Chek ingat tak dia yang Along pernah cerita pada chek dulu. Dia yang selalu hantar Along kat Stesen Keretapi bila Along nak balik jaga Chek.
Chek,
Dia dah tinggalkan Along. Along tak tahu apa salah Along. Along tak kuat chek untuk hadapi semua ni. Kalau chek masih ada, mesti chek bagi kekuatan pada Along untuk harungi semua ni.
Chek,
Along lemah. Along sorang diri kat rumah ni. Melawan semua sakit ni. Bergelumang dalam pedih ni. Along rasa tak ada satu tempatpun yang tak sakit. Seluruh hati, perasaan dan tubuh terasa bisanya.Tangisan ni sejak pagi semalam tak mahu reda chek. Ianya pecah bila-bila masa. Tak tertahan esak ni. Along cuba untuk perlahankan tangis tapi tak boleh, tak boleh. Kalau chek masih ada mesti chek akan peluk Along dengan penuh kasih sayang dan memberi prangsang dengan suara lembut lunak chek.
Chek,
Along tak boleh pergi pejabat hari ni. Along tak mampu. Untuk menahan tangis nipun Along tak mampu, bagaimana harus Along duduk di pejabat berhadapan dengan kakitangan lain? Kalau makananpun tak boleh masuk ke perut, bagaimana harus Along duduk di kerusi menjalani tugas?
Chek,
Kenapa dia tegar menyakiti Along? Kenapa dia sanggup menganiaya Along sampai macam ni? Empat tahun bukanlah satu masa yang pendek untuk kasih sayang Along sebati buatnya dalam hati Along. Apakah tidak ada sedikitpun kebaikan Along padanya? Apakah tidak ada sedikitpun rasa sayangnya pada Along? Sedangkan dia yang memulakan semua ni. Dia yang mengejar Along saban hari waktu awal perkenalan kami dulu, chek. Mengapa sebegitu hatinya mudah berubah hanya kerana kenalan Facebook, chek?
Chek,
Kenapa dia buat Along macam ni setelah Along mempersiapkan diri untuk jadi macam chek, terima ayah dan anak, cucu dan cicitnya sebagai anak, cucu dan cicit tiri dengan kasih sayang tak berbelah bagi?
Chek,
Along sedih, chek. Along rasa derita, rasa teraniaya. Mengapa seorang yang menyayangi kita tergamak melukakan hati kita chek? Bukankah ajaran chek memaafkan segala kesilapan orang yang kita sayang?Bukankah sayang itu harus saling melengkapi, chek? Bukankah sayang itu suatu tanggungjawab? Bukankah cinta itu menerima seadanya pasangan kita dalam apapun keadaan?Bukankah cinta itu tunggak kepada sebuah hubungan yang utuh, yang perlu sentiasa dibaja, bukan untuk dihancurkan? Kenapa dia mesti mengkhianati cinta Along? Dugaan tu ada di mana-mana tapi kalau kita tak melayan takkan jadikan, chek? Chek, susahkah untuk setia? Along tak mampu chek, tak mampu untuk membencinya kerana kasih sayang ini lahir dari hati yang dalam.
No comments:
Post a Comment