SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA

Sunday, May 13, 2018

DAP vs MCA

Seperti yang saya janjikan, petang ni saya nak tulis tentang perbezaan kedua-dua parti ni. Ingat tak pada Dyana Sofya, setiausaha YB Lim Kit Siang yang hangat diperkatakan enam tahun lalu tentang pendiriannya menyertai Parti DAP? Ramai yang mengecam beliau kerana secara terbuka menyertai dan menyebelahi DAP terutamanya di kalangan Orang Melayu. Pada masa tu, saya pun tak faham, kenapa Dyana sanggup bersekutu dengan Bangsa Cina untuk menjatuhkan Melayu? Tapi fikiran itu berlalu begitu sahaja sebab saya tak minat politik dan malas ambil tahu. Lantak kaulah nak masuk parti apa pun. Dan mungkin pada masa tu saya bukan seorang yang bijak dan mengkaji sesuatu isu secara mendalam. Rasanya saya baru je jadi bijak walaupun tak bijak sangat. Sebab apa? Sebab saya sekarang ni di Unit Aksesibiliti Dan Advokasi. Unit ni yang mengajar saya supaya banyak membaca, banyak belajar, lebih terbuka dalam melihat sesuatu isu dan saya mula berpegang bahawa setiap manusia mempunyai hak. Tak ada siapa boleh menyekat hak dan kebebasan seseorang. Hari ni, baru saya tahu sebenarnya, Dyana tak salah. Rakyat Malaysia tidak seharusnya mengecam beliau kerana memilih Parti DAP. Kenapa saya kata begitu? Jom kita tengok apa sebenarnya Parti DAP dan MCA. NAMA PARTI Jika dilihat pada nama parti, kita sepatutnya sudah mampu mengagak perjuangan sesebuah parti berkenaan. DAP =Parti Tindakan Demokratik MCA =Malaysian Chinese Association / Persatuan Cina Malaysia Boleh agak tak objektif kedua-dua parti ni? Hasil saya berlegar-legar dalam laman sesawang kedua-dua parti ni, saya temui perkara berikut: DAP Matlamat Parti Mukadimah: Perlembagaan Merdeka merupakan satu dokumen secular yang mendukung prinsip-prinsip demokrasi, kebebasan, kedaulatan undang-undang, dan penghormatan kepada hak-hak asasi manusia serta merangkumi ideal-ideal kebertanggungjawaban, kesaksamaan, keadilan dan pemeliharaan martabat manusia. Prinsip-prinsip tersebut boleh memacu daya perpaduan dan penyatuan dalam masyarakat majmuk dari segi kepelbagaian kaum, agama dan budaya di tanahair kita dan juga di antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Berpandukan ideal-ideal tersebut, rakyat Malaysia boleh mengorak langkah ke arah pembangunan demokrasi dan ekonomi yang seiring, kebebasan tanpa penindasan, kesaksamaan peluang diutamakan berbanding kesaksamaan hasil, dan kedaulatan undang-undang demi keadilan sosial. Objektif: 1. Menubuhkan konsep demokrasi yang berlandaskan nilai demokrasi sosial di Malaysia menerusi perjuangan system parlimen berperlembagaan. 2. Mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal, iaitu sebagai sistem undang-undang tertinggi negara yang menghormati nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusia dengan memberi hak yang saksama kepada setiap rakyat Malaysia. 3. Memupuk integrasi kebangsaan dengan Sabah dan Sarawak, mengiktiraf hak-hak istimewa kedua-dua negeri tersebut serta memupuk semangat kebangsaan dan perpaduan di antara semua kaum bagi melahirkan identity bersama rakyat Malaysia yang bersatupadu. 4. Mengiktiraf kebebasan beragama sebagai hak asasi yang merangkumi kebebasan pelbagai agama daripada diancam oleh undang-undang yang bersifat menindas dan akta-akta yang berunsur diskriminasi. 5. Mempertahankan dan menjunjung kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan menjamin kewajipan dan hak untuk mempertingkatkan status, memperkembangkan, mempelajari dan menggunakan bahasa-bahasa ibunda yang lain, termasuk Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa asal. 6. Menjadikan integriti, etika, keprihatinan sebagai nilai-nilai moral yang utama bagi mewujudkan ketelusan dan sebagai pendekatan yang liberal, saling menghormati dan pemahaman di antara tradisi kebudayaan dan kepercayaan agama yang berbeza. 7. Memperkembangkan, mempertahankan dan melindungi kedaulatan dan integriti Malaysia sebagai sebuah Negara yang merdeka. 8. Menjadikan ASEAN sebagai komuniti yang berlandaskan pemerintahan baik, demokrasi dan menghormati hak asasi manusia dan juga sebagai rantau yang bebas daripada nuclear, serta aman, bebas dan berkecuali. 9. Memupuk, memperkembangkan serta memperluaskan demokrasi pada semua peringkat, terutamanya memulihkan pilihan raya tempatan, memperkasakan kuasa rakyat dari segi bentuk dan isi kandungannya dan mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan berlandaskan prinsip-prinsip kesaksamaan, kebebasan, keadilan dan proses pilihan raya yang bebas dan juga kebebasan akhbar. 10. Memberi peluang yang saksama dan mengagihkan kekayaan ekonomi kepada semua rakyat berdasarkan penciptaan nilai-nilai dalam pasaran yang bersaing dan tataekonomi yang menegaskan penciptaan kekayaan dan pengagihan kekayaan yang saksama. 11. Berjanji untuk mempertingkatkan taraf pendidikan berdasarkan hanya kepada merit dan keperluan, serta memberikan akses penuh dan peluang yang sama kepada pendidikan peringkat awal, peringkat menengah dan peringkat tinggi, terutamanya sektor-sektor teknologi maklumat yang mengutamakan ilmu. 12. Melindungi hak-hak pekerja dan kesatuan sekerja di bawah kerangka hak untuk bekerja, pembayaran gaji yang adil dan berpatutan kepada pekerja dan mempertahankan gaji sebenar mereka demi menjamin kesejahteraan hidup dan taraf kehidupan yang berpatutan kepada semua. 13. Menghapuskan segala bentuk diskriminasi jantina terhadap wanita dalam bidang perkerjaan, pendidikan dan kesihatan. 14. Memperkasakan remaja dengan memberikan mereka pilihan dan peluang untuk berkuasa sementara mempertingkatkan kesedaran mereka terhadap kewajipan dan tanggungjawab. 15. Menegakkan keadilan dan menjaga keamanan semua rakyat dengan menghormati kedaulatan undang-undang, mewujudkan serta menjamin penjiranan dan komuniti yang selamat dan terjamin. 16. Menginstitusikan akauntabiliti dan ketelusan yang mengawal rasuah dan penyelewengan dalam pengurusan kewangan dan juga mewujudkan nilai-nilai integriti dan amanah dalam pentadbiran kerajaan. 17. Menawarkan perkhidmatan kesihatan awam yang mampu dibiayai oleh semua, mudah dinikmati dan bertanggungjawab yang menjamin keperluan golongan yang sakit, kurang berupaya dan berusia. 18. Mencegah kemerosotan dan pemusnahan alam sekitar yang berlarutan demi memelihara pusaka warisan. Dipetik daripada: https://dapmalaysia.org Secara dasarnya, setelah membaca objektif dan matlamat parti ini, adakah pembaca melihat atau mengesan mana-mana frasa yang menunjukkan DAP ini hanya untuk Kaum Cina? Kenapa kita bersetuju apabila orang kata DAP itu Cina? Sebab parti ini didominasi Bangsa Cina. Namun, keahlian parti ini tidak terbuka hanya kepada Bangsa Cina. Sekarang, mari kita lihat apa pula objektif penubuhan MCA. Ikrar Parti Kami, sebagai ahli MCA, berikrar untuk: 1. Berkhidmat kepada Parti dan Negara dengan penuh setia, Membina sebuah masyarakat yang adil. 2. Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dam menjaga Kebebasan Demokrasi. 3. Mematuhi Disiplin Parti dan mempertahankan maruah MCA. 4. Mematuhi kepimpinan parti dan Melaksanakan Halatuju Parti. 5. Menghormati dan Menyayangi saudara-saudari parti, dan Menguatkan Perpaduan. 6. Komited terhadap tindakan bersepadu untuk menyebarkan kebudayaan dan tradisi kita. 7. Tidak menyerah kalah dalam pelaksanaan matlamat politik kami. 8. Bersama-sama menggalakkan perpaduan negara dengan sepenuh hati. Dipetik daripada: http://www.mca.org.my Kedua-dua objektif/matlamat/ikrar parti ini dapat saya simpulkan di sini bahawa: 1. DAP menyebut dengan jelas perjuangan mereka untuk semua rakyat antara lain yang membuktikan bahawa perjuangannya untuk semua adalah: a. Memartabatkan Bahasa Malaysia serta meningkatkan status bahasa lain iaitu bahasa Cina, Tamil, Inggeris dan lain-lain. b. Memberi hak yang sama kepada semua rakyat Malaysia. c. Mengagihkan kekayaan ekonomi kepada semua rakyat. d. Menegakkan keadilan dan menjaga keamanan semua rakyat. (Sila rujuk objektif Parti DAP di atas) 2. MCA pula menyebut dengan jelas bahawa perjuangan mereka untuk parti mereka seperti: a. Berkhidmat kepada parti dan negara. b. Mematuhi disiplin parti dan menjaga marwah MCA. c. Mematuhi kepimpinan parti. d. Menghormati dan menyayangi saudara dan saudari parti. e. Tindakan bersepadu untuk menyebar kebudayaan dan tradisi kita. Cuma pada objektif lapan ada menyebut Bersama-sama menggalakkan perpaduan negara dengan sepenuh hati. (Sila rujuk ikrar Parti MCA di atas) OK. Masih belum jelaskan keahlian kedua-dua parti tersebut? Mari kita semak syarat mendaftar sebagai ahli kedua-dua parti: DAP: Rakyat Malaysia yang berumur 17 tahun dan ke atas adalah layak menjadi ahli parti. Dipetik dari laman sesawang DAP. MCA: a. Berumur tidak kurang dari 18 tahun. b. Warganegara Malaysia berbangsa Cina. c. Bersetuju untuk mematuhi semua peraturan, undang-undang kecil serta syarat-syarat yang digunapakai kepada keahlian parti dari masa ke semasa untuk mematuhi perlembagaan parti dan program, prinsip dan dasar parti. d. Tidak boleh menjadi ahli atau dikaitkan dengan parti politik yang lain. Maka dengan syarat keahlian kedua-dua parti ini terbukti bahawa keahlian Parti DAP terbuka kepada semua bangsa di Malaysia manakala keahlian Parti MCA hanya terbuka kepada mereka berbangsa Cina. Jadi, kenapa UMNO/BN sering memomokkan rakyat dengan pengambilalihan kuasa pentadbiran negara oleh Parti DAP? Sedarkah mereka bahawa parti gabungan mereka MCA itu hanya untuk Kaum Cina? Satu yang boleh dipuji, Pakatan Harapan tidak pernah memainkan isu ini walaupun mereka tahu akan keahlian Parti MCA hanya untuk Kaum Cina. Bagaimana mahu jadi pemimpin kalau isu perkauman dimainkan? Sedangkan pemimpin Malaysia harus bersedia untuk menyatu-padukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa bukan menakut-nakutkan suatu bangsa dengan bangsa yang lain. Tidak sedarkah mereka bahawa perbuatan mereka ini menimbulkan rasa tidak puas hati serta perkauman antara satu bangsa dengan bangsa yang lain? Rakyat Malaysia, bangkitlah. Jangan lena lagi. Kita harus bijak menilai dan membuat keputusan. Sama-sama kita tingkatkan ilmu kita yang cetek ini agar tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak sekalipun pihak pemerintah. Akhir kata, saya mohon maaf sekiranya tulisan entri ini menyentuh hati mana-mana pihak. Sesungguhnya saya tidak bermaksud demikian apatah lagi untuk menyentuh isu perkauman. Sekadar ingin memberi kesedaran kepada rakyat tentang rialiti sebenar. Salam sayang dari saya yang kerdil ini.

No comments: