SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA

Wednesday, December 9, 2009

Kak Intan Yang Dirindui

Sabtu lalu, aku ke Ipoh untuk satu mesyuarat di sana. Kebetulan ke Ipoh, aku menghubungi Kak Intan, sinier sewaktu di UiTM dulu merangkap kakak angkatku, memaklumkan kepadanya tentang pemergianku ke Perak. Dari nada suaranya, aku tahu, Kak Intan amat gembira menerima berita tersebut.

Setibanya di Perak, aku dan ahli rombongan yang lainnya menginap di Hill City Hotel. Sejurus "check in", Kak Intan menghubungiku memberitahuku yang dia sudah sampai. Beberapa ketika kemudian, pintu bilikku diketuk dan tatkala pintuku buka, aku dan Kak Intan saling berpelukan bagi meleraikan rindu yang lama terpendam. Hmmm.... Pertemuan semula setelah lima tahun tidak bersua. Ini diikuti oleh Wani adik Kak Intan yang juga menuntut di UiTM. Kak Intan, Kak Intan, masih tidak berubah sikapnya, tingkahnya, kata-katanya, masih sama seperti di UiTM dulu. Status isteri dan ibu yang dipegangnya tidak sedikitpun mengubah dirinya. Aku masih juga seperti dulu, masih senang dengan kehadirannya.

Kak Intan membawa aku ke rumahnya. Pelbagai cerita kami bualkan. Dari hal-hal biasa hingga menyentuh soal peribadi. Dalam sibuk berbual, Kak Intan mengeluarkan dua helai tudung yang baru dibelinya berwarna hijau dan merah.

"La... Tudung Ikin ke?" Aku mengerutkan wajah. Aku cukup tak suka dengan tudung Ikin.
"Hei, tengok betul-betul! Kak Intan tak mainlah tudung Ikin."

Kak Intan membuka keseluruhan lipatan tudung. Dan... Wah! Cantiknya! Aku pun belum ada tudung fesyen ni. Kak Intan menyuruh aku memilih salah satu daripada tudung tersebut. Eh, takkanlah aku nak suka-suka pilih tudung orang? Kak Intan ingin memberikan satu daripada tudung tersebut kepadaku. Namun aku tetap enggan memilih.

"Mari sini," Kak Intan menarik aku bangun dari katil dan berdiri berhadapan dengannya. Aku hanya menurut. Lantas, Kak Intan mengenakan kedua-dua tudung tersebut kepadaku sambil mengajarku cara memakainya. Kata Kak Intan, aku amat sesuai dengan fesyen tudung tersebut. Dia juga memutuskan untuk memberikan tudung merah kepadaku. Katanya, wajahku lebih terserlah dengan tudung merah tersebut. Kak Intan menyuruh aku memakai tudung tersebut, dia mahu lihat sama ada aku ingat atau tidak cara pemakaian tudung itu. Aku menurut.

"Wah! Kalau bab melawa suka aje. Masih macam dulu," Kata Kak Intan dalam senyum meleret sambil memerhatikanku memakai tudung.
"Mestilah, lebih-lebih lagi ada perunding imej," Kami sama-sama tergelak. "Nak pakai tudung nilah pergi "dinner" nanti,"
"Tinta nak "dinner" kat mana?"
"Heritage Hotel,"
"Bila "Dinner"nya?"
"19 nanti,"
"Tinta pakai baju apa? Dah ada baju?"
"Belum, ingat minggu depanlah nak beli baju,"
"Tinta nak pakai baju apa?"
"Rasa macam nak pakai gaun labuh. Apa-apalah, janji "dress" labuh yang sesuai untuk "dinner""
"Tinta tak nak pakai Kurung Moden?"
"Tak naklah. Dah biasa sangatlah kurung. Tinta nak kelainan,"
"Ha, apa kata kalau kita keluar? Beli baju "dinner" Tinta?"
"Hah? Bila?"
"Kejap lagilah. Lepas ni, Abang Ijoi (suami) balik. Lepas tu Kak Intan kena hantar dia pergi bengkel dia. Lepas hantar Abang Ijoi kita pergi beli baju Tinta," Cadang Kak Intan.
"Tapi boleh ke? Sempat ke? Tak naklah susahkan Kak Intan,"
"Taklah, Kak Intan "free". Nanti kita tinggal Damia (anak) pada Wani,"
"Boleh juga kalau tak menyusahkan, sekurang-kurangnya, Tinta ada perunding Imej," Kami ketawa lagi.

Kak Intan mencari-cari sesuatu di atas almari soleknya.

"Kak Intan cari apa?"
"Jarum peniti. Kak Intan nak bagi Tinta. Jarum tu cantik, ada permata. Boleh Tinta pakai dengan tudung ni,"
"La... Tak payahlah, Tintapun ada jarum macam tu,"
"Tak apalah, jarum tu cantik, sesuai dengan tudung ni. Ish, ni Naufallah ni, (anak sulung) main-main jarum Kak Intan. Kan dah hilang. Tak boleh Kak Intan nak bagi Tinta,"
"Kak Intan ni... Semua benda nak bagi Tinta. Dah tahu benda tu cantik, Kak Intan pakailah, simpan. Janganlah bagi Tinta, inipun dah cukup. Semua benda yang baru, elok, nak bagi orang. Masih macam dulu, tak berubah-ubah,"
"Tak apalah. Bagi Tinta, bukan bagi orang yang Kak Intan tak kenal,"

Setelah berpuas hati dengan tudung yangku pakai, Kak Intan bergegas ke dapur membungkus tempoyak untuk dibekalkan kepadaku. Bukan saja aku, kawan sebilikku yang baru dikenalinya juga turut diberi tempoyak. Lepas tu, dia masuk ke bilik tempat aku berehat.

"Tinta, ni bantal busuk Damia, dulu dia pakai, sekarang Damia dah tak pakai. Tinta ambillah. Buat kenangan. Nanti Tinta peluklah bantal ni,"
"La... Ni pun nak bagi Tinta? Kak Intan tak sayang ke bantal ni?"
"La... Ambillah, Kak Intan bagi,"
"Kak Intan ni, semua benda yang Kak Intan sayang, semuanya nak bagi Tinta," Tanpa mengendahkan kata-kataku, Kak Intan memasukkan bantal tersebut ke dalam "paper bag".
"Dalam ni, ada coco pie tau, Kak Intan bagi Tinta,"
"Okay, terima kasih,"

Dalam Kak Intan sibuk memasukkan barang yang diberinya ke dalam "paper bag", Wani masuk membawa anak patung dinosor lalu dihulurkannya kepadaku.

"Nah, ni Wani bagi Tinta. Buat peluk tidur tau,"
"Eh, Wani! Susah-susah je, kan Kak Intan dah bagi bantal busuk?" Aku terkejut dengan pemberiannya.
"Tak apalah, itu Kak Intan. Ni Wani bagi." Aku terharu dengan kebaikan mereka. Wani mengambil tanganku dan dia meletakkan anak patung di atas tanganku. "Nama dia Dino," Oh Tuhan, Kau berikanlah rahmat dan rezekiMu yang melimpah ruah kepada mereka.
"Tinta, Kak Intan ada masukkan sesuatu dalam "handbag" Tinta,"
"Apa dia lagi?"
"Adalah, nanti tengoklah," Aku lantas mengambil beg tanganku dan melihat barang yang dimaksudkan. Kicin!
"Ada nama Kak Intan dan Wani pada kicin tu,"

Sewaktu minum pula:

"Wani, jap lagi, akak nak hantar Tinta. Adik tinggal dengan Wani, ya?"
"Okay. Akak dah nak hantar Tinta ke?"
"Yalah,"
"La... Biarlah Tinta kat sini dulu, kan petang ni dia tak ada apa-apa program,"
"Akak nak teman Tinta beli baju,"
"Baju apa?"
"Baju "dinner". Tinta nak pakai "dress" labuh,"
"Nak ikut!!!"
"Adik nak ikut ke?"
"Yalah,"
"Okaylah, ikutlah."
"Green town Novalah, kak. Banyak pilihan,"
"Yalah, kat sana banyak pilihan dan boleh tawar,"

Jam 8.00 kami sudahpun tiba di Green Town Nova. Ya, memang banyak kedai baju di sana. Tapi tak banyak kedai yang menjual gaun malam. Kedai ketiga kami masuki. Kak Intan mencadangkan aku memakai "dress" labuh berwarna merah. "Dress" tersebut dipadankan dengan baju luar yang juga berwarna merah diperbuat daripada kain lace dan bersulam manik di seluruh baju dengan corak yang menarik. Memang sesuai denganku tapi, ada beberapa bahagian yang perlu dibaiki. Kata tuan kedai, esok boleh siap. Satu lagi, harganya melebihi budget. Boleh beli tapi kalau "under budget" lebih baik. Aku mahu ke kedai lain, kalau-kalau ada yang lebih sesuai.

Kedai keempat kami masuki.

"Tinta, baju yang patung ni pakai cantik, Tinta. Kak Intan rasa sesuai dengan Tinta. Tinta cuba dulu ya. Yang ni lebih cantik dari yang Tinta cuba tadi, yang merah tadi,"
"Ini jubah moden," Sampuk tuan kedai.
"Tapi tak nampak macam jubahpun, sebab dia dah modenkan. Cuma... Tak sesuailah kalau nak pakai pergi pejabat, kalau "dinner" dan kenduri tu bolehlah, sama macam baju tadi,"
"Masuklah ke dalam. Kat dalam banyak pilihan warna." Kami masuk ke dalam.
"Tinta, Kak Intan rasa, Tinta sesuai dengan gabungan warna hitam pink ni," Baju hitam labuh yang terbelah dihadapan dan dijahit dengan fabrik berwarna merah jambu di dalamnya serta tangan bagi menutup aurat muslimah ku ambil dari gantungan. Rekaannya ku perhatikan. Sungguh halus sulaman benang perak pada bahagian perut hingga ke kaki. Diserikan lagi dengan taburan manik berkilauan pada sulaman tersebut yang dihiasi dengan butang pada lengan dan perut.

Aku mencubanya. Setelah baju tersebut ku sarungkan, aku menunjukkannya kepada Kak Intan.

"Tinta, baju ni lebih "sweet" dengan Tinta. Nampak berseri. Kak Intan rasa yang ni lebih "okay" dari yang tadi. Jap. Wani! Sini, tengok ni,"
"Eh, "okay"lah yang ni, nampak "inocent"". Tegur Wani tatkala kakinya melangkah ke kawasan bilik persalinan.
"Macam mana? Nak tengok kedai sebelah ke nak ambil yang ni,"
"Labuhlah, Kak Intan," Pertanyaannyaku abaikan.
"yalah, Tinta pakai "hill" ke nanti?" Aku angguk.
"Tapi labuh sangatlah, kak." Celah Wani.
"Kak, boleh potong tak?" Kak Intan bertanya kepada tuan kedai.
"Malam ni tukang jahit tak ada,"
"Tak apalah, kita tengok kedai sebelah dulu," Kata Kak Intan kepadaku. Aku mengikutnya ke kedai sebelah. Nampaknya, tidak ada yang sesuai. Kami kembali ke kedai tadi.
"Habis tu labuh macam mana?"
"Mesin jahit ada, kalau pandai guna, gunalah," Cadang tuan kedai.
"Saya tak pandai mesin macam ni," Luah Wani.
"Habis macam mana? Esok Tinta nak balik KL,"
"Tak apalah, kat KL nanti, Tinta hantarlah kat tukang jahit,"
"Tak apalah, Wani jahitkan dekat hotel," Wani menawarkan diri.
"Jahit macam mana?" Tanyaku bingung.
"Jahit tanganlah,"
"Hah? Tak payahlah susah-susah..."
"Tak apalah Tinta, kalau boleh, Kak Intan nak semuanya selesai malam ni." Aku terdiam. Kak Intan meminta jarum dan benang dari tuan kedai. Dengan baik hati, tuan kedai memberikan jarum dan benang untuk menjahit baju tersebut.

"Tapi, baju ni tak sesuai pakai dengan tudung tadi. Kak Intan tak ada tudung pink. Baju ni sesuai kalau pakai dengan tudung pink."
"Tak apalah, tudung Tinta beli kat KL nanti,"

Setelah penat memilih baju, kami makan di kedai tempat abang Kak Intan buat "part time". Inilah kali pertama aku makan Nasi Goreng Obama. Sedap juga.

"Obamapun makan nasi ke?" Kak Intan ketawa tika mendengar selorohku itu.
"Tinta kalau nak makan Nasi Goreng Obama datang Perak tau," Pesan Kak Intan.
"Yalah,"
"Ni "special" tau, tukang masak dia reka. Tak ada kat tempat lain," Celah Wani.
"Tinta, nanti datanglah lagi. Tak puas nak sembang. Kejap je Tinta kat sini,"
"Insya-Allah, kalau ada rezeki, Tinta datang lagi. Tapi tulah, susahkan Kak Intan dengan Wani je," Aku kesal.
"Jangan cakap macam tu, Tinta,"
"Nanti, kenduri kahwin Wani, Tinta mesti datang tau," Pinta Wani yang seusia denganku.
"Ya, Insya-Allah kalau tak ada sebarang aral,"

Pukul 10 lebih, kami tiba di hotel. Wani terus memulakan kerja menjahit dan Kak Intanpun turut sama lepak di bilikku. Pukul 12.00 lebih, barulah selesai kerja menjahit bajuku. Kemudian, Wani membantuku mengemas beg pakaian untuk pulang. Beg yang ku bawa terlalu kecil. Maklumlah, satu malam je, takkan nak bawa beg besar? Tak sangka pula banyak barang yang perlu dibawa pulang. Hasil kebijaksanaan Wani menyusun, semuanya muat dalam begku yang kecil itu.

Memang seronok bertemu dengan Kak Intan. Rasa sedih segera menerpa tatkala tangan bersalaman dan mulut mengucapkan salam perpisahan. Entah bila akan bertemu akupun tak tahu.

Habis "meeting", aku bertolak pulang ke KL. Sesampainya di rumah, sekali lagi aku terkejut apabila membuka bungkusan botol tempoyak. Sungguh aku tidak menyangka. Kak Intan memberiku botol yang sama seperti botol yang aku mahu beli di Sarawak lima bulan lalu. Tapi kerana takut budget tidak mencukupi, aku tidak membelinya dan aku teringat-ingat sampai sekarang. Memang sama dengan botol idaman aku tu cuma bezanya, botol yang ku lihat di Sarawak berwarna-warni pada kacanya dan kelihatan seperti permata. Tapi aku tahu, botol seperti ini mahal harganya. Biasanya dijual dalam set yang dilengkapi dengan bekas besi bercorak.. Satu set ada tiga botol. Botol begini sesuai dibuat bekas kuih raya. Ya Allah, nampaknya, hambaMu ini telah memberikan barang-barang kesayangannya kepadaku. Kau gantikanlah dengan sesuatu yang lebih berharga kepadanya. Bila aku menyuarakan rasa terharuku pada Kak Intan lewat kiriman SMS jawabnya:

"Tak apalah Tinta, Kak Intan beli satu set. Satu Kak Intan bagi Tinta. Pada Kak Intan ada dua lagi,"

Betapa mulianya hati Kak Intan. Kak Intan, Tinta sayang Kak Intan. Semoga persahabatan kita berkekalan dalam rahmat Ilahi. Amin.

Friday, December 4, 2009

Terima Kasih Atas Perhatian Anda

Terima kasih kepada pembaca setia blog aku yang tidak seberapanya ini. Beberapa hari lepas, aku menerima satu panggilan di pejabat. Pada mulanya, pemanggil mengisarkan perbualannya terhadap tugasku di pejabat. Setelah bercakap beberapa lama, dia memberitahuku bahawa dia adalah pembaca blogku, Suria Khatulistiwa. Aku terpegun. Oh, ada rupanya orang yang membaca blog ni dan mengetahui siapa penulisnya walaupun bukan dari kalangan orang-orang yang aku kenali. Lebih memeranjatkan, dia mengingati enteri yang telahku paparkan di sini. Ada sesetengah enteri diingati dengan tarikhnya sekali. Katanya, dia tak pernah terlepas daripada membaca blogku dari awal hingga enteri yang terakhir. Aku sengaja ingin menduga:

"Apa enteri "last" yang Encik baca?"
"Last, 27 November, fasal masjid tu,"

Ya, dia memang membaca blogku. Lebih memeranjatkan, dia mengingati banyak kisah yangku paparkan di sini. Bagiku, ini suatu penghargaan meskipun aku bukanlah penulis blog yang mengutarakan kisah-kisah berat, hanya kisah hidupku. Terima kasih kepada semua pembaca yang sudi membaca riwayat hidupku, seorang perempuan yang tak punya apa-apa. Seorang hamba yang terlalu kerdil di muka Bumi ini. Satu jalinan kisah hidup yang tidak seberapa, tidak menarik, jauh sekali dikenali ramai. Terima kasih sekali lagi ku ucapkan buat semua. Dengan adanya "fit back" sebegini, aku makin bersemangat untuk menulis di sini dan terasa dekat dengan pembaca.

Friday, November 27, 2009

Isssshhhppp! Diam!

Manusia tetap manusia, tak kira tua, muda, kecil atau besar. Selagi mereka bergelar manusia, tetap ada persamaan sikap antara mereka. Kalau yang elok tu OK lah, tapi kalau yang kurang tu... Sama-samalah kita betulkan serta elakkannya. Membebel? Bukan aku membebel cuma meluahkan isi hati.

Agaknya, memang tabiat manusia ni suka berbual dalam surau atau masjid ya? Aku ingat, keadaan ni berlaku masa aku kat asrama dulu. Tapi masa tu kira OK lagilah, sebab boleh aku tegur, marah dan suruh diam. Tapi kalau yang buat tu dah peringkat makcik-makcik macam mana? Itulah yang terjadi sewaktu aku menunaikan Solat Sunat Aidil Adha pagi tadi.

Aku agak kecewa sebab aku sampai lewat, jadi terpaksa duduk di belakang. "sound system" pula tak berapa bagus, mungkin kekurangan "speaker". Apa yang amat mengecewakan adalah sewaktu khatib membaca khutbah. Saf di belakang aku bercakap-cakap hingga mengganggu tumpuanku. Nak tegur... Takut dikata kurang ajar atau berlagak, yalah, akupun bukan selalu ke masjid tu, balik pun sekali-sekala. Lagipun yang bercakap tu dah berumur, dah pangkat makcik. Takkanlah dia orang datang ni semata-mata untuk solat je. Habis khutbah macam mana? Kenapa Solat Raya ada khutbah? Sebab untuk memberi pengajaran serta menambahkan ilmu kita. Kenapa tak nak dengar, makcik? Hai!!! Entahlah! Lidah ni pula... Seakan kaku untuk menegur. Itu kesilapan akulah, mungkin iman akupun terlalu lemah sehingga kelu lidah untuk menegur.

Tuesday, October 27, 2009

Hari Minggu Yang Penat

Teringat aku tentang hari minggu yang baru lalu. Ah! Penat rasanya... Hari Sabtu aku bekerja separuh hari. Beberapa hari sebelum tu, Ainol call dan ajak aku keluar bersiar-siar. Cadangnya... Nak ke Ulu Langat, menikmati keindahan alam, merendam kaki di sungai agar ikan makan sel kulit mati. Kemudian dia call lagi katanya, lewat sikit sebab ada Tan Sri, bekas bos dia nak kahwin. Hmmm... Tahu sajalah, perkahwinan orang kenamaan, mesti lama kan? Kak Liza Nutrimetics pula call, ajak pergi kelas kecantikan. Huh, daripada duduk buang masa, baik aku ikut Kak Liza pergi kelas, dapat ilmu, tak kisahlah walaupun ilmu kecantikan kan? Pukul 2.00, Kak Liza jemput aku kat pejabat, terus ke Puchong. Pukul 4.00, Ainol call. Aku beritahu dia yang aku kat luar, jadi, dia suruh aku call dia bila aku dah balik nanti. Biasalah, kalau dah ikut orang meniaga, pukul 8.00 lebih baru sampai rumah.

Hajat hati nak berehat terpaksa dibatalkan. Sebaik saja aku sampai di rumah, Hana beritahu yang Mr. Raju (director) call. Aku call dia balik. Dia minta mahu berjumpa dengan aku, nak bincang fasal kertas kerja filem yang aku translitkan untuk dia. 20 minit kemudian, dia sampai. Aku membawa notebook dan terus keluar bersamanya. Kami ke OUG. Sampai di sebuah restoran, aku mengisi perut yang lapar dengan chicken chop dan chocklat shake. Lepas tu, kami berbincang tentang kertas kerja tersebut. Alamak, nampaknya, esok aku kena bertungkus-lumus untuk translit kertas kerja dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu. Kenapalah tak suruh translit semua sekali hari tu? Hari tu kata nak translit sinopsis je. Sudahnya, pukul 1.00 baru sampai rumah. Nasib baik dah solat Isyak, aku bersihkan diri dan terus tidur. Letihnya badan.

Esoknya, pagi-pagi lagi aku bangun bersiap untuk ke majlis hari raya. Yalah, janji dengan orang, mestilah tepati masa. Aku keluar dulu dengan Kak Umi. Hana dan Haida menyusul kemudian. Pukul 3.00 petang aku dah sampai rumah, nak translit kertas kerja punya fasal, tak bolehlah aku bersantai dengan kawan-kawan. Tapi mengantuk, tidurlah dulu. Bangun terus solat Asar dan mula bekerja. Pukul 10.00 lebih, kerja menterjemahpun selesai dan terusku emailkan kepada director. Kenalah buat cepat, esok pagi-pagi dia dah nak pergi meeting dengan production house. Si Ainol pula pagi sebelum aku keluar ke majlis hari raya dia call, ajak pergi sungai. Aku minta maaf daripadanya, tak boleh, aku kan dah janji dengan orang. At last, dia mengalah, tapi katanya, kalau free malam nanti, bagi tahu, dia nak belanja minum. Tapi... Kalau tak ada apa yang mustahak, tak naklah aku keluar malam. Lain kali jelah.

Wednesday, October 21, 2009

You Are...

"Dont be sad, you are pretty, I'm telling the truth, you are pretty, girl." Itu kata-kata Ainol Zaffery, rakanku lewat panggilannya semalam.

Apakah itu satu pujian ikhlas atau kata-kata memujuk hatiku yang lara?

Monday, October 19, 2009

Tadbir Allah Mengikut TakdirNya

Inna nillahi wainna ilaihi rajiun...

Ya Allah! Betapa peritnya ujianMu ini. Tuhan, sebenarnya aku lemah, terlalu lemah untuk menghadapi kenyataan ini. Namun aku pasrah pada ketentuanMu. Oleh itu, ubatilah Tuhan lara hati ini. Rawatlah sengsara jiwa ini. Datanglah! Datanglah angin, bisikkan khabar gembira padaku moga terubat segala kelukaanku.

Tuhan,
Engkau telah mengaturnya di langit, dan ianya terjadi di sini, di bumi ini. Bagaimana harus dinafikan hakikat tatkala kalamMu mengatur rencana. Bagaimana harus dilanggar ketentuan pabila suratan melakar kisah? Lalu... Aku hamba yang kerdil ini berserah kerana kebijaksanaanMu menitip jalinan hidup makhluk telah termaktub di Loh Mahfuz. Dengan seluruh jiwa, aku pasrah padaMu, Tuhan yang mengetahui atas segala-galanya. Aku redha padaMu yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hambaNya.

Sunday, September 27, 2009

Penantian Yang Telah Berakhir :)

Emmm... Nak gunting rambut pun kena tunggu sampai dua hari. Pagi semalam, pukul 10.00 aku dah sampai di salon tu. Ingatkan bolehlah jadi pelanggan pertama. Tak ada maknanya, aku orang keempat dan Hakim orang kelima. Kata Hakim, kalau auntie potong baru cantik, dia nak tunggu auntie juga. Auntie masuk pukul 1 kata pekerja salon tersebut. Acik pun cakap auntie potong cantik. Ini first time aku potong rambut kat sini. Okaylah ikutlah cakap dia orang yang dah jadi "customer" tetap salon ni. Sudahnya, kami balik. Hakim pulang ke asrama tanpa memotong rambut nasib baik rambutnya masih pendek. Menjelang Maghrib, baru orang salon "call" kata "free", mana boleh, nak solat, karang tak sempat pula nak Maghrib.

Pagi tadi aku "call" salon. Mereka janji akan "call" kalau ada "free". Sampai petang, tak "call". Aku dan Acik bersiap, masuk Maghrib terus solat kemudian ke salon. Hmmm... ada enam orang lagi? Tunggulah setakat yang terdaya. Pakkal kat sini ada salon ni je satu yang dekat dengan rumah. Ku gagahkan diri untuk tunggu. Hampir dua jam menunggu, tibalah giliran aku. Yang tak bestnya, kenapa orang perempuanpun dia potong kat luar? Kan ada bilik? Aku mengekori auntie masuk ke bilik cuci rambut.

"Nak potong kat sini pun boleh." Bagus! Dapat potong kat dalam bilik. Mungkin sebab aku bertudung kot. Baguslah auntie tu, walaupun dia bukan Islam, sekurang-kurangnya... Dia menghormati Islam.

Masa tengah potong rambut tu, banyak perkara yang kami bualkan.

"Kenapa tak kerja kat Kelantan je?" Tanya auntie lembut dan ramah. Dia kelihatan begitu berhati-hati dengan kerjanya.
"Belum ada rezeki kat sini auntie," Jawabku. "Auntie memang orang sini ke?"
"ya, orang sini. Sebab tu auntie kerja kat sini. Auntie tak nak pergi tempat lain. Dah orang sini, auntie nak terus tinggal kat sini," Ada keikhlasan dalam nadanya. Tidak seperti memerliku walaupun sebenarnya kata-kata tersebut berbekas di hatiku. Aku senyum. Ah, auntie, betapa tingginya semangat baktimu pada tanah kelahiranmu. Meskipun tanahmu ini diperintah oleh pembangkang (PAS) yang jelas mengamalkan sistem Islam. PAS di Kelantan, aku dengar, orang Cina dan Indiapun sukakan pemerintahan PAS di sini. Apa keistimewaannya ya? Sampai musim pilihanraya mereka bertungkus-lumus membantu PAS berkempen. Malah, ada peniaga Cina yang mengeluarkan wang untuk belanja makan pengempen PAS. Tapi aku rasa... Aku mula faham mengapa mereka tetap mahukan PAS sungguhpun ramai yang kata Kelantan mundur, tidak ada pembangunan kerana diperintah oleh PAS. Itu semua hanya cakap kosong sedang hakikatnya? Mungkin rakyat Kelantan saja yang faham akan kedudukan negeri tercinta ini. Rasanya tak sesuai untukku kupas dalam tajuk ni.

Auntie terus melakukan kerjanya. Aku memberi kebebasan kepadanya untuk memotong dengan gaya yang dirasakan sesuai dengan wajahku. Auntie kelihatan bersungguh-sungguh menerangkan gaya yang dibuatnya terhadap rambutku. Siap ajar gaya sikat.

"Yang ini ke bawah, yang ni pula sikat ke sini. Kat sini letaklah sepit, baru sesuai. Guna sikat yang tidak terlalu rapat supaya ia lebih terbentuk. Kalau sikat rapat, tak nampak bentuknya," Aku mendengar dengan teliti dengan bibir tidak lekang dari senyuman menandakan aku faham. Sesekali aku bertanya padanya. Setiap pertanyaan dijawab dengan jelas.

"Emmm? Macam rambut Jepun!" Komen Acik. Setelah auntie selesai memotong rambutku.
"Yalah, kan pagi-pagi lagi aku dah dengar lagu Jepun," Gurauku yang memang kebetulan pagi tadi sibuk mendengar lagu Jepun dan Korea. Entah angin apa yang bertiup pagi tadipun tak tahulah, sampai dengar lagu yang aku tak faham sepatah haram tu yang turut mendiami Ferrari aku ni.;.
"Okaylah tu, sesuai dengan kau sebab kau suruh dia sesuaikan dengan wajah kau. Macam Angah, dia yang cakap nak fesyen macam mana, kurang kena," Komen Acik lagi. Apa-apalah Cik. Janji aku dah dapat potong rambut. Kalau panjang sangat tak elok juga, gugur. Lagipun, orang kata, kita kena potong sesekali untuk buang bahagian rambut yang kurang elok.

Terima kasih, auntie! Aku suka dengan fesyen ni. Jepun pun, Jepunlah.

Di Hujung Mimpi

Ini pula puisi yang ku tulis suka-suka di waktu luangku. Ia pernah tersiar dalam majalah Anis beberapa tahun dulu:

Beradu di riba malam
Lena dalam selimut dingin melalaikan
Pandangan lenyap
Mata tertutup
Cinta dunia berputik
Mekar, indah.

Dikejar syurga fana
Melalui lorong-lorong hitam pekat
Busuk lagi jijik
Kasih harta membutakan.

Bukan tidak bisa mendengar
Suara-suara lembut membisik ke telinga
Mengalun lagu peringatan
Nukilan al-quran dan hadis
Begitu irama zikir mempesona
Semuanya tidak dipeduli
Kerana hanyut dibawa nafsu
Belayar bersama makhluk hitam.

Di luar sedar
Mulut neraka terbuka
Menanti hari pasti
Saat pembalasan mencipta hukuman
Saat wawansabda berlangsung.

Dan…
Pabila gugur mimpi indah
Di taman siang
Mentari garang membakar
Sedarlah mata-mata lena
Menangis
Menginsafi dosa-dosa silam.

Derita Seorang Gadis

Aku baca balik fail-fail lama yang ku simpan dalam notebook ni. Aku terjumpa "assignment" subjek penulisan puisi masa belajar dulu. Masa tu... Selain "assignment" tentang puisi moden, kami ditugaskan untuk menulis puisi tradisional. Maka terciptalah syair di bawah. Yang buat aku gementar, masa nak "perform" lah. Bukan setakat satu tapi tiga benda yang kena persembahkan pada penonton dengan pensyarah menjadi penilai untuk pemberian markah akhir. A Ghafar Ibrahim atau lebih mesra dengan panggilan Pak Agi, memang "sporting" pensyarahku itu, tapi dia seorang penilai yang bagus. "Sporting" "sporting" juga, tapi tegas dalam penilaian. Tapi alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Silalah baca syairku yang tak seberapanya ni:

Tersebutlah kisah suatu cerita,
Seorang gadis cantik jelita,
Hidup sengsara berair mata,
Diri terbuang jauh melata.

Dari istana riwayat bermula,
Sempurna sifat tiada cela,
Sempurna akal tiada gila,
Hidup sentosa nasib terbela.

Mangkatlah bonda di suatu hari,
Mati dibunuh si ibu tiri,
Gemparlah rakyat seisi negeri,
Hatinya pilu tiada terperi.

Ia diusir ke luar istana,
Dicaci dimaki diri terhina,
Sedang ayahanda masih terlena,
Punah harapan yang dulu dibina.

Berjalanlah ia ke luar negeri,
Dalam kesusahan membawa diri,
Kembara merantau seorang diri,
Berbekal berani hati sendiri.

Saturday, September 26, 2009

Ferrari... Buat Aku Panik!!!

Cuti-cuti macam ni, tak banyak benda yang aku buat selain kerja-kerja rumah. Siap semuanya, aku pun mulalah berdamping dengan Ferrari kesayangan aku ni :) Nasib baiklah ada si comel ni, dapatlah aku melayari internet termasuklah "update" Suria Khatulistiwa aku ni. Sedang aku asyik menaip, tiba-tiba Ferrari mati. Aku tekan "button on", tak hidup. "Button on" ku tekan berulang kali, Ferrari masih diam. Skrinnya tetap gelap. Tiada "window" kelihatan. Ya Allah! Macam mana ni??? Aku susah hati. Macam mana kalau Ferrari rosak? Macam mana dengan dokumen-dokumen di dalamnya? Aku sedih, nak nangis. Ish, apa ni? Sikitpun nak nangis ke? Perasaan sedih ku tahan. Aku cuba bertenang. Badanku sandarkan ke kerusi di hadapan meja tulis, berhadapan Ferrari. May be ada something yang tak kena kot? Lama berfikir, Oh, mungkin... Aku cepat bangun mendapatkan "extention" tempat di mana plag Ferrariku sambungkan. Laaa... Patutlah, aku lupa buka suiz, bateri habislah niii. Aku menarik nafas lega tatkala "button on" ku tekan, Ferrari berfungsi seperti biasa. Aku senyum sendiri.

Monday, September 21, 2009

Raya Yang Kurang Meriah

Raya tahun ni… bagi aku, kurang meriah. Kami sekeluarga beraya di rumah sendiri, tak balik ke rumah mummy. Mummy di KL, jaga Cik Sal sakit. Selalunya, hari buat ketupat kami dah berkumpul di rumah mummy. Menjelang hari raya, mummylah orang paling sibuk. Malam hari raya, mummy mesti sibuk di dapur menyediakan juadah hari raya. Aku dan yang lain-lain akan turut membantu apa yang patut sambil menonton TV. Bila waktu menginjak larut malam, kami akan disuruh tidur oleh mummy. Walaupun mummy orang terakhir yang tidur, mummy jugalah orang pertama yang bangun pada hari raya menyiapkan apa yang patut. Tapi raya kali ni, terpaksalah kami beraya di rumah sendiri. Dalam banyak-banyak tahun beraya di Kelantan rasanya inilah raya yang paling kurang meriah. Namun, aku tetap bersyukur kerana diberi kesempatan untuk menyambut Syawal sekali lagi oleh Yang Maha Esa.

Selamat Hariraya Aidilfitri

Semoga…
12 bulan mendatang penuh dengan kecemerlangan,
52 minggu kesabaran,
365 hari keberkatan,
8760 jam kesyukuran,
Dan 525600 saat senyuman.

Di kesempatan ini, ku ingin mengucapkan selamat Hariraya Aidilfitri kepada semua pembaca blog ini walau di mana jua kalian berada. Sepuluh jariku susun, memohon kemaafan andai ada titipanku yang menyinggung hati kalian sepanjang perkenalan kita di maya ini.

Tidak lupa juga kepada yang mengenali diri ini, ampunkanlah setiap patah bicaraku yang menghiris kalbu, Tingkah-lakuku yang mengguris rasa, riak wajahku yang meluka hati.

Selamat Hariraya Aidilfitri, maaf zahir batin.

Masjid Baby Sitter

Hari raya adalah hari kemenangan bagi Umat Islam. Sebagai tanda syukur atas kemenangan tersebut, aku, abah dan Hakim seawall pukul 8.00 pagi ke masjid bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri. Walaupun tidak ramai yang aku kenali, tapi aku gembira kerana dapat sama-sama menunaikan solat tersebut.

Ketika suasana sunyi dan semua orang memulakan solat, kedengaran bayi menangis. Ish, kenapalah bayi tidak ditinggalkan saja di rumah? Itukan lebih baik? Kita ke sini kan untuk bersolat. Sebaiknya, dijauhkan dari sebarang gangguan. Hai, tak faham aku.

Saturday, September 19, 2009

Wajah Baru Blogku

Macam mana? Okay tak "design" blog ni? Sudah sekian lama, baru hari ni aku hiaskan blog kesayangan aku ni.

Komen sikit? :)

Tanah Serendah Sekebun Bunga

Aku kembali ke tanah asalku. Tanah tempat terlakarnya sejarah gemilang pemerintahan seorang raja perempuan yang bijaksana. Aku, anak kelahiran Tanah Jembal ini berasa kagum dengan pemerintahan baginda. Lantas, semangatnya ku jadikan azimat dalam diri untuk menjadi insan gemilang. Cik Siti Wan Kembang, meskipun kerajaanmu tinggal sejarah, namamu tetap utuh dalam ingatanku buat membakar jiwa seorang perempuan yang mahu mengikut jejakmu yang terbilang. Biarpun 500 tahun telah berlalu, semangatmu tetap hidup dalam jiwaku selagi darah mengalir di setiap saraf nadiku.

Seawal jam 4.45 pagi, aku bangun bersahur dan membersihkan diri. Tatkala azan berkumandang, aku menunaikan Solat Subuh. Kemudian bersiap. 6.30 aku keluar ke LRT dengan ditemani Hana dan Tiha, adiknya. Destinasiku ialah KLCentral. Rasanya sudah lambat ni. Kami berpisah di stesen Putra. Aku terus membawa beg rodaku menaiki LRT.

7.15 pagi, tiba di KL Central. Aku bergegas ke ruang "check in" untuk "check in". Petugas di situ bertanyakan masa "flight" berlepas.

"9.05 dah tak boleh check in kat sini, Cik. Dah tutup. Cik check in kat KLIAlah ya?"
"Okay, thanks,"

Aku terus ke kaunter ERL membeli tiket. ERL 7.20 sudahpun meninggalkan KL Central. Ah, kena tunggu pula! 7.40, aku naik ERL dan tiba di KLIA jam 8.00 lebih. Poter bertugas terus membawa aku ke kaunter MAS untuk check in. Tak lama kemudian, aku memasuki pesawat. Pramugara dan pramugari menyambutku dan penumpang lain dengan ramah.

Sewaktu ingin berlepas, setelah pesawat berjalan di landasan, tiba-tiba ia berhenti. Ketua pramugari membuat pengumuman, penerbangan terpaksa ditangguhkan disebabkan gangguan teknikal. Hatiku berdebar. Siapa tak takut kan kalau jadi apa-apa? Pesawat bergerak lagi dan berhenti lagi. Oh Tuhan, selamatkan kami sepanjang perjalanan ini

Pukul 9.35, pesawat bergerak laju menujah langit luas. Cuaca di luar cerah. Dapatku rasakan betapa lajunya pesawat ini membelah awan biru. Lebih laju dari biasa. Mungkin itu hanya perasaanku. Kelajuan 800 KM sejam seperti yang diberitahu pramugara menerusi pengumumannya sama seperti penerbangan yang aku sertai sebelum ini. Ketinggiannya pula 27000 kaki dari aras laut. Ketinggian juga masih pada paras biasa. Alhamdulillah, tepat pukul 10.30, pesawat mencecah landasan Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa.

Mama dan abah sudah sedia menunggu di balai ketibaan. Hmmm... Tak sangka, aku bertemu Huzaimi dan isterinya, Emida bersama ibu Huzaimi yang turut menaiki pesawat MH7036. Huzaimi, senior sewaktu sekolah di Johor dulu dan pernah satu kelas denganku di sekolah agama. Manakala Emida pula juniorku. Mereka telahpun mempunyai seorang cahaya mata. Dari pengamatanku, mereka bahagia. Seronok ku lihat kehidupan mereka. Aku turut gembira.

Setelah mendapatkan beg, aku, mama dan abah terus pulang. Ah, tak sabarnya nak jumpa Yaya, kucing gemuk yang comel dan bijak. Tiba di rumah, Acik dan Hakim menyambut kepuanganku. Tanpa berlengah lagi, aku memberikan kepada semua apa yang ku beli buat mereka. Ish, mana si kucing gemuk ni? Anak dia lari, mungkin tak kenal aku kot. Si Bela ada. Lepasku usap kepalanya, dia pergi. Hahha... Bela mana suka orang usap dia! Si Hitam pula, nak duduk sekali di atas katil. Mana boleh! dia kurang sihat, berkudis. Kata mama, Angah dah bawa dia ke klinik haiwan berhampiran sebelum pulang ke Paris, dan dah diberi suntikan. Tapi belum sembuh juga. Habis! Si Gemuk mana? Puas aku dan acik mencarinya. Lama mencari, aku buat apa yang patut dan mula melayari internet. Mereka kata, Si Gemuk suka tidur. Mungkin ada di bawah katil mama atau dalam raga di dapur. Hehehehe, masih tak berubah perangai Si Gemuk kesayangan aku tu!

Masa aku asyik menulis, mama masuk ke bilik membawa Si Gemuk. Wah! Comelnya diaaa! Gemuk!!! Bulunya lebat dan panjang. Gigi pun masih cukup. American Forest campur Parsi, itulah spesisnya. Dia datang padaku dan membiarkan badannya diusap. Aku terus memeluk dan menciumnya. Dengan manja, dia membiarkan aku melakukan apa saja terhadapnya. Dia tak lari, maknanya, dia kenal aku. Si Gemuk ni, kalau tetamu datang, dia pasti lari menyembunyikan diri. Kalau dia tak lari, maknanya, dia kenal orang tu. Kenapa? Ada sejarahnya, nantilah, ada masa, akanku tuliskan di sini. Dapat jumpa gemuk, barulah puas hati. Oh, ada satu agenda lagi, tengok baju raya. Aku sendiripun tak tengok lagi baju dan tudung raya. Sepasang je yang aku dah tengok, itupun masa belum siap jahit sebab mama beli di KL. Yang mummy beli belum tengok lagi. Kejap lagilah.

Semalam...

Di Masjid Jamik, aku terserempak dengan Muna dan Zaris. Aku yang mahu pulang ke rumah pada mulanya, menyertai mereka membeli-belah di Jalan Masjid India. Dengan gaji belum dapat, tak banyak barang yang aku beli. Tapi dapatlah beli kerongsang untuk mama dan acik dan songkok untuk abah dan Hakim. Okaylah tu daripada tak ada apa-apa. Jalan punya jalan, jumpa pula dengan jam tangan budak. Cantik! Jam bergambar pelbagai watak fairy tale! Hmmm... Kalau aku masih budak-budak, mesti aku takkan lepaskan peluang ni. Bukan senang nak dapat barangan watak fairy tale kegemaran aku. Emmm... Aku nak juga! Tak kira! Apa lagi, beli jelah. Ops, jangan silap, bukan untuk aku, tapi untuk Sarah dan Muhaimin, sepupu aku yang masih kanak-kanak. Untuk Sarah, ku belikan jam tangan merah gambar Cinderella. Lama jugalah memilih. Semuanya aku suka. Snow White pun ada. Fikir punya fikir, beli Cinderella jelah, watak fairy tale paling popular! Untuk Muhaimin pula, jam warna biru gambar Spiderman. Lepas tu baru beli songkok abah dan Hakim kat Wisma Yaqin.

Lepas tu, aku balik. Pukul 2.00 sampai rumah. Kemas beg dan buat apa yang patut. Lepas Asar keluar dengan Haida, pergi KL Central beli kuih raya tambahan. Kesian pula si Haida bawa beg roda besar. Dia jarang keluar sorang kecuali tempat yang dah biasa. Hujan pula tu hari ni. Dah dia teman aku beli kuih raya, apa salahnya aku hantar dia. Jadi, aku hantar Haida kejap pergi Masjid Jamik. Kemudian patah balik ke KL Central berbuka puasa dengan Zaris dan suami. Masa aku pilih kuih raya tadi, dia call suruh aku book meja kat Mac D, tapi aku hantar Haida dulu. Pukul 6.00 lebih baru sampai KL Central balik.

Akhirnya aku berbuka dengan Zaris. Puas aku fikir nak berbuka dengan siapa semalam. Haida balik, Hana berbuka di luar. Tinggallah aku sorang. Tak bestlah buka sorang-sorang. Lepas buka beli coklat dan makanan sahur. Dah nak balik, malas nak masak. Pukul 9.00 baru sampai rumah.

Thursday, September 17, 2009

Selamat Tinggal Makmur Megah

Menjalani hari terakhir di Makmur Megah sungguh membosankan. Tiada skrip atau proposal dibuat. Peaching baru berlalu, jadi tunggu keputusan sama ada proposal tempoh hari diterima atau tidak.

Semalam, Madam Dolly bagi tahu, kalau proposal yang aku bentang hari tu diterima, dia akan "call" aku. Aku pun cakap dengan dia, kalau ada apa-apa proposal atau skrip yang dia perlukan, telefonlah aku, aku sedia membantu. Yalah, cari duit lebih. Lagipun, menulis tu kan minat aku.

Tak ramai orang tahu yang aku nak berhenti. Selain bos, Shima, Yap dan Zing yang tahu secara rasmi. Zing pun sebab tengok aku hantar surat "resign". Yang lain-lain tu... Tak tahulah kalau dah ada orang bagi tahu. Ah, aku bukannya penting sangatpun kat sini. Kalau aku tak ada pun, taklah terasa kekurangannya. Mungkin masa tender keluar dan persediaan produksi jelah yang sedikit terasa ketiadaan aku ni. Itu pun kalau dia orang rasa. Sekejap lagi, aku nak kemas semua barang aku. Lepas tu, aku akan bercuti dua minggu tanpa memikirkan kerja tertangguh di pejabat. 1 Oktober nanti, bermulalah hidupku sebagai ... di ...

Sebenarnya, hari terakhir aku 30 September nanti, tapi aku habiskan cuti tahunan yang berbaki lima hari. Selebihnya, cuti yang aku ambil tu tolak gaji. Tak dapatlah aku gaji dalam masa terdekat ni. Orang lain semua dah dapat gaji dan boleh beraya dengan senang hati. Yalah, dia orang nak kira berapa hari aku datang, ni kan gaji terakhir aku. Bagus juga macam tu, penat otak aku fikir, kalau gaji sudah dibayar... Macam mana nak bayar balik cuti lebih yang aku ambil? Ini soal duit. Aku tak naklah makan duit haram yang bukan hasil titik peluhku, nanti karang... duit haram tu mengalir dalam tubuh aku ni sepanjang keturunan.

Mungkin... Ini adalah entri terakhir yang ku tulis di Makmur Megah. Selepas ini, "Suria Khatulistiwa" akanku titipkan dari situasi dan tempat berbeza. Ia akan terus berhikayat, menceritakan kisah hidupku seiring dengan perjalanan masa yang beredar. Seganding dengan pengalaman baru yang akanku timba.

Selamat tinggal Makmur Megah, segala kenangan ketika bersamamu akanku abadikan dalam arca kenanganku.

DONT SPOIL MY MOOD!!!

Pukul 4.00 lebih pagi aku tersedar disebabkan bunyi zikir dari telefon bimbit. Oh, ada sejam lagi masa untuk aku bersahur. Aku cuba lelapkan mata. Ternyata, aku tak boleh tidur disebabkan bunyi telefon tu. Mula-mula, aku ingatkan bunyi “ring tone”, tapi ianya terus berbunyi. Ish!!! Ni yang aku marah ni. Bengang betul aku! Dahlah tuan empunya telefon tak ada kat ruang tamu. Oh ya, aku tidur kat ruang tamu malam tadi. Siapa pula yang ganggu tidur aku ni? Rasanya, budak rumah aku ni dua-dua tahu yang aku ni alegik dengan bunyi radio atau MP3, mesti tak boleh tidur dan terus tak ada mood. Pas tu mulalah aku nak marah orang! Ni mesti kerja tetamu setia rumah aku ni (adik-beradik “housemate” aku merangkap kawan aku juga). Aku sabar lagi, mengharapkan tuan empunya “handset” tu datang ambil handset dia! Kejap lagi ambillah tu, dia orangpun dah bangun tu. Sabar, sabar, sabar, Tinta. Aku cuba lenyapkan mata lagi. Ya Allah, tolonglah! Jangan buat tak tahu! Ambillah “handset” tu, janganlah ganggu orang! Orang nak kerja esok ni, malam tadi orang dahlah tidur lambat!!! Dengan geramnya, aku bangun dan matikan “handset” tu. Puas hati aku! Tapi mood yang dah rosak ni, dah tak boleh nak dibaikkan dah! Nak tidurpun dah tak lena! Sudahnya, aku tidur-tidur ayam je. Tolonglaaah faham! Kalau korang nak memekak, nak bergelak ketawa, bersembang sampai terkeluar anak tekak, nak menyanyi, nak menyumbangkan suara korang tu tak apa walaupun kat tepi kepala aku tidur! Jangan nangis sudahlah, tu pun aku tak boleh tidur, tapi tak adalah aku marah! Tapi jangan bising dengan sebarang bunyi rakaman, muzik, TV, Radio dan yang sewaktu dengannya! Tak kiralah, lagu ke, suara DJ ke, nashid ke, zikir ke, quran ke jangan! Kalau nak korang buat secara live! Korang berzikirlah, nashidlah, nyanyilah, bacalah quran, tapi dengan suara korang sendiri, live! Bukan rakaman! Pasti aku tak marah dan aku pun boleh tidur dengan amannya!!! Aku pun suka tidur kalau ada orang baca quran atau berzikir masa aku nak tidur Cuma jangan rakaman! Jangan! Jangan dan jangan!!!

Okay, fine! Mungkin dia orang tak tahu perangai aku. Tapi kalau difikirkan secara logic pun, takkanlah tak boleh fikir, “handset” tu bukan perlahan, takkan tak dengar malah ada yang dah keluar pergi bilik air pun. Okaylah, tu “handset” dia orang, suka hatilah dia orang nak buat apa, dia orang pun buka zikir, benda baik, tapi, kalau dah mengganggu orang, pahala ibadah pun dah tak dapat tau! Bayangkanlah, pukul 4 pagi, bukan pukul 4 petang! Kalau kita ni cuti macam dia orang tak apalah, ni orang nak kerja, nak bangun sahur lagi! Memang Allah suruh kita buat amal ibadah, tapi kalau sampai mengganggu orang, pahala pun kurang. Kita kena jaga hubungan kita dengan Allah, tapi hubungan kita dengan manusiapun kenalah jaga! Keredhaan Allah tu kan terletak pada keredhaan manusia! Kalau selagi manusia tak maafkan, Allah pun tak maafkan dosa kita tu! Betulkanlah kalau salah, aku ni bukannya arif sangat dalam agama ni, tapi itulah yang aku tahu!

Lagi satu, manusia sekarang ni, suka sangat letak zikir, quran dan nama Allah dalam telefon. Yalah, kita patut manfaatkan teknologi canggih ke arah kebaikan. Tapi, masa aku belajar dulu, pensyarah Minhaj Dan Ketuhanan aku pernah cakap, aku lupa, tak boleh atau seelok-eloknya jangan letakkan zikir, Quran dan nama Allah dalam telefon. Sebab, kita macam tak menghormati kalimah suci tu. Telefon kan kita bawa ke mana-mana, termasuk ke tandas. Lepas tu, ada masanya, telefon kita tu, kita letak kat bawah, ada masanya kena langkah dan terpijak. Kalau kita bawapun, mesti kita letak dalam poket seluar kita atau dalam beg yang kemudiannya diletakkan kat mana-mana entah. Begitu juga dengan mesej yang ada tulisan kalimah suci. Tak boleh simpan sebab kita tak akan menjaga telefon kita macam kita jaga Quran. Jadi, janganlah simpan kalimah-kalimah suci tu dalam telefon demi menjaga kedaulatan Islam. Ada sesetengah tu pula guna "caller ring tone" quran. Memang niat tu baik, nak sentiasa dekat dengan Allah, tapi pernah tak korang fikir, kadang-kadang si pemanggil "call" korang dalam "toilert", dah ayat Quran tu berkumandang dalam "toilert". Memanglah tak kuat "just" dalam corong telefon je, tapi tu kan kat tempat kotor dan Quran dilarang dibawa masuk ke situ. Memanglah jarang orang buat panggilan dalam tandas, tapi benda tu bukan tak pernah jadi kan? Korang fikirkanlah apa yang aku tulis ni. Nak lebih puas hati, tanyalah orang yang arif dalam hukum-hakam ni. Kalau benda ni termasuk dalam hal subhat, sebaiknya dijauhkan. Mungkin korang rasa, cakap aku ni cakap orang yang tak bertauliah, sebab aku bukan ustazah, tapi itu yang aku tahu.

(Kalau salah tolong betulkan. Aku ni insan yang cetek ilmu)

Haiiii, Dahlah, bawa bertenanglah hati, ni kan bulan puasa ni, jangan diikut marah tu sangat.

BENGANG AKU!

Wednesday, September 16, 2009

Menghitung Hari

Aku menghitung hari demi hari. Rasa teruja tidak dapat dinafikan untuk memulakan tugas baru. Susah betul nak cari kerja sekarang ni apatah lagi yang setanding dengan kelulusanku. Meskipun tugas baruku nanti, tidak seperti apa yang ku sasarkan namun, skop kerjanya meliputi tugas yang aku minati. Mungkin di sana aku akan peroleh kepuasan yang lebih di samping mencoret sesuatu untuk tatapan pembaca (minatku dari dulu, bidang penulisan).

Mungkin, Allah ingin berikan sesuatu padaku, maka itu, Dia lambatkan rezekiku untuk menjawat jawatan yang setanding dengan kelulusanku. Tidak seperti rakan-rakanku yang lain, meskipun mereka kekurangan, rezeki datang dengan cepat. Adakalanya, aku terfikir, orang lain yang belajar tanpa sebarang kesusahan, tiba-tiba ditarik nikmat yang satu itu tak seberapa lama memperoleh pekerjaan dengan baik sedangkan, aku yang bersusah-payah berhempas-pulas dari sekolah rendah belum lagi memperoleh pekerjaan seperti mereka. Mungkin Allah mahu aku menjadi orang yang tahu menghargai. Yalah, kita akan lebih menghargai sesuatu jika kita sukar mendapatkannya. Lantas, Allah ujiku lagi dengan kesusahan. Kesusahan yang mengajarku erti berdikari. Kesusahan yang mengasingkan aku dari putus-asa. Itulah aku, aku akan berusaha hingga ke saat akhir sedayaku, kerana aku percaya, pertolongan Allah itu ada di mana-mana. Kadang-kadang, jika difikir secara logik, sesuatu itu sudah tiada jalan untuk diusahakan. Tapi berkat kesabaran dan usaha, pertolongan Allah datang tanpa disangka-sangka. Ada benarnya juga, orang-orang yang telah menjawat jawatan kerajaan ada yang mengatakan "Sibuk sangatlah, penat. Rasa macam nak berhenti je, nak berniaga.", "Ah! Tak tahulah, periksa pengesahan jawatan tu... Dahlah tebal buku yang nak kena baca tu, entahlah,". Bagiku, keluhan seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana, kita yang mahu menyandang jawatan tersebut, maka, kita harus berusaha sedaya-upaya untuk memastikan jawatan tersebut terus menjadi milik kita. Dalam dunia ni, tak ada benda yang senang. Tidak ada kejayaan yang tidak diiringi kesusahan. Tidak ada kejayaan tanpa usaha. Mungkin mereka tak pernah rasa susah. Mungkin mereka tidak pernah rasa bagaimana peritnya menyalin buku teks untuk belajar. Huh, salin buku teks? Bukan satu, ada beberapa subjek yang pernah aku salin termasuk Bahasa Inggeris. Ah! Hidupku selalu begini. Allah sering memberi aku susah pada mulanya sebelum memberi kejayaan padaku. Aku yakin dengan itu. Aku tidak pernah salahkan Dia yang mengujiku dengan setiap kesusahan. Mungkin ini caranya Dia ingin aku menjadi seorang insan yang lebih tabah, cekal dan berdikari. Mungkin juga, Dia tidak mahu aku sebagai hambaNya menjadi lupa diri sekiranya diberi kejayaan dan kesenangan dengan cepat. Aku yakin, Allah mahu aku menjadi seperti padi, makin berisi makin tunduk. Ya, aku rela jika itu ketentuanNya. Apa guna menjadi orang atasan kalau kita semakin jauh dengan orang-orang di sekeliling kita yang banyak membantu dan memberi semangat sewaktu kita susah? Ada juga rakan-rakan yang ku lihat, baru diberi jawatan setanding kelulusan, cakapnya sudah mendabik dada, hingga kadang-kadang aku yang memiliki kelulusan sama dengannya terasa diri ini terlalu kerdil, rasa rendah diri biarpun kelulusanku lebih baik daripadanya.

Apa yang membuatku teruja dengan tugas baru? Tugas baruku nanti akan mendekatkan diriku dengan masyarakat. Bertugas untuk berbakti meningkatkan taraf hidup masyarakat tertentu. Berkomunikasi dengan mereka dan paling penting membantu mereka. Itu yang paling aku tidak sabar untuk melakukannya. Hatiku memang tidak sabar memulakan tugas tersebut. Tapi memandangkan aku yang jarang pulang ke kampung, jadi, 1 Oktober baru aku akan lapor diri di sana. Apa tugas pertamaku agaknya? Siapa orang pertama yang akan berurusan denganku, ya? Apa dan di mana projek pertama yang akanku lawati?

Monday, September 14, 2009

Hari-hari Terakhir Di Makmur Megah

Suria,

Beberapa hari lagi, aku akan meninggalkan Makmur Megah, syarikat yang memperkenalkan aku kepada dunia seni dan glamor. Syarikat yang mengajar aku tentang kehidupan anak seni. Syarikat yang membawa aku mengenali baik buruk insan seni. Meninggalkan Makmur Megah tidak bermakna aku akan melupakan cita-citaku untuk menjadi seorang penulis. Malah, aku melangkah dari syarikat ini untuk memenuhi ilmu dan pengalaman agar karyaku seterusnya lebih indah. Semoga persekitaran baru kelak mampu melahirkan ilham yang lebih seni.

Makmur Megah, meskipun aku gembira menerima tawaran baru ini, hatiku sebenarnya terasa berat untuk meninggalkanmu. Apatah lagi bidang ini bidang yang aku minati. Tapi aku perlu pergi, pergi untuk mencari sesuatu yang baru. Mungkin khidmatku lebih diperlukan di sana. Biarpun aku pasti, banyak perkara baru yang perlu ku pelajari di sana memandangkan tugas tersebut di luar bidang pengajianku, aku sudah bersedia untuk itu semua. Dan kini, aku begitu teruja untuk memulakannya. Azamku, aku ingin lakukan yang terbaik untuk semua orang yang berurusan denganku. Aku akan cuba buat yang sehabis baik agar perasaanku yang terkilan dengan layanan sesetengah pihak selama ini tidak akan dirasai oleh orang yang akan berurusan denganku. Tapi... Pasti ada kekuranganku dalam menjalankan tugas itu kelak. XXX Nantikan kehadiranku.

Ke mana aku? Nantilah, Insya-Allah, aku akan tukar profilku nanti setelah aku memulakan kerja di tempat baru.

Oh ya, terima kasih kepada semua yang menyumbang kepada kejayaanku menambat hati para panel terutamanya Cikgu Khairul yang telah memberi idea dan cadangan dalam menyiapkan kertas kerja projek untuk temudugaku tempoh hari dan sesiapa saja yang menyumbang kepada idea kertas kerja tersebut termasuk Hotel Istana, Kuala Lumpur. Menurut salah seorang panel, kertas kerjakulah yang memberi kelebihan kepadaku untuk menjawat jawatan tersebut.

Friday, September 11, 2009

11 September, Lapan Tahun Lalu...

Masih ingatkah kalian tentang satu berita yang menggemparkan isi dunia pada lapan tahun lalu? Keruntuhan World Trade Center (WTC) yang tidak disangka-sangka berlaku. Ketika masyarakat Malaysia sedang nyenyak dibuai mimpi, mercu tanda kebanggaan serta lambang kuasa Amerika Syarikat jatuh menyembah bumi. Misteri di sebalik tragedi tersebut masih belum terungkai sehingga kini. Barat menuding jari ke arah Umat Islam terutamanya Tanah Arab yang dikatakan dalang di sebalik peristiwa tersebut. Sedangkan, empat jari mereka, terarah ke dada mereka sendiri. Jari manakah yang menunjukkan kebenaran? Satu telunjuk yang diarahkan ke luar atau empat jari yang dibengkokkan pada diri sendiri yang terarah kepada mereka tanpa sedar mereka?

Berikut merupakan artikal tentang peristiwa hitam tersebut:

Artika 1:

Selasa, 10 September 2002

Lapan Tertuduh Masih Hidup!

Apa dan bagaimana sebenarnya Tragedi 11 September itu terjadi? Sampai kini ianya masih menjadi misteri. Apa yang diketahui, lapan dari 19 nama yang disebut AS sebagai teroris yang melakukan serangan berani mati menggunakan pesawat United Airlines dan American Airlines ternyata masih hidup.

Lapan orang yang telah dikatakan terkorban sewaktu melakukan serangan terbabit oleh AS itu adalah Khalid Al-Mihdhar dan Salem Al-Hazmi (dituduh sebagai perampas American Airlines AA-77 yang jatuh di Pentagon); Wail M Al-Shehri, Waleed M Al Shehri, dan Abdulaziz Al-Omari (dituduh sebagai perampas pesawat AA-11 yang merempuh menara Utara WTC); kemudian Said Al-Ghamdi dan Ahmed Al-Nami (dituduh sebagai perampas United Airlines UA-93 yang jatuh di Pennsylvania); serta Marwan Al-Shehhi (dituduh sebagai United Airlines UA-175 dan merempuh menara Selatan WTC).

''Nama-nama di atas dipercayai masih hidup. Dengan demikian mereka juga terbukti tidak terlibat dalam sebarang aktiviti keganasan di New York dan Washington,'' kata Duta Arab Saudi di AS, Pangeran Bandar bin Sultan, kepada The Orlando Sentinel.

Saeed Al-Ghamdi, Mohand Al-Shehri, Abdul Aziz Al-Omari, dan Salem Al-Hazmi adalah warga Arab Saudi. ''Mereka masih segar bugar di Saudi,'' tambah Menlu Arab Saudi, Pangeran Saud Al-Faisal, seperti dikutip Arab Press. Dengan bukti ini, AS melalui FBI telah membuat kesilapan ketika mengumumkan secara terbuka nama-nama tertuduh yang merempuh WTC pada 27 September 2001 lalu.

Kesalahan FBI dalam menamakan tertuduh juga dikesan ketika proses awal siasatannya. 14 September, lembaga penyiasat itu mengatakan UA-93 dirampas oleh Saeed al-Ghamdi dan dua pasangan adik-beradik, Bukhari. Al-Ghamdi, menurut Saudi Gazette 18 September 2001, masih hidup dan bekerja di Tunis Air. Pertuduhan terhadap penglibatan Adnan dan Amir Bukhari juga meleset.

Adnan Bukhari masih hidup dan tidak pernah mengikuti sebarang kursus penerbangan. Sedangkan Amir Bukhari, adik Adnan, telah meninggal dunia dua tahun sebelumnya kerana terlibat dalam satu nahas pesawat. Sehari setelah mengumumkan nama Bukhari adik-beradik, stesen televisyen CNN (14/9/01) meminta maaf secara terbuka kepada khalayak.

Abdulrahman al-Omari yang dituduh sebagai juruterbang yang merampas pesawat AA 11 pula masih bekerja sebagai juruterbang profesional di Saudi Airlines. Beliau telah berkunjung ke kedutaan AS di Jeddah dan mengadakan bantahan. Sementara itu, Salem Al-Hazmi (26 tahun) sudah kembali bekerja di kawasan industri petrokimia di Yanbo, Arab Saudi. Semasa tragedy tersebut, beliau sedang berlibur, ''Tuduhan Al-Hazmi merampas AA-77 terbukti satu kesilapan besar,'' Kata keluarganya menerusi telegraph.

Nama-nama tertuduh itu disenaraikan FBI berdasarkan laporan beberapa orang saksi yang mengaku mendapat panggilan telefon daripada Madeline Amy Sweeney (pramugari AA-11) dan Barbara Olson (penumpang AA-77).

Sebelum AA-77 merempuh Pentagon, Barbara konon menelepon suaminya, Theodore Olsen, Jaksa Agung Muda AS, yang tengah berlibur. (tak tahu makna dalam Bahasa Melayu)

Walau bagaimanapun, laporan kedua-dua saksi tersebut diragui kebenarannya. Kakitangan American Airlines sendiri dilarang mendedahkan tentang isi perbualan telefon tersebut kepada media.


Artikal 2:

Teka-Teki Kesaksian Barbara Olson

10 September, 2002

Buku 'Final Days' baru saja selesai ditulis pengulas televisyen CNN Barbara Olson., Jodol buku seolah-olah menggambarkan perjalanan hidupnya. Setahun lalu, 11 September 2001, Barbara merupakan salah seorang penumpang American Airlines pesawat 77 yang dirampas dan merempuh Pentagon.

Namun bukan hal itu yang menarik perhatian umum. Barbara menjadi lebih terkenal jika dibandingkan semasa hidupnya kerana ia dikatakan sebagai ''saksi'' terjadinya kiamat di negara adi daya itu. Istri Jaksa Agung Muda AS, Theodore Olson, sebelum terkorban dikatakan telah menghubungi suaminya sebanyak dua kali menerusi telepon yang disediakan di kurusi pesawat. Dalam perbualan telefon tersebut, Olson menceritakan pesawat yang dinaikinya dirampas sekelompok lelaki Arab bersenjatakan pisau.

''Apa patut saya cakap pada juruterbang untuk bertindak?'' tanyanya kepada suaminya.

Cerita yang belum terbukti kebenarannya ditayangkan oleh CNN pada 12 September 2001 jam 02.06 waktu tempatan. Daripada perbualan itu, AS menyenaraikan beberapa nama Arab yang dituduh sebagai perampas pesawat disusuli dengan operasi menangkap Usamah bin Ladin, dan War on Terror di Afghanistan. Tidak cukup dengan itu, ditambah pula dengan pendudukan Yahudi di Palestin.

Cerita Barbara merupakan satu-satunya cerita yang dipaparkan pada 11 dan 12 September. Cerita tersebut seperti bola salji yang terus membesar menerusi media massa. Bola salji kedua yang mula menggelembung adalah bermulanya operasi penangkapan Usamah bin Ladin dan lainnya.

Menurut suaminya, Ted Olson, kepada CNN, Barbara, searang pengulas yang konservatif yang juga pengacara pagi Selasa (11/9) mengatakan bahawa pesawat yang dinaikinya sedang dirampas. ''Sebelum pesawat itu meledak di Pentagon,'' tambah Ted, semua penumpang termasuk anak kapal diiring pengganas yang bersenjata menuju ke belakang pesawat. Senjata yang disebut Barbara hanyalah pisau dan pemotong kertas.

Dalam laporan CNN, tidak disebut bahawa fakta itu dipetik secara langsung dari Ted. Jika laporan itu otentik dan 100 persen tepat, penulisannya mungkin amat berbeza. Penulis cerita itu juga tidak berhubung secara langsung dengan Ted.

Anehnya, ketika tragedy berlaku, Ted masih bercuti. Ia kembali bekerja enam hari kemudian, meskipun berita nahas pesawat yang dinaiki istrinya tersebar di seluruh dunia.

Fox News menulis, Wakil Jaksa Agung Larry Thomson mengatakan Barbara Olson membuat panggilan ketika situasi sangat genting.

Enam bulan setelah peristiwa ngeri itu berlaku, Ted dikatakan telah diwawancara oleh wartawan telegraph, Toby Harnden. Berita eksklusif yang berjudul 'She Asked Me How To Stop The Plane' disiarkan di akhbar pada 5 Mac. Naskah yang sama disebarkan ke puluhan negara Barat dengan judul 'Revenge Of The Spitfire', akhirnya disiarkan di akhbar Australia Barat pada Sabtu, 23 Mac 2002.

Beberapa pihak yang cuba mendapatkan salinan berita itu di akhbar AS, setakat ini masih menemui kegagalan. Tanpa alasan kukuh berita itu disiarkan, ianya kelihatan mantap sejak pertama kali disiarkan di CNN.

''Dia (Barbara) mengalami kesusahan untuk menghubungi kerana dia tidak pernah menggunakan telefon selulernya. Dia menggunakan telefon yang terletak di kerusi penumpang,'' kata Ted. ''Saya rasa dia tidak membawa dompet, sebab dia minta calling collect, dan dia cuba telefon Department Kehakiman yang sukar untuk ditembusi taliannya.

Sedangkan dalam pesawat Boeing 757, setiap kerusi pesawat dilengkapi telefon. Telefon itu pula tidak mudah dicapai berbanding handset.

Jika seorang penumpang mahu menghubungi seseorang di luar pesawat, penelefon perlu menggosokkan kad kredit pada telefon tersebut. Padahal, dalam pernyataan Ted disebutkan, Barbara dikatakan tidak membawa kad kredit kerana dompetnya tertinggal. Tanpa kad kredit, tidak mungkin sambungan talian telefon diperoleh.

Barbara 'mungkin' meminjam kad kredit daripada penumpang lain. Hal itu pun tidak mungkin. Jika Barbara berbuat demikian, seterusnya menggunakannya ketika menelefon, kad kredit itu akan membolehkan dia menelefon ke mana saja yang dia mahu. Fakta ini menegaskan Barbara meminta untuk calling collect.

Kini, kebenaran tentang panggilan telefon Barbara, menjadi cerita yang belum pasti diungkapkan.

Sumber: Republika.

Thursday, September 3, 2009

Aku Di Hari Minggu

Hujung minggu yang lalu, aku habiskan dengan gembira bersama rakan-rakan. Ramai yang datang memeriahkan rumahku. Nazariah, Tiha (kakak dan adik Hana), Ajud dan Suzi. Hari Sabtu, aku bercadang hendak mengambil Suzi di rumahnya tapi, hal yang perlu aku selesaikan menghalang aku untuk berbuat demikian. Lantas, setelah selesai segala urusan lebih kurang jam 5.00 petang, aku tunggu Suzi di rumah. Suzi akan datang bersama Ajud yang baru tiba dari Melaka. Sudahnya, malam baru Suzi dan Ajud sampai. Tak dapatlah kami berbuka puasa bersama. Sebenarnya, sudah lama Suzi berjanji denganku untuk menginap di rumahku beberapa hari dalam bulan Ramadhan. Dan, aku gembira, kerana Suzi menunaikan janjinya. Kami berkawan lama, Suzi ku kenali sewaktu di sekolah rendah dulu, lebih kurang 13 tahun yang lalu. Tahun 1996, masa tu, aku dalam darjah enam. Setahun selepas tu, kami berpisah kerana Suzi meneruskan pelajarannya di Kuala Lumpur sementara aku di Johor. Meskipun setahun, persahabatan kami amat erat. Kami berkawan baik, sering berkongsi kisah suka dan duka bersama. Persahabatan kami dieratkan dengan pertemuan semula dua tahun lalu di Kuala Lumpur. Keluarga kami pun saling mengenali. Teringat aku bagaimana mesranya keluargaku dan keluarganya pada kali pertama bertemu, hari raya yang lepas. Kami dah macam adik-beradik. Dulu, Suzi pernah menginap di rumahku beberapa hari. Ternyata aku gembira. Bila Suzi pulang, aku rasa sedih. Sunyi dengan ketiadaannya. Macam biasalah, bila Suzi ada, lewatlah aku tidur. Sebenarnya, aku dah tertidur lebih kurang pukul 10.00 malam. Lena pula tu. Macam-macam yang Suzi, Haida dan Ajud lakukan untuk bangunkan aku. Mula-mula aku sedar. Ah, dia orang saja nak bangunkan aku. Ngantuklah, tidur dulu, lepas tu bangun balik. Aku sambung tidur tanpa mempedulikan gangguan mereka. Aku berjaya! Lantak kaulah, nak gelak ke, nak mengilai ke, nak bercakap sekuat mana ke, aku tidur, bye. Kadang-kadang, ada juga aku tersedar, tapi aku buat-buat tidur dan terus lena semula. Mereka terus mengganggu tidurku dengan memanggil dan bercakap denganku dalam pelbagai gaya. Gaya robot pun ada. Aku ni, jenis yang tak kisah kalau orang kacau tidur aku dengan suara orang bercakap. Aku takkan marah dan boleh tidur kembali dengan amannya meskipun bising. Cuma, jangan ganggu tidur aku dengan muzik atau radio. Itu pasti membuatkan aku marah! Marah dan tak ada mood. Aku boleh tidur walaupun orang bercakap di sebelah katilku dengan kuat. Tapi, kalau bunyi muzik atau radio walaupun perlahan, pasti aku tidak dapat lelapkan mata dan itu akan menimbulkan kemarahanku. Mungkin kerana arif dengan perangaiku itulah, Haida teman serumahku tidak menghalang Suzi dan Ajud mengganggu tidurku malah, ikut serta dalam acara tersebut.

Bila tidurku cukup, aku pun bangun. Ternyata mereka berasa puas, yalah, hampir satu jam atau lebih sejam (aku tak pasti) akhirnya, aku bangun juga. Sembang punya sembang, pukul 2.00 baru kami tidur. Nasib baik sedar untuk sahur.

Ahad,
Aku keluar bersama Kak Ijam ke Medan MARA untuk ambil barang Nitrimetics. Tapi, tak jadi kerana gaji belum masuk. Bukannya sikit barang aku nak ambil. Bukan barang aku je, barang orang lagi. Mana cukup dengan duit yang ada? Sudahnya, aku balik setelah menunaikan solat Zohor bersama Kak Ijam di Pertama Complex.

Ajud dan Suzi ke Sogo dan Maju Junction untuk membeli baju raya. Aku yang pada mulanya mahu turut serta dah tak ada mood sebab gaji belum masuk. Apa yang boleh aku beli kalau dah gaji belum masuk? Sudahnya, aku duduk di rumah, masak Ayam Black Paper dan Tahu Jepun Tiram Kicap untuk berbuka. Takut juga kalau kurang rasa atau lebih masin, kan puasa. Tapi, nasib baik okay. Sebenarnya, aku ada janji dengan Suzi untuk masakkan dia Ayam Black Paper. Tapi, Ajud dan Suzi berbuka puasa di luar. Tak apalah, sahurkan ada.

Sebenarnya, aku tak sedap hati sikit bila Suzi ikut Ajud keluar. Ajud tu bukannya betul sangat. Bila-bila masa plannya boleh berubah. Tak apa, kalau Ajud tak nak balik malam ni, aku boleh pergi ambil Suzi.

Sebelum Solat Isyak, aku ingin hantar mesej pada Ajud, ‘Jangan lupa jalan nak hantar Suzi balik’ ah, nantilah, lepas Solat Isyaklah. Aku solat. Lepas solat, ada tiga panggilan dari Suzi yang tidak berjawab. Ni mesti betul gerak hati aku ni. Ajud nak stay dengan kawan-kawan dialah ni! Hatiku kurang senang, resah. Lantas, Suzi ku hubungi. Ya, betul! Dugaanku tepat.

“Tinta, aku tidur rumah dia orang, kau bagi ke tak?” Suara Suzi kedengaran kecewa. Ini mesti bukan dengan kerelaannyalah ni.
“Apa kau cakap???!” Suara ku perlahankan dalam kekerasan, cuba menahan marah sebenarnya.
“Aku tidur rumah dia orang. Aku nak Tanya kau. Kau jangan marah. Kau jawab, boleh ke tak boleh?” Suzi ulang bertanya. Mungkin Suzi sudah masak dengan perangaiku. Pantang aku dengan orang yang tidak tepati janji.
“Tak boleh!!!” Aku tegas menjawab. “Kau nak tidur sana ke?” Giliran aku menyoal.
“Tak, tapi… Dia orang ajak lepak. Tapi, aku kan dah janji dengan kau,”
“Tahupun!” Sebenarnya, aku bukan marah Suzi, walaupun dia tidak menceritakan apa yang berlaku, aku dapat mengagaknya. “Dia orang tu siapa?” Tanyaku lagi.
“Ramai,”
“Ramai tu siapa?” Aku cuba berlembut, menyembunyikan kecewaku. Aku tahu, Suzi serba salah. Dia tidak mahu menghampakan permintaan orang di sana tapi, dalam masa yang sama dia tidak mahu menghampakan aku dan diapun telah berjanji denganku bersungguh-sungguh sejak bulan enam lagi dan janji itu sering diulangnya apabila bercakap denganku menerusi telefon. Bila mula kerja nanti, susahlah kami nak habiskan masa bersama sebab hari Sabtu dan Ahad pun Suzi akan bekerja.
“Ada Said, Gopal, Ajud, Rafizza (Ijah) dan lain-lainlah,” Okay, aku faham sekarang, Ajud nak stay kat sana, so, macam mana Suzi nak balik? Dia tak biasa sangat sorang-sorang.
“Sekarang, kau “confirm”kan dengan dia orang, dia orang nak hantar kau ke tak? Kalau tak nak, aku ambil kau! Pergi “confirm” sekarang!”
“Kau… Cakap dengan Saidlah,”
“Okay, bagi aku cakap dengan dia!” Kedengaran telefon bertukar tangan. Berlakulah sesi tawar-menawar antara aku dan Said.
“Kak, saya hantar Kak Zi esok,” Said memulakan bicara.
“Tak ada! Tak ada! Kalau nak hantar, hantar sekarang!” Aku marah.
“Saya janji, esok, pagi-pagi, lepas sahur, saya hantar Kak Zi,” Tak logic! Mana ada LRT lepas sahur! Lepas tu, kalau dah lepak malam ni, larat ke nak bangun pagi-pagi esok? Kot ya pun nak berjanji, biarlah yang logic sikit! Ingat aku bodoh? Aku bukan budak-budak yang boleh dipermainkan sesuka hati.
“Jangan nak merepek! Nak hantar pagi esok? Habis tu petangnya Kak Zi nak balik?”
“Alah, Kak Zi boleh balik hari Selasa,”
“Selasa? Kan Kak Zi nak kerja. Lagipun, orang ada banyak benda nak cerita. Malam esok tak boleh, lusa nak kerja! Lagipun esok akak ada hal!”
“La, bolehlah, kak. Esok saya sendiri akan hantar dia,”
“Tak ada! Akak tak percaya, jangan tipu! Hantar dia sekarang!”
“Alah, akak ni, kita orang pun nak habiskan masa dengan Kak Zi juga,” Marahku naik tiba-tiba. Nak habiskan masa dengan Kak Zi? Eh, bukan semalam dan kelmarin dia dah habiskan masa dengan Suzi ke? Lagipun, rumah dia dekat dengan rumah Suzi, bila-bila masa dia orang boleh jumpa. Lainlah macam aku ni. Jarang sangat nak jumpa Suzi. Hari Selasa Suzi dah mula kerja, mesti susahlah nak jumpa lepas ni! Takkanlah dia orang tak boleh bertolak-ansur! Tak boleh fikir ke! Dia orang selalu jumpa Suzi. Aku ni kawan lama Suzi! kawan baik Suzi! mestilah masa yang sedikit ni, banyak benda kami nak bualkan! Lagipun, kami lama terpisah, lebih kurang 11 tahun! Mana aku tak marah! Mungkin, bagi dia orang, aku ni “sporting”, boleh berrtolak-ansur! Ya, memang aku begitu, tapi dalam hal-hal tertentu saja. Ada hal-halnya, aku ni tegas dan tak boleh bertolak-ansur. Jangan ingat, aku “sportint”, baik dan lembut hati, dia orang boleh buat apa yang dia orang suka. Ingat aku ni jenis ikut cakap orang membuta tuli ke? Ikut biar bertempat! Kalau dah dalam hal yang tak logic macam ni, jangan harap! Dia orang tak tahu yang aku ni sebenarnya tegas, teguh pendirian dan ada masa-masanya, kalau putih kata aku, putihlah! kalau hitam, hitamlah! Mungkin bagi dia orang, aku tak marah sangat. Sebab ramai yang cakap, kalau aku marah macam tak marah dan kelakar bunyinya jika didengar menerusi suara. Tapi, kalau tengok muka, tak perlu aku bercakap, melihat wajahku yang berubah, orang tahu aku marah. Sebab tu masa aku di UiTM dulu, ramai kawan yang tak berani denganku kerana biarpun aku lembut, tapi, dia orang tahu aku sedang marah. Dia orang tahu sangat bila aku marah atau gembira, malu, suka dan sebagainya walaupun aku tak cakap. Sebenarnya, riak wajahku memang cepat berubah mengikut perasaanku meskipun aku sedaya-upaya menyembunyikannya. Tatkala mendengarkan mereka mahu menghabiskan masa bersama Suzi, pipiku semakin panas. Aku bukanlah seorang yang pemarah atau cepat marah, tapi kalau sekali aku marah… Ah, Said dan yang lain-lain, mereka baru saja kenal aku. Mereka tak tahu siapa aku sebenarnya. Mereka tak tahu bagaimana kalau aku marah. Aku sanggup buat apa saja jika aku merasakan aku di pihak yang benar. Aku sanggup buat apa saja untuk mendapatkan hakku. Aku sanggup buat apa saja untuk menegakkan kebenaran. Mereka tak tahu semua itu. Kalau tidak, masakan aku sanggup bertumbuk dengan Zaki masa di sekolah dulu demi menuntut keadilan dan kebenaran? Ijah adalah saksi kepada kejadian 11 tahun lalu. Aku pantang dicabar! Dan aku juga tidak akan menyahut cabaran yang bodoh, Itulah aku!. Mereka hanya kenal aku yang “sporting” dan sentiasa ceria, boleh dibuat lawak dan bercerita itu dan ini. Selebihnya, mereka tak tahu perangaiku. Hanya Ijah, Ijah saja yang di antara mereka yang benar-benar mengenaliku. Mana tidaknya, sembilan tahun Ijah bersamaku. Tentu dia dah dapat agak apa yang boleh buat aku marah dan apa yang aku suka. Dia tu memang macam budak-budak, tapi adakalanya, faham juga dia dengan perangai aku, sinier dia yang susah untuk diduga bila marah ni!

“Said, cakap sekarang, nak hantar ke tak nak? Kalau tak nak, akak pergi KL Central sekarang, ambil Kak Zi!”
“Baguslah kalau akak nak datang, boleh kita lepak sama-sama. Dulu akak kata, tak tahu bila nak lepak sama-sama lagi lepas balik dari Sarawak,”
“Said! Akak banyak kerjalah. Esokpun akak ada hal,”

Beberapa lama kemudian, telefon bertukar tangan lagi. Kali ni, Gopal mengambil giliran untuk berdiskusi denganku. Nampaknya, Gopal mahu gunakan ketegasannya. Dia suruh aku ke sana. Ah! Gopal ni pun sama je macam yang lain-lain, dia ingat aku takut? Huh! Tak ada maknanya! Diapun bukan kenal aku sangat. Rasanya, masa darjah satu je kami pernah sekelas, lepas tu, dia ke Kuala Lumpur. Jadi, dia belum cukup mengenali siapa aku. Lama-kelamaan, talian dimatikan. Aku menghubungi kembali. Tiada jawapan. Aku bengang! Aku “call” Ajud. “Okay kak, kita orang ramai-ramai nak ke rumah akak sekarang, hantar Kak Zi,” Aku lapang. Malam itu, mereka bertandang ke rumahku. Aku melayan mereka dengan baik. Kenapa tak marah? Buat apa nak marah, mereka kan dah penuhi permintaan aku. Jadi, tidak ada sebab untuk aku memarahi mereka. Aku marah kerana mereka tidak memenuhi permintaanku, apabila mereka penuhi tak perlulah nak memanjangkan sengketa.

Isnin (Hari Merdeka)
Aku keluar sebentar, ambil barang di Medan MARA. Lepas tu, aku balik ke rumah kerana Suzi ada di rumah. Hari itu, kami ceria berbual itu dan ini. Tak ada apa yang nak ku masak Suzi, aku buat nasi goreng je untuk buka puasa.

31 Ogos, kalau dua tahun yang lalu, tepat jam 2.56 petang, aku dan peserta ekspedisi Gunung Tahan yang lain, meraikan kejayaan kami sampai di Puncak Gunung Tahan. Sungguh indah kenangan itu. Gunung Tahan, jika ada kesempatan, aku ingin sekali lagi menjejakkan kaki di puncakmu.

Aku ingin mendengar nyanyian ungas rimba penghuni belantaramu
Aku ingin mendengar siulan burung mendendangkan lagu-lagu riang meraikan kehadiranku
Aku ingin mendengar bunyi-bunyian yang tidak pernah ku dengar sebelum ini
Aku ingin menjejak jejak gajah, rimau dan seludang
Aku ingin menikmati keindahan flora khazanah berharga milikmu
Aku ingin dilindungi awan tebal yang berarak
Aku ingin didakap kabus putih yang bertebaran di mana-mana
Aku ingin berada di persekitaran hijau yang belum terusik
Aku ingin mandi di air terjun jernih yang ada pada setiap hentian perjalanan
Aku ingin sekali lagi bermesra dengan ikan-ikan di air jernih sejuk
Aku ingin disapa bayu gunung yang lembut membelai wajah dan tubuhku
Aku ingin bermain Lumpur setelah hujan reda
Aku ingin merasai gigitan pacat yang dahagakan darah manusia
Aku ingin minum lopak air yang sejuk lagi enak
Aku ingin menikmati kedamaian hari bertemankan mentari gunung
Aku ingin merasa asyiknya malam sepi dalam kesejukan cuaca.
Ah, semuanya indah di sana. Aku ingin merasai keindahan itu sekali lagi.

Gunung Tahan, nantikan kedatanganku. Jika diizinkan, aku akan ke sana lagi. Kuala Tahan, Jika ada kesempatan, akan ku harungi airmu untuk ke kaki Gunung Tahan.

Betul Ke Tidak Dia Ni?

Aku ingatkan… Aku dah tak jumpa dengan manusia macam ni dalam hidup aku lepas Cikgu Khairul. Hmmm… Rupa-rupanya, hidup aku ni, memang tak sunyi dengan manusia berperangai macam ni. Tapi tak apalah, sekurang-kurangnya, aku yang nak tidur tadi, dah cergas dan boleh tulis sesuatu kat sini. Sekurang-kurangnya, terusirlah kemalasan aku untuk menulis. Sampai ada masa-masanya, Haida pun cakap aku ni kena badi Cikgu Khairul. Ah, tapi taklah sekejam Cikgu Khairul. Sekadar menghilangkan bosan je.

Abang Hasnol, director tempat aku bekerja ni, kadang-kadang betul, kadang-kadang macam tak betul dia ni. Bukan gila, tapi pelik. Cakapnya kadang-kadang merapu dan menyakitkan hati. Dahlah hari tu sepetang dia ketawakan tajuk majalah TV yang aku cadangkan! Suka hati akulah, nak bagi tajuk apa, itukan rancangan yang aku buat, proposal aku. Itu kalau nak diikutkan geramlah. Kalau ya pun tajuk tu tak sesuai dengan konsep rancangan, tak payahlah nak digelak dan diulang-ulang dari tengahari sampai habis kerja petang. Tolonglah, cadang tajuk yang best! Nak meleleh tahi telinga aku ni. Geram betul aku! Ah, biarkanlah. Malas aku nak lawan cakap dengan dia. Aku tengok, Kak Rosni pun tak pernah menang berlawan cakap dengan dia? Apa lagi aku. Buat diketawakan je. Duduk diam-diam, lagi bagus! Aku ni pun satu juga, kenapalah tak fikir betul-betul? Macam mana boleh letak tajuk “Wasatiah” pada rancangan motivasi remaja dan ibu? Ah, sebenarnya, masa tu aku dah pening kepala, buntu, tak tahu nak letak tajuk apa dalam proposal. Dahlah nak print cepat. Kak Rosni dah tunggu nak binding, Abang Epul pula nak siapkan kerja-kerja akhir untuk proposal tu. Bayangkanlah, 13 proposal dalam masa hampir dua minggu, mana tak pening kepala aku ni. Hari-hari aku perah otak, dah naik kering otak ni. Tiba-tiba, aku teringat satu peristiwa yang berlaku masa kat sekolah dulu, aku pun apa lagi, letak jelah "Wasatiah", dah dia asyik duk sebut je tajuk tu. Macam-macam gayalah dia sebut. Macam iklan pun ada. Tak cukup dengan tu, dia gelak pula.

Baru sekejap ni, perangai dia datang lagi. Dia merapu tentang bayaran untuknya yang dah penat tulis cerita kartun. Katanya, bayaran mestilah setimpal dengan idea yang dah dicurahkan. Abang Epul cakaplah,

“Takkanlah pembeli beli RM500 ribu kau punya bayaran RM150 ribu?”
“Alah, kau tengok kat barat tu, Spiderman (dan entah apa-apa lagi cerita animasi yang dia sebut) berjaya, siapa yang kaya?”
“Alah, kau nak berapa?” Tanya Abang Epul.
“Siapa yang kaya? Standly yang kaya tau. Bukan animator, orang yang buat cerita yang kaya, tau?”
“Eleh, kalau dia kaya, kaya lagi produser,”
“Jadi, kenalah bayar aku setimpal,”
“Setimpal tu berapa?”
“Dua juta,” Jawabnya selamba.
”Kau ingat, James tu dah gila?” James adalah bos aku, produser aku.
“A’ah, gila nak bagi kau?” Sampuk Kak Rosni.

Mungkin kalau orang baca tulisan aku, cerita ni taklah kelakar sangat. Tapi, kalau dengar dia bercakap, kita yang tak tahu apa-apa ni pun boleh tergelak.

Monday, August 24, 2009

No Gym! No Diet!

Bulan Ramadan Almubarak datang lagi. Dan aku makhlukNya, amat bersyukur kerana diberi kesempatan sekali lagi untuk menghirup rahmat yang tidak terhingga di bulan mulia ini.

Hari ini, hari ketiga aku berpuasa. Okaylah rasanya. Puasa pertama lepas, aku keluar bersiar-siar bersama Norizan. Mula-mula kami ke Medan MARA, mahu ambil barang Nitrimetics yang di"order". Oh, orang yang ingin aku temui tiada. Lepas tu, aku teman Norizan ke Pasar Seni. Habis membeli-belah, aku ke Bukit Bintang menemui Mahsuri. Norizan pulang ke rumah. Lepas tu, aku ke KL Central, ada janji dengan Haida untuk membeli barang di sana. Lepas tu jumpa Kak Liza, orang yang ingin aku temui pagi tadi, ambil barang dan hantar barang. Pulang dari bersiar-siar, jam menunjukkan pukul 6.30 petang. Ku gagahkan diri untuk mandi dan solat Asar. Lepas tu, aku baring. Badan terasa lemah dan lembik. Perut mula terasa lapar. Biasalah aku, hari pertama puasa, memang lembik sikit pada waktu hampir berbuka puasa. Sekarang ni pun dah okay, masih boleh keluar bersiar-siar dan lembik dekat-dekat nak berbuka. Kalau dulu, pukul 4.00 aku dah mula terbaring dan lembik. Hihihi Kelakarkan? Macam budak-budak! Oleh sebab itu, aku putuskan untuk sepanjang bulan puasa ni, segala aktiviti di gym dibatalkan. Diet kesihatan (makan sayur) juga dihentikan untuk seketika dan akan bersambung selepas hari raya nanti. (Macam mana nak ke gym kalau berjalan-jalanpun dah lembik? Karang, tak fasal-fasal kena buka puasa pula. Ish! Malu kat budak-budak yang baru nak belajar puasa!)

Hari kedua, aku dah mula okay. Lagipun, aku tak ke mana-mana semalam. Duduk di rumah dan habiskan rutin mingguanku. Bahiyah, rakan semasa di sekolah dahulu bertandang ke rumah dan berbuka bersama. Wah! Seronok sungguh menerima kedatangannya. Hmmmm... Budak perempuan yang dulunya kalau membaca tentang kandungan dan bersalin asyik cakap ngilu perut, dahpun bersalin empat bulan yang lalu. Ibu mudalah ni. Dia kahwin awal, ketika usianya 22 tahun dan kini telahpun memiliki seorang bayi lelaki yang comel. Dia masih seperti dulu, tidak banyak yang berubah. Cuma... Lebih matang. Usia perkahwinannya masuk dua tahun. Ya Allah, berikanlah kebahagiaan, kegembiraan dan ketenangan kepadanya sekeluarga, amin! Eh! Agaknya kawan yang dah kahwin ni, mesti tanya satu solan kalau jumpa kita, soalan wajib orang dah kahwin kot? "Kak Tinta bila nak kahwin?" Ish! Rimas aku. Manalah aku tahu jodoh tu bila nak sampainya? Itu semuakan Qadhak dan qadar Allah, ada jodoh nanti, kahwinlah aku. Tak apa, yang dah jalan dulu tu, jalanlah, aku doakan kalian bahagia. Hai! Nampaknya, dah dua minggu berturut-turut ni, kena tanya soalan macam ni. Minggu lepas, masa jumpa Najihah (Lee Mea) pun, aku ditanya soalan yang sama. Itu lagilah, entah berapa kali dia tanya solan tu pada aku sepanjang pertemuan tu. Dahlah sebelum tu asal telefon dan mesej aku je, tak pernah lupa tanya soalan tu. Kadang-kadang, itulah antara soalan terawal yang ditanya sebagai pembuka bicara. Dia orang ingat, aku ni tahu ke bila jodoh aku nak sampai? Aiiii! Tension aku! Tak ada soalan lain agaknya nak tanya. Aku ni bukan macam dia orang, kat sekolahpun dah ada couple. Aku ni kan asyik dengan dunia aku je. Dunia buku (taklah rajin sangat) tapi mungkin sebab mama selalu cakap, "belajar long, belajar sungguh-sungguh. Jangan main-main. Kalau tak boleh handle, cinta-cinta tu tolak tepi dulu," Abah pula cakap, "Kita kena berjaya walaupun kita perempuan, jangan harapkan orang, esok, kalau orang tinggalkan kita, susah kita nanti, kalau tak ada ilmu." Ada juga aku dengar cerita, ada yang nak cuba dekat, tapi tak berani sebab tengok aku serius je pas tu, kalau ada yang cuba, buat tak layan. Bukan sombong, tapi aku takut dikecewakan. Aku ni sensitif orangnya. Ada juga yang cakap aku ni "bunga batu", kalis cinta, tak, aku bukan macam tu, aku masih lagi manusia normal yang punya hati dan perasaan, punya cinta. Cuma mungkin masa tu, hati belum bersedia. Nasib baiklah si Bahiyah ni sekali je tanya. Bagi aku kalau sekali tu okay lagilah.

Hari ni, puasa ketiga. Dan aku mula bekerja. Harap-harap okaylah. Bukan berat pun kerja aku. Kerja dengan komputer je. Bukan nak kena angkat barang berat dan berpanas. Hai, macam manalah, orang yang bekerja berat dan berpanas tu? Kesian mereka. Ya Allah, bantulah mereka untuk memenuhi kewajibanmu. Amin!

Hari Yang Indah

Mentari di langit biru memancarkan cahayanya dikala waktu melahir pagi. Kemilau cahayanya seakan tersenyum manis buat seisi maya. Mentari Ramadan, indah sungguh sinarmu.

Terima kasih mentari, kau membuatkan hariku ceria.

Coming Back

Ah! Hampir sebulan aku tak update blog ni. Hari ni, aku kembali semula, menitip sesuatu di blog ini, buat tatapan mereka yang sudi singgah ke blog yang tak seberapanya ini. Telusurilah kisah hidupku yang tidak seindah cerita puteri dalam cerita-cerita fairy tales. Kisah hidup yang telah disuratkan oleh Yang Maha Esa. Lalu aku sebagai hambaNya, bersyukur atas segala yang dikurniakanNya dan berusaha untuk memperbaiki hidup yang sementara ini. Semoga Allah berikan yang terbaik buatku di dunia dan di akhirat.

Okay, teruskan dengan episod hidupku ...

Terima kasih kepada yang masih sudi singgah di sini :)

Tinggalkan komen kalian untuk aku jadikan ingatan, panduan, dorongan, semangat dan teladan, kerana aku benar-benar memerlukan kalian yang budiman.

Thursday, July 30, 2009

Tak suka! Tak Suka! Tak Suka!!!

Masa aku sekolah dulu, aku amat memilih dalam bab makan ni. Duduk asrama, mestilah ada menunya. Hari makan lauk ayam, bukan main semangat lagi aku naik ke dewan makan. Tapi bila lauk ikan… Alamak! Bosannya! Sayur? Huh, jangan harap aku nak makan. Pasti akan ku beri kepada rakan semeja atau ku sedekahkan ke dalam tong sampah jika rakan-rakan enggan menerima pemberianku.

Masa aku baru-baru masuk sekolah, aku paling tak suka bila Cikgu Sharifah warden. Semua orang yang nak hantar tray ke troli, mesti kena lalu depan dia, tunjuk tray, habis tak makanan dalam tray. Kalau tak… Patah balik. Ada juga kawan-kawan yang masukkan sayur dalam gelas untuk selamatkan diri. Tapi aku taklah tergamak buat macam tu. Macam kotor je. Agak-agak Cikgu Sharifah jauh, aku bagilah pada kawan. Kadang-kadang, aku buat selamba je hantar kat troli. Kalau dia perasan, habislah aku, kena duduk balik kat meja dan habiskan makanan tu. Bukan setakat makanan dia jaga. Nak naik makan pun kena pakai “podo,” itu sebutan Cikgu Sharifahlah. Kena pakai bedak. Mak oi, nak naik makan pun kena berbedak bagai? Kalau tak kemas, tak berbedak, pasti dihalaunya balik ke asrama untuk buat apa yang patut. Pas tu baru naik balik. Tapi aku tak pernah kenalah. Waktu makan pula, sudu garpu tak boleh berbunyi. Masa nak duduk atau bangun, kerusi pun tak boleh bising. Pernah sekali tu, lepas baca doa, kerusi ditarik kuat. Kami disuruh bangun dan disuruh duduk semula dengan menarik kerusi cara sopan (tak berbunyi).

Begitu juga kalau Cikgu Mastar warden. Ha, itupun lagi satu masalah tu. Ish, menyusahkan orang betullah! (fikirku pada masa bodoh-bodoh dulu). Dia pun suka paksa orang makan. Tapi tak apa, Cikgu Mastar ni, bila dekat-dekat Maghrib, dia pasti duduk di buai kat padang atas, nak pastikan semua pelajar naik ke surau untuk solat jemaah. Aku pun “ce, alip but lah,” apa tunggu lagi. Kan selamat. Bila aku naik sekolah menengah, hatiku sedikit lega. Cikgu Sharifah sudah berhenti menjadi warden. Cikgu Mastar pula, tak setegas dulu. Fasal makan ni, dah tak dijaganya, sekali-sekala tu adalah. Ini satu perkembangan yang bagus! Haaah! Aku menarik nafas lega.

Namun, betullah kata orang,
Langit tu tak selalunya cerah. Dalam panas seharian, kadang-kadang hujan turun. Kadang-kadang tu, rebut taufan melanda.

Kalau tak silap aku, tahun 2000, masa aku tingkatan empat ataupun masa aku tingkatan lima. Adalah sorang cikgu ni. Aku memang tak berapa suka dengan cikgu ni masa tu. Kerek semacam je. Baru masuk sekolah ni, dah kerek. Tapi, menyampah aku tu dalam hati jelah. Mana berani nak memberontak. Aku kenalah jaga riputasi aku kat sekolah tu. Aku kan pelajar baik, pelajar contoh lagi.

Aik! Cikgu baru, alih-alih dah jadi warden dah? Ish, tak boleh jadi ni. Ah, tapi tak apalah. Dia tak kacau hidup aku pun. Petang-petang hari dia dah bising kat atas tu, kat depan dewan makan. Apa hal entah? Malaslah nak ambil pusing. Begitulah aku masa dia mula-mula jadi warden.

Jap! Jap! Lain macam je berita yang budak-budak kecil tu bawa.

“Awak cakap apa tadi?” Tanyaku pada budak tadi. Biasalah, budak junior makan dulu, setengah jam kemudian baru budak sinier makan.
“Cikgu Khairul suruh semua orang habiskan makanan,” Ulang budak itu sekali lagi.

Mengada-ngada betullah dia tu! Baru berapa bulan jadi warden. Nanti entah apa-apa lagilah tu! Nasib badanlah!

“Hari ni, saya nak, semua orang habiskan makanan dalam tray masing-masing. Selagi tak habis, jangan bangun,”

Alah, tak apa, hari nil auk ayam. Ejekku dalam hati. Sayur ni… Ah, bagi jelah kat orang. Hari itu, aku selamat dan turun dengan jayanya.

Bila hari dia warden je, dengan berbekalkan pengalaman yang aku timba semasa zaman pemerintahan Cikgu Sharifah dan Cikgu Mastar dulu, aku sering bertanya kepada Abang Lan (tukang masak)

“Lauk apa hari ni Abang Lan?” Senyum lebarlah aku kalau jawapannya ayam. Tapi kalau ikan,
“Abang, letak nasi saya sikit je, ya. Tak nak banyak-banyak, tau.”

Kalau nasi dalam tray banyak ketika lauk ikan, kelam-kabutlah aku mencari bekas nasi tambah, nak kurangkan nasi dalam tray. Tak pun aku bagi kawan yang nak tambah.

Tapi dia ni lain macam sikitlah. Pemerhatian dia tajam.

“Saya nak, semua orang makan apa yang ada dalam tray masing-masing sampai habis. Kalau nak tambah, angkat tangan, mintak. Jangan ambil kawan punya. Kita ada tambah. Tak payah nak baik hati nak tolong habiskan orang punya. Kalau tak, dengan awak-awak sekali saya denda. Saya tak kira, makanlah awak. Sampai bunyi loceng sembahyang Maghribpun tak apa, saya tunggu,” Gulp! Peluang aku nak selamat makin tipislah ni! Ish, dia ni bukan tahap masalah dah ni, ini dah sampai tahap bala ni! Menyampah aku dengar ucapan alu-aluan dia tu. Dengan pelatnya tu, Iiiiii! Geram aku!!! Dia ni kalau bercakap ada pelat sikit, pas tu ada gaya yang cukup buat tahi telinga student kat sini cair.

Mulai dari hari tu, ada yang mengatakan aku makan banyak sebab selalu makan sampai loceng sembahyang kalau masa Cikgu Khairul warden. Lantaklah! Apa orang nak kata! Bukan aku makan banyak! Dah, dia tu paksa aku makan benda yang aku tak suka. Lambatlah jadinya. Malang betul nasib aku. Asal dia warden je lauk ikan, asal lauk ikan je, dia warden. Warden-warden lain ni pula, macam tak ada cikgu lain nak dijadikan warden ganti. Masa dia orang wardenlah, dia orang nak ada hal. Pas tu, ganti dengan si dictator yang tak ada perasaan ni. Tapi kira bagus sikitlah kalau si dictator tu warden hari sekolah. Makan malam je yang aku kena mengadap muka dia. Kalau hari cuti, aku rasa nak jadi halimunan je. Biar dia tak nampak aku. Apa taknya, Saranpan, minum pagi, makan tengahari, minum petang, makan malam complete, dia mesti jadi Pak Cangak kat dewan makan tu. Nasib baik minum malam tak wajib, kalau tak, awal-awal lagi dia dah terpacak kat dewan. Kalau hari cuti, mi kasar yang aku tak suka, biskut lemak yang aku tak gemar, kuih donat yang aku tak minat, semuanya kena habiskan. Kalau setiap kali makan tu semuanya menu yang aku tak suka? Itu baru bab makan! Tak termasuk bab lain lagi! Dia ni, bukan warden, tapi pendera mental dan fizikal. Boleh telefon teledera ni. Waduh! Pusing deh!

Suatu hari,
“Tinta! Tinta! Duduk! Habiskan makanan awak!” Alamak, bukan tadi dia dah keluar ke? Dia pakai ilmu apa ha? Tau je aku nak bangun? Memalukan aku je, dah semua orang tahu, aku nak lari. Dada aku ni dah berapi ni, dah menjulang lebih tinggi dari bumbung dewan makan ni. Macam biasalah, aku tinggal seorang di meja makan. Bukan setakat tinggal sorang kat meja makan, tinggal sorang kat dewan makan ni pun aku dah biasa sejak dictator ni ambil alih pemerintahan. Habis zaman kegemilangan aku! Pekerja dewan makan pun dah sedia maklum dah. Apa tidaknya, masa dia orang mula kemas dewan, aku masih lagi makan.

“Haha! Tinta kena duduk balik,” Kedengaran suara-suara sumbang mentertawakan aku. Dari jauh, aku dengar si Mr. Diktator tu sibuk bercerita yang aku kena duduk balik sebab tak habis makan.

“Hei! Apa cikgu ni???” Panas betul hatiku ketika itu. Mukaku masam mencuka. Elok je nasi aku tinggal sikit, dia datang tambahkan nasi dalam tray aku. Dahlah, nak habiskan yang tadipun siksa! Ini ditambahnya lagi! Sabar, Tinta, sabar, cover, cover. Dekat hati aku ni, laha gunung berapi dah meletus dah. Nantilah kau! Diktator, kalau aku jadi cikgu esok, siaplah anak kau! (masa tengah geram tulah). Dia ketawa. Mungkin puas sebab dapat sakitkan hati aku. Dia ni ada satu habit, suka buat orang sakit hati, lepas tu dia akan ketawa kesukaan. Aku tak tahulah dia ni makhluk dari planet mana! Pengikut Hitler dulu kot, hidup balik! Ataupun Hitler bersi baru!

Tak cukup dengan tu, dia ambil pula pinggan nasi dia tu, datang makan semeja dengan aku. Ish!!! Bengang betullah!

“Hei! Awak makan ke kira nasi?” Tanyanya setelah dilihatnya aku bermain-main dengan nasi.
“Makanlah ni,” Aku menyuapkan sedikit nasi ke mulut. Menyampah! “Hei! Awak makan ke kira nasi?” Ejekku dalam hati. Tak berapa lama kemudian,
“Awak tahu tak Tinta?”
“Apa dia?” Soalku malas. Nak cakap tu, cakaplah! Mengada-ngada nak Tanya-tanya pula. Malas aku nak bersoal jawab dengan dia ni. Ishhh!
“Nasi tu, pada zaman hidupnya, sentiasa bertasbih pada Allah. Kalau kau buang dia, menangislah dia kat dalam tong sampah tu,” Alamak, dia ni! Kalahlah aku dengan ayat macam ni. Terus aku teringat moyangku yang sering cakap begitu dulu bila aku tak mahu habiskan makanan. Aku dahlah sayang gila kat moyang aku tu. Aku pun mula menyuap kembali. Tapi… Tak sedap. Suapanku kembali perlahan.
“Sayur tu…”
“Ya, bertasbih pada masa hidupnya,” Sambungku cepat tanpa membenarkan dia menghabiskan kata-katanya. Aku pun makan sayur pula bersama nasi. Dia ketawa lagi. Benci aku!!! Ketawa dia tu, ibarat memerah air limau nipis ke luka tahu!
“Awak nak sayur lagi?”
“Tak nak! Cikgu jangan mengada ek!” Aku melarikan trayku sebelum dia sempat menambahkan sayur ke dalam tray tersebut. Nasi tu okay lagilah. Tapi yang selalu aku sangkut, bab sayur. Heiii! Lemah betul aku.

“Sedap makan? Dah kenyang?” Itulah soalan yang sering dilontarkan kepadaku setelah aku berjaya menghabiskan semua makanan ke dalam trayku. Biasanya soalan itu ku jawab dengan cebikan atau muncung yang panjang sedepa. Tapi Cikgu Khairul tak pernah marah. Dia hanya ketawa kegirangan menerima reaksi tersebut daripadaku. Ish! Menyampahnyaaaa Aku!!! Takkanlah dia tak faham yang aku tak suka kalau dah reaksi aku macam ni? Dia kan cikgu, dahlah tu, selalu cakap yang dia tu pandailah, bijaklah, takkan itu pun tak faham???

Agaknya, sebab dah selalu dipaksa makan sayur, jadi sekarang ni, aku sukakan sayur dan tidak lagi bermasalah untuk menghabiskan sayur. Sayur peria yang pahit dan paling aku tak suka pun aku boleh makan sekarang.

Kepada Mr. Diktator yang aku yakin membaca enteri ni, terima kasihlah banyak-banyak kerana mengajar saya makan sayur. Sukalah tu!!! Mesti tengah ketawa berdekah-dekah baca enteri ni. Ni tengah muncung ni, tujuh kali ganda lebih panjang dari masa kat sekolah dulu. Amboi! Bukan main suka lagi bila baca enteri masak sayur tu. Huh!

Friday, July 17, 2009

Esok...

Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang masih memberi kesempatan untuk aku bernafas.

Hari ni... Ada kelainan sikit di rumahku. Ibu, adik dan kakak Hana ada di rumah. Mesra alam betul Ibu Hana tu. Aku senang berbual dengannya. Orangnya banyak cakap dan kelakar. Tak kering gusi dibuatnya. Tak sabarnya nak tunggu pukul 6.00, nak balik.

Macam biasalah, aku ingat, malam ni aku nak masak ringkas je. Masak sawi tumis air. Biasalah, malam kan aku makan sayur je. Esok atau lusa, ingat nak buat bubur nasi untuk sarapan. Lauk pula ingat nak masak ayam masak lemak cili api dan ayam paprik (bukanlah dalam hari yang sama). Minggu ni kan ada tetamu, masak istimewa sikitlah. Lagipun hari cuti, banyaklah masa yang aku ada untuk masak. Kesian Hana, hari kerja, tiap-tiap hari dia masak. Yalah, dia kan balik awal. Nak harapkan aku yang balik pada senja kala ni, alamat lambatlah makan malam. Tapi, sesekali je aku makan malam. Balik kerja pun aku kena masak juga, masak untuk menu kesihatan akulah, apa lagi masak sayur. Malam kan, aku makan sayur je. Ada masa teringin tu, aku makanlah juga nasi. Nak-naknya kalau Hana masak sambal. Itukan masakan kegemaran aku tu. Agak tak boleh kawal nafsu makan tu, makanlah juga. Tapi tak boleh selalulah.

Diet untuk apa? Ha, diet aku ni berbeza dengan diet orang lain tau. Bukan sebab nak kuruskan badan aku yang dah memang sedia kurus ni. Tapi, diet untuk keseimbangan zat makanan. Aku nak berisi sikit jadi, aku perlukan zat yang seimbang (bukan main makan je bagi badan naik). Dan makan sayur adalah salah satu cara ke arah itu. Bukan makan sayur sikit-sikit tau, semangkuk sayur atau lebih. Jadi, hari-harilah aku kena fikirkan masakan sayur yang berbeza supaya sayur tu menyelerakan dan sedap dimakan. Sebagai usaha untuk kesihatan, sekarang ni, aku ada rutin mingguan yang baru. Hari minggu, aku pasti akan ke gymesium. Yalah, selain daripada pemakanan yang baik, bersenam itu penting. Jadi, pagi-pagi lagi aku akan bersiap untuk ke gym. Harap-harap, aku istiqamah dalam melaksanakan semua ini. Oh ya, buah untuk sarapan pagi pun tak ada ni, jadi, kenalah beli minggu ni. Kalau tak berkesempatan, makan kismis dan oat jelah sarapan minggu depan.

Aku terbaca satu artikal baru-baru ni, kita kena makan antara lima hingga enam kali sehari. Dan waktu makan tu, mesti konsisten pada setiap hari. Sarapan tu paling penting kerana dia akan mempercepatkan proses pembakaran kalori selain daripada memberi tenaga kepada tubuh. Patutlah abah aku marah bila aku atau adik-adik enggan bersarapan. Rupanya, sarapan juga membantu otak berfungsi dengan baik. Aku masih ingat, bagaimana beberapa bulan lalu, ketika abah ada di rumahku. Hari itu, aku lambat ke pejabat dan aku tidak mahu bersarapan kerana bimbang akan lewat. Abah marah dan paksa aku makan. Begitulah abah. Masa sekolah dulu, aku selalu dihantar ke sekolah menjelang buka persekolahan setelah bercuti. Memang abah yang akan hantar aku dengan kereta dari Kelantan ke JB. Kadang-kadang, kami sampai ke JB pagi hari persekolahan kalau abah tidak boleh hantar awal. Walaupun lambat, abah pasti akan mengajak aku ke kedai untuk bersarapan terlebih dahulu. Atau pun, abah akan bungkuskan sarapan dan tidak lupa untuk berpesan padaku, jangan lupa sarapan sebelum masuk kelas. Makan apa yang abah bagi tu.

Memang susah nak jaga kesihatan ni. Patutlah, abah beli basikal semata-mata untuk keluarkan peluh. Katanya, kerja di pejabat macam dia tak berpeluh. Abah juga jika ada masa terluang pasti akan berjoging. Kalau tak pun main badminton. Cuma sekarang, sejak abah sering sakit belakang, abah tidak lagi bermain badminton.

Tuesday, July 14, 2009

Lelaki Sejati

Mari sama-sama kita renungkan email yang aku terima dari seorang sahabat.


Aku bertanya pada Ibuku, bagaimanakah lelaki sejati itu ?
Ibuku menjawab, Nak...

Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari bahunya yang kekar,
tetapi dari kasih sayangnya pada orang disekitarnya...

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari suaranya yang lantang,
tetapi dari kelembutannya mengatakan kebenaran...

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari jumlah sahabat di sekitarnya,
tetapi dari sikap bersahabatnya pada generasi muda bangsa...

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari bagaimana dia di hormati ditempat bekerja,
tetapi bagaimana dia dihormati didalam rumah...

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari kerasnya pukulan,
tetapi dari sikap bijaknya memahami persoalan...

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari dadanya yang bidang,
tetapi dari hati yang ada dibalik itu...

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari banyaknya wanita yang memuja,
tetapi komitmennya terhadap wanita yang dicintainya...

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari jumlah tanggungjawab yang dibebankan,
tetapi dari tabahnya dia menghadapi liku-liku kehidupan...

Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari rajinnya membaca kitab suci,
tetapi dari konsistennya dia menjalankan apa yang ia baca...

Kepada pembaca lelaki, apakah anda telah memiliki ciri-ciri yang dinyatakan di atas?

Jika belum, berusahalah ke arah itu kerana di bahu andalah tempat wanita sandarkan harapannya. Kerana anda tunggak kebahagiaan keluarga.

Teruskan! Jangan Tangguh Lagi!!!

Sudah empat tahun ku biarkan novel tulisanku terbengkalai. Tiada pengakhiran dan tiada kesudahan. Aku pun tak tahu mengapa sejak kebelakangan ini, aku malas berkarya. Ish! Tak boleh jadi ni. Akanku gagahi untuk siapkan novel tersebut. "Bismillahir rahmanir rahim"

Monday, July 13, 2009

Mimpi Yang Menakutkan Dan Cerita Hakim

Malam itu, aku tidur seperti biasa. Namun lenaku tidak diulit mimpi indah yang sering aku dambarkan. Aku bermimpi menerima panggilan telefon dari seseorang yang mengatakan mama ku telah kembali ke rahmatullah. Anehnya, aku tidak mahu pulang untuk memberikan penghormatan terakhir buatnya. Aku seakan tidak percaya dengan berita yang dikhabarkan. Sejurus aku terjaga, mengingatkan kembali mimpi itu.

"Kalau kita bermimpi seseorang itu meninggal dunia, itu maknanya, Insya-Allah, orang itu mempunyai umur yang panjang. Tapi mungkin pada masa kita bermimpi itu, dia sedang sakit." Sejenak, patah bicara Cikgu Sali (guru sekolah agama semasa di PES) terngiang di telinga.

Apa benarkah itu maknanya? Dan semalam... Aku menelefon rumah. Dari cerita Acik, mama ku sihat-sihat saja. Aku lantas menceritakan mimpi tersebut padanya. Acik tergelak kecil.

"Mama pun mimpi benda yang sama. Mimpi tentang mati," Gulp! Aku telan liur.

"Siapa yang mati?" Pantas aku bertanya.

"Mama mimpi adik kau mati," Ah, Acik adik ku itu suka bergurau.

"Yalah, adik yang mana? Engkau ke? Ke Angah?"

"Hakim,"

Hakim adik bongsuku? Mungkin ini satu kebetulan. Menerusi Acik, ku ketahui Hakim juga sihat. Dia baru pulang ke MRSM Sabtu lalu setelah pulang bercuti hujung minggu. Hakim, ah rindu pula aku pada dia. Kenapalah, aku lupa untuk telefon rumah Jumaat lalu bertanyakan kalau-kalau Hakim pulang bercuti? Jika tidak, mesti aku dapat berbual-bual dengannya. Hmmm... Hakim adikku yang si pemalu dan tidak banyak cakap itu sudah mampu bercerita panjang sejak tinggal di asrama. Kadang-kadang ceritanya bisa meledakkan gelakku. Apatah lagi bila mengenangkan sikapnya yang malu dan sering menjawab "tak tahu" apabila ditanya pada suatu ketika dahulu, sudah pandai berbual dan berlawak. Cerita percutiannya ke Paris, London dan Itali pada Jun lalu pun belum habis diceritakannya padaku. Aku ingat lagi petang setelah ia pulang dari sana, aku menghubunginya. Bukan main asyik lagi dia bercerita tentang negara-negara yang dikunjunginya. Dia turut membuat perbandingan sikap antara penduduk negara tersebut. Paling buat aku gelak, dia bandingkan kucing-kucing di ketiga-tiga negara tersebut. Hakim memang begitu. Dia amat sukakan kucing. Hakim... Hakim...

"Negara mana yang Hakim suka, London ke, Perancis ke Itali?" Tanyaku mengujinya. Tanpa dia tahu senyumku leretkan di bibir.

"Kenapa? Tak suka Itali?" Dugaku lagi."Hakim suka London," Jawabnya teruja.

"Orang Itali tu, masam je muka. Pentingkan diri sendiri. Tak mesra langsung. Kalau orang London, senyum je. Ramah pula tu. Kalau tengok kita terpinga-pinga, terus datang tawarkan bantuan," Ceritany