Sebenarnya angah tak macam tu. Dia tak sezalim itu. Tapi, bila saya sendiri menghadapi apa yang dia alami, saya faham akan tindakannya. Cuma hati saya tak sekeras angah untuk buat apa yang dia buat. Nak salahkan dia seratus pratuspun tak boleh. Hanya Tuhan je tahu perasaan bila hati disakiti, bila cinta dikhianati. Kadang-kadang saya rasa, best jadi angah, tak ada siapa dapat sakitkan hati dia selepas peristiwa tu.
Antara kami adik-beradik, angahlah yang lebih dulu mengenal cinta. Cinta pertama angah, anak tauke minyak PETRONAS tempat angah bekerja semaasa tunggu result SPM. Saya tahu, cinta angah berbalas. Saya sering mendengar cerita angah tentang indahnya perasaan dilanda cinta. Sayalah pemegang mohor besar penyimpan rahsia angah masa tu.Cinta mereka berterusan sehingga angah menjalani kursus Asasi Undang-undang di UiTM yang juga tempat saya belajar. Saya juga tahu, cinta angah suci buat Zaki, anak tauke minyak tersebut. Kalau tidak, masakan hampir setiap minggu angah sanggup pulang ke Kelantan.
Segalanya bermula hampir 11 tahun lalu. Petang tu, saya terima panggilan dari angah yang tinggal di Kolej Teratai. Angah minta saya bersiap. Dia ajak saya ke Kompleks PKNS., tempat selalu kami pergi bila keluar. Angah kata, dia akan bergerak sekarang ke Kolej Seroja, asrama saya. Tanpa banyak soal, saya terus bersiap. Mungkin adalah benda yang dia nak beli atau dia bosan dan saja-saja nak ambil angin petang. Mungkin kami akan duduk-duduk di Tasik Shah Alam yang terletak berdekatan kompleks tersebut.
Sampai di PKNS,saya membeli barangan saya. Saya tengok angah OK je masa tu. Kalau tak silap, dia tak beli apa-apa. Lepas shopping, angah ajak saya minum di sebuah kedai dalam kompleks tersebut. Masa tu, sikap angah mula berubah. Mungkin penderitaan hatinya tidak terbendung lagi. Saya yang sememangnya peka akan perubahan suara orang, terus bertanyakan sebabnya. Angah menangis. Dalam esak yang menggila, angah menceritakan kepada saya bagaimana cintanya dikhianati. Saya lantas memeluk angah, menyalurkan kekuatan padanya. Pelukan saya berbalas, angah mencari kekuatan dalam kelukaannya yang dalam. Saya turut menangis.Saya tak pernah rasa sakit ditinggalkan lelaki tapi melihatkan angah menangis, saya dapat rasakan, betapa pedihnya perasaan angah. Tangisnya hiba memilukan. Saya bersimpati padanya. Saya terus meniupkan kata-kata semangat buatnya agar dapat menjadi penawar baginya. Ceritanya sungguh menyakitkan. Dia dicurangi. Dia menerima kekalahan di hadapan orang ketiga. Ya Allah, mengapa lelaki yang menyayahngi begitu mudah berubah. Tegarnya dia melukakan hati angah? 10 Tahun usianya lebih tua dari angah tidakkah mematangkan dia untuk berfikir sebuah erti cinta? Fikir saya. Dan kini saya faham semua tu.
Angah kuat. Dia tak selemah saya. Nekadnya, dia tidak akan memberi peluang lagi kepada lelaki untuk menyakitinya. Jika cinta tak kesampaian, dia tidak mahu kecewa lagi dan dia yang akan membuat keputusan.Akhirnya,angah berjaya menanamkan rasa benci kepada Zaki. Alangkah baiknya kalau saya dapat ikut jejak angah. Tapi saya ni banyak fikir. Fikir tidak mahu membenci, tidak mahu hati jadi keras dan apa yang penting, Tuhan tidak suika kita membenci.
Beberapa tahun kemudian, saya dengar, Zaki mula menyebut-nyebut tentang angah di hadapan adiknya yang terus menjadi sahabat angah. Pernah beberapa kali mereka ingin bertembung tetapi angah mengelak. Jika mahu bertemu Ayu, selalunya angah akan berjumpanya di luar, bukan di rumah mereka.
Akhirnya, Zaki ingin sekali bertemu angah. Tapi angah enggan mengingatkan apa yang telah dilakuikannya. Saya pernah menasihati angah supaya berjumpa dengannya, manalah tahu kalau memang jodoh angah bersamanya. Kata angah, cukuplah sekali. Sekali dia dikhianati, dia takkan berpaling lagi. Bertemupun dia tak mahu. Sehinggalah suatu hari, kami mendapat berita bahawa Zaki menghidap barah tahap empat. Dia terlantar di rumahnya yang berhampiran dengan rumah kami. Saya tak ingat, angah jumpa dia atau tidak sebelum kematiannya.
Sesungguhnya, cinta itu memberi kesan yang mendalam bagi kehidupan seseorang. Berfikirlah dulu sebelum melafazkan cinta kerana Allah menghisab apa yang kita lakukan walaupun dalam soal hati dan perasaan. Dan ingatlah, Allah itu Maha Adil dan Dia akan membalas dengan balasan yang setimpal atas semua perbuatan kita. Jangan sesekali kita menganiaya orang. Kesan dari kegagalan cinta pertamanya masih dapat dilihat pada diri angah hingga hari ni. Angah sangat keras dan kadang-kadang ego dalam soal ni. Saya tak salahkan dia, kerana sakit ditinggalkan amat dahsyat. Cuma saya je belum mampu menjadi seperti angah.
No comments:
Post a Comment