Dari hati seorang perempuan: Pandangan merentasi sempadan khatulistiwa, sedalam jurang Mariana, melewati lautan pasifik.
SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA
Saturday, August 6, 2016
Detik-detik Yang Terlewati
Awak,
Detik-detik yang terlewati, belum ada lagi yang saya lalui tanpa merindui awak. Kemeriahan hari ini, kesibukan hari ini, kehadiran ratusan orang hari ini, pun masih tidak dapat menghilangkan rindu saya pada awak. Di sebalik keriuhan keramaian, suara awak tetap bergema di telinga saya. Dan ianya mengundang sebak di hati. Biarpun bibir mengatur bicara, menyusun kata mengacara, tidak mampu menghilangkan bayangan awak di benak saya. Biar cuba saya lunakkan suara agar tenang seisi majlis, lancar berterusan susun acara, hati saya tetap bergejolak merindui awak.
Awak,
Mungkin Allah mahu menguji sejauh mana teguhnya cinta kita. Lalu Allah jarakkan kita, supaya kita memahami isi hati kita. Supaya kita dapat menilai perasaan kita. Apakah cinta awak tak seutuh cinta saya? Lalu rapuh, bak dedahan kering jatuh ke rumput tatkala dimamah bahang mentari mengeringkan.
Awak,
Selama Allah izinkan, selama itulah cinta saya milik awak. Saya tak tahu sampai bila. Apa yang pasti, saya berjalan mengikut takdir Ilahi. Jika cinta ini membawa sampai ke akhir hayat tanpa balasan, maka saya bersedia untuk jalani hidup ini sendirian hingga ke hembusan nafas terakhir. Saya tak janjikan apa-apa kerana hati saya milik Allah, lalu batas-batas waktu ini saya susuri tanpa lagi mengharap cinta lelaki. Andai itu takdirnya, maka hidup saya hanyalah untuk memajukan diri dan cinta buat awak akan membawa ke mati. Jika sebaliknya, terserahlah pada kebijaksanaan Allah mengaturnya.
Awak,
Jika telah dicatatkan awak milik saya, pastinya hari itu akan saya sambut dengan cinta merah membara buat awak yang saya pendam sejak mula saya serahkan hati saya buat awak. Insya-Allah, masa-masa itu nanti saya akan hadapkan cinta menggunung buat awak, lelaki yang saya sayang. Dan saya harap waktu tu, tiada lagi orang lain dalam hati awak melainkan saya. Tiada lagi pemisah dalam hidup kita melainkan kita berdua.
Wallahu alam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment