SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA

Wednesday, September 16, 2009

Menghitung Hari

Aku menghitung hari demi hari. Rasa teruja tidak dapat dinafikan untuk memulakan tugas baru. Susah betul nak cari kerja sekarang ni apatah lagi yang setanding dengan kelulusanku. Meskipun tugas baruku nanti, tidak seperti apa yang ku sasarkan namun, skop kerjanya meliputi tugas yang aku minati. Mungkin di sana aku akan peroleh kepuasan yang lebih di samping mencoret sesuatu untuk tatapan pembaca (minatku dari dulu, bidang penulisan).

Mungkin, Allah ingin berikan sesuatu padaku, maka itu, Dia lambatkan rezekiku untuk menjawat jawatan yang setanding dengan kelulusanku. Tidak seperti rakan-rakanku yang lain, meskipun mereka kekurangan, rezeki datang dengan cepat. Adakalanya, aku terfikir, orang lain yang belajar tanpa sebarang kesusahan, tiba-tiba ditarik nikmat yang satu itu tak seberapa lama memperoleh pekerjaan dengan baik sedangkan, aku yang bersusah-payah berhempas-pulas dari sekolah rendah belum lagi memperoleh pekerjaan seperti mereka. Mungkin Allah mahu aku menjadi orang yang tahu menghargai. Yalah, kita akan lebih menghargai sesuatu jika kita sukar mendapatkannya. Lantas, Allah ujiku lagi dengan kesusahan. Kesusahan yang mengajarku erti berdikari. Kesusahan yang mengasingkan aku dari putus-asa. Itulah aku, aku akan berusaha hingga ke saat akhir sedayaku, kerana aku percaya, pertolongan Allah itu ada di mana-mana. Kadang-kadang, jika difikir secara logik, sesuatu itu sudah tiada jalan untuk diusahakan. Tapi berkat kesabaran dan usaha, pertolongan Allah datang tanpa disangka-sangka. Ada benarnya juga, orang-orang yang telah menjawat jawatan kerajaan ada yang mengatakan "Sibuk sangatlah, penat. Rasa macam nak berhenti je, nak berniaga.", "Ah! Tak tahulah, periksa pengesahan jawatan tu... Dahlah tebal buku yang nak kena baca tu, entahlah,". Bagiku, keluhan seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana, kita yang mahu menyandang jawatan tersebut, maka, kita harus berusaha sedaya-upaya untuk memastikan jawatan tersebut terus menjadi milik kita. Dalam dunia ni, tak ada benda yang senang. Tidak ada kejayaan yang tidak diiringi kesusahan. Tidak ada kejayaan tanpa usaha. Mungkin mereka tak pernah rasa susah. Mungkin mereka tidak pernah rasa bagaimana peritnya menyalin buku teks untuk belajar. Huh, salin buku teks? Bukan satu, ada beberapa subjek yang pernah aku salin termasuk Bahasa Inggeris. Ah! Hidupku selalu begini. Allah sering memberi aku susah pada mulanya sebelum memberi kejayaan padaku. Aku yakin dengan itu. Aku tidak pernah salahkan Dia yang mengujiku dengan setiap kesusahan. Mungkin ini caranya Dia ingin aku menjadi seorang insan yang lebih tabah, cekal dan berdikari. Mungkin juga, Dia tidak mahu aku sebagai hambaNya menjadi lupa diri sekiranya diberi kejayaan dan kesenangan dengan cepat. Aku yakin, Allah mahu aku menjadi seperti padi, makin berisi makin tunduk. Ya, aku rela jika itu ketentuanNya. Apa guna menjadi orang atasan kalau kita semakin jauh dengan orang-orang di sekeliling kita yang banyak membantu dan memberi semangat sewaktu kita susah? Ada juga rakan-rakan yang ku lihat, baru diberi jawatan setanding kelulusan, cakapnya sudah mendabik dada, hingga kadang-kadang aku yang memiliki kelulusan sama dengannya terasa diri ini terlalu kerdil, rasa rendah diri biarpun kelulusanku lebih baik daripadanya.

Apa yang membuatku teruja dengan tugas baru? Tugas baruku nanti akan mendekatkan diriku dengan masyarakat. Bertugas untuk berbakti meningkatkan taraf hidup masyarakat tertentu. Berkomunikasi dengan mereka dan paling penting membantu mereka. Itu yang paling aku tidak sabar untuk melakukannya. Hatiku memang tidak sabar memulakan tugas tersebut. Tapi memandangkan aku yang jarang pulang ke kampung, jadi, 1 Oktober baru aku akan lapor diri di sana. Apa tugas pertamaku agaknya? Siapa orang pertama yang akan berurusan denganku, ya? Apa dan di mana projek pertama yang akanku lawati?

No comments: