Hujung minggu yang lalu, aku habiskan dengan gembira bersama rakan-rakan. Ramai yang datang memeriahkan rumahku. Nazariah, Tiha (kakak dan adik Hana), Ajud dan Suzi. Hari Sabtu, aku bercadang hendak mengambil Suzi di rumahnya tapi, hal yang perlu aku selesaikan menghalang aku untuk berbuat demikian. Lantas, setelah selesai segala urusan lebih kurang jam 5.00 petang, aku tunggu Suzi di rumah. Suzi akan datang bersama Ajud yang baru tiba dari Melaka. Sudahnya, malam baru Suzi dan Ajud sampai. Tak dapatlah kami berbuka puasa bersama. Sebenarnya, sudah lama Suzi berjanji denganku untuk menginap di rumahku beberapa hari dalam bulan Ramadhan. Dan, aku gembira, kerana Suzi menunaikan janjinya. Kami berkawan lama, Suzi ku kenali sewaktu di sekolah rendah dulu, lebih kurang 13 tahun yang lalu. Tahun 1996, masa tu, aku dalam darjah enam. Setahun selepas tu, kami berpisah kerana Suzi meneruskan pelajarannya di Kuala Lumpur sementara aku di Johor. Meskipun setahun, persahabatan kami amat erat. Kami berkawan baik, sering berkongsi kisah suka dan duka bersama. Persahabatan kami dieratkan dengan pertemuan semula dua tahun lalu di Kuala Lumpur. Keluarga kami pun saling mengenali. Teringat aku bagaimana mesranya keluargaku dan keluarganya pada kali pertama bertemu, hari raya yang lepas. Kami dah macam adik-beradik. Dulu, Suzi pernah menginap di rumahku beberapa hari. Ternyata aku gembira. Bila Suzi pulang, aku rasa sedih. Sunyi dengan ketiadaannya. Macam biasalah, bila Suzi ada, lewatlah aku tidur. Sebenarnya, aku dah tertidur lebih kurang pukul 10.00 malam. Lena pula tu. Macam-macam yang Suzi, Haida dan Ajud lakukan untuk bangunkan aku. Mula-mula aku sedar. Ah, dia orang saja nak bangunkan aku. Ngantuklah, tidur dulu, lepas tu bangun balik. Aku sambung tidur tanpa mempedulikan gangguan mereka. Aku berjaya! Lantak kaulah, nak gelak ke, nak mengilai ke, nak bercakap sekuat mana ke, aku tidur, bye. Kadang-kadang, ada juga aku tersedar, tapi aku buat-buat tidur dan terus lena semula. Mereka terus mengganggu tidurku dengan memanggil dan bercakap denganku dalam pelbagai gaya. Gaya robot pun ada. Aku ni, jenis yang tak kisah kalau orang kacau tidur aku dengan suara orang bercakap. Aku takkan marah dan boleh tidur kembali dengan amannya meskipun bising. Cuma, jangan ganggu tidur aku dengan muzik atau radio. Itu pasti membuatkan aku marah! Marah dan tak ada mood. Aku boleh tidur walaupun orang bercakap di sebelah katilku dengan kuat. Tapi, kalau bunyi muzik atau radio walaupun perlahan, pasti aku tidak dapat lelapkan mata dan itu akan menimbulkan kemarahanku. Mungkin kerana arif dengan perangaiku itulah, Haida teman serumahku tidak menghalang Suzi dan Ajud mengganggu tidurku malah, ikut serta dalam acara tersebut.
Bila tidurku cukup, aku pun bangun. Ternyata mereka berasa puas, yalah, hampir satu jam atau lebih sejam (aku tak pasti) akhirnya, aku bangun juga. Sembang punya sembang, pukul 2.00 baru kami tidur. Nasib baik sedar untuk sahur.
Ahad,
Aku keluar bersama Kak Ijam ke Medan MARA untuk ambil barang Nitrimetics. Tapi, tak jadi kerana gaji belum masuk. Bukannya sikit barang aku nak ambil. Bukan barang aku je, barang orang lagi. Mana cukup dengan duit yang ada? Sudahnya, aku balik setelah menunaikan solat Zohor bersama Kak Ijam di Pertama Complex.
Ajud dan Suzi ke Sogo dan Maju Junction untuk membeli baju raya. Aku yang pada mulanya mahu turut serta dah tak ada mood sebab gaji belum masuk. Apa yang boleh aku beli kalau dah gaji belum masuk? Sudahnya, aku duduk di rumah, masak Ayam Black Paper dan Tahu Jepun Tiram Kicap untuk berbuka. Takut juga kalau kurang rasa atau lebih masin, kan puasa. Tapi, nasib baik okay. Sebenarnya, aku ada janji dengan Suzi untuk masakkan dia Ayam Black Paper. Tapi, Ajud dan Suzi berbuka puasa di luar. Tak apalah, sahurkan ada.
Sebenarnya, aku tak sedap hati sikit bila Suzi ikut Ajud keluar. Ajud tu bukannya betul sangat. Bila-bila masa plannya boleh berubah. Tak apa, kalau Ajud tak nak balik malam ni, aku boleh pergi ambil Suzi.
Sebelum Solat Isyak, aku ingin hantar mesej pada Ajud, ‘Jangan lupa jalan nak hantar Suzi balik’ ah, nantilah, lepas Solat Isyaklah. Aku solat. Lepas solat, ada tiga panggilan dari Suzi yang tidak berjawab. Ni mesti betul gerak hati aku ni. Ajud nak stay dengan kawan-kawan dialah ni! Hatiku kurang senang, resah. Lantas, Suzi ku hubungi. Ya, betul! Dugaanku tepat.
“Tinta, aku tidur rumah dia orang, kau bagi ke tak?” Suara Suzi kedengaran kecewa. Ini mesti bukan dengan kerelaannyalah ni.
“Apa kau cakap???!” Suara ku perlahankan dalam kekerasan, cuba menahan marah sebenarnya.
“Aku tidur rumah dia orang. Aku nak Tanya kau. Kau jangan marah. Kau jawab, boleh ke tak boleh?” Suzi ulang bertanya. Mungkin Suzi sudah masak dengan perangaiku. Pantang aku dengan orang yang tidak tepati janji.
“Tak boleh!!!” Aku tegas menjawab. “Kau nak tidur sana ke?” Giliran aku menyoal.
“Tak, tapi… Dia orang ajak lepak. Tapi, aku kan dah janji dengan kau,”
“Tahupun!” Sebenarnya, aku bukan marah Suzi, walaupun dia tidak menceritakan apa yang berlaku, aku dapat mengagaknya. “Dia orang tu siapa?” Tanyaku lagi.
“Ramai,”
“Ramai tu siapa?” Aku cuba berlembut, menyembunyikan kecewaku. Aku tahu, Suzi serba salah. Dia tidak mahu menghampakan permintaan orang di sana tapi, dalam masa yang sama dia tidak mahu menghampakan aku dan diapun telah berjanji denganku bersungguh-sungguh sejak bulan enam lagi dan janji itu sering diulangnya apabila bercakap denganku menerusi telefon. Bila mula kerja nanti, susahlah kami nak habiskan masa bersama sebab hari Sabtu dan Ahad pun Suzi akan bekerja.
“Ada Said, Gopal, Ajud, Rafizza (Ijah) dan lain-lainlah,” Okay, aku faham sekarang, Ajud nak stay kat sana, so, macam mana Suzi nak balik? Dia tak biasa sangat sorang-sorang.
“Sekarang, kau “confirm”kan dengan dia orang, dia orang nak hantar kau ke tak? Kalau tak nak, aku ambil kau! Pergi “confirm” sekarang!”
“Kau… Cakap dengan Saidlah,”
“Okay, bagi aku cakap dengan dia!” Kedengaran telefon bertukar tangan. Berlakulah sesi tawar-menawar antara aku dan Said.
“Kak, saya hantar Kak Zi esok,” Said memulakan bicara.
“Tak ada! Tak ada! Kalau nak hantar, hantar sekarang!” Aku marah.
“Saya janji, esok, pagi-pagi, lepas sahur, saya hantar Kak Zi,” Tak logic! Mana ada LRT lepas sahur! Lepas tu, kalau dah lepak malam ni, larat ke nak bangun pagi-pagi esok? Kot ya pun nak berjanji, biarlah yang logic sikit! Ingat aku bodoh? Aku bukan budak-budak yang boleh dipermainkan sesuka hati.
“Jangan nak merepek! Nak hantar pagi esok? Habis tu petangnya Kak Zi nak balik?”
“Alah, Kak Zi boleh balik hari Selasa,”
“Selasa? Kan Kak Zi nak kerja. Lagipun, orang ada banyak benda nak cerita. Malam esok tak boleh, lusa nak kerja! Lagipun esok akak ada hal!”
“La, bolehlah, kak. Esok saya sendiri akan hantar dia,”
“Tak ada! Akak tak percaya, jangan tipu! Hantar dia sekarang!”
“Alah, akak ni, kita orang pun nak habiskan masa dengan Kak Zi juga,” Marahku naik tiba-tiba. Nak habiskan masa dengan Kak Zi? Eh, bukan semalam dan kelmarin dia dah habiskan masa dengan Suzi ke? Lagipun, rumah dia dekat dengan rumah Suzi, bila-bila masa dia orang boleh jumpa. Lainlah macam aku ni. Jarang sangat nak jumpa Suzi. Hari Selasa Suzi dah mula kerja, mesti susahlah nak jumpa lepas ni! Takkanlah dia orang tak boleh bertolak-ansur! Tak boleh fikir ke! Dia orang selalu jumpa Suzi. Aku ni kawan lama Suzi! kawan baik Suzi! mestilah masa yang sedikit ni, banyak benda kami nak bualkan! Lagipun, kami lama terpisah, lebih kurang 11 tahun! Mana aku tak marah! Mungkin, bagi dia orang, aku ni “sporting”, boleh berrtolak-ansur! Ya, memang aku begitu, tapi dalam hal-hal tertentu saja. Ada hal-halnya, aku ni tegas dan tak boleh bertolak-ansur. Jangan ingat, aku “sportint”, baik dan lembut hati, dia orang boleh buat apa yang dia orang suka. Ingat aku ni jenis ikut cakap orang membuta tuli ke? Ikut biar bertempat! Kalau dah dalam hal yang tak logic macam ni, jangan harap! Dia orang tak tahu yang aku ni sebenarnya tegas, teguh pendirian dan ada masa-masanya, kalau putih kata aku, putihlah! kalau hitam, hitamlah! Mungkin bagi dia orang, aku tak marah sangat. Sebab ramai yang cakap, kalau aku marah macam tak marah dan kelakar bunyinya jika didengar menerusi suara. Tapi, kalau tengok muka, tak perlu aku bercakap, melihat wajahku yang berubah, orang tahu aku marah. Sebab tu masa aku di UiTM dulu, ramai kawan yang tak berani denganku kerana biarpun aku lembut, tapi, dia orang tahu aku sedang marah. Dia orang tahu sangat bila aku marah atau gembira, malu, suka dan sebagainya walaupun aku tak cakap. Sebenarnya, riak wajahku memang cepat berubah mengikut perasaanku meskipun aku sedaya-upaya menyembunyikannya. Tatkala mendengarkan mereka mahu menghabiskan masa bersama Suzi, pipiku semakin panas. Aku bukanlah seorang yang pemarah atau cepat marah, tapi kalau sekali aku marah… Ah, Said dan yang lain-lain, mereka baru saja kenal aku. Mereka tak tahu siapa aku sebenarnya. Mereka tak tahu bagaimana kalau aku marah. Aku sanggup buat apa saja jika aku merasakan aku di pihak yang benar. Aku sanggup buat apa saja untuk mendapatkan hakku. Aku sanggup buat apa saja untuk menegakkan kebenaran. Mereka tak tahu semua itu. Kalau tidak, masakan aku sanggup bertumbuk dengan Zaki masa di sekolah dulu demi menuntut keadilan dan kebenaran? Ijah adalah saksi kepada kejadian 11 tahun lalu. Aku pantang dicabar! Dan aku juga tidak akan menyahut cabaran yang bodoh, Itulah aku!. Mereka hanya kenal aku yang “sporting” dan sentiasa ceria, boleh dibuat lawak dan bercerita itu dan ini. Selebihnya, mereka tak tahu perangaiku. Hanya Ijah, Ijah saja yang di antara mereka yang benar-benar mengenaliku. Mana tidaknya, sembilan tahun Ijah bersamaku. Tentu dia dah dapat agak apa yang boleh buat aku marah dan apa yang aku suka. Dia tu memang macam budak-budak, tapi adakalanya, faham juga dia dengan perangai aku, sinier dia yang susah untuk diduga bila marah ni!
“Said, cakap sekarang, nak hantar ke tak nak? Kalau tak nak, akak pergi KL Central sekarang, ambil Kak Zi!”
“Baguslah kalau akak nak datang, boleh kita lepak sama-sama. Dulu akak kata, tak tahu bila nak lepak sama-sama lagi lepas balik dari Sarawak,”
“Said! Akak banyak kerjalah. Esokpun akak ada hal,”
Beberapa lama kemudian, telefon bertukar tangan lagi. Kali ni, Gopal mengambil giliran untuk berdiskusi denganku. Nampaknya, Gopal mahu gunakan ketegasannya. Dia suruh aku ke sana. Ah! Gopal ni pun sama je macam yang lain-lain, dia ingat aku takut? Huh! Tak ada maknanya! Diapun bukan kenal aku sangat. Rasanya, masa darjah satu je kami pernah sekelas, lepas tu, dia ke Kuala Lumpur. Jadi, dia belum cukup mengenali siapa aku. Lama-kelamaan, talian dimatikan. Aku menghubungi kembali. Tiada jawapan. Aku bengang! Aku “call” Ajud. “Okay kak, kita orang ramai-ramai nak ke rumah akak sekarang, hantar Kak Zi,” Aku lapang. Malam itu, mereka bertandang ke rumahku. Aku melayan mereka dengan baik. Kenapa tak marah? Buat apa nak marah, mereka kan dah penuhi permintaan aku. Jadi, tidak ada sebab untuk aku memarahi mereka. Aku marah kerana mereka tidak memenuhi permintaanku, apabila mereka penuhi tak perlulah nak memanjangkan sengketa.
Isnin (Hari Merdeka)
Aku keluar sebentar, ambil barang di Medan MARA. Lepas tu, aku balik ke rumah kerana Suzi ada di rumah. Hari itu, kami ceria berbual itu dan ini. Tak ada apa yang nak ku masak Suzi, aku buat nasi goreng je untuk buka puasa.
31 Ogos, kalau dua tahun yang lalu, tepat jam 2.56 petang, aku dan peserta ekspedisi Gunung Tahan yang lain, meraikan kejayaan kami sampai di Puncak Gunung Tahan. Sungguh indah kenangan itu. Gunung Tahan, jika ada kesempatan, aku ingin sekali lagi menjejakkan kaki di puncakmu.
Aku ingin mendengar nyanyian ungas rimba penghuni belantaramu
Aku ingin mendengar siulan burung mendendangkan lagu-lagu riang meraikan kehadiranku
Aku ingin mendengar bunyi-bunyian yang tidak pernah ku dengar sebelum ini
Aku ingin menjejak jejak gajah, rimau dan seludang
Aku ingin menikmati keindahan flora khazanah berharga milikmu
Aku ingin dilindungi awan tebal yang berarak
Aku ingin didakap kabus putih yang bertebaran di mana-mana
Aku ingin berada di persekitaran hijau yang belum terusik
Aku ingin mandi di air terjun jernih yang ada pada setiap hentian perjalanan
Aku ingin sekali lagi bermesra dengan ikan-ikan di air jernih sejuk
Aku ingin disapa bayu gunung yang lembut membelai wajah dan tubuhku
Aku ingin bermain Lumpur setelah hujan reda
Aku ingin merasai gigitan pacat yang dahagakan darah manusia
Aku ingin minum lopak air yang sejuk lagi enak
Aku ingin menikmati kedamaian hari bertemankan mentari gunung
Aku ingin merasa asyiknya malam sepi dalam kesejukan cuaca.
Ah, semuanya indah di sana. Aku ingin merasai keindahan itu sekali lagi.
Gunung Tahan, nantikan kedatanganku. Jika diizinkan, aku akan ke sana lagi. Kuala Tahan, Jika ada kesempatan, akan ku harungi airmu untuk ke kaki Gunung Tahan.
No comments:
Post a Comment