SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA

Sunday, July 31, 2016

Macam-macam Ragam Manusia

Salam readers, Saya nak bercerita kat sini. Yelah, sayakan duduk sorang-sorang. So, pada siapa lagi nak cerita kalau bukan kat korang. Terima kasih sebab sudi baca semua cerita saya walaupun sekadar kisah hidup saya. Korang pernah tak dilayan seolah-olah korang ni tak punya apa-apa dan dipandang rendah? Walaupun korang cakap perkara benar atau kerja, orang nak marah macam korang ni budak bawahan yang tak tahu apa-apa? Situasi ni saya alami beberapa minggu lalu. Ada pihak hantar proposal kat saya minta budget. Setelah buat semakan, saya tegur tentang isi kandungan proposal. Untuk luluskan budget, mestilah proposal tu mengikut apa yang kita inginkan. Saya balas email tu dengan baik dan itulah ayat yang sering saya gunakan pada pihak lain sekiranya proposal mereka tak lengkap. Dia balas email saya seolah-olah marahkan saya. Ayatnya keras dan berbaur angkuh. Macam saya ni orang yang tak tahu buat kerja dan kurang cerdik. Saya rasa tersinggung dan sedih. Tahukah dia bahawa kuasa meluluskan budget tu ada pada saya? Tahukah dia, saya boleh reject permohonan dia dengan kuasa yang saya ada? Saya terdiam sejenak bila membaca emailnya. Segera tulisan dalam satu artikal yang pernah saya baca terlayar di ingatan. "Usahlah kamu bersedih hati jika kamu tidak dihormati oleh manusia kerana kamu bukan sesiapa. Sesungguhnya pandangan Allah terhadap kamu itu lebih patut kamu jaga," Hati saya segera terubat. Biarlah Tinta, jadi profesional. Macam manapun dia nak layan kau, layanlah dia dengan baik. Sebab ni kan kerja dan takkan ke mana orang yang sombong ni. Tak perlulah kita terikut dengan dia sampai salah guna kuasa. Saya terus membalas emailnya menerangkan akan kelemahan proposalnya. Semalam, saya berjumpa dengan pengerusi pihak berkenaan. Saya lebih suka deal dengan pengerusinya. Baik dan berdiplomasi. Senang dibawa berunding dan ditegur. Walaupun saya ni jauh lebih muda darinya dan baru dalam bidang ni. Dia sangat menghormati orang termasuk saya yang kurang pengalaman ni. Dia lantas memperkenalkan saya kepada si pengirim email kepada saya. Kakak tu macam dalam email. Kurang memberi kerjasama yang baik dan bercakap tu memang ada bunyi sombong dan angkuh. Bila pengerusi tu cakap nak kenalkan saya padanya, akal saya terus mengingatkan hati saya agar terus senyum, bercakap lembut dan mengawal diri daripada perasaan marah. Marahkan kesukaan syaitan. Tambah pulak di hadapan orang ramai. Dia cuba menyalahkan saya. Saya dapat menjawab semua persoalannya dengan baik. Akhir sekali, dia mempertikaikan garis panduan kelulusan. Saya memberitahunya bahawa saya telah hantar pekeliling tersebut ke setiap cawangan. Dia mengatakan tidak terima dan kenapa saya tak tanya dia terima atau tidak pekeliling tu. Masalahnya, saya tahu cawangannya memang terima garis panduan tu sebab pengerusinya sendiri telah tahu akan garis panduan dan dalam meeting semua pengerusi mengesahkan penerimaan garis panduan tersebut. Pengerusinya memberitahu dia bahawa garis panduan memang ada dalam simpanan staff mereka. Saya cuma senyum. Kemudian, dia merungut tentang jumlah peruntukan untuk suatu program. Saya cuba menerangkannya tapi dia seperti tidak boleh menerima. Dalam kami berkomunikasi tu, dia panggil saya cikgu. Pengerusinya memperbetulkan bahawa saya bukan cikgu dan saya adalah Public Relation Assistant. Biarpun itu jawatan lama saya, saya hanya diamkan saja. Takkan nak canang pada semua orang saya dah naik pangkat? Show off namanya. Si pengerusi siap cakap dengan dia yang saya ini pemegang ijazah dari UiTM. Saya pelik. Kenapa mesti cakap sampai bab ijazah segala bagai? Kalau orang tak tahu saya ada ijazahpun, saya tak kisah. Lepas tu, nada suaranya mula lembut dengan saya. Kemesraannya mula terasa apabila dia menanyakan kos yang saya ambil. Dan dia mula bertanyakan tentang experience kerja saya terutamanya di production house dulu.nPerbualan terus dilanjutkan sampai ke skrip dan penerbitan rancangan TV. Siap tanya saya format tulis skrip yang betul. Kenapa dia berubah 360 darjah? Fikir saya dalam hati. Adakah sebab saya ni seorang graduan? Isu tak puas hati dengan jumlah peruntukan terus lenyap dan katanya, dia akan hantar semula permohonan berkenaan. Siap tanya saya bertanding atau tidak untuk jawatan yang dipertandingkan. Siap cakap dengan saya, saya mesti menang punya dalam pemilihan ni. Saya sekadar mengatakan Insya-Allah dan maniskan muka. Manusia... Sering memandang rendah pada orang tanpa mengetahui latarbelakang orang. Tapi apakah hanya manusia yang mempunyai pendidikan tinggi, berpangkat, kaya, cantik dan seumpama dengannya saja yang layak dihormati? Apakah orang yang tidak berpelajaran dan seumpama dengannya itu boleh dimarah sesuka hati dan buat mereka seolah-olah mereka tu rendah sangat dan hina? Tahukah mereka bahawa Allah tidak memandang semua tu? Siapa tahu kalau orang yang mereka pandang rendah tu sebenarnya lebih mulia dari dirinya di sisi pencipta? Sepanjang 8 bulan ni, banyak yang saya belajar. Erti cinta dan kasih sayang, erti rindu, erti penghargaan, erti sabar, erti rendah diri, bagaimana menangani marah dan sebagainya. Ya Allah, jadikanlah aku ini dari kalangan orang-orang yang sabar. Semoga saya terus sabar dalam melayani kerenah orang-orang di sekeliling saya dan yang berurusan dengan saya walau bagaimanapun mereka. Ya Allah, terbitkanlah rasa kasih sayang dalam hatiku untuk semua orang. Insya-Allah, Amin...

Kerinduan Yang Tak Pernah Padam

Kerinduan ini tak pernah padam Meskipun masa beredar. Kerinduan ini masih seperti hari-hari sebelumnya Meskipun hari berganti. Kerinduan ini masih merah Meskipun awan mengelabui langit. Kerinduan ini masih membakar Meskipun hujan mencurah. Kerinduan ini masih hangat Meskipun mentari tersembunyi. Kerinduan ini masih menyiksa Meskipun cuba ku tahan. Kerinduan ini masih dalam Meskipun tidak terucap. Hanya di sini, tempat aku luahkan segala rindu. Curahkan segala sayangku yang tak bisa ku lafazkan padanya. Awak, Selama Allah izinkan, saya akan terus merindui awak yang saya sayang. Semoga Allah izinkan kasih sayang awak bertunas kembali buat saya. Insya-Allah, amin...

Thursday, July 28, 2016

Malam Yang Tersiakan

Subhanallah, Malam indah telah tersiakan dengan lena mengulit mimpi. Tiba waktunya, aku tidak terjaga mengota janji yang diikrarkan. Dingin itu telah menambat mata dan belulangku. Saat dinihari menerpa, aku terjaga dengan sesal yang tak mungkin mengembalikan malamku dengan bintang bergemerlapan yang berlalu. Nafas mengeluh sesal. Beberapa jam lagi harusku lalui untuk janji temu seterusnya.

Kesibukan Yang Terhalang

Ya Allah, Saya sibuk hari ni. Sangat sibuk. Ada kerja yang datelinenya esok. Tapi bagaimana harus saya siapkan kalau perasaan saya asyik diganggu oleh rindu yang mengamuk? Saya tak boleh, tak boleh buat kerja macam ni. Semua kerja ni menggunakan fikiran dan fokus. Ya Allah, kenapa dengan saya ni? Dah berapa kali saya luahkan perasaan hari ni dengan tangisan. Namun ia datang lagi. Awak, Kenapa kita jadi macam ni? Kenapa awak? Mana awak yang dulu? Yang sangat sayangkan saya? Yang dapat saya rasakan kehangatan cinta awak? Kenapa begitu mudah awak berubah? Apa yang buatkan awak jadi macam ni? Saya rindu awak, rindu awak sangat-sangat. Tuhan, tolonglah, tolonglah izinkan dia rasakan rindu ini. Insya-Allah, Amin.

Bila Rindu Menyapa

Bila rindu menyapa, Jiwa resah diamuk lara yang dalam, Luka ngilu segera meratah hati yang remuk, Awan mata segera menumpahkan hujan kerinduan tak bertepi, Apakah tidak kau rasa rindu ini? Adakah hanya aku yang menderita kerinduan? Awak, Sampai saat ni, Allah masih mengizinkan saya merindui dan mencintai awak. Semoga Allah juga akan mengizinkan awak mempunyai rasa yang sama terhadap saya bila tiba waktu yang dijanjikan. Selagi Allah izinkan, saya akan terus di sini, mempertahankan cinta ini.

Wednesday, July 27, 2016

Biar Jadi Pengajaran

Dengar khabar... Ada orang bercerita, si pulan ni dah tak kawan dengan saya. Yang bercerita tu pun dari groupnyalah juga. Si pendengarpun bertanya, kenapa? Jawab si pencerita, Si Pulan kata, biar jadi pengajaran kepada Tinta. Apa motif dia bercerita tentang saya dan kawan baik saya? Nak canang pada semua yang kami bergaduh? Sukakah bila tengok orang bergaduh? Saya tak pernahpun canang sana sini tentang hal ni. Saya sedang menderita sekarang, saya tak ada masa nak fikirkan semua tu. Nah, bertepuk tanganlah kalian kerana orang yang kalian benci ni sedang menderita. Itu yang kalian mahukan? Beginikah cara seorang kawan baik terhadap kawan baiknya apabila sanggup menghina, mempersenda dan mengata yang bukan-bukan? Tambah lagi di hadapan orang. Saya tak tahu apa motif semua ni dilakukan kepada saya. Seingat saya, dari hujung tahun lepas... Saya tak banyak masa dengan kawan-kawan sebab sibuk uruskan hal ekspedisi ditambah pula dengan ujian Allah berkaitan si dia. Tiba-tiba... Saya menerima voice whatsapp yang mengeji saya. Saya cuba mencari salah saya tapi saya tak dapat mengingatinya. Mungkin saya ada buat salah cuma saya tak sedar itu suatu kesalahan. Sebagai kawan baik, ada cara yang lebih baik untuk menyelesaikan masalah. Kalaulah alasan saya tak ngam dengan seseorang dia buat saya macam ni, tak patut. Sebab itu urusan peribadi saya dan saya tak pernah menghasut orang supaya membenci orang tersebut. Dan tak ramai yang tahu dari mulut saya bahawa saya terasa hati dengan orang berkenaan. Saya tak nak orang lain benci orang disebabkan saya. Kawan baik saya pernah bertanyakan pada saya, bila saya nak ngam dengan orang tu? Tahu tak, kalau tak bertegur lebih dari tiga hari itu berdosa? Jawab saya, saya tak simpan dendam cuma saya terasa hati dengan dia. Saya tahu dosa pahala. Saya bercakap dengan dia atas urusan kerja tapi untuk kembali rapat macam dulu tu, saya tak tahu. "Kau jangan risau. Aku tak dendam. Kalau kau nak baik dengan dia, kau baiklah. Aku tak halang sebab kau tak ada masalah dengan dia. Nanti, bila lama-lama nanti, aku OK la. Kau kawanlah kalau nak kawan. Aku tak ada masalah walaupun kau kawan baik aku. Takkan bila aku tak ngam dengan seseorang, kau kena ikut aku pulak?" Ujar saya di suatu hari. Sekarang ni, tak bertegur lebih dari tiga hari tu berdosa. Adakah Si Pulan tu sedar yang dia tak tegur saya dah lebih dari tiga hari? Apa pulak hukumnya menghina dan mempersendakan orang? Pengajaran apa yang dia nak bagi kat saya? Pernahkah selama ni saya hasut dia atau ceritakan keburukan orang yang saya tak ngam tu pada dia walaupun ada sikap orang tu yang saya tahu? Pernahkah saya mengadu yang bukan-bukan tentang orang tersebut walaupun saya tahu orang itu ada mengadu yang bukan-bukan tentang saya pada seseorang? Saya tak nak orang benci orang sebab mulut saya. Adalah kawan tertentu yang saya luahkan perasaan saya tentang suatu peristiwa yang buat saya tersinggung dengan orang berkenaan. Tapi tak ada sampai menghina dan mempersenda. Tak ada juga saya mengadu meraih simpati orang supaya orang menyebelahi saya dan memandang orang itu jahat. Tak lama kemudian, saya dapat tahu, kawan baik saya mula rapat dengan orang berkenaan. Saya tak ada masalah dan saya tak terasa hati. Saya juga tidak rasa tergugat dengan kebaikan mereka. Pada saya, itu hak orang nak berkawan dengan sesiapapun. Dia tetap kawan baik saya. Tiba-tiba je dia berubah tanpa saya tahu puncanya. Sebagai kawan baik, sepatutnya dia bersemuka dengan saya kalau ada sesuatu kesilapan saya lakukan. Tapi dia buat saya macam musuh. Terserahlah. Allah kan ada. Waktu saya amat memerlukan dia di sisi pun dia tak ada bersama saya. Saya amat menderita dan mengharapkan kawan baik untuk saya kongsikan kesedihan saya. Malah, dia menambahkan lagi kedukaan saya. So sekarang, tidak berkawan dengan saya tu alasannya untuk beri pengajaran? Apa dia fikir, saya takkan ke mana bila dia tiada bersama saya? Saya dah biasa sorang. Pilihan kamu yang nak menjauh. Maka, saya tidak menghalang. Apalah gunanya berkawan kalau saya dihina dan dipersenda? Ingatlah, langit tu tak selalunya cerah. Roda pasti berputar. Jangan sampai kata-kata yang dilemparkan kepada saya tu memakan diri sendiri. Dan ketahuilah, setiap perbuatan itu ada balasannya. Janganlah terlalu angkuh apabila dikelilingi kawan-kawan yang havoc. Bila tiba waktu susah nanti, barulah kita kenal siapa kawan, siapa lawan, siapa teman, siapa sahabat. Ingatlah, kalau Tuhan nak tunjuk, sekejap je akan diberi pengajaran olehNya. Kalau pada pandangan dia saya ni jahat, sekurang-kurangnya saya tak pernah menghina dan mempersendakan orang. Apa lagi bercakap sombong seperti yang dilakukannya. Pengajaran? Pengajaran yang macam mana? Sayapun mula memikirkan pengajaran yang dimaksudkan serta logik atau tidak alasan pengajaran dengan tidak mahu berkawan dengan saya. OK, saya rasa, saya mula nampak akan pengajarannya: Jangan terlalu berkawan baik dengan seseorang kelak nanti, dia akan menjadi orang yang paling menyakitkan hati kita. Sebab, bila ada sesuatu krisis atau orang menyampaikan berita yang belum tentu benarnya, dia akan percaya dan terus segala kebaikan kita akan dilupakan dan keburukan kitalah yang dia nampak. Walaupun sebelum ni kita macam adik-beradik. Kepada kawan baik saya, saya ingat kamu kenal siapa saya. Baik buruk saya. Dan kamu akan pertahankan saya atas nama kawan baik bila orang mengeji. Tapi saya salah. Kawan baik sendiri rupanya yang mengeji saya. Terima kasih atas kebaikan kamu selama ni. Saya harap, kebaikan yang sebelum-sebelum ni ikhlas datang dari hati kamu.

Ala-ala Pramugari MAS

Ini adalah antara koleksi baju saya yang sering mendapat perhatian apabila saya memakainya biarpun telah beberapa kali saya mengenakannya. Hari ni sahaja, dari awal saya masuk office sampai meeting dan open house di pejabat supplier, ramai yang menegur baju ni. Ada juga di antara mereka yang mengatakan seperti baju pramugari MAS. Apa yang macam baju pramugari? Designnya. Saya beli kain ni sewaktu bercuti di Bukit Tinggi, Indonesia dua tahun lalu. Saya belipun sebab designnya macam pramugari MAS, sayakan opses dengan pramugari MAS. Cita-cita nak jadi pramugari MAS dulu, so tak dapat, pakai baju ala-alapun jadilah. Siap bawa gambar baju pramugari MAS pergi butik nak suruh tukang jahit buat sebiji macam pramugari. Malangnya, kain tak cukup, so, tak dapat buat kainnya macam pramugari MAS, terpaksa buat susun belakang. Mujur baju boleh buat kebaya macam pramugari cuma saya labuhkan tangan tak pendek macam baju MAS. Opses betul. Kakak HR cepat je jawab bila ada yang tegur, "Macam baju Malaysia Airline je?". Kakak HR terus cakap, "Cita-cita dia tu nak jadi pramugari. Tu yang pakai baju ala-ala tu," Rasa macam best pulak pakai kebaya pendek ni. Kena buat lagi ni. * Awak ingat tak? Awak yang teman saya ambil baju ni kat butik? Awak kata, cantik saya pakai baju ni. Masa tu, ambil dan saya terus pakai untuk pergi majlis buka puasa tahun lepas. Agak-agak awak kenal tak ni baju saya kalau awak tengok tanpa wajah macam ni?

Tuesday, July 26, 2016

Shooting Lagi

Saya dihubungi production house lagi untuk shoot kisah saya. Tinta: Kalau orang lain boleh tak? Produser: Siapa? Tinta: Nanti I fikirkan. Sebenarnya I dah banyak kali di interview, nanti orang bosan pulak. Produser: You fikir dulu, nanti beritahu I. Saya memang dah banyak kali di interview. Kalau topik atau aspek lain OK la. Kisah sayapun rasanya masih dipaparkan di Astro berulang-ulang. Nanti saya cari orang. Ada sesiapa berminat? Sila tawarkan diri. Jangan malu-malu.

Lagi, Lagi Dan Lagi

Ya Allah, Perasaan saya mula terasa pedih. Dada saya mula sesak. Rindu menyerang lagi. Subhanallah, siksanya saya rasakan. Ya Allah, Kau mengizinkan perasaan ini menyelinap dalam jiwaku maka tolonglah, tolonglah Ya Allah, sampaikan rinduku padanya. Janganlah Kau biarkan aku seorang merasai rindu ini. Izinkanlah rindu ini turut resap dalam hatinya agar kami berkongsi rasa yang sama. Bila-bila masa je tangisan akan pecah bertaburan. Tolonglah Ya Allah. Izinkan cinta ini bersemi dalam cintaMu untuk kali ini dan selamanya. Insya-Allah, Amin...

Awak...

Awak, Saya cuma nak bagi tahu awak, yang saya sangat rindukan awak. Semoga tiba pada masa yang dijanjikan, awak juga akan merasakan denyut rindu ini buat saya. Segala-galanya dengan izin Allah. Insya-Allah. Amin...

Bukan Suka-suka

Subhanallah, pagi-pagi saya dah marah staff. Saya bukan sengaja nak marah orang tapi kalau kesilapan tu boleh membawa kepada sesuatu yang tak baik dan sering berulang tambah menipu marahlah saya. Saya tak suka marah orang sebenarnya. Sungguh tak suka. Tapi sekurang-kurangnya marah kali ni tak seperti dulu. Saya dapat kawalnya lebih dari dulu. Dan saya bukan pendendam. Saya marah masa orang buat silap, tapi saya cakap terus-terang. Lepas tu, sekejap je saya dah OK dan boleh OK je dengan orang yang saya marah. Kesilapannya akan saya lupakan dalam masa yang singkat dan insya-Allah, saya tak akan ungkit di masa hadapan. Tapi bila orang yang tak faham, mereka suka cakap saya garang. Saya bukan garang tapi tegas. Manusia memang macam tu, tak boleh terima bila kita cakap terus-terang. Mereka lebih suka dengan cakap-cakap manis dan memuji. Dan itulah juga manusia suka buat lepas tu cakap belakang tentang salah orang nak tegur depan-depan takut. Takut hilang kawan, takut orang marah, takut orang tak suka. Sebab manusia sekarang suka kepada hipokrit. Manusia sekarang sudah ketandusan kejujuran. Tuhan, peliharalah saya daripada sikap marah kerana ianya hasutan syaitan.

Monday, July 25, 2016

Membaca Entri Sendiri

Hobi baru saya, melihat dari mana datangnya readers blog saya ni. Memanglah tak tahu siapa at least saya boleh tengok dia dari mana, sampai ke blog saya melalui laman apa dan apa yang dia baca. Ada sorang readers ni baca post saya bulan Disember, 2011. Tertanya-tanya juga saya apa yang saya tulis masa tu. Jadi sayapun ikut membaca. Ada nasihat menarik yang saya catatkan di sana. Nasihat Ustaz Mohd Nor pensyarah UiTM melalui perbualan di Yahoo Messenger, biarlah mereka menyakiti Tinta dan bertindak kejam terhadap Tinta. Tapi jangan sesekali Tinta membalasnya dengan turut sama berlaku zalim seperti mereka. Nasihat ni dititipkan ustaz sewaktu saya mengadu tentang kekecewaan saya terhadap kegagalan cinta pertama saya. Dan, saya masih ingat masa tu, ustaz kata, Tinta harus bangga dengan apa yang berlaku. Saya terkejut. Orang menghampakan saya, merendah-rendahkan saya, ustaz suruh saya berbangga? Jawab ustaz, "Banggalah, kerana Tinta tak sekejam mereka. Tinta masih boleh bertahan dan berlaku baik padanya meskipun dikhianati. Tinta jangan risau, sesudah derita kan bahagia. Lebih kurang bunyi nasihat ustaz. Ustaz, saya disakiti untuk kali kedua. Kenapa ya, ustaz? Adakah kerana dosa saya sehingga Allah mengizinkan saya disakiti lagi? Apa cinta makhluk itu memang tiada buat saya di dunia ini? Ustaz, saya rindukan kata-kata nasihat dari ustaz.

Sunday, July 24, 2016

Tahniah Angah

Saya menerima panggilan daripada mami memberitakan tentang angah dirisik secara tidak rasmi hari ini. Alhamdulillah. Air mata kesyukuran dan kegembiraan saya segera tumpah. Syukur Allah, Engkau mempermudahkan jodoh adikku. Permudahkanlah Ya Allah sampai mereka diijabkabulkan dan lanjutkan kebahagiaan mereka hingga ke Jannah. Insya-Allah, amin. Saya telah dimaklumkan akan kepulangan angah membawa kereta baru abah bersama seorang rakan bernama Rizal. Dan segalanya telah dijangka. Saya rasa sangat teruja mahu menerima orang baru dalam keluarga. Dari Pulau Pinang saya sering menghubungi mama bertanyakan adakah hajat telah disampaikan. Sehinggalah dalam perjalanan pulang ke KL pagi ni, belum ada apa-apa perbincangan dilakukan dan mereka pulang ke rumah mami untuk makan tengahari sebelum ke lapangan terbang menghantar angah dan rakannya atau lebih tepat bakal suaminya untuk pulang ke KL. Kata mama, Rizal seorang yang baik, ramah dan mudah mesra. Tambah rajin membantu membuat kerja rumah. Alhamdulillah, semoga angah akan bahagia bersamanya. Usia tua 10 tahun dan berstatus duda beranak dua, bukanlah penentu kepada kebahagiaan angah. Saya amat mengharapkan agar mama, abah dan mami tidak memandang itu semua sebagai ukuran kebahagiaan angah. Saya faham kenapa angah memilih Rizal meskipun Rizal jauh lebih tua daripadanya serta duda. Bagi kami adik-beradik, bila hati ingin mencintai, kami akan fikir semasak-masaknya. Selepas berfikir, bila sesuatu keputusan diambil, kami akan nekad dengan keputusan kami walaupun pada pandangan orang lain ianya tidak sempurna kerana kesempurnaan itu bukan diukur pada zahiriah. Dan saya tahu, angah tahu apa yang dia buat. Demi cintanya, angah pulang mendapatkan restu keluarga. Demi cinta terhadap angah, Rizal juga mengambil risiko untuk bertemu keluarga kami. Insya-Allah, berbahagialah angah dipertemukan dengan lelaki yang bertanggungjawab untuk merialisasikan cinta mereka. Saya tumpang bahagia. Alhamdulillah Tuhan, saya amat bersyukur. Harapan saya, ujian yang sama angah lalui seperti saya berakhir dengan kehadiran Rizal, insya-Allah. Kata mami, segalanya telah dibincangkan. Tiada majlis besar-besaran akan dibuat cukup sekadar yang wajib. Ya, itulah yang terbaik dan dituntut agama. September nanti Rizal akan datang bersama keluarganya merisik secara rasmi. Tiada wakil dan majlis. Segalanya serba ringkas. Alhamdulillah keluargaku mahu ianya dilaksanakan dengan mudah. Semoga abah bahagia dengan hal ini kerana abah inginkan menantu. Alhamdulillah, angah merialisasikan hajat abah kerana saya belum tiba masanya. Insya-Allah pernikahan berlangsung dalam masa setahun. Tiada juga kenduri kahwin besar-besaran akan dibuat. Alhamdulillah, segalanya mudah. Saya rasa bahagia, gembira dan teruja dengan perkhabaran ini. Semoga urusan merisik dibuat semasa saya pulang beraya haji dan cuti Hari Malaysia nanti. Saya ingin rasai kemeriahannya meskipun majlis kecil-kecilan. Alhamdulillah, saya rasa syukur yang amat. Rasa lega sangat kerana episod kehidupan bujang angah akan berakhir. Semoga Rizal memang benar jodoh angah yang telah Allah suratkan di Loh Mahfuz. Ya Allah, Dekatkanlah hati mereka, Satukanlah hati mereka, Pautkan hati mereka, Eratkan kasih sayang mereka, Tautkan kemesraan mereka, Teguhkan cinta mereka hingga ke Jannah dalam rahmat kasih sayangMu. Insya-Allah, amin... Mohon doa daripada pembaca budiman buat adik saya, angah.

Antara Hak Dan Tanggungjawab

Hak dan tanggungjawab. Dua perkataan yang sering diucapkan. Mana yang lebih mudah dilakukan? Pastinya hak, bukan tanggungjawab. Dan ramai orang memilih untuk mendapatkan hak mereka daripada bertanggungjawab atas apa yang pernah mereka lakukan. Dalam soal hati dan perasaan, mengatakan hak untuk membuat pilihan itu benar. Tetapi bagaimana dengan hati yang mahu kita tinggalkan setelah harapan kita berikan? Hak untuk memilih sebelum memberi harapan itu amat benar. Tetapi hak memilih setelah memberi harapan kepada seseorang itu dinamakan sebagai mementingkan diri sendiri. Bila kita rasa sukakan seseorang, kita beri harapan. Bila hati mula berubah, kitapun ingin berpaling dan alasan paling kukuh yang kita rasakan, adalah hak untuk memilih. Bagaimana dengan tanggungjawab kita terhadap hati yang mencintai kita? Masa tu... Tak ramai antara kita memikirkan tentang hati yang terluka kerana kita. Malah, kita sanggup melukakan hati orang yang pernah kita cintai demi orang baru yang belum pasti mencintai kita seperti hati yang kita lukakan. Kenapa? Kenapa kita enggan bertanggungjawab atas hati yang pernah kita beri harapan? Sebab, cinta telah tiada, kerana dia seorang yang keras hati, kerana dia pernah buat salah, kerana dia pernah singgungkan hati kita dan macam-macam alasan lagi yang kita berikan demi mengukuhkan alasan untuk kita meninggalkannya serta demi menghalau rasa bersalah untuk meninggalkannya. Sedangkan, semua kesilapan itu telah lama dilakukan dan setelah kesilapan tersebut, kita memaafkannya dan menjalani hari bersamanya sebagai pasangan. Cuma, bila ada orang lain yang berkenan di hati, kita selongkar semula kesilapan lamanya untuk membenarkan cinta kita beralih arah. Itukah yang dinamakan hak? Kenapa kebanyakan dari kita tidak mahu memilih tanggungjawab? Kerana, tanggungjawab itu memenuhi hak orang lain dan ada ketikanya kita harus korbankan hak kita demi memenuhi tanggungjawab tersebut. Kalau tidak mahu bertanggungjawab, mengapa harus memberi harapan? Ketahuilah, hati kita ini memang berbolak-balik lebih cepat dari didihan air panas. Kerana itu, cinta perlu sentiasa dipupuk, akal harus memimpin hati agar tetap pendiriannya, akhlak harus membentengi perasaan agar tidak mudah goyah. Barulah bahagia merangkul dalam keredhaanNya. Jangan diambil ringan soal hati dan perasaan orang. Fikirkanlah, benar-benar bahagiakah kita setelah kita menganiaya orang?

Kesibukan Yang Tidak Menghilangkan Kamu

Awak, 
Kesibukan saya di Pulau Pinang ni sedikitpun tidak merosakkan rindu saya pada awak. Biarpun program ini berlangsung menuntut fokus dan komitmen, di hati saya tetap merah rindu membara buat awak. 

Awak, 
Macam saya selalu cakap,selama Allah izinkan, Selama itulah saya akan terus mencintai awak.  Moga, masih ada cinta awak buat saya setelah reranting cinta awak basah sehingga terpadam bara kasih awak pada saya. Moga bila reranting cinta awak kering di bawah pancaran mentari panas, ianya kembali bisa membakar marak kasih, sayang dan rindu awak pada saya. 

Insya-Allah, amin... 


Friday, July 22, 2016

Mencari Hikmah

Ya Allah, Aku bukan mempertikaikan takdirMu tetapi, sekadar mencari hikmah agar aku terus sabar dengan ujianMu. Tuhan, Kau tanamkan cinta yang maha indah di lubuk hatiku, Kau kurniakan rindu yang maha dalam di dasar hatiku, Kau anugerahkan kasih hangat membakar dalam jiwa nuraniku, Kau resapkan sayang sesegar tanah selepas hujan, menghasilkan cinta, kasih dan rindu sehijau tanamanMu, Tapi... Kau jauhkan dia daripadaku, Sungguh aku tak mengerti meskipun keyakinanku mustahil Kau menganiaya hambaMu, Apa ini ujian buat kami untuk mengukur seteguh mana cinta kami? Apa ini sekadar untuk mengajar kami erti penghargaan dan cinta setelah gerhana ini berlalu? Hamba lemah ini menanti pertoonganMu, Tuhan, Dalam derita yang amat menyiksakan. Ya Allah, Sampaikan salam rinduku buatnya, Ahmad Fauzi Bin Mohd Shariff, sehingga aku menjadi kerinduannya. Insya-Allah, amin...

Thursday, July 21, 2016

Kerinduan Yang Menggila

Awak, 
Waktu-waktu yang saya lewati tak pernah seharipun yang saya lalui tanpa merindui awak. Hari ini, rindu ini mengamuk lagi, kian menggila. Entah apa puncanya saya tak tahu. Mungkin awak tak rasakannya. Mungkin juga awak sentiasa ceria di sana. 

Awak, 
Setiap kali rindu ini menyerang hati, guguran air mata pasti bertaburan dan esakpun mengalun sendu menggetar rasa. Saya tersiksa awak, tersiksa. 

Awak, 
Saya tahu, hari ni awak datang KL. Dan saya rasa... bertemu dengan saya bukanlah tersenarai dalam agenda awak lagi. Walaupun pahit, saya terpaksa akur. Itu hak awak, saya tak boleh memaksa. 

Awak, 
Saya coretkan di sini tentang kerinduan saya pada awak. Tentang perasaan saya pada awak dan tentang segala-galanya berkaitan awak agar segalanya terakam di sini. Semoga suatu hari nanti, Allah gerakkan hati awak untuk membaca semua luahan saya. Biar awak tahu betapa saya cintakan awak. Betapa saya tersiksa merindui awak. Biarlah segalanya saya abadikan di sini semoga suatu hari nanti dapat sama-sama kita baca dan mengerti tentang hati yang ada kalanya tak terucap dengan kata-kata. 

Semoga awak selamat sampai ke KL. 

Salam rindu saya buat awak cinta hati saya. Ya Allah, dengan kuasaMu yang tiada tandingan, mohon sampaikan salam rinduku buat dia yang aku cinta. Selamatkan dia dalam perjalanannya. 

Insya-Allah, amin... 


Lagi Dan Lagi

2 new messages. Bila saya buka, message yang dihantar rakan, 

"Salam Tinta, awak unfriend/block saya ke? Kenapa? Apa dosa saya pada awak? Tak apalah kalau macam tu. Terima kasih kerana sempat berkenalan dengan awak." 

Hati saya tersentuh. 

Kawan, tiada dosa awak pada saya. Saya tak pernah block kawan-kawan saya di FB sekalipun saya dihina dan dipersendakan melainkan kalau perbuatan tu dilakukan di FB. Itupun saya akan bagi amaran terlebih dahulu. 

Kawan, sayapun kalau boleh ingin terus ber'Facebook' kerana di situlah berkumpulnya kawan-kawan, saudara-mara, guru-guru, pensyarah dan kenalan jauh dan dekat. Tapi... Keadaan memaksa saya untuk ambil keputusan ni. Saya sangat menderita kerananya. Sungguh, ia terlalu melukakan. Sampai saat ni, luka ini masih berdarah dan parah. Maka FB dan IG tidak akan saya jejaki melainkan Allah mengubah pendirian saya. 

Kawan, jika kamu perlukan saya, sudi untuk mengetahui perkembangan saya seperti di FB, berkunjunglah ke sini atau hubungilah saya menerusi telefon dan mesej. Atau lain-lain medium seperti Yahoo Messenger, email, Skype dan Zello. Whatsapp pun saya kurang berminat sekarang. Maafkan saya kawan. Saya bukan membuang kamu semua tapi keadaan memaksa. Harap kamu semua faham. Maaf juga kerana membuat kamu semua berkecil hati walaupun tanpa niat. 

Wednesday, July 20, 2016

Too Much

Subhanallah, Kau berikanlah kesabaran kepadaku, Tuhan. Benda yang tak sepatutnya tulis suratpun dia orang nak tulis surat dan fight benda yang tak sepatutnya. Saya tak suka nak marah-marah. Nak cuba didik hati supaya sabar. Tapi kaalau dah bukan-bukan... Saya bukan malaikat. Kalau saya marah, orang kata saya garang. Saya bukan garang, tapi tegas. Kalau ya saya kata ya. Kalau tak, saya kata tidak. Manusia selalu keliru antara garang dan tegas. 

Apahal la boss besar ni??? Dari sekecil-kecil benda sampailah perkara yang besar, semua nak suruh saya buat. Saya ni bukan pandai sangat. Cuma cuba buat, usaha dan belajar. Tak adalah kalau saya tak ada office kena tutup. Habis kalau semua saya... Macam mana saya tak marah? Yang tak ada kena-mengena dengan department sayapun, saya nak kena buat. Takkanlah surat untuk semua department saya nak kena buat? Jawatan saya ni jurutulis suratkah? Patutnya, orang dalam department tulah kena buat sebab dia lebih tahu tentang department dia. Apa guna department tu ada staff degree kalau benda simple tak boleh buat? Takkan nak buat kerja factory je? Kena serba bolehlah. Nanti kalau orang lain dapat promotion dan naik gaji bising. Tapi diri sendiri kenalah usaha. Syukur saya cuti esok. So, tak payahlah nak hadap kerja yang bukan kerja saya. Nasiblah. Kerja department lamapun saya masih memangku. Entah bila nak ambil PR pun saya tak tahu. Yang pelik tu, bekas boss PR saya ada je kat department baru dia, tak pulak kena pangku kerja PR. Dunia dah terbalik agaknya. Anak buah pulak yang kena tanggung kerja. Bukan berkira, cuma nak luah je. Gaji jawatan barupun tak dapat lagi. Peliklah orang atasan yang tak fikir fasal staff ni. 

Ya Allah, bagilah petunjuk pada top management office ni. 

Amin... 

Membeli Barang Yang Banyak

Awak, Saya tahu, awak takkan sudi membaca blog saya. Tapi saja saya nak cerita kat awak kat sini sebab saya kan tak boleh cakap dengan awak dah. Awak, Petang semalam, saya pergi Aeon Wangsamaju. Tempat kita selalu pergi dulu. Saya pergi dengan housemate saya. Beli barang saya dan barang keperluan kucing. Antaranya beli tisu gulung dalam plastik besar macam yang saya selalu beli dengan awak, beli tisu kotak dalam plastik besar juga dan beberapa barang lain. Susah juga nak bawa sebab besar dan ada barang lain lagi kan. Lepas tu tangkai plastik tisu tu putus. Tambah susahlah. Syukur ada housemate yang baik, walaupun dia tak ada nak beli barang, sanggup dia teman saya dan siap tolong bawa beberapa barang termasuk barang besar. Awak ingat tak? Dulu awak selalu cakap dengan saya, kalau keluar dengan kawan, tak payah beli banyak-banyak. Beli barang yang perlu je. Kalau banyak dan barang kucing, keluar dengan awak baru beli sebab naik kereta, senang nak bawa. Awak tak nak saya susah. Awak kata, selagi awak ada, awak tak nak saya susah. Awak akan tolong saya, buatkan untuk saya. Kadang-kadang saya cakap, saya dah biasa susah. Tapi awak jawab, "Dulu susah sebab saya tak ada, tak apalah. Sekarang saya ada dengan awak. So, selagi saya mampu, saya akan tolong," Tapi... Kalau awak ada kat KL sekarangpun, belum tentu awak nak susah dengan saya kan? Jumpapun belum tentu awak mahu. Saya bukanlah nak kan kesenangan. Cuma, saya sedih bila mengingatkan awak yang dulu, yang selalu ada dengan saya. Tiba-tiba, awak berubah 360 darjah. Tuhan menguji kita dan awak tewas dalam ujian ni. Tak apalah awak, kalau Allah kata awak milik saya, awak pasti akan kembali pada saya suatu hari nanti. Insya-Allah. Amin... Terima kasih juga buat housemate yang masih sudi susah bersama saya. Tanpa banyak bicara, terus bersetuju bila saya ajak teman ke mana-mana. Tak pernahpun merungut atau memberi reaksi kurang senang. Dan saya akan kehilangannya juga dalam masa beberapa bulan lagi apabila berpindah. Allah uji saya dengan mengambil orang-orang yang saya sayang. Dan akan uji lagi dalam masa beberapa bulan lagi. Semoga Allah mengembalikan semua yang saya sayang kepada saya dan mengekalkan mana yang masih tinggal. Insya-Allah. Amin...

Tuesday, July 19, 2016

Untuk Ke Sekian Kalinya

Untuk ke sekian kalinya, hari ni saya terima dua whatsapp dari orang berlainan: 

"Hai, dah lama tak tengok kat Facebook. Ada kat mana sekarang?" Bunyi Whatsapp. 

Seorang lagi pula bertanya saya OK ke tidak. Setelah beberapa jam saya tidak membaca Whatsappnya, dia menghubungi saya bertanya khabar. Syukur alhamdulillah, masih ada yang ingin mengambil tahu. Kami berbual seketika. Katanya, dah lama tak tengok saya. Yelah, kalau di FB ada juga saya update gambar. Ini adalah orang kedua yang beritahu saya bahawa dia menunggu update baju raya saya di Facebook. Kelakarlah dia orang ni. Saya bukan artis sampai nak tengok update baju raya saya setiap tahun. Saya katakan padanya, datanglah ke sini. Balasnya, di sini tiada gambar saya, tak boleh tengok. Yelah, konsep blog ni kan rahsia siapa penulisnya kecuali bagi rakan-rakan yang sememangnya tahu blog ni milik saya. 

Kawan-kawan, 
Bukan niat saya menjauh atau memutuskan persahabatan. Saya minta maaf, Facebook itu terlalu menyakitkan. Buat saya terlalu menderita. Ada yang suggest saya update Instagram.Oh no, IG pun sama je bagi saya. Penuh dengan kelukaan. Kalau sesekali kalian teringatkan saya, datanglah ke sini andai sudi membaca kisah-kisah saya. FB dan IG bukanlah laman yang menghiburkan saya lagi. Ianya amat menyakitkan. Buat saya sengsara. Maafkan saya ya kawan-kawan yang benar-benar ikhlas mahu berhubung dengan saya. Saya tak mampu lagi melangkah ke laman berkenaan lagi. Kecuali jika Allah berkehendak. 

Rasa Sayang

Suatu perasaan halus menyelinap. Saya tak tahu kenapa. Mungkin Allah mahu saya menghargai semua orang di sekeliling saya. Sejak semalam, hati saya rasa sayang kepada orang-orang sekeliling yang berurusan baik dengan saya. Malah sayang ini dilanjutkan kepada mereka yang menghubungi saya melalui telefon meskipun tidak saya kenalinya. Rasa ini, terlalu halus, sukar saya gambarkan. Ianya untuk semua bukan terhad pada orang tertentu sahaja. Semoga rasa ini terus mengalir dalam diri saya agar senang saya berkomunikasi dan berurusan. Kata Fadzilah Kamsah, apabila kita sayangkan orang, maka orangpun senang untuk sayang kita. Awak, agaknya awak sayangkan saya tak? Mungkin... Mungkin... Segalanya mungkin.

Monday, July 18, 2016

Aku Menanti PertolonganMu

Ya Allah, 
Sampai saat ini, aku menanti pertolonganMu kerana aku yakin, pertolonganMu ada di mana-mana dan sangat dekat denganku seperti janjiMu dalam mukjizat cintaMu buat manusia. Aku tahu, pertolonganMu akan datang padaku dalam sedikit masa lagi dalam bentuk yang tidak disangka-sangka, Insya-Allah dengan izinMu. Aku juga tahu, Kau sengaja mengujiku, ingin mengetahui sejauhmana cintaku padaMu, setinggi mana kesabaranku menghadapi apa yang berlaku. Sedangkan pasangan menguji pasangannya, apa lagi Engkau, pencinta agung yang menyiapkan segala-galanya buatku. 

Tuhan, 
Aku lemah. Aku hanya mengharapkan pertolonganMu dalam urusan hatiku dan hatinya. Aku akan terus menanti pertolonganMu Yang Maha Baik lagi Maha Indah. 

* Ada lagi officemate yang menegur aku kurus. Katanya makin kurus. Ku cuma maniskan muka. Tahukah kawan, betapa aku tersiksa kini? Lara inilah yang memamah semua dagingku. Itu yang kamu perasaan. Bahkan, kulitku turut bertukar. Kini aku tahu, mengapa diceritakan Zulaikha berubah wajahnya kerana derita rindu. Mungkin aku tidak sehebat Zulaikha tapi tempiasnya mengenaiku. 

Ya Allah, 
Tabahkan hatiku, sabarkan jiwaku dalam menanti pertolonganMu yang amat ku dambarkan. 

Sunday, July 17, 2016

Hari Yang Murung

Hari ni, sepanjang hari saya di rumah. Bila keseorangan begini kemurungan pasti menjengah. Saya tak tahu kenapa semakin hari saya semakin merinduinya. Lantas hati terasa ngilu. Lalu... Saya lanjutkan tidur sampai tengahari agar kelukaan ini tidak terasa. Makanan pula tidak lagi menjadi keinginan saya hari ini. Saya terlalu rindukan dia. Saya nak tidur, tidur dan terus tidur. Kalaulah saya mampu untuk tidur bertahun, pasti saya akan lakukan. Biar lenyap semua sengsara ini. 

Awak, saya rindu awak. 

Tuhan, sampaikan salam rinduku padanya. Tolonglah Ya Allah, tolong titipkan salam rindu ini buat dia. 

Insya-Allah rindu ini sampai padanya. 

Amin... 

Saturday, July 16, 2016

Dedikasi Untuk Sahabat

Sahabat, Jika aku tahu, Engkau yang akan ada ketika aku jatuh, Pasti engkau yang ku cari setelah tamat sekolah, Tak perlu mencari yang lain. Sahabat, Jika aku tahu, Tanganmu yang akan menarik aku ke atas bila aku rebah, Pasti tanganmu ku genggam erat saat tawaku keriangan, Tak perlu aku ketawa bersama mereka yang menjauh saat dukaku. Sahabat, Jika aku tahu, Kaulah yang meminjamkan bahu untuk aku menangis, Pasti aku selalu ada dalam hidupmu, berkongsi kisah-kisah terlewati, Tak perlu berkongsi bersama mereka yang hilang saat sempitku. Sahabat, Jika aku tahu, Pelukanmu yang akan menenangkan esakku, Pasti engkau yang ku lagukan dengan cerita-cerita bahagiaku, Tak perlu ku khabarkan pada mereka yang hilang saat aku memerlukan. Sahabat, Ujian ini turut menguji persahabatanku dan mereka, Terus menguji persahabatanku denganmu. Sahabat, Kala ini, aku lemah, rebah dan terlantar, Jatuh ke lembah penderitaan, Hanya ada beberapa pasang tangan bertungkus-lumus memulihkan semangatku, Hanya ada beberapa jemari yang merawat lukaku, Hanya ada beberapa suara melaung agar aku bangkit, Hanya ada beberapa azimat yang dibisikkan ke telingaku untuk aku bangun, Dan sepasang tanganmu... Hari demi hari merangkul aku serta menarik aku ke atas semula, Meski kakiku tak daya untuk berdiri, Kau selalu ada meminjamkan semangatmu. Sahabat, Terima kasih kerana sentiasa ada untukku, Terima kasih bersusah-payah bertanya khabar sentiasa, Terima kasih kerana dari jauh datang semata-mata mahu menemani aku berbuka puasa, Terima kasih kerana sudi datang membawa keceriaan di hari rayaku. Ku lanjutkan terima kasihku ini buat suamimu yang memahami. Semoga berbahagialah kalian dalam kasih sayang Allah hingga ke Jannah. Amin...

Deraan Yang Menyiksa

Kala ini, saya rasa nak menjerit! Saya rasa tersiksa. Pedih! Luka! Perit dan rindu bersatu. 

Saya mahu khabarkan pada dunia, yang saya sakit! Saya ingin laungkan semuanya. Biar bergema ke langit luas. 

Saya sedih, sedih, sedih dan terluka 

Friday, July 15, 2016

Rindu Masih Merah

Awak, Sampai saat ni, rindu saya masih merah membara untuk awak. Saya tak biasa bila sehari tak mendengar suara awak. Tak bercakap dengan awak. Saya rindukan awak, sangat rindukan awak. Awak betul-betul dah lupakan saya ke? Atau awak saja keraskan hati awak untuk jauh dari saya? Awak, saya tahu awak tak mahu berhubung dengan saya. Tapi tahukah awak betapa saya tersiksa? Tahukah awak hari-hari yang saya lalui ibarat meniti di atas bara? Saya amat menderita. Menderita awak. Kenapa awak tergamak buat saya macam ni? Awak dah lupakah yang awak pernah mencintai saya? Menyayangi saya? Menatang saya bagai minyak yang penuh? Mengapa sekelip mata awak berubah? Tidakkah ada belas kasihan dalam hati awak buat saya? Bencikah awak pada saya? Tak bolehkah awak? Tak bolehkah kita hidup bahagia macam dulu? Sentiasa menyayangi dan tertawa? Kenapa awak tegar mempamerkan kemesraan awak dengan orang lain di hadapan saya? Tidak berhargakah saya di mata awak sehingga demikian awak perlakukan saya?

Ke Mana Saya?

Sejak akhir-akhir ni, saya sering mendapat whatsapp, panggilan dan soalan secara bersemuka. "Tinta, mana pergi Facebook Tinta?", "Akak, akak block saya ke? Saya search akak kat FB tak ada", "Tinta, Tinta block akak ke? Akak cari Tinta kat FB tak keluar langsung nama Tinta?", "Saya tunggu awak update gambar baju raya awak kat FB macam tahun lepas. Nak tengok juga baju raya awak tahun ni macam mana? Tapi tunggu-tunggu tak ada updatepun?". Tak sangka saya. Rupa-rupanya, dalam diam, ada juga orang yang search dan tengok apa yang saya update di FB. Terima kasih kepada mereka yang sudi beri perhatian kepada saya di sana. Saya amat menghargainya. Kawan-kawan, Saya tak pernah block friends di FB tanpa amaran. Saya suka berkawan di FB. Kawan-kawan lamapun saya jumpa balik di FB. Apatah lagi kawan baru. Saya tak membenci sesiapa. Tapi... Facebook sangat melukakan hati saya. Saya tak sanggup membaca komen-komen mesra orang yang saya sayang di FB dengan perempuan lain. Ianya amat menyakitkan. Dan sehingga kini saya menderita kerananya. Jadi, biarlah saya berundur dari FB. Begitu juga dengan Instagram. Kalian tak perlulah mencari saya di FB atau follow saya di Instagram kerana kedua-duanya belati yang menghiris hati saya. Dan saya takkan mengunjungi kedua-duanya lagi melainkan terpaksa atau Allah ubah hati dan pendirian saya. Terima kasih atas perhatian kalian. Jika kalian mahu mencari saya, datanglah ke sini. Dan Insya-Allah, saya akan sentiasa ada di sini dengan kisah-kisah hidup saya selagi bernafas melainkan jika suatu masa nanti, blog ni juga menjadi racun kepada saya. Jika tidak di sini, carilah saya di media sosial lain. Cuma mungkin tak seaktif FB dan Blog ni. Sayang kamu semua. Mungkin kita tak bertemu di alam maya tapi, bertemulah kita dalam doa sekiranya ada masa yang mengingatkan kalian pada saya.

Apa Lagi???

Saya dihubungi menerusi telefon. Setelah beberapa waktu berbual, pemanggil bertanyakan tentang seseorang: Pemanggil: Akak kenal tak Diah? (Bukan nama sebenar) Tinta: Kenal gitu-gitu je. Tak kenal sangat. Tupun orang kenalkan. Pemanggil: Akak rapat ke dengan dia? Tinta: Tak. Kalau tak silap baru jumpa empat kali. Sekali tu pernahlah duduk sebilik masa kursus. Kenapa? Pemanggil: Dia ada cakap kat dia orang ni, yang dia tak ngam dengan akak. Akak ada selisih faham dengan dia ke? Tinta: Subhanallah. Selisih faham apa? Tak pernah bergaduh atau bercakap kasarpun dengan dia. Masa duduk sebilik waktu kursus tupun dia banyak on phone, keluar dengan kawan dia. Kalau bersembangpun... Dia yang banyak cakap. Akak just dengar cerita dia dan tanya soalan jelah. Sebab dia banyak cerita fasal travel. Akak kan minat travel, so akak tanyalah tempat yang dia pergi tu apa yang best, budaya macam mana, makanan macam mana. Tu je. Dia OK je masa dengan akak. Tak ada pulak dia macam marah atau tersinggung. Pemanggil: Dia selalu call akak ke? Tinta: Tak pernah call sekalipun. Tak pernah berbual dalam phone. Pemanggil: Tulah, sayapun pelik juga. Setahu saya, akak tak close dengan dia. Tapi bila orang-orang bercerita dia tak ngam dengan akak, tertanya-tanya pulak saya ada krisis apa? Tinta: Akak tak tahulah kalau di luar sedar, akak ada guriskan hati dia. Tapi seingat akak, diapun tak ada sakitkan hati akak. Just hai, hai macam tu je sebab tak rapat. Nak sembang lebih-lebih isu personalpun tak. Pemanggil: Biarlah kak. Mungkin orang tak suka tengok akak berjaya. Akak kan hebat, popular, ramai orang kenal, cantik... Tinta: Cukup, cukup, cukup. Tak payah puji melangit. Sebab akak ni, tak sehebat manapun. Masih jauh ketinggalan di belakang jika dibandingkan dengan kawan-kawan lain. Akak tak ada apa. Kerjaya akakpun tak setinggi mana. Gajipun rendah. Popular tu tak ke manapun. Orang buat interview, akak jawab masuk paper atau TV masa tu je bukan artis. Cantik? Tak secantik manapun. Ramai lagi orang lain lebih cantik. Akak ni biasa-biasa je. Kau jangan puji lebih-lebih. Terutamanya depan orang. Sebab pujian tu akak buat orang lagi menyampah dengan akak. Akak tak naklah orang tak suka akak sebab benda-benda macam ni. Doakan akak bahagia dan berjaya dalam hidup. Takdir hidup akak ni bukan mudah. Akak kena merangkak dari bawah. Dan perjalanan akak masih jauh. Tak ada kejayaan gemilangpun yang boleh akak banggakan yang akak dah capai. Kawan-kawan lain tu, dah jadi pensyarah, pegawai kerajaan, sedangkan akak masih kat sini, berbakti pada komuniti ni. Kalau akak cakap akak kerja kat manapun, orang tak impress pun. Kau pun tak payahlah kagum-kagum dengan akak sangat. Tak ada apa. Tak ada apa yang boleh dikagumkan. Cuma kalau kau rasa akak ni ada kelebihan, tolong doakan supaya kelebihan tu Allah pinjamkan pada akak sampai akak mati. Pemanggil: Akak, janganlah marah. Memang dari dulu saya suka akak. Tinta: Akak tak marah. Cuma, jangan terlalu menyanjung. Nanti kalau akak silap sikit, mesti kau rasa akak ni jahat sangat. Sebab akak ni banyak kekurangan. Akak hargai kebaikan kau pada akak. Tu nasihat je. Tak marahpun. Ya Allah, saya ni dah banyak ujian yang Allah bagi sejak akhir-akhir ni. Saya cuba jaga diri saya, hati saya, cakap saya, perlakuan saya supaya tak mengguriskan hati orang dan tak tambah orang yang tak suka saya. Tapi kalau ada juga orang yang tak puas hati, apa saya nak buat? Sebab saya manusia lemah. Tak boleh puaskan hati semua orang. Saya ni tak banyak kawan. Kenal-kenal macam tu pun orang dah tak suka, apa boleh saya buat? Ya Allah, berikanlah saya ketenangan, kebahagiaan dan keberkatanMu. Kalau ada readers yang merasakan tak suka dengan saya, tulisan saya, secara terbuka di sini, sayapun ingin mohon maaf. Manalah tahukan kalau ada yang kenal saya tu, saya pernah sakitkan hati dan singgungkan perasaan, saya memang mohon maaf banyak-banyak. Saya tak nak bermusuh.

Thursday, July 14, 2016

Lindor Pemberian Pramugari MAS

Waktu menunggu giliran keluar dari flight malam tadi, saya diminta duduk di kerusi first class. Pramugara dan pramugari malam tadi ramah-ramah semuanya. Pramugari datang kepada saya: Pramugari: Suka coklat tak? Tinta: Suka. Pramugari: Ni, saya bagi coklat. Tapi kena makan cepat sebab coklat ni mudah cair. (Sambil meletakkan di tapak tangan saya. Demi tersentuh di tangan, saya tahu itu Lindor kegemaran saya) Tinta: Terima kasih. Lindor right? Pramugari ketawa. Pramugari: ha'ah, mana tahu? Tinta: Mestilah tahu, kegemaran saya. Pramugari: Oooo... Kalau macam tu saya bagi semua. Ala... Tapi tak banyak ada dua je lagi. So, empat je ada. Tinta: Tak apa. Terima kasih banyak-banyak. Lepas tu dengan bangganya dia bercerita dengan pramugara kawannya yang dia bagi saya coklat kegemaran saya. P/S: Awak, ingat tak? Saya pernah bagi awak Lindor tapi awak cakap tak sedap sangat sebab rasa susu. Saya senyum je sebab, awak cakap tak sedap tapi harga coklat tu mahal. Satu tin kecilpun dah seratus lebih. Masa tu saya beli kat duti free airport waktu balik dari Hanoi. Sampai sekarangpun saya tak pernah cakap harga coklat tu kat awak. Takut awak rasa serba-salah sebab dah kompelen coklat saya tu tak sedap.

Repost: Bila Kita Membenci

Saya jumpa entri yang saya tulis pada 28 Julai tahun lepas. Masa tu, saya terasa hati dengan awak. Awak, kalau awak baca entri ni, cubalah awak hayati post ni. Saya harap, awak tak marah fasal post ni. Bila Kita Membenci Malam ni, saya nak menulis tentang hati dan perasaan. Tentang cinta dan kelukaan. Untuk mencari cinta sejati itu ibarat mencari mutiara di laut lepas. Sukar dan menyakitkan. Beruntunglah mereka yang memiliki kebahagiaan saat kali pertama jatuh cinta. Allah telah menyelamatkan mereka dari rasa ngilu pedih akibat ditinggalkan. Hidup ini umpama kapal. Bila waktunya, kita akan berlabuh di suatu dermaga. Dan bila sampai saatnya pula, sauh harus dilepaskan untuk belayar. Sebelum kita dipertemukan dengan cinta sejati atau pasangan yang sesuai menurut janji Allah, pastinya kita akan merasa apa itu derita dan kecewa. Namun awaslah hati-hati amarah, andainya kita membenci si dia yang pernah kita tabalkan sebagai yang teristimewa di hati kita, ingatlah akan kebaikannya yang pernah kita banggakan, akan ketulusannya yang kita sukai suatu ketika dahulu. Janganlah kerana suatu kesilapannya, kita terus membencinya serta menghukumnya. Biar kita tersalah memaafkan dari salah menghukum. Jika kita merasakan sepanjang perhubungan kitalah yang sering bersusah-payah untuk si dia, carilah di celah-celah pengorbanan besar kita sekelumit usahanya untuk membahagiakan kita. Usah kita mendabik dada mengatakan bahawa kitalah yang sering bersusah-payah untuknya dan tidak dihargai. Mungkin itu hanya perasaan kita sedangkan niat si dia meminta sesuatu atau menegur kita demi mengeratkan perhubungan yang dirasakan semakin renggang. Usahlah kita sering mengeluh, melahirkan kebosanan kita menghadapi sesuatu perkara dalam perhubungan atau menzahirkan keletihan kita terhadap tingkah si dia, kerana mungkin si dia juga ada rasa bosan dan penat terhadap sikap kita namun disimpan kemas jauh di sudut hati demi menjaga hati kita serta tidak mahu mencemarkan ikatan yang dibina. Setiap kali amarah mengamuk jiwa, fikirkanlah tentang si dia, mungkin si dia juga pernah marah akan keterlanjuran kita, tapi dimaniskan wajahnya, dijaga tutur katanya sewaktu melahirkan kemarahan kepada kita kerana tidak mahu mengguris perasaan kita. Komunikasi antara kita dan si dia amat penting bagi mengekalkan kemaslahatan hubungan. Janganlah kita merasakan kita sudah lakukan yang terbaik dan si dia tidak berhak untuk menegur dan meminta sesuatu yang disukainya kerana, apa yang baik bagi kita, belum tentu baik bagi si dia. Berbicaralah sebanyak mungkin akan hal-hal perhubungan terutamanya untuk memperbaikinya. Tidak salah membincangkan tentang apa yang kita dan pasangan suka dan apa yang tidak disukai. Ketepikanlah sedikit keegoan kita untuk menerima pandangan pasangan demi menggapai kebahagiaan yang diimpikan. Sekian. Semoga kita semua akan dikurniakan dengan kebahagiaan dambaan insani bersama si dia yang telah dikirimkan Allah kepada kita. Jika para pembaca telahpun memiliki pasangan, berusahalah untuk saling membahagiakan kerana pasangan itu amanah Allah. Beruntunglah anda memiliki pasangan. Pasti hidup anda tidak sunyi seperti saya.

Rindu Di Pagi Hari

Awak, Rindu saya masih merah, cinta saya masih membara buat awak. Waktu pagi adalah waktu awak atau saya buat morning call. Saya rindu nak cakap dengan awak. Tapi saya tahu, awak tak nak cakap dengan saya. Jadi, biarlah Allah yang menjadi perantaraannya, menyampaikan bicara saya pada awak yang saya pendam kian sarat sendiri. Biarlah Suria Khatulistiwa menyampaikan bicara rindu saya pada awak. Moga suatu hari nanti, awak membacanya. Dan masa tu awak akan faham perasaan saya. Kasih sayang saya pada awak masih terus mengalir menyusuri sungai dan lepas ke laut luas yang tak bertepi. Selama Allah izinkan, selama itulah ia akan terus mengalir. P/S: Kepada pembaca blog ni, kalau anda tidak membaca blog ni saya faham dan saya tidak berkecil hati. Bimbang anda dah tak larat lagi nak baca tentang perasaan saya pada dia. Jadi anda punya hak untuk tidak berkunjung ke sini.

Wednesday, July 13, 2016

Bacaan Abah

Saya pasti akan merindui bacaan-bacaan buku abah buat saya. Setiap hari sejak saya balik ke rumah abah, abah bacakan saya pelbagai buku. Buku sifat Allah, buku doa dan buku tafsir Yasin dan huraiannya. Abah pasti tunggu saya bila dia nak baca buku. Terasa macam zaman kanak-kanak dulu. Bezanya, masa kanak-kanak dulu, abah bacakan buku kisah nabi, lagu-lagu rakyat, kisah dongeng dan penglipur lara. Tak sangka abah ada banyak buku doa. Hampir setiap hari abah pesan pada saya suruh amal doa pemeliharaanlah, abah bagi tahu saya doa jinakkan binatang dan lain-lain. Hari ni, abah suruh saya amalkan zikir Subhanallahil azimi wabihamdih. Abah kata, baca selalu supaya lekat dalam hati sampai mati. Abah, abah tahukah yang anak abah ni sedang berdukacita?

Menahan Perasaan

Malam ni, saya akan fly ke KL. Percutian telah tamat. Sedih untuk meninggalkan keluarga sudah mula terasa sejak pagi lagi. Kalau dulu, kesedihan saya tak lama sebab awak selalu ambil saya di KLIA. Kalau awak belum balik dari cuti, esok lusa, awak pasti akan datang jumpa saya. Tapi sekarang... Semuanya saya sendiri dan sorang. Penerbangan jam 8.00 malam kalau tak delay, pukul 9.00 sampailah di KL. Saya tahu, urusan malam selalunya lambat. ERL ke KL Sentral tak ada masalah. Yang problemnya bimbang LRT habis. Saya tak suka ambil teksi sebab tak tahu jalan ke rumah. So, kalau lewat sampai KL Sentral, saya bermalam je di surau office. Bilik tumpanganpun dah penuh dengan student. Kesedihan ni ditambah dengan kepedihan sedia ada. Ya Allah, saya rasa perit, amat perit. Dada saya sebak. Luka hati saya lambat untuk sembuh, tak seperti luka di tubuh saya yang cepat baik. Awak, Saya rindu awak. Tak adakah secebis rindu awak untuk saya?

Monday, July 11, 2016

Sifat-sifat Allah

Dalam kebanyakan anak abah, sayalah yang sering abah pesan tentang agama, tentang mengaji Quran, solat dan lain-lain. Abah ni macam tahu-tahu je yang anaknya ni sedang bermuram durja. Masa raya pertama, abah cakap, suruh saya amalkan bismillahir rahmani Rahim 41 kali dan niatkan kepada penerima taubat "Wahai penerima taubat, sesungguhnya aku dalam memohon pemeliharaanMu,". Kata abah, bila balik ke rumahnya, dia akan bacakan saya sebuah buku. Bila pulang, setiap hari, sampai ke hari ni, abah bacakan saya bukunya. Buku sifat-sifat Allah. Abah saya bukanlah seorang yang warak, tapi dia berusaha untuk belajar. Sayapun bukannya baik sangat. Tapi abah kata, dia tahu, saya bukanlah perempuan yang baik tapi berusaha untuk menjadi baik itu yang penting. Kadang-kadang dari perempuan yang tak baik sangat, berusaha jadi baik, boleh jadi lebih baik dari perempuan baik. Pandai abah memberi semangat kepada saya. Saya rasa macam belajar Tauhid kat sekolah darjah enam dan khas sekolah agama dulu pulak. Teringat Ustazah Azlifah yang mengajar tauhid. Bahagian sifat Allah, Nafsiah, Salbiah, Maani dan Maknawiyah diperdengarkan semula kepada saya. So, bila saya dah habiskan masa dengan tidur untuk hilangkan kepedihan saya, abah akan panggil saya duduk bersamanya sambil membacakan buku tersebut.

Awak Dan Facebook Yang Dulu

Awak, Saya suka awak yang dulu. Awak yang penuh dengan kewibawaan seorang professional. Awak yang tak mudah tergoda dengan perempuan. Awak yang tak berperangai macam budak-budak remaja di Facebook. Awak nampak educated sangat. Komen awak, status awak, semuanya menunjukkan awak seorang yang berkerjaya dan pakar dalam pekerjaan awak. Dan perempuanpun tak berani menggedik-gedik dengan awak di Facebook. Saya nak komen lebih-lebihpun, saya segan walaupun ada sesetengah status tu awak tujukan buat saya dan ada komen-komen tertentu, untuk saya. Tapi masa tu, awak tak over, awak sangat menjaga tatasusila awak sebagai seorang lelaki. Awak tak mengada-ngada, sentiasa berkias dan ianya menampakkan kesopanan dan kematangan awak. Begitu juga saya, saya nak balas komen awakpun, saya fikir dulu sebelum tulis demi menjaga air muka awak dan air muka saya di hadapan khalayak. Saya segan nak komen ngada-ngada nak tunjuk pada orang yang kita sedang dilamun cinta. Saya hormatkan awak. Sebab saya rasa, saya perlu jaga air muka awak. Sebab kat FB tu ada kawan-kawan awak dari golongan professional, ada orang-orang muda, ada staff-staff awak, ada guru dan pensyarah saya, ada saudara-mara saya, ada kawan-kawan saya, ada student-student awak yang pernah training dengan awak. Kalau saya buat perangai mengada-ngada kat situ, mesti dia orang hilang hormat pada awak. Apatah lagi pada saya. Mesti dia orang kata saya bukan-bukan. Walaupun dalam Facebook, tatasusila harus dijaga sebab orang akan menilai peribadi kita daripada tulisan-tulisan kita. Sebab tu saya lebih suka chat dan call. Bebas nak cakap apa. Orang tak tahu. Tapi sekarang... Saya tak tahu kenapa. Kenapa awak jadi macam tu. Awak dah tak menjaga lagi kesopanan awak, kewibawaan awak. Awak banyak berubah. Tak macam dulu. Kadang-kadang, saya tertanya sendiri, betulkah yang saya baca tu status dan komen awak seperti usia awak sekarang? Kenapa tak sematang dulu? Masa saya masih punya Facebook, saya selalu perhatikan penulisan awak dan share awak kat Facebook. Komen awakpun saya baca walaupun yang reply. Dan saya tahu siapa yang selalu komen awak, like awak. Dan saya juga tahu ada orang yang masa saya kenal dengan awak dulu like status awak sampai sekarangpun maksud saya, masa saya ada Facebook. Bukan saya sstock awak. Mula-mula saya tak kisahkan Facebook awak. Tapi bila awak mula berubah, saya mula buat penelitian dan kajian. Dan perempuan-perempuan yang komen Facebook awak sekarangpun hebat-hebat. Tak padan dengan usia dan bergelar perempuan. Saya bukan baik sangat. Tapi kadang-kadang, saya geleng kepala sendirian bila baca komen perempuan-perempuan di Facebook awak. Mungkin saya ni perempuan kolot, tak moden, kuno, tak biasa dengan komen happy-happy kat Facebook. Macam mana saya nak tegur awak, bila sebut fasal Facebook je, awak mesti marah saya. Kononnya Facebook tu hak awak dan suka hati awak nak tulis apa. Memanglah hak awak. Tapi masa tu awak masih ada saya. Awak bagai tak umpamakan saya. Sedikitpun saya lihat awak tak rasa bersalah melayan perempuan lain di hadapan saya. Sedang saya selalu fikirkan perasaan awak bila nak balas komen lelaki di Facebook saya. Saya tak nak komen-komen Facebook saya buat awak marah, buat awak cemburu dan buat awak rasa curiga pada saya. Memanglah sekadar Facebook, tapi kesannya besar dan akan membawa padah. Saya nak awak selalu rasa selesa dan percayakan saya. Mungkin kalau saya layan lelaki lainpun awak tak kisah kot sebenarnya. Saya je yang sibuk-sibuk nak jaga hati awak. Mungkin awak dah tak sayangkan saya masa tu. Saya je yang perasan. Dulu, saya amat mengagumi dan segani sikap awak yang optimis dalam pekerjaan. Saya rasa segan bila berdampingan dengan awak sebab awak matang sangat, pentingkan kerjaya. Saya ingat lagi dulu, masa mula-mula saya hantar chat Tanya awak ni siapa, awak cakap, awak minta maaf. Awak sedang bekerja. Malam nanti baru boleh chat. Saya rasa bersalah sangat masa tu sebab ganggu awak bekerja. Saya rasa awak seorang yang sangat pentingkan kerjaya. Tapi sekarang... Saya tengok, kewibawaan awak tu sedikit demi ssedikit SEAKAN hilang. Saya tengok awak selalu aktif Facebook masa kerja. Awak kata mungkin sebab messenger tu auto kat PC awak, jadi bila awak on, orang Nampak awak online. Tapi, pernah awak cakap, awak tak buka PC tapi FB awak still online. Kadang-kadang, awak kata, awak sibuk. Kena cepat buat proposal dan report tapi kejap-kejap awak online. Kadang-kadang siap balas-balas komen. Saya bukanlah nak stock awak. Tapi awak tahu tak, sebagai perempuan yang mencintai, kami ada naluri dan gerrak hati apabila ada sesuatu yang di luar kebiasaan dalam perhubungan. Hal tu, saya tak ambil berat sangat. Saya fikir, mungkin awak tention buat kerja, so, bukalah Facebook untuk hilangkan stress. Baca apa yang awak suka dan balas komen kawan-kawan tu biasalah. Hilangkan bosan. Namun, situasi ni tak berlaku dulu masa kita mula-mula kenal. Dulu kalau awak sibuk, awak memang sibuk. Tak buka dah Facebook ni. Kadang-kadang sampai dua tiga hari awak tak online FB sebab tak ada masa. Walaupun saya online, awak tak peduli dah masa tu. Memang awak sangat komited pada kerja. Kenapa awak? Kenapa sekarang awak tak macam dulu? Kenapa awak berubah? Kalau nak ikutkan, dulu awak gred rendah dari sekarang. Sepatutnya sekarang awak lebih sibuk. Siap jadi boss pejabat lagi. Fikir positif, dulu awak banyak outstation, tulis jurnal dan bagi training. Maaf saya cakap awak. Bagi saya yang dah empat tahun bersama awak, melalui pemerhatian saya dan kesimpulan yang saya buat, kredibiliti awak merosot sejak akhir-akhir ni. Saya rindu awak yang dulu. Saya sayang awak. Tapi... Apalah hak saya untuk menegur awak lagi. Awak, Andai suatu hari nanti awak membaca entri saya ni. Saya harap awak tak marahkan saya atas teguran dan luahan saya. Saya harap, awak akan kembali berubah, menjadi awak yang dulu. Awak yang mempunyai tatasusila, sopan, matang dan tinggi kredibiliti sebagai orang lelaki yang bertanggungjawab yang saya yakin, idaman kebanyakan perempuan yang serius dalam perhubungan seperti saya. Yang benar-benar ingin menjadikan awak suami dunia dan akhirat.

Sunday, July 10, 2016

Bagai Nak Gila

Tak ada apa yang saya buat raya ni. Rindu ini bagai tak teertanggung. Saya banyak menghabiskan masa dengan tidur agar kelukaan ini tidak terasa. Tapi setiap kali terjaga saya pasti, pasti merinduinya. Ya Allah, parahnya luka ini. Hanya pada Allah saya meminta pertolongan. Janganlah sampai iman saya goyah. Nak buka internetpun saya tak ada keinginan. Awak, kenapa awak? Kenapa kita jadi macam ni? Dulu awak selalu ingatkan pada saya, kalau ada apa-apa yang tak puas hati, kena bagi tahu awak. Jangan simpan. Tapi kenapa ini yang awak lakukan pada saya? Kenapa awak tak slow talk dengan saya kalau ada hal yang menyinggung hati awak? Besar sangatkah salah saya pada awak sehingga awak menghukum saya begini? Ke mana hilangnya sikap awak yang penyayang dan sentiasa lemah-lembut terhadap saya?

Wednesday, July 6, 2016

Sampaikan Salam Rinduku Padanya

Ya Allah, 
Sesungguhnya aku tidak mampu membendung rinduku padanya, 
Namun aku juga tidak mampu memaksa hati orang untuk merinduiku. 

Ya Allah, 
Rindu ini menderaku sepanjang 1 Syawal ini, 
Tatkala takbir bergema, 
Usai Solat Hari raya, rindu kian mencengkam, 
Tiada lagi panggilan ucap selamat hari raya daripadanya, 
Tiada lagi usikannya tatkala melihat gambar raya keluargaku, 
Tiada lagi kiriman gambar hari rayanya menerusi whatsapp untukku, 
Tiada lagi perkongsian cerita raya daripadanya. 

Ya Allah, 
Aku amat rindukan suaranya, 
Bicaranya, 
Mengapa rindu ini kian menyiksa, 
Memalu hatiku nan pilu,
Lalu mengalirkan air mata kesayuan. 

Ya Allah, 
Aku amat, amat merinduinya. 

Ya Allah, 
Sampaikan salam rinduku buat Ahmad Fauzi Mohd Shariff sehingga resap ke dalam hatinya. 

Amin... 

Monday, July 4, 2016

Moga Sihat-sihat Saja

Badan ni terasa letih, rimas dengan selsema dan sakit tekak. Rasa tak selesa. Harap saya tak demam sebab kalau demam saya pasti tak boleh bangun dua tiga hari. Esok lusa dah nak raya. Saya dahlah duduk sorang. 

Buat readers yang mengenali saya, sekiranya saya tak update blog ni sampai malam esok, mohon contact saya ya. 


Sunday, July 3, 2016

Selamat Jalan Awak

Kebiasaannya, waktu-waktu begini, awak on the way balik ke Beseri, Perlis. Biarpun tidak secara terus, saya ucapkan selamat jalan awak. Hati-hati dalam perjalanan. Saya doakan keselamatan awak dan semoga selamat tiba di rumah. 

Jika Allah izinkan, suatu hari nanti, saya akan ucapkan pada awak menerusi talian telefon seperti dulu. Insya-Allah. 


Abang Rindu Awak

Saya terima panggilan daripada seseorang yang pernah menawarkan cintanya buat saya pada suatu ketika dulu. 

"Abang nak jumpa awak," Maklumnya pada saya. 

"Kenapa?" 

"Abang memang nak jumpa awak. Abang rindukan awak," Katanya perlahan. 

"Saya rasa tak payahlah. Nanti lain pulak jadinya," 

Sungguh,saya tak mahu berjumpa dengannya. Bukan saya sombong tapi statusnya sebagai suami membuatkan saya tidak selesa. Lebih-lebihh lagi isterinya memang cemburukan saya. Tak pernah buat apapun orang dah cemburu, kalau jumpa apatah lagi? Saya dah cukup sarat dengan masalah sekarang ni. Saya tak nak tambah masalah lagi. Lepas tu bagi masalah kat orang. Lagipun, saya tak suka ganggu hak orang. Lainlah kalau hak saya yang diganggu, maka saya akan berusaha untuk memulihkan hubungan. Saya memang sensitif dalam bab ni. Tapi kenapalah hak saya sering diganggu? Sedangkan saya tak pernah ganggu suami, tunang atau kekasih orang.Tapi orang lain, senang-senang je ambil hak saya. Orang yang saya sayang pulak senang je tergoda dan berubah hati. 

Ya Allah, 
Semoga dengan saya menghindari hak orang, jauhkanlah hak saya daripada diganggu sebagaimana saya menahan perasaan daripada mengganggu hak orang. 


Bebas Di Sini

Sejak-sejak dah tak ada akaun Facebook ni, kerap pulak saya update blog ni. Mana taknya, blog nilah pengganti Facebook. Jadi saya akan update blog ni macam update Facebook. Cuma dengan post yang lebih panjang. 

Facebook dan blog ni lebih kurang je. Bezanya, kat sini tak ada likers. Komen blog sayapun tak banyak. Tak apalah, saya rasa tenanng kat sini walaupun saya rindukan komen. Dekat blog ni saya bebas nak tulis apa saja. Tak perlu nak fikir fasal orang, hati orang, perasaan orang dan apa orang nak kata. Sebab, post saya kat sini tak timbul dekat wall orang. Kadang-kadang kat FB tu kita tak niatpun nak sakitkan hati orang, sekadar nak luahkan je. Tapi bila muncul kat wall orang, ada pulak yang terasa. 

Lagi satu, kat sini, kita tak tahu siapa yang baca. Jadi, bila orang tak like, tak baca blog kita atau tinggalkan blog kita, kita tak terasa hati. Siapa nak baca, bacalah. Blog ni agak privasi sikit. Kalau orang tak cari blog kita nak baca, orang tak baca dan tak sakit hati dengan tulisan kita. Tapi, kalau saja nak ambil tahu fasal kita, saja-saja nak baca blog kita, kalau terasa hati... Bukan salah tuan tanah. Dia orang yang nak baca. Dah namanya diari peribadi, terserahlah pada tuan empunya blog nak tulis fasal apapun. Fasal diri sendiri, perasaan, nak marah, nak buat apapun boleh. Nak tulis cerita yang sama berulang kalipun terpulanglah pada tuan blog. Kalau reader tak nak baca, itu pilihan reader. 

Macam-macamlah kenangan saya dengan blog ni. Ada juga cerita dalam Suria Khatulistiwa ni disebarkan ke luar. Marah? Buat apa nak marah? Dah tentunya ini diari online dan sayapun tak private kan blog ni. So, itu risiko untuk sayalah. Cuma,walaupun saya tak marah, ingatlah, Allah Maha Mengetahui siapa yang sebarkan, yang buat cerita, yang menghasut, yang mentertawakan dan lain-lain. Setiap perbuatan itu pasti ada balasannya. 

Mimpi Dia

Saya terjaga dari tidur setelah Subuh tadi. Selsema dan sakit tekak buat saya tak betah berjaga. Saya mimpikan awak. Mungkin sebab terlalu rindukan awak, maka terbawa dalam tidur saya. 

Ya Allah, 
Titipkanlah rasa yang sama di hatinya buatku. 

Amin... 

Cinta Membawa Kekerasan Hati Angah

Sekarang, saya faham kenapa hati angah begitu keras kepada lelaki. Mana-mana lelaki yang dirasakan tidak serius dengannya, tanpa fikir panjang dan dengan cepat ditinggalkannya. Baginya, lelaki bukan sejenis makhluk yang boleh dibuat baik dan diberi muka kelak, akan merosakkan! Mungkin angah berpegang pada konsep, sebelum dia sakiti aku, biar aku tinggalkan dia dulu. Saya lihat, angah sangat mudah meninggalkan lelaki pantang ada sedikit salah. 

Sebenarnya angah tak macam tu. Dia tak sezalim itu. Tapi, bila saya sendiri menghadapi apa yang dia alami, saya faham akan tindakannya. Cuma hati saya tak sekeras angah untuk buat apa yang dia buat. Nak salahkan dia seratus pratuspun tak boleh. Hanya Tuhan je tahu perasaan bila hati disakiti, bila cinta dikhianati. Kadang-kadang saya rasa, best jadi angah, tak ada siapa dapat sakitkan hati dia selepas peristiwa tu. 

Antara kami adik-beradik, angahlah yang lebih dulu mengenal cinta. Cinta pertama angah, anak tauke minyak PETRONAS tempat angah bekerja semaasa tunggu result SPM. Saya tahu, cinta angah berbalas. Saya sering mendengar cerita angah tentang indahnya perasaan dilanda cinta. Sayalah pemegang mohor besar penyimpan rahsia angah masa tu.Cinta mereka berterusan sehingga angah menjalani kursus Asasi Undang-undang di UiTM yang juga tempat saya belajar. Saya juga tahu, cinta angah suci buat Zaki, anak tauke minyak tersebut. Kalau tidak, masakan hampir setiap minggu angah sanggup pulang ke Kelantan. 

Segalanya bermula hampir 11 tahun lalu. Petang tu, saya terima panggilan dari angah yang tinggal di Kolej Teratai. Angah minta saya bersiap. Dia ajak saya ke Kompleks PKNS., tempat selalu kami pergi bila keluar. Angah kata, dia akan bergerak sekarang ke Kolej Seroja, asrama saya. Tanpa banyak soal, saya terus bersiap. Mungkin adalah benda yang dia nak beli atau dia bosan dan saja-saja nak ambil angin petang. Mungkin kami akan duduk-duduk di Tasik Shah Alam yang terletak berdekatan kompleks tersebut. 

Sampai di PKNS,saya membeli barangan saya. Saya tengok angah OK je masa tu. Kalau tak silap, dia tak beli apa-apa. Lepas shopping, angah ajak saya minum di sebuah kedai dalam kompleks tersebut. Masa tu, sikap angah mula berubah. Mungkin penderitaan hatinya tidak terbendung lagi. Saya yang sememangnya peka akan perubahan suara orang, terus bertanyakan sebabnya. Angah menangis. Dalam esak yang menggila, angah menceritakan kepada saya bagaimana cintanya dikhianati. Saya lantas memeluk angah, menyalurkan kekuatan padanya. Pelukan saya berbalas, angah mencari kekuatan dalam kelukaannya yang dalam. Saya turut menangis.Saya tak pernah rasa sakit ditinggalkan lelaki tapi melihatkan angah menangis, saya dapat rasakan, betapa pedihnya perasaan angah. Tangisnya hiba memilukan. Saya bersimpati padanya. Saya terus meniupkan kata-kata semangat buatnya agar dapat menjadi penawar baginya. Ceritanya sungguh menyakitkan. Dia dicurangi. Dia menerima kekalahan di hadapan orang ketiga. Ya Allah, mengapa lelaki yang menyayahngi begitu mudah berubah. Tegarnya dia melukakan hati angah? 10 Tahun usianya lebih tua dari angah tidakkah mematangkan dia untuk berfikir sebuah erti cinta? Fikir saya. Dan kini saya faham semua tu. 

Angah kuat. Dia tak selemah saya. Nekadnya, dia tidak akan memberi peluang lagi kepada lelaki untuk menyakitinya. Jika cinta tak kesampaian, dia tidak mahu kecewa lagi dan dia yang akan membuat keputusan.Akhirnya,angah berjaya menanamkan rasa benci kepada Zaki. Alangkah baiknya kalau saya dapat ikut jejak angah. Tapi saya ni banyak fikir. Fikir tidak mahu membenci, tidak mahu hati jadi keras dan apa yang penting, Tuhan tidak suika kita membenci. 

Beberapa tahun kemudian, saya dengar, Zaki mula menyebut-nyebut tentang angah di hadapan adiknya yang terus menjadi sahabat angah. Pernah beberapa kali mereka ingin bertembung tetapi angah mengelak. Jika mahu bertemu Ayu, selalunya angah akan berjumpanya di luar, bukan di rumah mereka. 

Akhirnya, Zaki ingin sekali bertemu angah. Tapi angah enggan mengingatkan apa yang telah dilakuikannya. Saya pernah menasihati angah supaya berjumpa dengannya, manalah tahu kalau memang jodoh angah bersamanya. Kata angah, cukuplah sekali. Sekali dia dikhianati, dia takkan berpaling lagi. Bertemupun dia tak mahu. Sehinggalah suatu hari, kami mendapat berita bahawa Zaki menghidap barah tahap empat. Dia terlantar di rumahnya yang berhampiran dengan rumah kami. Saya tak ingat, angah jumpa dia atau tidak sebelum kematiannya. 

Sesungguhnya, cinta itu memberi kesan yang mendalam bagi kehidupan seseorang. Berfikirlah dulu sebelum melafazkan cinta kerana Allah menghisab apa yang kita lakukan walaupun dalam soal hati dan perasaan. Dan ingatlah, Allah itu Maha Adil dan Dia akan membalas dengan balasan yang setimpal atas semua perbuatan kita. Jangan sesekali kita menganiaya orang. Kesan dari kegagalan cinta pertamanya masih dapat dilihat pada diri angah hingga hari ni. Angah sangat keras dan kadang-kadang ego dalam soal ni. Saya tak salahkan dia, kerana sakit ditinggalkan amat dahsyat. Cuma saya je belum mampu menjadi seperti angah. 

Saturday, July 2, 2016

Saya Masih Di Office

Saya rasa tenang bila saya di office. Malam ni... Saya rasa macam awak akan datang ambil saya kat office ni. Macam yang selalu awak lakukan bila saya ada kerja perlu disiapkan. Dulu, awak selalu pesan kat saya, kalau balik lambat, call awak dan awak akan datang ambil saya lepas tu hantar ke rumah. Memang itulah yang awak lakukan selama kita bersama. Walaupun awak penat, awak tetap datang tanpa rungutan. Kadang-kadang, saya nak naik LRT tapi awak kata bahaya nak jalan sorang-sorang tengah malam. Kadang-kadang, kita sama-sama balik lewat. Bila awak habis kerja di office awak, awak terus ke office saya dan kita pergi makan, lepas tu hantar saya balik rumah. Akhir sekali baru awak balik. Awak rela berpatah-patah balik sebab nak pastikan saya selamat. Ada masanya, awak sampai awal ke office saya sebelum saya habis kerja. Awak cakap dengan saya, buat kerja tenang-tenang, jangan gopoh-gopoh, awak tak kisah berapa lama masa saya ambil. Awak akan duduk di sofa kat lobi tunggu saya. Sedang saya pulak, memang tak boleh tenang bila awak tunggu saya. Saya akan buat kerja gopoh-gapah. Kadang-kadang, saya biarkan saja kerja tak siap. Sebab, saya tak nak awak tunggu lama. Saya tak suka orang tunggu saya. Awak selalu tanya, kata ada kerja banyak, takkan cepat sangat habis? Saya cakap tak ada dah. Saya tak bagi tahu awak yang sebenarnya, kerja saya tak siap, nanti awak marah saya. Saya terpaksa menipu sebab saya tak nak awak tunggu lama sorang-sorang. Walaupun awak boleh buat macam-macam tapi saya rasa tak sedap. Melainkan awak bawa laptop dan buat kerja kat lobi. Kalau macam tu, tak apa, at least, awak buat something. Saya sayang awak dan saya tak nak awak tunggu saya lama. Saya nak selalu ada dekat dengan awak, bila awak datang tempat saya. Saya nak berbual dengan awak, nak bercerita dengan awak, nak dengar cerita awak dan nak dengar usikan awak. Lepas awak usik saya, kita ketawa sama-sama. Dan saya dapat rasakan, kalau saya teman awak buat kerjapun, awak tak nak saya tunggu lama sebab kejap-kejap awak kata, "Kejap ya, awak. Saya siapkan ni kejap," saya akan jawab OK. Lepas tu awak akan cakap benda yang sama lagi dan jawapan saya still OK. Walaupun saya penat buat kerja, bila awak sampai office saya, saya mesti happy dan dah tak ada tension-tension. Kadang-kadang awak saja buat saya kelam-kabut dengan ketuk pintu pejabat saya bertalu-talu macam nak roboh. Saya selalu marah awak buat gitu. Awak ketawa je sebab saja je awak buat macam tu dan awak tahu saya marah sebab awak buat bising dan buat saya terperanjat. Semoga Allah mengizinkan kita untuk lalui saat-saat ni untuk kali kedua dan kekal hingga akhir hayat kita. Insya-Allah, amin...

Sakit Yang Menyiksa

Ya Allah, Apakah aku diciptakan untuk disakiti, dianiaya, dizalimi dan dikhianati? Aku bukan menyalahkan takdir jauh sekali menyalahkanMu, Namun terkadang fikiran ini terlintas ke situ Lantaran sakit yang menyiksa. Awak, Kenapa awak tergamak memberi harapan kepada saya kemudian memusnahkannya? Kenapa sampai hati awak mengkhianati cinta saya? Jika ada salah saya, mengapa tidak ditegur dan dibimbing? Saya sayang awak sungguh-sungguh bukan untuk berpisah Sayang saya pada awak untuk dunia dan akhirat. Saya nak awak temani saya dari dunia sampai akhirat. Begitu juga saya, Saya mahu menemani sepanjang hayat awak di dunia membawa ke alam kekal. Saya tidak mahu berpisah dengan awak melainkan maut menjemput. Ya Allah, Aku masih menyayanginya, Maka aku serahkan urusan ini kepadaMu, Tuhan sebaik-baik perancang. Aku bertawakal kepadaMu, Ya Allah.

Friday, July 1, 2016

Semoga Awak Selamat Sampai

Selalunya dalam bulan puasa ni, awak balik rumah mak malam Sabtu. Kalau betul awak balik, mesti awak dah sampai rumah mak. Saya harap, awak dah sampai dengan selamatnya. 

Awak jangan berjaga malam tau, nanti darah naik. Jangan degil-degil nanti sakit, sendiri yang susah. 

Sayang awak selalu, selamat malam dan assalammualaikum awak. Kalau Allah berkehendak, maka suatu hari nanti saya akan ucap kat awak sendiri selamat malam. Tak payahlah saya tulis lagi. 

Insya-Allah, amin... 


Awak...

Sedang lenakah awak kala ini? Kala kerinduan memalu kalbu saya ketika sendirian di kamar bisu? Bermimpi indahkah awak kala air mata ini mengalirkan hangat kasih terpinggir? 

Kelukaan yang awak ciptakan ini maha pedih. Tak bisa tergambar dengan kata-kata. Mengapa tergamak awak mengecewakan saya setelah janji-janji bersemi? Lupakah awak pada saat-saat indah kita? Pada waktu-waktu yang telah terlewati? Pada saat tawa gurau berderai? Pada kala susah menjengah dan kita sama-sama enempuhinya? Apakah ada salah saya yang merubah atau sememangnya hati awak rapuh mempertahankan cinta kita? 

Ketahuilah awak,saya amat merindui awak, lelaki yang pernah membahagiakan. Apa saya tidak pernah melorek bahagia pada layar hidup awak? 

Sayang saya pada awak bukan main-main tapi sayang saya pada awak untuk menjadi pendamping hidup saya dunia akhirat. Tatkala mata awak dibutakan untuk menilai semua tu, saya harap masih ada setitis cahaya yang akan menyuluhnya. 

Maka, saya insan lemah yang tak daya melawan takdir ini, menyerahkan kepada Allah, tempat bergantung dan berharap. Sesungguhnya Allah, aku bertawakal.