SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA

Friday, December 29, 2017

Kamu Mencinta Kerana Apa?

Assalammualaikum... Salam sejahtera semua. Sudah lama saya tidak menulis tentang cinta, tentang perasaan, tentang hati, tentang rindu di sini. Bukan kerana cinta itu telah mati dalam nurani saya cuma... Telah saya pasrahkan segalanya pada Allah. Saya tidak mahu lagi berharap kepada manusia. Saya yakin, Dia sebbaik-baik perancang. Maka saya tunggu jodoh kirimanNya dengan doa dan tawakal. Hari-hari cuti saya di kampung banyak saya luangkan untuk mendengar ceramah agama di Youtube. Saya tertarik dengan ceramah-ceramah yang disampaikan oleh seorang penceramah Indonesia iaitu Ustaz Hanan Attaki. Saya mendengar pelbagai ceramah daripada beliau. Tentang para rasul, isteri-isteri nabi, anakanda baginda serta para sahabat. Tidak terkecuali ceramah berkisar cinta dan jodoh. Saya tertarik kepada perbincangan tentang cinta. Kata Ustaz Hanan Attaki, mencintai itu ada dua sebab. Kerana nafsu atau kerana hati. Cinta yang lahir kerana nafsu sering pasang surutnya. Sering turun naiknya. Adakala cinta, adakala berkurangan. Tapi seandai cinta itu didasari kerana hati, insya-Allah cinta terhadap pasangan itu teguh. Cintanya sentiasa hangat walau dalam apa keadaan sekali pun. Ia akan mendorong pasangannya serta selalu ada untuk pasangannya. Tiada apa yang mampu mengubahnya kecuali dengan izin Allah. Lalu saya merenung kisah silam saya. Menyelusur kembali alam percintaan yang pernah terlewati. Mungkin benar kata Ustaz Hanan, saya mencintai mereka kerana hati yang tulus menerima apa adanya mereka. Tetapi mereka? Mereka mencintai saya kerana nafsu sebab itulah cintanya mudah berubah seperti pasir yang berubah tatkala dilanda air bah. Cinta mereka beralih arah sebagaimana lelayang yang mudah beralih arahnya apabila ditiup angin. Mungkin saya tidak layak menerima cinta dari hati mereka atau mereka tidak pantas menerima cinta saya? Maka saya bertawakal padaMu Ya Allah atas cintaku dan jodohku. Kau berikanlah yang terbaik buatku sebagaimana yang aku perlukan. Amin...

No comments: