Dari hati seorang perempuan: Pandangan merentasi sempadan khatulistiwa, sedalam jurang Mariana, melewati lautan pasifik.
SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA
Monday, January 22, 2018
Ujian Buat Sahabat
eAssalammualaikum semua.
Selamat petang.
Hari ini, seperti kebiasaannya whatsapp bersilih ganti menembusi talian, memasuki talian telefon saya. Hati saya tergerak untuk segera membuka whatsapp group perumahan saya.
Subhanallah! Dada saya berombak kencang dan jantung berdegup laju demi membaca tulisan namaseseorang yang dikhabarkan telah dijemput Ilahi. Tak mungkin! Desis hati saya. Sesungguhnya, meskipun sekadar kawan, saya tidak bersedia menerima berita ini secepat ini.
Saya lantas menyusun jemari saya, menaip aksara-aksara bisu di skrin telefon bimbit menyoal balas dalam group berkenaan.
'Idrus suami Mas Suni ke?'
Doa saya dalam hati agar jawapan balas mengatakan tidak. Idrus yang sekian-sekian.
Saya menanti balasan penuh debaran. Masa serasa lambat berjalan. Saya menutup cover IPhone. Menyambung kerja tertangguh.
Ting! Beberapa whatsapp menerobos, kembali memasuki telefon saya. Segala kekuatan saya himpun dengan harapan saya akan membaca aksara membentuk perkataan "tidak".
Saya lihat ada satu mesej tidak dibaca dalam group perumahan saya. Rabiatul Adawiah membalas 'Ya'.
Ya Allah!!! Kenapa cepat kau ambil dia? Isterinya masih memerlukannya. Saya lantas teringat kepada isterinya. Mereka suami-isteri sangat baik terhadap saya. Isterinya yang banyak memberi semangat kepada saya sewaktu saya dilanda musim murung dahulu. Sang suami sangat memahami. Memberi keizinan buat isterinya bercakap dengan saya meskipun panjang perbualan kami tanpa mengira masa. Pernah allahyarham membawa isterinya bertemu saya demi bertanya khabar dan memberi semangat untuk saya secara berhadapan. Malam tu, kami keluar bertiga. Mereka mengajak saya makan di Mc Donald. Suaminya memberi ruang kepada kami untuk berbicara dari hati ke hati. Dia cuma memerhati dan sesekali menyampuk memberi semangat atau sama-sama ketawa apabila ada kata-kata yang kelakar.
Allahyarham sangat baik. Ya Allah, kenapa cepat sangat orang yang baik pergi dari kita? Sedangkan saya hanya kawan merasa pemergiannya? Bagaimanalah perasaan isterinya? Bagaimana kehidupan mereka anak-beranak setelah ketiadaannya? Saya memikirkan nasib Mas Suni selepas ini. Siapa yang akan menguruskannya? Allah memberikan cahaya mata ketiga kepadanya. Anak itu baru berusia tiga hari suaminya pergi meninggalkannya.
Ya Allah,
Kau berikan kekuatan kepada Mas Suni untuk menjalani hidup ini tanpa suami tercinta.
Kau berikan rahmat kepada allahyarham agar ia tenang di sana. Dia orang yang baik. Berikan rahmatMu kepadanya.
Satukan kembali mereka di Jannah sana.
Amin...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment