SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA

Tuesday, June 14, 2016

Pelikkah Bila Selalu Ke Surau?

Suatu soalan yang membuatkan saya terkedu dan sedikit terasa diajukan oleh seorang kawan. Tapi bila difikirkan balik, tak apalah. Mungkin Allah belum membuka hatinya untuk berfikir tentang hubungan antara hamba dan pencipta. Mungkin baginya sekadar mengusik dan bergurau. Tapi pada saya, ada banyak lagi hal lain yang boleh diguraukan. Dalam hal surau dan ibadah, bukan gurauan. Itu hak individu. Ianya terlalu peribadi apabila melibatkan agama. Soalan ini ditanyakan kepada saya beberapa bulan lalu tapi setiap kali saya teringatkan soalan ini, saya tertanya-tanya apa motif soalan tersebut dilontarkan pada saya. Memang saya tidak membawa penampilan warak pada zahir, tapi, tahukah dia hati saya? Tahukah dia amalan-amalan saya selama ini? Perlukah saya canangkan setiap amalan saya? Salahkah kalau saya cuba memperbaiki diri? Sebagai seorang kawan, tidakkah dia rasa syukur bila ada di kalangan kawan-kawannya yang cuba melakukan sesuatu untuk Tuhannya? Jika belum terbuka hati untuk ikut serta, berilah dorongan dan galakan. Pada saya, pakaian, mengunjungi surau belum bermakna seseorang itu baik. Sekurang-kurangnya dia cuba berbuat sesuatu untuk Tuhannya jika hatinya ikhlas. Hanya orang terdekat sahaja yang mampu menilai sikap dan sifat seseorang. Suatu hari beberapa bulan yang lalu, saya bertandang ke meja seorang kawan sekadar untuk berbual-bual seperti selalu. "Hai, selalu pergi surau sejak akhir-akhir ni?" Tanyanya dalam gurauan dan berbaur sinis. Saya terdiam. Apa harus saya katakan? Itu semua datangnya sendiri. Bukan saya buat-buat dan mahu tunjuk kepada orang. Tak sangka pulak ada yang perasan. "Tak ada apalah. Biasa je," Ligat fikiran saya menerbitkan jawapan. Sepanjang hari tu, saya asyik memikirkan soalannya. Tuhan, bila ada orang yang perasan, apakah saya dikira riak? Saya bukan warak dan alim. Saya manusia biasa yang banyak dosa dan salah. Sekadar meminta agar Tuhan memandang saya walaupun sepintas lalu. Memang kita tak dapat puaskan hati semua orang. Buat baikpun salah. Buat jahat apatah lagi. Pergi surau tu bukanlah bermakna saya dah jadi orang lain. Dan bukan bermakna saya suci dari kesilapan.

2 comments:

Kasih Ilham Yasmin said...

assalammualaikum. sabarlah Zah. biarlah apa orang nak kata yang penting kita tahu apa yang kita lakukan. terpulanglah mereka nak menilai apa? kita adalah kita. kita tak boleh nak tutup mulut mereka untuk berkata tentang kita. semoga dengan kesabaran dan penerimaan itu Allah mengurniakan sesuatu buat kita. amin!

TINTA EMAS said...

Waalaikummussalam. Insya-Allah, mudah-mudahan. Amin.