SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA

Monday, June 27, 2016

Pesanan Buat Awak

Awak, Sekiranya ditakdirkan suatu hari nanti awak membaca entri ni, bacalah dengan tenang dan perlahan. Janganlah tergopoh-gopoh agar semua pesanan ni lekat di hati awak. Awak, Biarpun buat masa ni ada dia dalam hati awak, tapi hati awak itu milik Allah dan Dialah yang mentadbirnya. Segala-galanya akan berlaku mengikut ketentuanNya. Awak, Mungkin Allah pisahkan kita buat masa ni supaya kita sama-sama tingkatkan cinta kita kepadaNya untuk Dia pertemukan kita semula suatu hari nanti dalam rahmat kasih sayangNya yang indah seperti Zulaikha dan Yusuf. Mungkin, kita lalai dalam berhubungan sebelum ini, maka Allah utuskan Jibril memberi hadiah ujian kepada kita untuk Allah nyatakan kerinduanNya dan berikan kepada kita kasih sayangNya. Ya, sepertimana lalainya Zulaikha memikat Yusuf dengan cara tidak sepatutnya. Kemudian, Allah bukakan hati Zulaikha untuk bertaubat agar ia setanding dengan Yusuf yang mulia. Dari perempuan yang hina, Allah angkat martabat Zulaikha menjadi wanita solehah setelah mendengar taubat dan doa-doanya. Awak, Pesanan yang selalu saya ingatkan pada awak sejak mula-mula kita kenal dulu, jagalah solat lima waktu awak kerana bila kita kembali padaNya, solatlah amalan pertama yang dihisab. Solat juga pelembut hati kerana hati yang keras susah meresap hidayah. Dan saya pernah baca, bila kita tidak menjaga solat maka doa dari orang pun susah sampai kepada kita. Awak selalu cakap, awak mengharapkan doa orang-orang di sekeliling buat awak. Oleh itu solatlah, awak. Seterusnya awak, banyakkanlah zikir dan istighfar agar Allah sentiasa dekat dengan awak supaya awak tidak mudah terpedaya dengan tipu helah dunia ini. Istighfar dan zikir juga mampu melembutkan hati. Bila hati kita lembut, maka keegoan kita akan rendah manakala kesombongan kita akan kurang kerana kedua-duanya penyebab kepada keharuan hidup. Harapan saya juga buat awak, mulakanlah belajar Al-Quran kerana di dalamnya terkandung petunjuk dan hikmah. Di situlah sumber ketenangan, kesyukuran dan kebijaksanaan. Manfaatkanlah buku yang saya hadiahkan pada awak sewaktu ulang tahun kelahiran awak tempoh hari untuk mula mendekatkan diri dengan Al-Quran. Mulakanlah awak untuk mengikuti kelas-kelas agama sebagai persediaan untuk berwawansabda dengan pencipta nanti supaya kita lebih kenal akan pencipta kita. Semoga dapat juga kita pelajari cara hidup muslim yang sebenar. Saya mohon, awak kurangkanlah penggunaan laman sosial yang sangat awak gemari tu kerana ianya akan mendatangkan masalah jika menggunakannya sebagai teman karib. Saya lihat, penggunaan Facebook awak setiap hari dan hampir setiap masa. Paling lamapun awak tak aktif dua jam. Malah, dalam meeting dan majlispun awak masih sempat berfacebook. Kan lebih baik kalau masa tersebut digunakan untuk membaca buku-buku ilmu dan agama? Destinasi hidup kita dalah mati, awak. Kita tidak tahu nasib kita di alam sana. Kalau indah, alhamdulillah. Tapi jika sebaliknya... Kita tak boleh berpatah balik ke dunia untuk beramal. Jadi biarlah kita bersedia lebih awal. Usaha tangga kejayaan. Akhirnya awak, berfikirlah secara matang berpandukan agama indah ini bukan semata-mata mengikut logik akal kita yang terbatas. Sebab tu hati kita harus lembut kerana akal dan ketajaman mata hati itu penting dalam kita melaksana dan membuat sesuatu keputusan. Ingatlah awak, hidup ini sangat singkat untuk kita. Mempunyai jiwa muda dan happy go lucky itu memang awet muda tapi janganlah kita berfikiran singkat untuk mengejar keseronokan sahaja kerana hidup lebih dari itu. Sekecil zarah amalan kita tetap dikira baik buruknya dan akan ada ganjarannya. Kita dipisahkan ribuan batu. Namun saya harap, kita sama-sama dapat laksanakan apa yang tersenarai di atas. Apabila saya mahu awak menjadi lelaki yang baik untuk menjadi yang halal bagi saya, maka sayapun harus berusaha untuk menjadi perempuan baik untuk menjadi yang halal bagi awak seperti yang awak dambarkan lewat komen awak di satu status yang awak update di Facebook tempoh hari. Kita sama-sama mahukan pasangan yang baik. Namun saya tidak mendambarkan lelaki lain yang baik bagi saya kerana sekali saya mencinta, saya mencinta dengan sepenuh hati. Dan saya mahu kita sama-sama berusaha untuk jadi baik sesama kita. Mengapa perlu kita mencari orang lain dengan meninggalkan apa yang kita ada sedangkan hidayah Allah itu untuk semua dan akan diberikanNya andai kita berusaha memperolehnya? Mengapa kita harus pentingkan diri sendiri untuk jadi baik bersama orang lain dengan membiarkan orang yang pernah kita sayang begitu sahaja? Sedangkan ia adalah tanggungjawab kita untuk membimbingnya. Sungguh awak, saya bukan perempuan yang baik, tapi saya akan cuba kerana ini tuntutan agama dan saya tak mahu lagi Allah jauh dari saya. Mungkin juga dialah perempuan baik yang awak dambarkan untuk menjadi yang halal bagi awak, sebab tula awak tulis di situ, dalam reply komen awak kepadanya. Tapi saya percaya, baik buruknya manusia, bukan manusia sendiri yang menilainya. Allah lebih Mengetahui akan baik dan buruk hamba-hambaNya. Dari kejauhan ini, saya sentiasa merindui awak selama Allah izinkan. Andainya takdir Allah telah mencatatkan di Loh Mahfuz awak diciptakan untuk saya, maka saya mohon Allah makin kuatkan rasa kasih saya pada awak dan semoga Allah tanamkan rasa yang sama dalam hati awak buat saya. Saya telah berusaha untuk memenangi hati awak kembali. Tapi saya gagal mungkin kerana saya tak cukup baik dan ada dosa yang menghalang. Maka sekarang, saya serahkan pada Dia, Tuhan sebaik-baik perancang. Awak, pergilah sejauhmana yang awak mahu. Bertemulah dengan seramai mana perempuan yang awak suka. Jika telah tercatat awak milik saya, suatu hari nanti awak pasti akan kembali kepangkuan saya. Dan begitu juga saya, andai saya ini telah disuratkan milik awak, maka saya akan terus setia menanti awak di sini dengan cinta yang tidak berbelah bagi serta kerinduan yang menyiksakan. Salam sayang buat awak, cinta hati saya. Daripada saya, perempuan yang penuh dengan dosa dan kelemahan.

2 comments:

manjalara Masseur said...

assalamualaikum. begitu jauh awak merendah diri. ingatlah yang awak sedang dilindungi dan dipelihara Allah atas ketaatan yang telah awak lakukan bertahun lamanya. ingatlah perempuan baik hanya untuk lelaki yang baik dan lelaki yang jahat adalah untuk perempuan yang jahat dan begitulah sebaliknya. ambil hikmah, bahawa Allah sedang menjaga hambaNya yang lemah ini dari terus disakiti dan dikhianati. mungkin hari ini kelukaan yang awak rasa kerana Allah merentapnya dari seluruh hidup awak, tetapi Allah tetap letakkan orang-orang yang sedia berdampingan dengan awak atas apa jua keputusan yang awak ambil. ada orang-orang yang tak mahu lihat awak tersungkur. ramai! bangun dan bangkitlah dengan kekuatan hati perempuan. rasa sayang pada dia letakkan jauh di sudut hati. mungkin dia belum benar-benar dapat menilai permata itu. semoga Allah tetap membuka pintu hatinya untuk awak andai itu takdirnya.

TINTA EMAS said...

Waalaikummussalam. Terima kasih, Manjalara. Mohon doakan untuk saya. Saya bukan merendah diri tapi itulah hakikatnya. Macam yang saya tulis, kalau pasangan kita sendiri menulis yang dia perlukan perempuan baik untuk menjadi yang halal baginya, maknanya kita ni tak cukup baik. Dan sedar akan hakikat itu, saya harus berubah jadi lebih baik dan saya nak dia juga berubah menjadi yang lebih baik. Mungkin sekarang ni dia tak sedar itu semua kerana dilimpahi dengan keseronokan. Semoga suatu hari nanti, Allah bukakan pintu hati lelaki yang saya sayang ini untuk menyedari hakikat kehidupan. Saya akan terus berdoa agar dia diberi petunjuk. Insya-Allah selagi Allah izinkan.