SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA

Thursday, May 3, 2018

Tahniah Angah

Hahahahaha... Melampau betul! Lambat gila update cerita ni. Selamat pengantin baru angah, aku doakan semoga mahligai yang dibina ni sentiasa dihiasi dengan cinta dan kasih sayang berpanjangan hingga ke jannah. Jadilah isteri dan ibu yang baik. Dengan sekali lafaz, angah sah bergelar isteri kepada Jamaluddin Bin Alauddin pada 14 April, 2018 yang lalu. Majlis akad nikah diadakan di kediaman kami sendiri dengan abah sendiri yang menikahkan angah. Tema putih telah menjadi pilihan pengantin. Sementara kami sekeluarga mengenakan pakaian sedondon berwarna kelabu gelap pilihan dan tajaan angah. Entah kenapa entah siap taja kami semua. Cakap warnapun kami boleh cari tapi mungkin dia nak ikut selera dia kot. Thanks angah. Sementara pengantin mengenakan pesalinan berwarna putih bersih. Angah mengenakan baju kurung moden lace putih dihiasi taburan bebunga putih diperbuat daripada renda, memakai vail putih panjang dan hiasan kepala yang indah serta kasut ditempah khas dari Melaka berwarna biru. Angah mahukan temanya berwarna putih secara keseluruhannya termasuk pelamin, meja makan beradap, permaidani dan set meja akad nikah. Abah, bakal suami, imam, dan saksi duduk di meja akad nikah manakala angah duduk di atas pelamin sewaktu upacara akad nikah berlangsung. Manakala keluarga terdekat dari kedua belah keluarga duduk di kerusi berhampiran meja akad nikah dan setentang dengan pelamin. Rasa sebak juga sewaktu akad nikah berlangsung. Terasa macam mahu kehilangan angah je. Hahahaha... Emo lebih saya dan nenek. Rantai tangan dan gelang kaki emas merupakan hadiah daripada pihak lelaki kepada angah untuk upacara pembatalan air sembahyang. Upacara ini diadakan sejurus selesai menunaikan solat hajat memohon keberkatan Ilahi ke atas rumahtangga yang baru didirikan. Antara barangan yang dijadikan hantaran kepada angah ialah, tas tangan dan kasut dari jenama Hush Puppies, barangan kosmetik yang saya lupa jenamanya, peralatan scuba diving, bunga telur dan lain-lain. Sementara untuk balasan, angah memberikan telefon bimbit Vivo, cincin suasa bertatah berlian, baju kemeja, set beg duit dan tali pinggang kulit yang juga lupa jenamanya serta lain-lain termasuk bunga telur dan pulut kuning. Rasa happy sangat untuk angah. Syukur Allah sudah temukan jodoh angah. Memang angah patut menamatkan zaman bujangnya terlebih dahulu kerana ujian dalam bercinta buat angah lebih teruk dari saya. Ada kawan yang bertanyakan kepada saya, apa perasaan saya apabila adik saya kahwin dulu dari saya. Mestilah happy dan rasa syukur yang amat. Kawan saya kata, kalau dia, dia tak boleh. Silap-silap, dia tak balik masa adik dia kahwin. Rasa cemburu dan dengki katanya ada. Hahahaha... Buat apa nak sakit hati? Allah kan tahu apa yang terbaik buat kita? Pasti ada hikmahnya kenapa adik kita yang kahwin dulu. Mana tahu, dengan kita mendoakan kebahagiaannya serta bergembira atas keriangannya, Allah membalas kita dengan kebahagiaan yang berlipat kali ganda? Jodoh itu milik Allah. Dia berhak untuk memberikan kepada sesiapa yang dirasakan sesuai bagiNya. Untuk kita pasti ada. Allah menunggu masa, ketika dan orang terbaik buat kita. Bila tiba waktunya, Allah akan mengirimkan jodoh itu tanpa kita sangka dan kita duga. Allah pasti mengirimkan untuk kita tanpa sedikitpun salah alamat atau salah orang. Jodoh saya, Saya tahu awak dalam perjalanan menuju saya dan saya juga sedang berjalan menuju awak. Pada hari yang Allah janjikan, pasti kita akan bertemu dengan segala cinta dan kasih sayang. Masa tu, kita akan lepaskan segala rindu dendam yang telah lama kita pendam. Saya harap, waktu tu, kita telah sama-sama bersedia menjadi suami dan isteri yang baik, yang saling menjaga dan setia hingga ke Jannah. Saya sentiasa tunggu awak dan awak pun tunggu saya ya. Kalau kita tak ditakdirkan bertemu di fana ni, kita jumpa di sana nanti. Sayang dan rindu awak selalu.

No comments: