Dari hati seorang perempuan: Pandangan merentasi sempadan khatulistiwa, sedalam jurang Mariana, melewati lautan pasifik.
SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA
Tuesday, January 30, 2018
Allah Terus Menguji
Assalammualaikum readers,
Dah seminggu lebih rasanya saya tak update blog. Banyak benda yang nak saya coretkan di sini. Namun masa tidak mengizinkan.
Minggu lepas saya sibuk dengan program hujung minggu baru sudah di PD. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancer.
OK, terus kepada cerita sebenar.
Doktor gigi yang merawat gigi saya sering kata, gigi saya bersih dan cantik.
Kawan pula selalu cakap, saya memiliki gigi yang putih berseri. Apabila saya memakai lipstick warna tertentu keserian dan putih gigi saya akan lebih terserlah.
Tapi... Janji Allah, manusia itu tiada yang sempurna. Saya sering mengalami masalah sakit akar gigi. Rawatan Akar Gigi bukanlah satu rawatan yang murah. Ia mahal walaupun tidak semahal memakai pendakap gigi. Kos yang selalu dikenakan kepada saya RM900.00 dan akan menjadi seribu lebih untuk lain-lain perkhidmatan yang diperlukan bagi menyokong rawatan tersebut.
Sejak akhir tahun lepas, saya mula rasa sakit pada gigi saya. Saya tahu, sakit ini bukan sakit gigi. Oleh kerana saya telah dua kali mengalami sakit akar gigi, tidaklah payah bagi saya mengenali sakit itu berulang.
Waktu di Kelantan, saya pergi ke klinik gigi. Doktor sekadar membuka semula tampalan gigi saya dan menggantikan tampalan putih dengan tampalan Amagam iaitu sejenis tampalan berwarna hitam. Nanti saya akan buat posting beza tampalan hitam dan putih tersebut Meskipun kesakitan yang saya alami sekadar ketika meminum air, tapi saya tahu ia berpunca dari akar gigi. Saya berharap agar tampalan akan menyembuhkan sakit tersebut. Malangnya, ia tidak berkurangan. Saya berdoa agar ia tidak menjadi terlalu sakit seperti tahun lepas.
Saya hubungi Klinik Zalinda untuk buat temujanji dengan Doktor Azizah iaitu doctor yang merawat saya. Tapi, Doktor Azizah cuti panjang pada awal tahun. Lantaran takut sakit akan menjadi teruk, saya ke Klinik Family, klinik gigi berdekatan pejabat saya. Doktor Banati yang baru saya kenali mengatakan sakit itu berpunca dari ruang antara gigi dan gusi saya. Lalu, beliau menampal bahagian tersebut. Namun, sakit yang saya alami tidak berkurangan dan sembuh. Saya nekad untuk bertemu Doktor Azizah. Temujanji saya buat.
Minggu lepas, hari yang dijanjikan, saya bertemu Doktor Azizah kesukaan saya. Doktor memeriksa gigi saya. Gigi saya yang saya katakan sakit masih elok dan cantik. Bagi memastikan masalah sebenar, Doktor Azizah melakukan X-ray ke atas dua batang gigi saya.
Doktor Azizah kata, mungkin saya confuse gigi mana yang sakit. Kata doctor lagi, gigi di sebelah yang saya kata sakit itu sebenarnya kelihatan akarnya. Saya tahu, mungkin penyelesaiannya rawatan akar la. Apa lagi. Tapi doctor cuba untuk merawat gigi yang saya kata sakit. Doktor minta saya pulang setelah rawatan dan datang semula pada tarikh yang ditetapkan.
Bila saya balik, sakit itu tetap ada. Beberapa hari kemudian, betullah seperti kata Doktor Azizah, gigi yang dikatakan akar telah terbuka itu yang sakit. Malam tadi, seperti biasa saya menggosok gigi sebelum tidur. Sakitnya berlarutan walaupun setelah siap berkumur. Syukur sakitnya tidak menghalang saya tidur.
Pagi tadi, jam 9.30, saya kembali ke Klinik Zalinda untuk bertemu Doktor Azizah. Segera saya adukan kepada doctor tentang sakit saya. Doktor memeriksa dan dia meminta pembantunya membawa gambar X-ray gigi saya tempoh hari. Setelah meneliti imej X-ray, doctor memutuskan untuk membuka tampalan amagam bagi melihat sendiri bagaimana keadaan di dalam. Doktor melakukan kerjanya setelah saya memberikan persetujuan. Kali ini, proses membuka tampalannya berlainan sedikit dari kebiasaannya. Mungkin tampalan amagam ini merbahaya jika tertelan. Doktor menerangkan kepada saya apa yang akan dilakukannya. Katanya, dia akan memasukkan sesuatu ke dalam mulut saya iaitu sehelai kain getah bagi mengelakkan saya tertelan sisa amagam. Kain berkenaan melebar di dalam mulut serta bahagian luar mulut saya termasuk di bibir saya. Doktor melakukan kerjanya melalui kain tersebut.
Belum habis doctor membuka tampalan saya, doctor memberitahu bahawa, akar gigi saya sudah kelihatan. Tampalan berkenaan seolah bersambung dengan akar tersebut. Doktor meminta kebenaran saya untuk menjalankan prosedur Rawatan Akar Gigi. Saya setuju. Tak perlu saya Tanya kosnya kerana saya tahu berapa kos yang akan dikenakan. Apalah gunanya wang ringgit jika saya sakit. Sesungguhnya kesihatan itu amat berharga bagi saya. Biar saya belanja lebih sedikit yang penting saya sihat.
Prosedur berlangsung selama satu jam lebih. Untuk mengelakkan saya rasa sakit, doctor menyuntik ubat bius membuatkan sebelah bibir, pipi dan gusi saya terasa kebas. Semasa prosedur dijalankan, sekali lagi doctor mengambil X-ray mungkin untuk melihat bahagian dasar sana kerana lubang gigi saya kecil. Alhamdulillah, akhirnya, prosedur selesai. Saya perlu berulang-alik ke klinik tiga kali lagi untuk rawatan susulan. Itu pun telah sedia saya maklum. Doktor memberitahu saya bahawa akar gigi saya telah dicabut. Semoga gigi saya ini sembuh sakitnya dan terus dapat saya gunakan seperti dua gigi yang telah menjalani Rawatan Akar Gigi sebelum ini.
Doktor memberi saya ubat tahan sakit dan antibiotic yang perlu dihabiskan. Waktu dalam perjalanan ke Air Asia tadi, baru kebas kesan bius hilang dan digantikan dengan rasa sakit seperti yang dimaklumkan oleh doctor. Pada awalnya, saya menyangkakan gigi sebelah yang sakit. Saya selalu confuse dengan sakit gigi saya. Saya rasa Doktor Azizah pun dah masak dengan perangai saya ni. Baru sekejap, saya cuba untuk menekan gigi yang saya rasa sakit tapi tak sakitpun. Saya tekan pula gigi yang baru menjalani rawatan pagi tadi. Ya, dialah yang sakit sebenarnya. Alhamdulillah, segera saya panjatkan kesyukuran buat Ilahi kerana bukan gigi lain yang sakit. Kata doctor, saya akan rasa sakit akibat daripada pembuangan akar gigi. Itu adalah normal setelah menjalani rawatan berkenaan. Sayapun dah lupa dulu saya sakit ke tak lepas jalani prosedur sama. Yang pastinya, doctor memang bekalkan saya ubat tahan sakit. Sekarang sakit ni makin terasa. Saya cuba untuk bertahan. Seandainya tidak terlawan sakit ni, saya akan telan ubat tahan sakit.
Readers, mohon doakan kesihatan saya. Mohon doakan juga saya cepat sembuh. Rasa nak nangis je sakit ni.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment