Dari hati seorang perempuan: Pandangan merentasi sempadan khatulistiwa, sedalam jurang Mariana, melewati lautan pasifik.
SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA
Tuesday, June 28, 2016
Aku Yang Lemah
Ya Allah,
Kelukaan ini amat pedih, menjalar ke seluruh jiwa.
Kesakitan ini amat menyiksakan, menusuk serata hati.
Ya Allah,
Apa sebenarnya tiada kasih sayang tulus dari seorang lelaki buatku di dunia ini?
Jika tiada Ya Allah, janganlah Kau izinkan aku mencintai selepas ini,
Jika tiada Ya Allah, tutuplah semua pintu rinduku selepas ini,
Jika tiada Ya Allah, leraikanlah segala kasih sayangku selepas ini,
Buat insan bernama lelaki.
Ya Allah,
Engkau anugerahkan aku sekeping hati,
Lalu di dalamnya Engkau bekalkan
Sebidang cinta malar
Selaut kasih membiru
Sebendang sayang menghijau
Sejuta bintang rindu gemerlap,
Namun...
Kau pertemukan aku dengan mereka yang memandang sepi perasaanku
Apa ada dosa menghijab diriku sehingga aku sering diuji begini?
Jika ada Ya Allah, sucikanlah hitam ini
Biar mendung segera berarak pergi.
Ya Allah,
Aku tidak minta...
Dikasihi lelaki semulia Adam,
Disayangi lelaki sekacak Yusuf,
Dirindui lelaki sekaya Sulaiman,
Dicintai lelaki sezuhud Muhamad
Kerana...
Aku tidak sesuci Hawa,
Tidak secantik Zulaikha,
Tidak sehebat Balqish,
Tidak sesolehah Khadijah.
Tidak juaku pinta Ya Allah,
Lelaki soleh menjadi yang halal bagiku melainkan Engkau memberinya
Kerana aku bukanlah perempuan solehah
Aku hanya minta cinta dari seorang lelaki yang tulus
Bersedia untuk mengharungi susah senang bersama
Sama-sama berusaha untuk menjadi lebih baik
Saling melengkapi kekurangan yang ada
Kerana aku percaya,
Setiap manusia itu ada kelebihan
Dan pasti boleh berubah menjadi lebih baik
Apabila Engkau mengizinkan.
Siapalah aku Ya Allah,
Untuk meminta lelaki baik menjadi halal bagiku?
Sedang diri sendiri tidak sebaik mana,
Aku hanya mahukan pelengkap menjadi puzzle dalam kehidupan
Untuk kesempurnaan sesebuah hubungan.
************************
Awak,
Saya terima segala kelebihan dan kekurangan awak untuk jadi pelengkap saya
Dan untuk saya lengkapi awak.
Mungkin pada pandangan awak saya tak mampu melengkapi awak tapi kita tak tahu apa yang Allah tentukan.
Jika hari ini awak mencampakkan cinta saya ke tepi, mungkin kerana Allah belum mengizinkan kita bersatu.
Mungkin kerana Allah mahu kita sama-sama bersedia
Dan Dia mahu kita mencintaiNya terlebih dahulu
Agar kita memperoleh hidayah dan petunjukNya untuk menjalani hidup penuh cabaran.
Sebelum disatukan kita pada masa yang sesuai.
Awak,
Saya percaya, dengan izin Allah, awak pasti berubah menjadi yang lebih baik seperti yang saya harapkan.
Kerana awak manusia yang boleh berubah dengan kehendak Allah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment