SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA

Thursday, July 14, 2016

Repost: Bila Kita Membenci

Saya jumpa entri yang saya tulis pada 28 Julai tahun lepas. Masa tu, saya terasa hati dengan awak. Awak, kalau awak baca entri ni, cubalah awak hayati post ni. Saya harap, awak tak marah fasal post ni. Bila Kita Membenci Malam ni, saya nak menulis tentang hati dan perasaan. Tentang cinta dan kelukaan. Untuk mencari cinta sejati itu ibarat mencari mutiara di laut lepas. Sukar dan menyakitkan. Beruntunglah mereka yang memiliki kebahagiaan saat kali pertama jatuh cinta. Allah telah menyelamatkan mereka dari rasa ngilu pedih akibat ditinggalkan. Hidup ini umpama kapal. Bila waktunya, kita akan berlabuh di suatu dermaga. Dan bila sampai saatnya pula, sauh harus dilepaskan untuk belayar. Sebelum kita dipertemukan dengan cinta sejati atau pasangan yang sesuai menurut janji Allah, pastinya kita akan merasa apa itu derita dan kecewa. Namun awaslah hati-hati amarah, andainya kita membenci si dia yang pernah kita tabalkan sebagai yang teristimewa di hati kita, ingatlah akan kebaikannya yang pernah kita banggakan, akan ketulusannya yang kita sukai suatu ketika dahulu. Janganlah kerana suatu kesilapannya, kita terus membencinya serta menghukumnya. Biar kita tersalah memaafkan dari salah menghukum. Jika kita merasakan sepanjang perhubungan kitalah yang sering bersusah-payah untuk si dia, carilah di celah-celah pengorbanan besar kita sekelumit usahanya untuk membahagiakan kita. Usah kita mendabik dada mengatakan bahawa kitalah yang sering bersusah-payah untuknya dan tidak dihargai. Mungkin itu hanya perasaan kita sedangkan niat si dia meminta sesuatu atau menegur kita demi mengeratkan perhubungan yang dirasakan semakin renggang. Usahlah kita sering mengeluh, melahirkan kebosanan kita menghadapi sesuatu perkara dalam perhubungan atau menzahirkan keletihan kita terhadap tingkah si dia, kerana mungkin si dia juga ada rasa bosan dan penat terhadap sikap kita namun disimpan kemas jauh di sudut hati demi menjaga hati kita serta tidak mahu mencemarkan ikatan yang dibina. Setiap kali amarah mengamuk jiwa, fikirkanlah tentang si dia, mungkin si dia juga pernah marah akan keterlanjuran kita, tapi dimaniskan wajahnya, dijaga tutur katanya sewaktu melahirkan kemarahan kepada kita kerana tidak mahu mengguris perasaan kita. Komunikasi antara kita dan si dia amat penting bagi mengekalkan kemaslahatan hubungan. Janganlah kita merasakan kita sudah lakukan yang terbaik dan si dia tidak berhak untuk menegur dan meminta sesuatu yang disukainya kerana, apa yang baik bagi kita, belum tentu baik bagi si dia. Berbicaralah sebanyak mungkin akan hal-hal perhubungan terutamanya untuk memperbaikinya. Tidak salah membincangkan tentang apa yang kita dan pasangan suka dan apa yang tidak disukai. Ketepikanlah sedikit keegoan kita untuk menerima pandangan pasangan demi menggapai kebahagiaan yang diimpikan. Sekian. Semoga kita semua akan dikurniakan dengan kebahagiaan dambaan insani bersama si dia yang telah dikirimkan Allah kepada kita. Jika para pembaca telahpun memiliki pasangan, berusahalah untuk saling membahagiakan kerana pasangan itu amanah Allah. Beruntunglah anda memiliki pasangan. Pasti hidup anda tidak sunyi seperti saya.

No comments: