SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA
Showing posts with label Edisi Istimewa. Show all posts
Showing posts with label Edisi Istimewa. Show all posts

Thursday, May 3, 2018

Tahniah Angah

Hahahahaha... Melampau betul! Lambat gila update cerita ni. Selamat pengantin baru angah, aku doakan semoga mahligai yang dibina ni sentiasa dihiasi dengan cinta dan kasih sayang berpanjangan hingga ke jannah. Jadilah isteri dan ibu yang baik. Dengan sekali lafaz, angah sah bergelar isteri kepada Jamaluddin Bin Alauddin pada 14 April, 2018 yang lalu. Majlis akad nikah diadakan di kediaman kami sendiri dengan abah sendiri yang menikahkan angah. Tema putih telah menjadi pilihan pengantin. Sementara kami sekeluarga mengenakan pakaian sedondon berwarna kelabu gelap pilihan dan tajaan angah. Entah kenapa entah siap taja kami semua. Cakap warnapun kami boleh cari tapi mungkin dia nak ikut selera dia kot. Thanks angah. Sementara pengantin mengenakan pesalinan berwarna putih bersih. Angah mengenakan baju kurung moden lace putih dihiasi taburan bebunga putih diperbuat daripada renda, memakai vail putih panjang dan hiasan kepala yang indah serta kasut ditempah khas dari Melaka berwarna biru. Angah mahukan temanya berwarna putih secara keseluruhannya termasuk pelamin, meja makan beradap, permaidani dan set meja akad nikah. Abah, bakal suami, imam, dan saksi duduk di meja akad nikah manakala angah duduk di atas pelamin sewaktu upacara akad nikah berlangsung. Manakala keluarga terdekat dari kedua belah keluarga duduk di kerusi berhampiran meja akad nikah dan setentang dengan pelamin. Rasa sebak juga sewaktu akad nikah berlangsung. Terasa macam mahu kehilangan angah je. Hahahaha... Emo lebih saya dan nenek. Rantai tangan dan gelang kaki emas merupakan hadiah daripada pihak lelaki kepada angah untuk upacara pembatalan air sembahyang. Upacara ini diadakan sejurus selesai menunaikan solat hajat memohon keberkatan Ilahi ke atas rumahtangga yang baru didirikan. Antara barangan yang dijadikan hantaran kepada angah ialah, tas tangan dan kasut dari jenama Hush Puppies, barangan kosmetik yang saya lupa jenamanya, peralatan scuba diving, bunga telur dan lain-lain. Sementara untuk balasan, angah memberikan telefon bimbit Vivo, cincin suasa bertatah berlian, baju kemeja, set beg duit dan tali pinggang kulit yang juga lupa jenamanya serta lain-lain termasuk bunga telur dan pulut kuning. Rasa happy sangat untuk angah. Syukur Allah sudah temukan jodoh angah. Memang angah patut menamatkan zaman bujangnya terlebih dahulu kerana ujian dalam bercinta buat angah lebih teruk dari saya. Ada kawan yang bertanyakan kepada saya, apa perasaan saya apabila adik saya kahwin dulu dari saya. Mestilah happy dan rasa syukur yang amat. Kawan saya kata, kalau dia, dia tak boleh. Silap-silap, dia tak balik masa adik dia kahwin. Rasa cemburu dan dengki katanya ada. Hahahaha... Buat apa nak sakit hati? Allah kan tahu apa yang terbaik buat kita? Pasti ada hikmahnya kenapa adik kita yang kahwin dulu. Mana tahu, dengan kita mendoakan kebahagiaannya serta bergembira atas keriangannya, Allah membalas kita dengan kebahagiaan yang berlipat kali ganda? Jodoh itu milik Allah. Dia berhak untuk memberikan kepada sesiapa yang dirasakan sesuai bagiNya. Untuk kita pasti ada. Allah menunggu masa, ketika dan orang terbaik buat kita. Bila tiba waktunya, Allah akan mengirimkan jodoh itu tanpa kita sangka dan kita duga. Allah pasti mengirimkan untuk kita tanpa sedikitpun salah alamat atau salah orang. Jodoh saya, Saya tahu awak dalam perjalanan menuju saya dan saya juga sedang berjalan menuju awak. Pada hari yang Allah janjikan, pasti kita akan bertemu dengan segala cinta dan kasih sayang. Masa tu, kita akan lepaskan segala rindu dendam yang telah lama kita pendam. Saya harap, waktu tu, kita telah sama-sama bersedia menjadi suami dan isteri yang baik, yang saling menjaga dan setia hingga ke Jannah. Saya sentiasa tunggu awak dan awak pun tunggu saya ya. Kalau kita tak ditakdirkan bertemu di fana ni, kita jumpa di sana nanti. Sayang dan rindu awak selalu.

Wednesday, February 22, 2017

Pegawai Khas Tengku Mahkota Kelantan

Assalammualaikum readers, Harapnya semua OK. Jumaat lepas, saya balik lewat. Sebelum balik, saya singgah makan di Gerai Ina. Malam tu, saya dapat meja kosong. So, tak payahlah share dengan customer lain. Tak lama lepas tu, sorang customer datang. Dia nak bungkus. Ina persilakan dia duduk kat satu meja. Mungkin malas nak berjalan, dia duduk je dekat meja saya. Alah, baru nak ada privasi. Dah kena share meja. Kami mula berkenalan dan berbual. Setelah tahu saya asal dari Kelantan, dia kata, dia tahu cakap Kelantan. Saya excited. Yelah, orang tahu loghat kita. Rupa-rupanya dia bekas pegawai khas DYM Tengku Muhammad Faris Petra yang ketika ini ditabalkan menjadi YDP Agong Malaysia ke-15. Masa tu, YM Tengku Faris masih lagi Tengku Mahkota Kelantan. Kata beliau, Baginda Tengku Faris sememangnya raja berjiwa rakyat. Baginda tidak suka akan hiburan tetapi gemar akan aktiviti lasak seperti berkuda. Baginda juga selalu tidur lewat, berbual dengan isi istana dan kadang-kadang bersukan di tengah malam. Mujurlah Istana Teliput tinggi pagarnya dan tidak dapat dilihat dari luar. Baginda juga sangat menitikberatkan tentang agama, selalu turun padang dan menjadi kesayangan rakyat Kelantan. Katanya lagi, seawall usia lapan tahun, baginda telah dihantar ke London untuk pendidikan beliau. Gosip yang mengatakan bahawa YM Tengku pernah berkahwin dengan orang keluaran adalah tidak benar. Berita berkenaan beliau pernah berkahwin dengan Raja Zubaidah dari Thailand adalah saheh. Namun, perkahwinan baginda tidak kekal lama. Ampun tuanku, patik rakyat Kelantan yang tak pernah bertemu sultan sendiri tetap menyanjung tuanku dari jauh. Semoga Allah sentiasa menjaga tuanku dalam rahmat kasih sayangNya. Allahu Akbar.

Sunday, July 24, 2016

Tahniah Angah

Saya menerima panggilan daripada mami memberitakan tentang angah dirisik secara tidak rasmi hari ini. Alhamdulillah. Air mata kesyukuran dan kegembiraan saya segera tumpah. Syukur Allah, Engkau mempermudahkan jodoh adikku. Permudahkanlah Ya Allah sampai mereka diijabkabulkan dan lanjutkan kebahagiaan mereka hingga ke Jannah. Insya-Allah, amin. Saya telah dimaklumkan akan kepulangan angah membawa kereta baru abah bersama seorang rakan bernama Rizal. Dan segalanya telah dijangka. Saya rasa sangat teruja mahu menerima orang baru dalam keluarga. Dari Pulau Pinang saya sering menghubungi mama bertanyakan adakah hajat telah disampaikan. Sehinggalah dalam perjalanan pulang ke KL pagi ni, belum ada apa-apa perbincangan dilakukan dan mereka pulang ke rumah mami untuk makan tengahari sebelum ke lapangan terbang menghantar angah dan rakannya atau lebih tepat bakal suaminya untuk pulang ke KL. Kata mama, Rizal seorang yang baik, ramah dan mudah mesra. Tambah rajin membantu membuat kerja rumah. Alhamdulillah, semoga angah akan bahagia bersamanya. Usia tua 10 tahun dan berstatus duda beranak dua, bukanlah penentu kepada kebahagiaan angah. Saya amat mengharapkan agar mama, abah dan mami tidak memandang itu semua sebagai ukuran kebahagiaan angah. Saya faham kenapa angah memilih Rizal meskipun Rizal jauh lebih tua daripadanya serta duda. Bagi kami adik-beradik, bila hati ingin mencintai, kami akan fikir semasak-masaknya. Selepas berfikir, bila sesuatu keputusan diambil, kami akan nekad dengan keputusan kami walaupun pada pandangan orang lain ianya tidak sempurna kerana kesempurnaan itu bukan diukur pada zahiriah. Dan saya tahu, angah tahu apa yang dia buat. Demi cintanya, angah pulang mendapatkan restu keluarga. Demi cinta terhadap angah, Rizal juga mengambil risiko untuk bertemu keluarga kami. Insya-Allah, berbahagialah angah dipertemukan dengan lelaki yang bertanggungjawab untuk merialisasikan cinta mereka. Saya tumpang bahagia. Alhamdulillah Tuhan, saya amat bersyukur. Harapan saya, ujian yang sama angah lalui seperti saya berakhir dengan kehadiran Rizal, insya-Allah. Kata mami, segalanya telah dibincangkan. Tiada majlis besar-besaran akan dibuat cukup sekadar yang wajib. Ya, itulah yang terbaik dan dituntut agama. September nanti Rizal akan datang bersama keluarganya merisik secara rasmi. Tiada wakil dan majlis. Segalanya serba ringkas. Alhamdulillah keluargaku mahu ianya dilaksanakan dengan mudah. Semoga abah bahagia dengan hal ini kerana abah inginkan menantu. Alhamdulillah, angah merialisasikan hajat abah kerana saya belum tiba masanya. Insya-Allah pernikahan berlangsung dalam masa setahun. Tiada juga kenduri kahwin besar-besaran akan dibuat. Alhamdulillah, segalanya mudah. Saya rasa bahagia, gembira dan teruja dengan perkhabaran ini. Semoga urusan merisik dibuat semasa saya pulang beraya haji dan cuti Hari Malaysia nanti. Saya ingin rasai kemeriahannya meskipun majlis kecil-kecilan. Alhamdulillah, saya rasa syukur yang amat. Rasa lega sangat kerana episod kehidupan bujang angah akan berakhir. Semoga Rizal memang benar jodoh angah yang telah Allah suratkan di Loh Mahfuz. Ya Allah, Dekatkanlah hati mereka, Satukanlah hati mereka, Pautkan hati mereka, Eratkan kasih sayang mereka, Tautkan kemesraan mereka, Teguhkan cinta mereka hingga ke Jannah dalam rahmat kasih sayangMu. Insya-Allah, amin... Mohon doa daripada pembaca budiman buat adik saya, angah.

Thursday, February 11, 2016

Rindu Yang Bertuan

Awak, Dulu saya pernah menulis entri rindu tak bertuan. Sebab masa tu saya rasa awak macam tak ada dengan saya. Tapi bila Allah uji saya dengan menjarakkan kita, saya rasa awaklah tuan kepada rindu saya tu. Bila Allah menguji, baru saya tahu sedalam mana rindu saya pada awak, seluas mana kasih sayang saya pada awak. Semoga Allah mengizinkan kita untuk bersama hingga ke Jannah. Awak, Pada masa yang terluang ini, saya harap... Kita sama-sama mempersiapkan diri untuk menjadi imam dan makmum yang baik. Saya bukanlah mahukan seseorang yang sempurna tapi cukup sekadar kita cuba untuk berubah menjadi yang lebih baik. Siapapun awak, apapun sejarah silam awak, saya terima awak dengan hati yang tulus sejak mula-mula saya menerima awak empat tahun lalu. Saya harap, awak juga begitu, menerima apa adanya saya untuk kita saling melengkapi antara satu sama lain. Pasangan itukan seperti puzzle, tiada yang sempurna tapi bila dicantumkan, ianya menjadi sebuah lukisan yang indah. Harapan saya, awaklah belahan jiwa yang saya cari selama ni dengan izin Allah. Tuhan, jarak ratusan kilometer ini tidak memudarkan cintaku padanya. Moga kali ini takdirMu menyebelahiku. Amin. Mohon doa pembaca budiman untuk kami.

Terima Kasih, Allah

Ya Allah, Aku faham, hujan lebat yang kau timpakan itu adalah peringatan buatku. Menguji kasih sayangku padaMu, dan menguji kasih sayangku padanya. Ternyata aku lalai dengan nikmat yang kau berikan padaku. Lalu, kau timpakan hujan supaya aku berpaut padaMu agar tidak lemas dan hanyut. Apa yang penting, hujan itu membuatkan aku sedar akan kebergantunganku padaMu, kasih sayangMu dan sedalam mana kasih sayangku padanya. Mungkin Kau berbisik padaku, "Sabarlah hambaKu, kau akan bahagia sedikit masa lagi," Aku yakin tentang itu. Sesungguhnya Engkau tidak pernah mensia-siakan hamba-hambaMu. Bah besar itu mula mengering. Mentari selepas hujan, mula membias. Apakah ada pelangi yang akan muncul tidak lama lagi? Tuhan, indah kasih sayangMu mulaku rasai. Indah kasihku padanya juga turut terasa. Satuku pinta Tuhan, janganlah lagi Engkau biarkan aku berjalan sendiri bersama cinta ini tanpa pengawasanMu. Ya Allah, ku ingin cintaMu, cinta hakiki yang terulung. Ku juga mahu cintanya, cinta makhluk, penghubung kasih sayangMu dalam lipatan cinta agungMu. Semoga cintaku cintanya mekar dalam cinta abadiMu. Ku mohon dari hati yang dalam, janganlah kau pisahkan kami melainkan maut yang mendatang. Satukanlah kami agar dapat kami beriringan melangkah ke JannahMu. Insya-Allah.

Saturday, September 26, 2015

Rindu Tak Bertuan

Saat bersendirian begini, hati diusik rindu pada Si Dia. Si Dia yang tidak saya kenali, tidak saya tahu nama dan asal-usulnya. Si Dia yang tidak pernah berhubung dengan saya, Si Dia yang juga mungkin merindukan saya. Yang telah Allah tentukan bertunasnya perasaan ini. Kami sama-sama menjalani hari-hari mendatang. Dengan penuh kesabaran menanti pertemuan rencana Allah yang amat indah dan rapi susunannya. Mungkin ada di kalangan pembaca mentertawakan saya dengan wujudnya entri ini. Tapi biarlah. Perasaan ini tidak dapat saya luahkan pada sesiapa. Lantas saya ambil keputusan untuk mencoretkannya di sini. Mungkin juga Si Dia yang tidak saya kenali itu membaca entri ini cuma Si Dia juga tidak tahu, sayalah yang dirindui dan dicarinya. Pesanan buat Si Dia: Jagalah diri awak baik-baik Janganlah berputus-asa dengan pencarian ini Kerana saya akan terus setia berdoa dan menanti kehadiran awak Bila tiba waktu yang dijanjikan. Saya juga akan berusaha untuk menjaga diri saya Untuk awak yang saya rindui Kerana saya percaya Masanya akan tiba. Andainya... Pertemuan itu telah disuratkan tidak di fana ini Maka teruskanlah berdoa Agar kita dipertemukan di sana nanti. Hakikatnya awak, Saya amat rindukan awak, Rindu untuk ditemani, Rindu untuk menemani, Rindu untuk bercerita tentang kehidupan yang pernah saya lalui sebelum hadirnya awak, Rindu untuk berkongsi pendapat menentukan hala tuju hidup ini, Rindu mendengar kisah-kisah yang awak lewati sebelum adanya saya, Rindu mendengar kata nasihat serta perangsang awak buat saya. Demi masa yang berputar, Saya mohon awak bersedia untuk bertemu saya, Mohon siapkan diri awak untuk menjadi imam dan ketua saya, Sementara pada detik yang tidak pernah akan berhenti, Saya juga akan persiapkan diri saya, Untuk menjadi makmum dan pengikut yang baik, Yang menjadi idaman setiap imam, Yang dirindui oleh seorang lelaki Untuk menempuh suka-duka hidup ini. Jika ada masa terluang, Akan saya coretkan lagi cebisan titipan buat awak yang saya rindu. Sekian, Dari saya yang jauh

Monday, July 20, 2015

Cacatkah Wajah Saya? :(

Hahaha dah kemaruk nak update blog pulak. Tulisan kali ni bukanlah untuk bermegah atau riak. Sekadar luahan perasaan yang membuatkan saya takut beberapa tahun lamanya. Kepada mereka yang tidak sukakan saya, mohon jangan baca entri ni. Nanti jadi isu pulak macam beberapa entri yang saya tulis dulu. Suatu hari pada usia remaja saya, saya menyentuh setiap inci wajah saya untuk mengetahui bentuknya. Sentuhan saya terhenti pada dagu saya yang saya rasakan pelik. Bagai tidak percaya, saya ulang sentuh. Ya! Ternyata, dagu saya tidak seperti dagu orang lain. Saya rasa sedih dan takut. Saya mengharapkan dagu saya akan pulih. Tapi... Ia tetap begitu. Malah, makin ketara. Saya turut mengharapkan agar orang sekeliling tidak perasan akan kelainan bentuk wajah saya. "Alah, dia orang takkan perasanlah, dagu, bukan orang nak tengokpun," Saya menyedapkan hati. Untuk bertanya pada orang tidaklah, saya bimbang kalau jawapan mereka mengecewakan. Hari demi hari dagu saya tetap begitu. Saya pasti susah hati kalau saya memegangnya. Pernah suatu hari, kawan masa belajar kat UiTM berkata: "Dahlah dagu berlekok macam Siti Nurhaliza," Demi mendengarkan itu, saya terperanjat. Ketara ke kekurangan saya ni? Dia perli saya ke dengan menyebut nama Siti Nurhaliza kat situ? "Apa dia?" Saya meminta dia mengulanginya. Saya ingin tahu pendapatnya tentang kekurangan saya ni. Saya tak ambil pusing akan nama Siti Nurhaliza yang disebut dalam ayatnya tadi. Mungkin sekadar nak buatkan saya perasan. Sayakan peminat setia Dato' Siti. "Tak ada apalah," Saya hampa. DALAM KERETA DI SUATU HARI Acik: Eleh, dagu aku berlekok, macam Siti Nurhaliza. Angah: Akupun! Jangan perasanlah. Acik: Tak Nampak sangat, tak ketarapun. Aku punya Nampak. Angah: Nampak, Nampak. Kau je yang tak Nampak. Acik: Eleh, Along punya lagi besar, lagi dalam blah dia. Tak cakap apa pun. Angah: Aku cakap kau, bukan Along. Maknanya, belahan pada dagu ni bukan suatu kekurangan ke? Untuk kepastian, saya Tanya Acik akan lekok dagu saya ni. Kata Acik, itulah lekok Siti Nurhaliza. Bukan cacat. Alhamdulillah, Tuhan. Terima kasih atas kurnian ini. Selama ni aku penat memikirkan hal ni. Hahaha... Bila saya search di internet, fenomena dagu berlekok ni kebanyakan terjadi pada lelaki. Jarang perempuan yang memiliki dagu seperti ni. Fakta paling menarik, dagu berlekok sebenarnya memang dikategorikan sebagai cacat. Tapi kecacatan yang menjadi daya penarik. Tuhan tu Maha Adil, saya tidak ada lesung pipit macam adik-adik saya tapi diciptakannya dagu berlekok buat saya. Bila saya senyumpun, pipi saya berlekok walaupun tiada lesung pipit. Bila saya Tanya mama, rupanya dagu berlekok ni saya warisi daripada mama. Hehehehehe tapi dagu berlekok mama dah tak Nampak sebab dia dah berisi. Kata mama, masa dia kurus dulu nampaklah. P/S: Dagu berlekok tidak semestinya cantik. So, tak payahlah kutuk saya perasan cantik ya.

Saturday, June 27, 2015

Berubah, Kerana Allah Atau Manusia?

Sebenarnya saya dah letih dengan kerenah lelaki. Saya juga penat nak dengar ayat-ayat manis lelaki. Pleaselah!!! Saya tak ada masa nak layan orang yang tak serius. Masa saya terlalu berharga. So, jangan nak bazirkan masa saya. Lagi satu, jangan cuba nak pedayakan saya dengan kata-kata manis. Sesungguhnya, hati saya sudah tawar untuk semua tu. Saya rasa, perisa cinta tu sudah tawar dalam hidup saya. Cuma saya mengharapkan serta berdoa, Allah akan maniskan semula rasa itu apabila saya bertemu dengan lelaki yang Allah janjikan. Yang nak main-main tu, tolonglah. Saya banyak urusan lain. Bukan sombong, tapi saya dah penat dengan permainan lelaki ni. Saya bukan bodoh. Rizal (BUKAN NAMA SEBENAR): You, kita kahwin. Tinta: Tengoklah. Rizal: You ni I'm serious OK. You tak rasa ke you dah tua, sama macam I. I dah malas nak bercinta, kita kahwin, lepas tu bercinta lepas kahwin. Tinta: Bercinta lepas kahwin? You pun sekejap sayang sana sayang sini. I pun tak tahu, dengan siapa sebenarnya you suka. You kahwin jelah dengan sipulan, sipulan dan sipulan. Rizal: I bukan ada hubunganpun dengan dia. Sipulan tu my x. Tinta: Macam mana nak kahwin dengan I kalau you masih melayan Si X tu? Tu belum lagi yang lain-lain. Rizal: Alah, lepas kahwin, I berubahlah. I dah 35 you 32 just nice what. Hello cik abang, saya bukan nak kahwin sebab terdesak. Biarlah saya tuapun, kalau jodoh belum sampai, saya tak kisah. Ya Allah, selamatkanlah saya dari buaya besar ni. Saya masih waras untuk berfikir. Siapapun awak, anak datuk dan sebagainya, itu bukan pengukur kepada kebahagiaan. Allah selalu uji saya dengan lelaki macam ni. Pastinya Allah punya perancangan indah buat saya. Saya yakin akan hal itu. Jika jodoh saya tiada di sini, maka saya redha dan semoga dipertemukan dengan jodoh di sana kelak.

Friday, June 5, 2015

Bercerita Pada Jarry

Haida: Jarry, mari sini Cik We nak cerita sikit. Saya: Cik We nak cerita apa pada Jarry? Haida: Adalah. Marilah sini Jarry. Cik We nak cerita pasal Along. Saya: Hah? Cerita apa? Jarry yang manja menghampiri Haida serta terus lembikkan badan bila dibelai oleh Haida. Haida: Jarry nak tahu tak, Cik Along, sekarang ni, ada adik angkat. Hahahahahaha saya gelak sakan. Haida juga begitu. Haida: Cik Along kau, tak pernah ada adik angkat. Nanti kita tengok eh berapa lama Cik Along kau baik dengan adik angkat dia. Saya: Kenapa pulak? Haida: Yelah Jarry, Cik Along kau kan garang, dengan kau pun boleh garang, ini pulak dengan adik angkat. Nanti kalau budak tu ngada-ngada, mesti kena marah dengan Along kau. Pas tu tak tahulah jadi adik angkat lagi ke tidak. Saya: Kurang asam punya Cik We!!! Pecah derai tawa antara saya dan Haida. Perli nampak. Orang nak jadi adik angkat then OK la. Sebab saya ada pengalaman dengan orang yang minat nak jadi adik angkat saya. Nanti ada masa akan saya coretkan di sini. Pengalaman yang buat saya rasa bersalah dan terkilan dengan sikap saya. Tapi cukuplah sorang adik angkat. Tak mau ramai-ramai. Kalau kakak dan abang angkat ramai tak apa hehehe

Monday, December 1, 2014

Teks Ucapan Pembahas OKU Di Persidangan Puteri UMNO Pada 26 November, 2014

Persidangan ini diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Nota: - Teks ini sedikit berlainan daripada ucapan yang terdapat dalam video di mana-mana laman sesawang kerana pembahas diminta untuk menyampaikan ucapan tersebut tanpa teks. Namun begitu, usulnya tetap sama. - Penulis teks merangkap pembahas tidak terlibat dalam dunia politik dan tidak menjadi mana-mana ahli kepada parti sama ada pemerintah atau pembangkang. Penulis teks merangkap pembahas sekadar mengambil peluang untuk menyampaikan suara OKU apabila diberi peluang dan ruang. Ini merupakan salah satu daripada usaha perjuangan terhadap golongan senasib. Terima kasih Pengerusi Tetap YB Datuk Hjh Mas Ermieyati Shamsudin, Ketua Puteri UMNO Malaysia Y.Bhg Saudari Zahidah Arik Khan, Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia Wakil-wakil Majlis Tertinggi UMNO, Malaysia, Sidang Perwakilan Para Pemerhati Para Media Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian Assalammualaikum WBT... Pertama sekali, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Puteri UMNO kerana sudi menjemput saya bagi menyampaikan aspirasi beliawanis OKU. Apabila melihat Golongan Kurang Upaya atau OKU di mana-mana, apakah yang masyarakat lakukan? Kebanyakan orang akan memandang OKU dan berkata dalam hati, “kesian, cacat,”. OKU sering dipandang simpati tetapi jarang sekali masyarakat empati terhadap OKU. Sebenarnya kami, golongan OKU tidak minta dikasihan belas atau dipandang luar biasa. Berdirinya saya di sini hari ini, bukanlah untuk meminta simpati atau keistimewaan. Tetapi, hadirnya saya di sini adalah untuk menuntut kesamarataan hak sesama manusia di Bumi Malaysia yang merdeka ini. Golongan muda khususnya pemudi OKU yang akan menjadi pelapis generasi bangsa memohon sokongan, galakan, peluang dan ruang dalam pelbagai aspek. Sesungguhnya, kami amat menyanjung tinggi dan menghargai segala usaha kerajaan sedia ada dalam menangani isu OKU umumnya serta Beliawanis OKU khususnya. Namun begitu, usaha perlu digiatkan bagi mencapai pengupayaan OKU secara lebih meluas. Dalam proses mengupayakan OKU, golongan ini harus dilibatkan dengan semua program yang dirancang tanpa mengasingkan OKU dengan mengadakan program yang khusus untuk OKU sahaja. Apa saja program dan latihan yang dirangka untuk wanita haruslah mengintegrasikan wanita OKU dalam program tersebut. Kami tidak mahu pengasingan, apa yang kami mahu perhatian yang lebih khusus daripada pihak berkenaan. Selain usaha-usaha pengupayaan OKU itu sendiri, usaha Usaha memupuk kesedaran tentang keperluan dan potensi seseorang OKU kepada seluruh pihak sangat diperlukan. Di mana usaha-usaha ini boleh dilakukan melalui pelbagai saluran terutamanya menerusi media cetak dan elektronik milik kerajaan. Medium ini seharusnya digunakan sebaiknya bagi memupuk kesedaran di kalangan masyarakat dengan memaparkan rialiti kehidupan, keupayaan, kejayaan OKU, serta cara komunikasi dengan golongan berkenaan agar OKU ini tidak asing pada pandangan umum. Oleh itu, beberapa perkara wajar diberi perhatian bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara mesra OKU. eskipun bilangan OKU dianggap kecil, ia masih satu jumlah yang besar. Daripada anggaran 29.7 juta rakyat Malaysia, 4.4 juta daripadanya adalah OKU. Kerajaan mengiktiraf anggaran World Health Organization (WHO) ini yang dikeluarkan oleh Bank Dunia. Sehingga Julai 2014, jumlah OKU berdaftar adalah seramai 506,228 orang. Justeru, isu didepani OKU kian pelbagai dan kompleks bermula daripada kelahiran, kemahiran, pekerjaan dan sara diri, perumahan, dan perundangan. Meskipun isu-isu tersebut boleh disifatkan umum, namun bagi OKU yang diciptakan sedemikian rupa, perhatian khusus mestilah diberi. Perhatian khusus di sini bukan bermakna bantuan khusus atau keistimewaan tertentu bagi OKU. Tetapi, pemberian hak, program atau antuan yang diperoleh oleh golongan normal hendaklah disalurkan secara saksama terhadap golongan OKU agar golongan ini tidak terpinggir daripada sebarang program pembangunan yang dirancang kerajaan Dalam bidang pekerjaan misalnya, golongan wanita OKU sama seperti golongan wanita normal yang punya pendidikan dan kemahiran tertentu yang dijadikan aset bagi menjana ekonomi negara. Jika dilihat, dewasa ini rata-rata OKU mempunyai pelajaran. Peluang pendidikan yang diberikan terhadap golongan ini amat luas sehingga OKU berjaya menandingi pelajar normal dalam pelajaran. Malangnya, setelah tamat pengajian, peluang pekerjaan amat terhad. Makin tinggi tahap pendidikan yang dimiliki OKU maka makin terhad peluang memperoleh pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan. Kuota 1 pratus pekerja OKU dalam sesebuah jabatan sebagaimana menjadi dasar kerajaan sejak 1988 masih menyedihkan. 26 tahun berlalu, kebanyakan sektor awam masih belum memenuhi kuota ini. Namun pujian harus diberikan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat kerana berjaya memenuhi kuota ini dan kami amat berharap supaya, kementerian ini tidak berhenti setakat 1 pratus sahaja malah terus memberi peluang tersebut kepada OKU yang mempunyai kredibiliti bagi menyandang jawatan di kementerian itu pada masa akan datang. Kami juga menyeru agar peluang pekerjaan tidak hanya tertumpu kepada jawatan-jawatan yang menjadi kebiasaan bagi OKU umpamanya operator dan khidmat pelanggan. Tetapi, peluang menyandang jawatan di peringkat pembuat keputusan harus diberikan. Kebanyakan OKU yang menghadapi masalah pekerjaan ini adalah OKU lepasan sekolah dan keadaan lebih runcing bagi mereka lepasan IPT. Sepertimana wanita normal tidak menjadi keutamaan dalam banyak hal, keadaan beliawanis OKU lebih lagi terjejas bilamana golongan ini terdiri daripada wanita dan ditambah dengan kecacatan yang dialami. Sebagaimana telah kita sedia maklum, pengupayaan OKU adalah satu hak di sisi perundangan. Walau bagaimanapun, ianya masih berhadapan dengan cabaran pendekatan kebajikan dan simpati. Hal inilah yang menghalang kepada pembangunan serta kemajuan OKU. Selagi OKU dianggap lemah dan penerima bantuan atau simpati, selama itulah peluang bagi OKU membuktikan keupayaannya tertutup. Akhirnya, golongan ini tidak dapat menyumbang kepada pembangunan negara sedangkan OKU mampu “berdiri sama tinggi, duduk sama rendah” dengan golongan normal. Usaha ke arah menjadikan inspirasi kerajaan yang ditampilkan melalui pelbagai komitmen di peringkat antarabangsa dan serantau dalam hal-ehwal OKU mesti dijelmakan. Pelbagai wacana, forum, dialog bersama OKU dan mereka yang berkepakaran dalam perkara-perkara perundangan dan dasar mesti dipergiat. Pembaharuan perundangan sedia ada mesti dilakukan agar ianya lebih berkesan dalam mempertahankan hak golongan ini. Sehubungan dengan itu, kami ingin mencadankan agar satu unit berupa unit pengupayaan OKU di peringkat tertinggi yang bertanggungjawab kepada kabinet bagi memastikan hak yang diberi kepada OKU benar-benar dirasai oleh OKU dan keluarga ditubuhkan. Lebih dari itu, unit ini akan berfungsi sebagai unit yang memantau, menilai dan memastikan semua dasar serta peraturan bersesuaian dengan keperluan dan potensi OKU. Semoga aspirasi ini akan membawa perubahan kepada Golongan OKU dengan sokongan, dorongan serta peluang daripada pelbagai pihak khususnya pihak pemerintah. Sekian, terima kasih.

Friday, January 24, 2014

Kisah Hati Dan Perasaan

Hari ni... Aku nak menulis tentang sesuatu yang tak pernah aku tulis kat sini. Tentang hati dan perasaan. Soal rasa dan jiwa. Orang selalu kata aku ni garang. Tapi mereka tak tahu bahawa aku mempunyai sekeping hati yang amat sensitif. Dalam hati ini tersimpannya semua rasa cinta, kasih, sayang, kerinduan, kelukaan dan kenangan. Apabila tumbuh benih sayang, ianya berakar umbi hingga ke dasar yang tidak mampu aku buang rasa itu meskipun ianya telah lama berlalu. Cinta pertama, terlalu sukar untuk aku kikis. Namun, sebagai hamba Yang Esa, aku akur dengan ketentuan takdirNya walaupun pedihnya masih aku terasa.

Saturday, December 31, 2011

Imbasan suka-duka 2011

Januari:
- Aku telah tahu bahawa temudugaku di SBM KIV. Maksudnya? Mereka mencari calon yang pandai berbahasa Inggeris. Oleh itu, aku dijadikan calon simpanan. Sebab itu temuduga diadakan sebanyak tiga kali dan aku menghadiri temuduga pertama. Sedih rasanya, seolah-olah, aku diperkotak-katikkan. Kebolehan aku dipandang rendah. Ada kawan menyampaikan, dalam temuduga tersebut Inggerisku boleh diberi lapan markah daripada 10 markah. Apa-apalah, mereka bukan cikgu mahirpun yang nak menilai Bahasa Inggeris aku. Tapi betulkah? Macam tak percaya je, atau mungkin kenyataan itu sekadar untuk menyedapkan hati. Khabar angin menyampaikan, aku ditolak sebab mahu mencari calon penglihatan terang. Whatever, rezeki Allah ada di mana-mana. Aku akan buktikan kebolehan aku pada mereka. Jangan kerana aku diam dalam mesyuarat, aku tak banyak cakap dengan orang-orang besar aku ini lemah, tak tahu apa-apa, tak tahu mentadbir. I'm so sorry, that's not my type. Aku bukan jenis orang yang nak membodek-bodek, nak berlakon tahu serba-serbi tapi tak tahu apa-apa. Biar kita jadi ubi, diam-diam berisi bukan tin kosong, bising tapi tak ada apa-apa. Kenapa aku diam? Sebab dalam hal-hal yang serius, aku bercakap pada tempatnya. Bercakap bila perlu. Lagipun, mereka tak kenal aku siapa. Tak tahu aku sebenarnya banyak cakap dan peramah. Cara dia orang yang tak boleh membuatkan aku jadi peramah dengan mereka. Jangan ingat aku sentiasa bertutur dalam Bahasa Melayu maknanya aku bodoh Inggeris. Dan, satu yang perlu diingat, aku diam kerana aku menghormati mereka sebagai ketua. Tapi tepat pada masanya, aku akan bercakap. Jangan terperanjat bila aku lantang bersuara menyatakan pendapat dan pendirianku. Aku akan bertegas sekiranya perlu tak kira dengan siapapun aku berhadapan. Tapi aku akan berfikir terlebih dahulu sebab tu aku diam. Aku lebih suka memerhati dan sampai pada masa yang patut, aku akan bersuara.
- Satu keputusan yang amat menyakitkan telahku buat. Bukan sengaja mahu menghampa atau melukakan orang, tapi aku perlu memulangkan dia pada yang berhak meskipun, aku terlebih dahulu memilikinya. Walaupun dia dan beberapa orang dari pihaknya telah melukakan hatiku, namun aku nekad seperti nasihat Ustaz Mohd Nor pensyarah UiTM melalui perbualan di Yahoo Messenger, biarlah mereka menyakiti Tinta dan bertindak kejam terhadap Tinta. Tapi jangan sesekali Tinta membalasnya dengan turut sama berlaku zalim seperti mereka. Kepada dia, jutaan kemaafan ku pohonkan sejak awal perkenalan kerana titik noktahnya telah kau letakkan. Aku hanya mengikut jalan yang telah kau petakan. Jangan pernah kau cuba untuk memutar fakta menyalahkan aku. Kerana itu pilihanmu dan itu jua yang memaksaku mengambil keputusan ini. Demi kebaikan semua pihak, aku rela beralah. Biarlah aku terluka kerana masa akan merawatnya. Pada Pencipta, aku sandarkan harapan dan cintaku. Aku pasrah.

Februari:
- Aku dikhabarkan bahawa temudugaku dengan MAB berjaya. Alhamdulillah. Cuma tunggu masa untuk dipanggil bertugas. Syukur padaMu Ya Allah. Benarlah janjiNya, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Dia tahu apa yang terbaik buatku. Terima kasih, Tuhan. Mungkin inilah hikmah dari kegagalanku dalam temuduga di SBM.

Mac:
- Berita tentang kemasukan setiausaha eksekutif baru diterima. Aku tiada masalah untuk berkawan dengannya meskipun ku tahu, aku gagal dalam temuduga dan pihak organisasi memilih dia. Aku kurang senang bila ada yang mengatakan aku kecewa kerana gagal menyandang jawatan tersebut. Tidak! Aku tidak kecewa atau marah, sebab aku tahu, ada pihak lain yang lebih menghargai aku. Ada pihak lain yang lebih nampak akan kebolehan dan kelebihan aku. Tidak seperti di sini, kebolehanku sering dipertikai. Sejak 6 November, 2010 bila aku dipanggil untuk menghadiri temuduga yang diadakan oleh MAB meskipun aku tidak memohon, aku bersyukur dan gembira kerana mereka menghargai kebolehanku. Dari November lagi, aku telah diberitahu bahawa aku akan ditawarkan untuk menyandang jawatan "public relations". Satu jawatan yang ku minat. Pastinya, mereka percaya bahawa aku boleh berkomunikasi dalam kedua-dua bahasa iaitu Melayu dan Inggeris malah, aku sering diberi semangat untuk lebih mempersiapkan diri. Kadang-kadang, aku bertanya juga macam mana kalau Inggerisku kurang baik? Tahu apa jawapan mereka? Belajar dan mereka yakin aku boleh. Jika perlu masuk kelas Bahasa Inggeris. Alhamdulillah, sampai begitu mereka menerima seadanya aku. kekurangan dalam Inggeris bukan alasan untuk menolak aku. Syukur, Tuhan.
- 18 Mac, unit aku bertugas berjaya mengadakan Makan Malam Amal untuk mengumpul dana bagi Tabung Pembangunan Usahawan.

Jun:
- Setiausaha Eksekutif baru melaporkan diri. Bermakna, aku dapat bos baru di pejabat.
- Telefon bimbitku hilang sewaktu membeli-belah di Jaya Jusco, Wangsa Maju (J Card Day). Sudah ketentuan Allah, aku terima dengan redha.

Julai:
- Menyertai Ekspedisi Mendaki Gunung Bunga Buah, Genting Highlands, Pahang.
- Berlaku krisis yang membuatkan aku tak sabar berpindah tempat kerja.

Ogos:
- Ku terima surat tawaran dari MAB. Betul, jawatan yang ditawarkan "public relations"
- Aku turut dikhabarkan oleh Dr. Wong dan presiden bahawa jawatanku di TPU akan ditetapkan dan gaji akan dinaikkan (SBM bayar separuh, TPU bayar separuh). Aku sangat-sangat tidak setuju. Sebab aku rasa aku diperkotak-katikkan. Bukan tak bersyukur dengan kenaikan gaji dan tetap jawatan tapi, bayaran gaji separuh-separuh itu ada agenda lain. Wajarkah kalau aku tak masuk mesyuarat, tapi aku yang kena menyediakan minit mesyuarat??? Fikir logiklah! Jangan sebab aku tahu sesuatu maka suruh aku yang buat dengan menambahkan senarai tugas aku, sedangkan jawatan aku adalah eksekutif TPU lepas tu tambah kerja lain yang memang dah ada penjawatnya. Jangan kerana nak jaga individu tetentu jadikan aku sebagai mangsa! Sungguh tak adil!!! Mana perginya syarat kelayakan nak menjawat jawatan tertentu tu? Tiba-tiba je dah berubah? Tak jadi masalah! Kita sebagai majikan, kita kena tegas! Suruhlah dia belajar. Dah itu memang tugas dia. Tak payahlah nak berdolak-dalih dengan aku, gunakan kebolehan bercakap tu untuk mengaburi mata aku untuk menegakkan benang yang basah! Aku bukan budak-budak! Aku bukan bodoh!!! Bagilah alasan apapun, aku takkan terima! Salah tetap salah!!! Kalau tak tegas, macam mana nak maju??? Senang dikotak-katikkan! Hal kecil macam ni pun tak boleh nak selesaikan!
- Aku menghantar surat perletakan jawatan.
- 17 Ogos, aku mula menghabiskan cuti yang masih tinggal sebelum berhenti.
- 31 Ogos, aku telah menamatkan perkhidmatan di tempat lama.

September:
- 5 September, aku melapor diri di tempat kerja baru. Bekerja di bawah Mr. Ramdas dengan Catherin kerani department aku.
- Hari kedua, aku mula didedahkan dengan meeting yang melibatkan wakil council dan jawatankuasa program yang dirangka.
- Mula didedahkan dengan pelawat.
- Pendek kata, kerja baruku telah bermula.

Oktober:
- Sibuk membuat persiapan untuk Lawatan Ke India, Cabaran Mendaki Menara Kuala Lumpur dan Makan Malam Amal Sempena ulang tahun ke-60 MAB.
- Tak dilupakan, aku menyambut hari ulang tahun kelahirku pada 16 Oktober. Tahun depan korang kena bagi hadiah tau :)
- Diberi kepercayaan untuk mengacarakan Pertandingan Bakat SBM Peringkat Kebangsaan di Down Town Cheras (aku ingat lupa betul ke Oktober?). Aku bergandingan bersama Ali.

November:
- Berlangsungnya Cabaran Mendaki Menara Kuala Lumpur pada 12 November, 2011.
- Terbang ke India pada 26 November selama lima hari empat malam dan pulang pada 30 November.

Disember:
- Aku ditetapkan pada 1 Disember, 2011
- Aku menerima khabar tentang tangga gajiku pada tahun hadapan. Alhamdulillah, syukur padaNya yang memberi rahmat.
- 13 Disember, berlangsungnya Makan Malam Amal Ulang Tahun ke-60 MAB.
- 29 Disember, rumah dipecah orang. Kehilangan laptop dan rantai tangan emas. Anggaran kerugian RM6,500.00. Acer Ferrari kesayangan dah hilang. Aku sedih sangat.

Begitulah rentetan suka-duka yang berlaku dalam hidupku dalam tahun 2011.