Dari hati seorang perempuan: Pandangan merentasi sempadan khatulistiwa, sedalam jurang Mariana, melewati lautan pasifik.
SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA
Saturday, July 16, 2016
Dedikasi Untuk Sahabat
Sahabat,
Jika aku tahu,
Engkau yang akan ada ketika aku jatuh,
Pasti engkau yang ku cari setelah tamat sekolah,
Tak perlu mencari yang lain.
Sahabat,
Jika aku tahu,
Tanganmu yang akan menarik aku ke atas bila aku rebah,
Pasti tanganmu ku genggam erat saat tawaku keriangan,
Tak perlu aku ketawa bersama mereka yang menjauh saat dukaku.
Sahabat,
Jika aku tahu,
Kaulah yang meminjamkan bahu untuk aku menangis,
Pasti aku selalu ada dalam hidupmu, berkongsi kisah-kisah terlewati,
Tak perlu berkongsi bersama mereka yang hilang saat sempitku.
Sahabat,
Jika aku tahu,
Pelukanmu yang akan menenangkan esakku,
Pasti engkau yang ku lagukan dengan cerita-cerita bahagiaku,
Tak perlu ku khabarkan pada mereka yang hilang saat aku memerlukan.
Sahabat,
Ujian ini turut menguji persahabatanku dan mereka,
Terus menguji persahabatanku denganmu.
Sahabat,
Kala ini, aku lemah, rebah dan terlantar,
Jatuh ke lembah penderitaan,
Hanya ada beberapa pasang tangan bertungkus-lumus memulihkan semangatku,
Hanya ada beberapa jemari yang merawat lukaku,
Hanya ada beberapa suara melaung agar aku bangkit,
Hanya ada beberapa azimat yang dibisikkan ke telingaku untuk aku bangun,
Dan sepasang tanganmu...
Hari demi hari merangkul aku serta menarik aku ke atas semula,
Meski kakiku tak daya untuk berdiri,
Kau selalu ada meminjamkan semangatmu.
Sahabat,
Terima kasih kerana sentiasa ada untukku,
Terima kasih bersusah-payah bertanya khabar sentiasa,
Terima kasih kerana dari jauh datang semata-mata mahu menemani aku berbuka puasa,
Terima kasih kerana sudi datang membawa keceriaan di hari rayaku.
Ku lanjutkan terima kasihku ini buat suamimu yang memahami.
Semoga berbahagialah kalian dalam kasih sayang Allah hingga ke Jannah.
Amin...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment