tak pernah mengungkitnya biarpun awak adakalanya ungkit kesilapan saya yang lama-lama? Awak, Sekali saya mencintai awak, itu bermakna, saya bersedia menerima segala kelebihan dan kekurangan awak, kekuatan dan kelemahan awak dan kebaikan serta keburukan awak. Lebih dari itu saya bersedia menerima diri awak, dan apa yang terbeban di bahu awak seperti yang sering awak katakan pada saya. Saya tak minta awak jadi orang lain. Cukuplah awak menjadi diri awak yang sebenar kerana saya mencintai apa adanya awak. Saya bukan mahu awak jadi yang terbaik kerana saya faham cinta itu syaratnya kita harus melengkapi sesama kita. Awak, Sekali saya menyayangi awak, maka saya bersedia menerima kejujuran awak dan ketidakjujuran awak. Saya serahkan pada pemikiran awak untuk berlaku jujur atau sebaliknya. Saya tak minta awak jadi sempurna kerana untuk menjadi sempurna kita harus bersatu memperbaikinya. Awak, Penawar dan racun itu ada di tangan awak. Terserahlah pada awak yang mana mahu awak berikan pada saya. Jika layaknya saya ini menerima penawar maka saya merasakan kebahagiaannya. Tapi kalau awak rasa racun itu sesuai bagi saya, Berikanlah. Kerana saya tahu, awak lebih matang dalam menilai kehidupan. Dan saya akan menerimanya dengan selautan kasih sayang dan kesabaran yang Allah berikan. Sesungguhnya, saya percaya akan janji Allah, bahawa Dia sentiasa bersama hambaNya yang sabar. Awak, Cinta ini bisa membuatkan saya rasa bahagia bila saya merasakan kasih sayang awak. Sebaliknya cinta ini membuatkan saya rasa derita bila saya merasakan sebaliknya. Sakit tertusuk pisau, disengat binatang bisa dan terkena panas api tidak sesiksa sakitnya bila dilukai. Awak, Selama Allah mengizinkan, kasih sayang saya pada awak akan terus mengalir bagai sungai yang mendamaikan. Saya sayang awak dari hati yang dalam.

Saturday, June 18, 2016

Saya Rindu Kat Awak

Awak, saya rasa rindu sangat kat awak. Sangat-sangat. Saya nak jumpa awak. Nak selalu dekat dengan awak. Awak, saya tak beli baju raya lagi. Saya nak beli dengan awak. Macam tahun-tahun sudah, awak yang bagi komen OK atau tak. Dan awak tahu tak, banyak urusan saya kena buat sendiri. Urus fasal nak renovate rumah, beli barang kucing. Semuanya saya buat sorang, kena atur dan kena fikir sorang. Sekurang-kurangnya kalau awak ada, awak pelengkap saya, tolong bagi pandangan dan pendapat. Jauh macam ni susah. Sebab awak tak ada untuk tengok dan komen. Kadang-kadang nak bagi awak fikirpun saya takut kalau ada hari yang awak sibuk dan penat. Saya tak nak susahkan awak. Kalau awak dekat, sekurang-kurangnya saya tahu keadaan awak. Awak, saya tak perlu awak buat apa-apa untuk saya. Saya cuma nak awak ada dekat dengan saya. Bagi kekuatan pada saya. Saya rasa saya sorang. Tak ada tempat nak mengadu dan berkongsi. Semua jauh, awak jauh, abah jauh, mama jauh, mami jauh. Semua orang penting dalam hidup saya semua jauh. Saya rindu awak, rindu awak sangat-sangat. Sekarang, saya hanya ada Allah, untuk saya mengadu dan berharap. Sebab hanya Dia yang mampu menolong saya bila-bila masa, di mana-mana dan di saat orang-orang yang saya sayang semua jauh dari saya.

Friday, June 17, 2016

Saja Nak Habiskan Duit

Salam semua. Nak cerita fasal kebengangan saya ni. Saya selalu menulis panjang di IPhone ni guna bluetooth keyboard kecil jenama Rapoo. Saya suka guna brand ni sebab keyboard dia kecil, boleh masuk handbag. Kalau nak pergi meetingpun senang. Kalau keyboard Apple besar sangat. Nak bawapun susah. 

Alkisahnya hari Isnin hari tu, keyboard ni terkena sambal. Saya lap dia guna air. Tapi mungkin banyak sikit sebab saya tak guna tisu. Ingat OK la sebab saya biarkan dia kering dan keyboard ni dalam keadaan off. 

Malam tadi, masa saya tulis blog, dia buat perangai. Tekan space jadi banyak space, tekan J jadi tak boleh berhenti asyik keluar J je. Tension dibuatnya. Pagi tadi saya cuba lagi, tetap hal yang sama berlaku. Saya rasa sedih sangat sebab banyak kegunaan keyboard ni pada saya. Saya call Cikgu Rahim, pemilik asal keyboard ni sebelum dijualkan kepada saya. Cikgu suruh saya jemur keyboard ni. Oleh kerana cuaca mendung, Aqilah pulak bagi idea letak kat belakang peti ais. Kebetulan Cikgu Rahim nak ke Loyad, saya kirim jelah beli keyboard baru. Rasa macam keyboard ni dah tak ada harapan untuk sembuh. RM99.00 harganya sekarang. Dulu saya tengok harganya rm160. So, sayapun confirm dengan Cikgu Rahim untuk beli. 

Lepas jemur kat belakang peti, dia OK pulak malam ni. Kan baik RM99.00 tu saya buat beli carrier kucing esok. Tak apalah, Allah Maha Mengetahui kenapa diilhamkan kepada saya untuk membeli keyboard baru. Kalau tak beli karang, dibuatnya keyboard lama betul-betul rosak dah satu hal saya nak ke Lowyad. Ke ada sesiapa nak beli keyboard baru ni? Ataupun, satu letak kat office, satu letak kat rumah. Tak payahlah saya mengangkut setiap hari. Tapi dalam LRT pun selalu saya menulis guna keyboard. Kalau tak ada orang nak beli, saya letak jelah kat office satu. 

Berbuka Puasa Dengan Awak

Awak, Saya rindukan awak. Saya nak berbuka dengan awak macam tahun-tahun yang lepas. Awak ingat tak? Kadang-kadang kita makan kat Kedai Lah, adakalanya kita makan kat Jo Seafood, ada juga kita makan kat kedai yang air mangga dia siap dengan isi tu, Sesekali kita makan kat kelab golf. Dan ada masanya kita makan kat hotel. Awak, Saya sangat rindu kat awak. Saya nak awak ada dekat dengan saya. Boleh tak awak pindah balik KL?

Pagi Yang Dingin

Assalammualaikum semua, Alhamdulillah, setelah tidur yang panjang, Allah bangunkan saya dalam hujan lebat. Semoga hujan pagi ini membawa rahmatNya buat kita semua. Alhamdulillah, saya rasa tenang pagi ni. Semoga Allah terus kekalkan ketenangan ini untuk hari ini dan hari-hari akan datang. Insya-Allah, amin.

Sahabat Merindui Saya

Malam-malam macam ni terasa bugar pulak mata sebab dah tidur tadi. Email-email lamapun dah habis baca. Kita update blog pulaklah. 

Sebulan lalu, saya terima panggilan dari Hana. Saya tahu, mungkin dia sekadar ingin berbual dengan saya. Selalu juga dia call. Tapi lama dia tak call sebab handsetnya rosak. 

"Kenapa, Na?" Tanya saya berbasa-basi. 

"Saja je. Saya rindu kat awak," Balasnya kedengaran tulus. 

"Sayapun rindu kat awak. Rindu masa-masa kita bersama." Perbualan mula berkisar kepada kenangan sewaktu kami tinggal serumah diselangi gelak tawa kami. 

Akhir perbualan, 

"Awak, saya sayang awak. Saya rindu sangat katt awak," Katanya sayu. Saya mula sebak. Kalau dia masih bersama saya mesti saya tak sesunyi sekarang. Apa yang penting,  dia sahabat yang tulus. Sentiasa ada bila saya memerlukan sehingga kini. Dia pendengar yang baik. Tatkala saya lemah, dia sering memeluk erat saya menyalurkan kekuatan. Pernah kami menangis berdakapan bertiga kerana kesedihan.  

"Ya,  sayapun sayangkan awak juga. Sayang Haida juga. Semoga persahabatan ni kekal ke Jannah."

"Saya tak nak awak sedih,"   Balasnya. Kami mula menangis. Sebak di dada tak terbendung lagi. 

"Bila cakap dengan awak,  rasa tak nak letak telefon. Sayang awak dan Haida,"  Sambungnya. 

"Kita sama-sama doa untuk kebahagiaan kita semua. Doakan saya ya awak," 

"Insya-Allah,  awakpun doakan saya ya." Pintanya. 

"Ya. Saya doakan rumahtangga awak bahagia hingga ke Jannah." Balas saya dalam esak. 

Sahabat yang ikhlas akan selalu ingat kita walaupun dia jauh dari kita. 

Ya Allah,  bahagiakanlah kedua-dua sahabatku dunia dan akhirat. Amin. 

Sayang kamu berdua. 

Thursday, June 16, 2016

Rindu Yang Tak Terucap

Pernah suatu hari, saya berbual-bual dengan Hana sewaktu tinggal serumah dulu. "Lambat betul nak boleh solat. Saya rasa rindu nak solat," Katanya kepada saya. Saya diam. Tak tahu nak balas apa. Masa tu saya rasa pelik. Allah dah bagi cuti, berehat dari solat. Tak perlu terkejar-kejar nak solat. Kan relax sikit. Fikir saya dalam hati tanpa melafazkannya di bibir takut teman baikku itu tersinggung. Selalunya kalau tak boleh solat, saya rasa bebas. Boleh ke mana sahaja tanpa fikir nak solat kat mana. Tapi kali ni... Saya rasa berbeza. Perasaan yang saya rasa selalu tu tak terasa. Sebaliknya, saya rasa takut, takut kalau Allah lupakan saya bila saya tak solat. Takut dia tak pandang pada saya. Takut Dia tak menggembira dan tak menenangkan saya kerana saya tak berbual denganNya. Takut dia biarkan saya keseorangan bila saya susah dan sedih. Kenapa ya? Kenapa berbeza kali ni? Saya menulis di sini bukan kerana saya mahu tunjuk saya baik. Saya menulis sebab saya tak tahu nak luahkan pada siapa tentang rasa ni. Takkan saya nak cerita kat kawan? Nanti dia orang kata saya riak. Dan sayapun tak aspek orang baca pos ni. Cukup sekadar saya melegakan perasaan saya. Nak cerita hal ni kat orangpun saya malu. Sebab saya bukan seorang yang warak dan alim. Saya rasa saya tak layak nak rasa begini. Tapi itulah hakikatnya. Ya Allah, janganlah Engkau jauh daripadaku selama aku dalam keadaan begini. Amin

Tuesday, June 14, 2016

Pelikkah Bila Selalu Ke Surau?

Suatu soalan yang membuatkan saya terkedu dan sedikit terasa diajukan oleh seorang kawan. Tapi bila difikirkan balik, tak apalah. Mungkin Allah belum membuka hatinya untuk berfikir tentang hubungan antara hamba dan pencipta. Mungkin baginya sekadar mengusik dan bergurau. Tapi pada saya, ada banyak lagi hal lain yang boleh diguraukan. Dalam hal surau dan ibadah, bukan gurauan. Itu hak individu. Ianya terlalu peribadi apabila melibatkan agama. Soalan ini ditanyakan kepada saya beberapa bulan lalu tapi setiap kali saya teringatkan soalan ini, saya tertanya-tanya apa motif soalan tersebut dilontarkan pada saya. Memang saya tidak membawa penampilan warak pada zahir, tapi, tahukah dia hati saya? Tahukah dia amalan-amalan saya selama ini? Perlukah saya canangkan setiap amalan saya? Salahkah kalau saya cuba memperbaiki diri? Sebagai seorang kawan, tidakkah dia rasa syukur bila ada di kalangan kawan-kawannya yang cuba melakukan sesuatu untuk Tuhannya? Jika belum terbuka hati untuk ikut serta, berilah dorongan dan galakan. Pada saya, pakaian, mengunjungi surau belum bermakna seseorang itu baik. Sekurang-kurangnya dia cuba berbuat sesuatu untuk Tuhannya jika hatinya ikhlas. Hanya orang terdekat sahaja yang mampu menilai sikap dan sifat seseorang. Suatu hari beberapa bulan yang lalu, saya bertandang ke meja seorang kawan sekadar untuk berbual-bual seperti selalu. "Hai, selalu pergi surau sejak akhir-akhir ni?" Tanyanya dalam gurauan dan berbaur sinis. Saya terdiam. Apa harus saya katakan? Itu semua datangnya sendiri. Bukan saya buat-buat dan mahu tunjuk kepada orang. Tak sangka pulak ada yang perasan. "Tak ada apalah. Biasa je," Ligat fikiran saya menerbitkan jawapan. Sepanjang hari tu, saya asyik memikirkan soalannya. Tuhan, bila ada orang yang perasan, apakah saya dikira riak? Saya bukan warak dan alim. Saya manusia biasa yang banyak dosa dan salah. Sekadar meminta agar Tuhan memandang saya walaupun sepintas lalu. Memang kita tak dapat puaskan hati semua orang. Buat baikpun salah. Buat jahat apatah lagi. Pergi surau tu bukanlah bermakna saya dah jadi orang lain. Dan bukan bermakna saya suci dari kesilapan.

Saturday, June 11, 2016

Seperti Yang Ku Jangka Terjadi

Seperti yang ku jangka terjadi, 
Tewas sekali lagi, 
Bila makan nasi. 

Dah namanya kita ni orang Melayu, bulan puasa pulak, pelbagai lauk-pauk yang menggoda nafsu dijual. Mana boleh tahan. Semalam buat kali pertamanya saya berbuka puasa dengan nasi. Balik rumah terus rasa ngantuk dan tertidur. 

Jam 1 lebih baru bangun solat Isyak. Lepas tu tidur balik dengan nyenyak sekali seperti makan ubat tidur. Sahurpun tak sedar walaupun jam dikunci dua waktu berbeza dan awak kejut saya bangun sahur menerusi whatsapp. 

Mujur Subuh tak terbabas. Lepas buat apa yang patut, saya tidur lagi sampai hampir jam 12,00. Hal ni amat jarang saya buat melainkan saya sakit dan berjaga malam. Berjaga malam selalu tu bukan sayalah namanya. Badan saya rasa amat letih. Terlalu letih. Satu simptom baru timbul, lepas makan nasi saya rasa nak muntah. Rasa loya. Oh Tuhan, takkanlah saya tak boleh makan nasi langsung? Masa makan terasa amat nikmat, tapi selepas tu, Tuhan je tahu macam mana rasa tubuh saya. Sekarang ni, baru mula nak OK, ala rasa macam kesan ubat tidur nak habis. Ingat nak makan nasi lagi hari ni fikir saya semalam sebab esok cuti. Tapi tak payahlah, banyak benda nak buat esok. Lagipun setelah mengalami kepenatan ni, keinginan saya pada nasi hilang untuk hari ni. Yang berlegar dalam kepala saya sekarang hanya kue tiow goreng basah atau Pizza Hut, Blaze seafood Pizza. Tengok pada kerajinan sama ada nak keluar atau malas. Rasanya hari ni kue tiow goreng basah, esok pizza. Wow! Bestnya Blaze Seafood Pizza. Dah terbayang enak roti pizza yang gebu, sambalnya yang pedas lazat, nenas dan seafood yang merata di permukaannya. 

Friday, June 10, 2016

Wiring Dalam Dinding

Hari ni mood nak cerita fasal rumah. Masa jumpa designer dapatkan quotation dulu, tak adalah rasa kerja-kerja elektrik yang dia charge saya RM2,800.00 ni mahal. Bila semalam saya sembang-sembang dengan boss saya, dia tanya kenapa mahal sangat? Saya terdiam. Dia bagi tahu saya anggaran harga plug dan pendawaian. Lagipun katanya, wiring dah ada cuma kena tambah apa yang perlu je. Saya bagi tahu boss sorang lagipun kata mahal. Ish, tak boleh jadi ni. Saya terus call designer saya. Tanya kerja elektrik tu apa yang dia nak buat? Hahaha jual nama abah. Sorry bah. Designer menerangkan pada saya bahawa, dia akan buat wiring jenis tanam dalam dinding keseluruhan rumah siap tambah plug point seperti yang diminta. Plug disediakan. Saya tak perlu beli termasuk plug penghawa dingin. Maknanya, dia akan pecahkan dinding untuk wiring seluruh rumah dan tampal balik. Designer kata, dia tak buat wiring di permukaan dinding nampak tak cantik. Untuk design yang menarik, wiring mesti dalam dinding. Ooo... Patutlah mahal. Malamnya saya cerita dekat mama. Mama tanya saya, tak bahaya ke wiring tanam ni? Dah pulak, satu benda lagi kena buat research. So hari ni pagi-pagi saya google tentang wiring ni. Dan penemuannya, wiring yang ditanam dalam dinding ni lebih selamat, tahan lama dan kemas. Cuma kalau ada kerosakan tu rumit sikitlah nak baiki. Alhamdulillah, lapang dada saya. Kalau nak murah, boleh je saya cari orang lain untuk buat wiring permukaan dinding tu. Bila tanya sorang kawan saya ni, dia macam terkejut je nak buat wiring dalam dinding seluruh rumah. Mungkin tak pernah orang suruh dia buat tanam semua kot. Diapun tak dapat nak agak quotation. Tak apalah, prosceed jelah dengan yang dah ada.

Lambat Betul!

Salam readers, Ada tak yang tertanya-tanya ke mana Cik Tinta pergi dua hari dah tak update blog? Hehehe perasan. Macamlah orang nak cari sangat. Kau hilang berbulanpun orang tak tanya. Ada je, tak pergi manapun. Cuma ada meeting +malas +tak ada mood nak menulis. Apa yang lambat? Kontraktor grill ni lambat betul nak bagi quotation. Menyampah betul saya. Saya ni nak kira budget. Memanglah dah budget RM5,000.00 untuk tingkap dan grill. Tapi, saya nak exactly budget sebab nak tarik pergi kitchen cabinet nak tahu cukup ke tidak. Yang designer nipun, selalu janji quotation keluar esoklah, hari nilah. Nanti bila saya dah tak sabar nanti, siaplah kena marah. Saya dah mula bosan ni. Dan dah mula cari quotation lain. Tak sukalah lambat-lambat. Orang nak pindah cepat!

Tuesday, June 7, 2016

Grill Keselamatan

Hai readers, Nak cerita fasal rumah pulak. Sudilah kiranya anda membaca tulisan yang tak seberapanya ni. Saya membuat pembacaan di internet berkenaan grill rumah. Sebelum quotation sampai, lebih baik saya tahu serba sedikit so boleh tanya apa yang patut dan pastikan quotation tu mengikut kehendak saya. Bukan cakap lain buat lain. Saya takut juga hal ni berlaku. Ada beberapa blogger yang hadapi masalah ni. Mengikut kajian saya, (cewah) ada empat jenis besi yang digunakan untuk membuat grill iaitu: 1. Mild Steel (besi biasa) - Permintaan paling tinggi dalam pasaran kerana harganya paling rendah antara kesemua besi. - Ada lubang / rongga di sebelah dalamnya. - Simple, menarik dan moden. 2. Wrought Iron (logam tempa): - Terdiri daripada dua jenis: a. Solid. b. Hollow (berlubang/berongga di dalamnya) - Ada juga yang dicampur kedua-duanya. - Pelbagai rekabentuk boleh dibuat kerana ia ditempa. - Harga lebih tinggi berbanding mild steel. - Ketahanan lebih baik dari mild steel bergantung kepada ketebalan, saiz, rekabentuk dan beberapa aspek lain. Dalam hal ni, ianya subjektif. 3. Stainless Steel: - Logam berkilat keperakan. - Lazimnya digunakan untuk membuat pagar rumah. - Tahan karat. - Harganya tinggi tetapi berbaloi. - Semestinya lebih baik dari mild steel dan wrought iron. - Jarang dibuat grill tingkap dan pintu. 4. Aluminium: - Masih baru di Malaysia tapi telah lama digunakan di luar negara. - Teknologinya dibawa masuk ke Malaysia sedikit demi sedikit. - Ringan dan tahan lasak. - Harga tinggi dan berbaloi dari segi kualiti, ketahanan dan kemasannya. Saya pilih yang mana? Tengok quotation dulu macam mana. Takut tak menepati budget tapi mungkin wrought iron solid. Stainless Steel? Oh no! En. Abah saya bolehlah guna stainless steel. Rumah abah saya menggunakan besi stainless steel untuk kesemua grill pintu dan tingkap yang memakan belanja belasan ribu ringgit untuk sebuah rumah. Tupun belum masuk yang dia buat untuk peringkat kedua sebab peringkat pertama tu ada tingkap yang belum di'grill' kan. Corak pulak, saya akan gunakan grill biasa saja sebab saya akan buat swing window ala, jendela macam jendela rumah lama tu yang dimodenkan dengan cermin. Maknanya grill akan duduk kat dalam tak payah nak bercorak sangatlah. Kecuali kalau saya dapat mimpi baru malam ni hehehe Cuma hari ni saya dapat tahu dari pembacaan, grill kecemasan yang disarankan oleh pihak Bomba adalah grill yang boleh dibuka menggunakan pin lock, tanpa kunci. Maknanya tidak menggunakan mangga. Saya terus Whatsapp designer saya agar quotation window dan grill tu mencakupi kos pin lock tu. Sebelum ni saya tengok kat rumah dia, grill yang bermangga. Yelah, kalau ada kecemasan, mesti dah tak ingat kunci kat mana kan? Pin lock ni hanya boleh dibuka dari dalam, tahan lama, kurang penyelenggaraan dan boleh digunakan oleh orang dewasa, kanak-kanak dan OKU termasuk yang berkerusi roda. Amboi, ada aksesibiliti di situ. :)

Selamat Bersahur

Hari ni, sebelum jam 7.45 pagi saya dah sampai office. Belek-belek telefon sebab tak sempat tengok handset pagi tadi, berperang nak cepat lagi, ngantuk lagi. Buka Whatsapp, ada mesej dari awak yang diterima jam 5.20 pagi: "Selamat bersahur" Meskipun sekadar mesej ringkas, ia amat bermakna bagi saya. Terima kasih awak whatsapp saya. Sekurang-kurangnya bunyi whatsapp membuatkan saya terjaga dan tidak terbabas.

Monday, June 6, 2016

Jika Diturutkan Hati

Kalau ikutkan hati, saya nak call awak sekarang. Nak tanya awak buka apa? OK tak berbuka di tempat baru. Tapi saya tak nak ganggu mood awak. Manalah tahu kalau mood awak kurang elok petang. Lantas saya pendamkan saja hasrat hati saya. 

Selamat berbuka awak. 

Awak Yang Saya Rindu

Awak, Saya suka bila awak bercakap baik dengan saya. Mood baik awak mampu merubah keseluruhan hari saya. Saya suka dengar cerita awak tak kiralah tentang apapun. Saya suka bila awak bercakap lembut dengan saya. Bila awak marah-marah atau macam tak ada mood, saya jadi sedih. Tapi tak apalah, saya faham. Mungkin ada hari-harinya awak penat dan stress. Tapi janganlah banyak hari macam tu. Saya risau. Semalam saya dengar nada awak sedikit lain tapi tetap lembut melayan cakap saya. Kenapa awak? Apa yang buat awak stress? Saya ada buat salahkah? Atau ada hal lain yang buat mood awak rosak? Malah sejak hari Sabtu, awak macam tak berapa ceria. Bila ditanya sepatah, sepatahlah jawab awak. Sakitkah awak? Awak, Pastikan awak makan ubat, rehat cukup dan tidur cukup ya. Kalau boleh pergilah hospital awak. Saya takut kalau kesihatan awak makin merosot sedangkan kita tak tahu. Jangan risau kalau doktor sahkan awak berpenyakit sebab kita kena redha dengan ketentuanNya. Sekurang-kurangnya, bila kita tahu awal, langkah-langkah penjagaan dan pencegahan ke peringkat lebih serius boleh diambil. Saya sayang awak. Kalau boleh setiap hari saya nak bercakap dengan awak dalam keadaan baik, harmuni dan mesra. Bila awak tak ada mood, saya akan cuba faham. Kalau awak tahu perasaan saya pada awak, barulah awak faham hati saya. Sebagai orang yang sayang kat awak, saya bersedia untuk menjadi peneman awak, kala awak gembira, sedih, sakit, sihat, marah malahan tak ada mood. Yang penting awak sentiasa ada dengan saya.

Sunday, June 5, 2016

Kerana Tugas, Saya Dipinggirkan

"Kalau macam nilah sikap kau Tinta, percayalah cakap aku, satu persatu kawan kau akan lari,"  

Hanya kerana saya minta dia beri peluang kepada orang lain untuk sertai KL Car Free Morning, seorang kawan menuturkan ayat di atas. Sedangkan sebelum ni, saya dah buat makluman tentang hal ini dalam whatsapp group. Dan hal ni pernah diberitahu personal padanya. 

Tak apalah kawan, kalau kerana tugasku engkau ingin menjauh, pergilah. Kerana tiada kawan dalam erti kata yang sebenar yang tidak mahu memahami kawannya. Bila kawan yang tak suka kawannya melaksanakan tugas, maka itu bukan kawan sebenar. 

Benarkah satu persatu kawan saya akan lari? Saya berfikir sendiri. 

Dan saya dapat jawapannya. Kawan yang lari dari kawannya, sebenarnya bukanlah kawan yang ikhlas. Kawan yang ikhlas akan selalu bersama kawannya dalam susah dan senang. Akan selalu menasihati dan memimpin kawannya jika kawannya tersilap langkah. Tapi bila kawan yang meminggirkan kawannya? Kategori apakah itu? 

Sebelum kamu mengaku kamu itu kawan saya, pernahkah kamu semak erti kawan? Adakah kamu bersama saya kala saya memerlukan kamu? Selama saya menanggung beban perasaan beberapa bulan kebelakangan ni, di manakah kamu yang mengaku kawan? Malah, kamu mahu menambah lagi bebanan perasaan saya yang telah sedia parah. 

Pergilah kawan, pergilah jauh kalau itu yang kamu rasakan terbaik. Saya perlukan kawan yang memahami saya, tugas saya dan segalanya tentang saya. Tiada paksaan untuk memahami saya. Tiada paksaan untuk berkawan dengan saya. Jika kamu rasa saya bukan kawan terbaik, tinggalkanlah saya. 

Saya ada beritahu boss tentang ada yang tidak puas hati akan sistem utamakan orang baru sebab kata mereka, mereka nak support program ni. Kata boss saya, kita tak boleh layan semua kehendak. Itu je yang kita mampu. Kita hargai orang yang support, tapi supportlah bila perlu. 

Saya rasa entri ni pasti akan disampaikan kepada mereka yang berkenaan kerana saya tahu ada yang rapat dengan mereka membaca blog ni. Saya tak kisah sekurang-kurangnya saya nyatakan di sini apa yang terbuku di hati. 

Ditegur Lagi

Beberapa hari kebelakangan ni, saya ditegur lagi tentang tubuh saya yang semakin kurus. 

Dua tiga hari lepas, volunteer tegur. 

Semalam, waktu bertandem ke Genting Sempahpun tiga orang volunteer tegur. Ayah Daud tanya, sakit ke? 

Hari ni, masa mula-mula jumpa Kak Intan untuk lunch kurus juga yang ditegurnya. Dia siap serius tanya, betul ke tak ada penyakit? Dalam hati saya jawab, penyakit jiwa adalah. Kak Intan kata lagi, saya kurus sangat, tak cantik. Serius, ketara kurus memang tak cantik katanya. Saya terima komennya tu. Kalau dia tak cakappun, saya rasa saya tak cantik. 

Kak Intan tahu tak? Sekarang ni, nak bersiappun saya malas. Tak ada mood. Kalau dulu saya pastikan baju yang saya pakai tidak berulang dalam jarak masa yang dekat, sekarang saya tak ambil pusing tentang tu semua. Mana sempat saya pakai je. Kalau dulu baju yang tak payah gosokpun saya gosok, sekarang saya pakai je tanpa gosok. Itulah salah satu sebab kenapa saya pakai baju berulang. Kalau dulu at least di pejabat seharian saya pakai lipstik dan blusher, sekarang saya hanya pakai skin care dan pelembap bibir je. Tapi kadang-kadang mata manusia ni pelik, saya tak mekappun dia kata saya makin cantik. Entah apa-apa. Sekarang, memang saya malas, malas nak bersiap, malas nak cantik-cantik. Bukan saya tak nak cantik tapi saya tak ada mood nak bersiap dalam keadaan macam ni. Kecuali kalau terpaksa kerja luar. Tupun, kalau meeting dengan orang luar kat pejabat saya tak bersiap macam dulu. Sesungguhnya apa yang berlaku benar-benar membunuh semangat saya walaupun orang nampak zahir saya tak selemah itu. 

Saya pernah membaca kisah Zulaikha yang terlalu merindui Nabi Yusuf AS sehingga dirinya tak terurus dan kelihatan tua dari usianya. Sekarang saya faham kenapa jadi begitu. Kerana saya sendiripun akan jadi demikian jika sikit lagi ketahanan diri saya rapuh. 

Ya Allah, tolonglah hambaMu ini. Saya mencintainya dengan izinMu dari hati yang dalam. Maka aku amat perlukan restuMu. Mohon Kau satukan hatiku dengan hatinya dalam rahmat kasih sayangMu. 


Saturday, June 4, 2016

Need to Talk

Saya rasa sedih. Rasa sedih sangat. Saya perlukan seseorang untuk bercakap, bercerita dan meluahkan apa yang saya rasa. Tapi siapa? Saya jarang mempunyai orang untuk berbual. Lama-lama macam ni saya boleh jadi murung. 

Awak, saya nak bercerita pada awak macam dulu-dulu. Saya nak call awak bila-bila masa yang saya perlu boleh tak? Boleh tak kalau saya tak payah ikut masa yang selalu saya call untuk call awak? Saya perlukan seseorang untuk bercerita. Awak ingat tak dulu awak pernah cakap dengan saya pukul 4.00 pagipun saya boleh call awak? Tapi sekarang, saya nak call awak pukul 1.00 tengaharipun saya takut. Takut mood awak tak menentuu. Takut awak marah. 

Friday, June 3, 2016

Bermalam Di Pejabat - Berbicara Dengan Awak

Awak, Esok dan lusa, saya ada tandem cycling. So saya akan menginap di asrama untuk malam ni dan malam esok. Setiap kali ada tandem, saya mesti tidur kat sini sekarang. Sebab saya tak nak terkejar-kejar paginya. Kalau saya orang luar tak apalah, masalahnya saya kena pastikan segalanya beres. Kalau saya datang lambat tak sedaplah. Kalau awak ada di KL, mesti saya boleh tidur kat rumah sebab pagi-pagi awak yang akan hantar saya ke pejabat. Awak, Saya rindu kat awak. Saya rindu masa-masa awak dekat dengan saya. Saya rasa selamat, saya rasa ada pelindung yang akan melindungi saya bila-bila masa saya perlukan. Saya rindu nak keluar dengan awak, rindu nak makan dengan awak, rindu nak kena usik dengan awak, rindukan lawak awak, rindu segala-galanya tentang awak. Awak, Saya tak nak jauh dari awak. Saya nak selalu dekat dengan awak, selalu dengar suara awak, selalu dengar gelak tawa awak, selalu ditemani awak. Dulu kalau ada kerja, saya tak kisah nak balik pukul berapapun. Tapi sekarang, saya terbatas. Kena ikut masa LRT. Dulu, awak selalu temankan saya buat kerja walaupun saya dalam office awak dekat lobi. Saya rindu sangat kat awak. Saya sayang awak. Mungkin awak tak faham perasaan saya. Mungkin awak tak mengerti perasaan saya. Saya tak tahu sama ada awak masih sayangkan saya atau tidak. Saya akan terus berdoa agar Allah memberi kebahagiaan kepada kita. Semoga bebanan perasaan yang menyiksakan yang saya alami selama enam bulan ni akan lenyap dengan keizinan Allah untuk saya bersama awak. Insya-Allah, amin...

Thursday, June 2, 2016

Panggilan Dari Awak

Seperti malam-malam sebelumnya,saya call awak. Tapi waiting call. Mestilah saya tertanya-tanya siapa yang call awak atau awak call siapa malam-malam ni? Dengan rasa jauh hati, IPhone saya letakkan di atas tilam. Hati mula sedih. Beberapa minit kemudian, telefon bimbit saya berdering. Panggilan dari awak. Cepat pulak dia return call saya. Tak sampaipun 10 minit. 

Saya tahu, sebenarnya, awak tahu apa yang bermain di fikiran saya. Mana taknya, sayakan suka tanya siapa call awak. Cuma masa mood awak tak menentu hari tu, awak marah bila saya tanya macam-macam. So, mood awak yang baru mula baik dengan saya ni, saya tak nak rosakkan. Baru je saya rasa awak yang saya kenal dulu baru balik, tak naklah awak jadi orang lain macam hari tu. Lantas saya pendamkan saja soalan saya. 

"Kalau awak nak cakap dengan kawan awak dulu. Cakaplah," Rajuk saya dalam lembut dan baik. 

"Tak adalah. Cakap kejap je. Bukan lamapun," Ia membawa makna yang awak nak cakap dengan saya sekarang. Tapi mood saya dah tercalar. 

Semua soalan awak saya jawab sepatah-sepatah, menyembunyikan rasa hati. Awak tetap bercakap lembut dengan saya, bertanya itu dan ini. Awak tanya fasal meeting saya, fasal ATM dan macam-macam. Nada suara saya hambar menjawab. Bila saya tanya soalan, awak tetap layan saya dan bercerita tentang apa yang saya tanya cuma soalan saya malam ni tak banyak dan tak ceria. 

Apa yang saya tahu dari perbualan ni, awak baca status dan komen di Facebook saya sebab awak tahu apa yang saya reply komen kawan saya dan awak beri komen fasal tu. Perbualan dalam rasa berjauh hati ini lebih kurang 50 minit. 

Awak, saya suka berbual dengan awak. Cuma saya cemburu bila ada perempuan yang suka melayan awak begitu juga bila awak layan dia orang. Tapi cemburu saya ni saya kawal biar berpada. Takkanlah awak tak boleh kawan dengan orang lain kan? Takkanlah awak tak boleh sembang dengan orang? Saya kena faham awak. Bila awak bercakap baik dan call saya, itu yang lebih bermakna sebenarnya. 

Saya sayangkan awak. 

Wednesday, June 1, 2016

Hari Pertama Di Unit Baru

Dear readers, 

Well... Aksesibiliti dan advokasi ni bukan asing dan bukan perkara baru bagi saya. Begitu juga dengan sukan dan rekreasi. Kedua-dua perkara ni saya dah involve sejak saya baru masuk kerja di sini. Cuma sekarang ni lebih fokus dan masih banyak hal yang perlu saya pelajari. Pengetahuan perlu banyak, baru boleh advocate orang. Sometimes kena debat. Kalau fakta lemah dan salah macam mana? Lagi satu, kedua-dua perkara ni membuatkan saya banyak kerja luar dan berjumpa dengan wakil-wakil kerajaan dan lain-lain lepas ni. Selagi boss ada taklah saya takut sangat. 

Hari pertama di unit ni tak banyak yang saya lakukan. Cuma observe En. Fairuz entertain PHD student buat research tentang information access. 

Esok, saya kena ikut En. Fairuz ke Bank Negara, ada meeting tentang talking ATM machine. Excited juga nak tahu isi mesyuarat esok. 

OK la, Isyak pun dah dekat ni. Nanti si penglipur lara ni bercerita lagi. 

Bye, bye semua.
 

Nasi Itu Sedap

Assalammualaikum readers, Hari ni saya rasa mengantuk sangat. Badan rasa letih. Saya tahu apa puncanya. Nasi! Sebenarnya dah masuk dua tahun saya cuma ambil nasi seminggu sekali sahaja. Beberapa bulan kebelakangan ni, sejak saya dilanda masalah, pemakanan saya sangat tidak teratur. Saya boleh hidup dengan hanya minum air tanpa makan selama tiga hari berturut-turut. Minum airpun bukan sebab nak kenyang. Minum bila terasa dahaga je. Begitu kuat pengaruh emosi terhadap diri saya. Ramai yang tegur saya dah kurus. Malah ada yang kata nampak macam berpenyakit. Saya kata, saya diet so semua orang akan terus diam. Yelah, dietkan pilihan saya. Bila bebanan perasaan ni kurang, saya makan supaya dapat menampung sekiranya selera hilang semula (minta-minta jauh. Tak nak berulang lagi). Mula-mula saya makan nasi lebih dari sekali seminggu, saya rasa badan saya OK. Nasi tu kan best dengan pelbagai lauk. Saya anak jati Melayu nasi tetap sedap pada saya meskipun dah lama kurang makan nasi. Bila ingat puasa dah nak dekat, sayapun makanlah nasi beberapa kali seminggu. Alkisahnya bermula semalam, saya mula rasa letih dan mengantuk. Mungkin kerana saya berpuasa. Tapi letih dan mengantuk tu melampau sedangkan tidur saya cukup malah hampir terlebih. Masa berbuka saya makan nasi lagi semalam. Dan hari ni keletihan dan mengantuk ni semakin menjadi-jadi. Kalau semalam mengantuk mula selepas lunch, hari ni pagi-pagi lagi saya dah rasa mengantuk yang amat. Rasa mengantuk dan letih ni satu macam dan inilah yang saya rasakan setiap kali saya makan nasi. Sebab tu saya ambil nasi hari minggu supaya saya boleh tidur selama mana yang boleh selepas makan nasi. Sekiranya saya makan nasi selepas aktiviti lasak, saya akan OK, tak mengantuk. Kesimpulannya, tabiat saya yang alah pada nasi ni masih ada. So mulai hari ni saya kena balik ke diet asal saya, tanpa nasi atau nasi sekali sahaja seminggu. Walaupun bulan puasa, mengikut pengalaman tahun lepas, nasi perlu dielakkan untuk berbuka dan sahur kalau tidak, saya akan letih dan mengantuk sepanjang hari. Sebaliknya, tanpa nasi waktu berbuka dan sahur saya akan cergas dan kuat seharian. Hehehe menu yang tergambar dalam kepala saya untuk berbuka petang karang adalah mihun goreng tomyam. Masaklah nak tunggu habis office hour hari ni. Waktu tulis blog nipun dah banyak kali saya menguap. Saya jadi sangat teruk bila makan nasi. Tak tahulah kenapa.