SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA

Saturday, September 19, 2009

Tanah Serendah Sekebun Bunga

Aku kembali ke tanah asalku. Tanah tempat terlakarnya sejarah gemilang pemerintahan seorang raja perempuan yang bijaksana. Aku, anak kelahiran Tanah Jembal ini berasa kagum dengan pemerintahan baginda. Lantas, semangatnya ku jadikan azimat dalam diri untuk menjadi insan gemilang. Cik Siti Wan Kembang, meskipun kerajaanmu tinggal sejarah, namamu tetap utuh dalam ingatanku buat membakar jiwa seorang perempuan yang mahu mengikut jejakmu yang terbilang. Biarpun 500 tahun telah berlalu, semangatmu tetap hidup dalam jiwaku selagi darah mengalir di setiap saraf nadiku.

Seawal jam 4.45 pagi, aku bangun bersahur dan membersihkan diri. Tatkala azan berkumandang, aku menunaikan Solat Subuh. Kemudian bersiap. 6.30 aku keluar ke LRT dengan ditemani Hana dan Tiha, adiknya. Destinasiku ialah KLCentral. Rasanya sudah lambat ni. Kami berpisah di stesen Putra. Aku terus membawa beg rodaku menaiki LRT.

7.15 pagi, tiba di KL Central. Aku bergegas ke ruang "check in" untuk "check in". Petugas di situ bertanyakan masa "flight" berlepas.

"9.05 dah tak boleh check in kat sini, Cik. Dah tutup. Cik check in kat KLIAlah ya?"
"Okay, thanks,"

Aku terus ke kaunter ERL membeli tiket. ERL 7.20 sudahpun meninggalkan KL Central. Ah, kena tunggu pula! 7.40, aku naik ERL dan tiba di KLIA jam 8.00 lebih. Poter bertugas terus membawa aku ke kaunter MAS untuk check in. Tak lama kemudian, aku memasuki pesawat. Pramugara dan pramugari menyambutku dan penumpang lain dengan ramah.

Sewaktu ingin berlepas, setelah pesawat berjalan di landasan, tiba-tiba ia berhenti. Ketua pramugari membuat pengumuman, penerbangan terpaksa ditangguhkan disebabkan gangguan teknikal. Hatiku berdebar. Siapa tak takut kan kalau jadi apa-apa? Pesawat bergerak lagi dan berhenti lagi. Oh Tuhan, selamatkan kami sepanjang perjalanan ini

Pukul 9.35, pesawat bergerak laju menujah langit luas. Cuaca di luar cerah. Dapatku rasakan betapa lajunya pesawat ini membelah awan biru. Lebih laju dari biasa. Mungkin itu hanya perasaanku. Kelajuan 800 KM sejam seperti yang diberitahu pramugara menerusi pengumumannya sama seperti penerbangan yang aku sertai sebelum ini. Ketinggiannya pula 27000 kaki dari aras laut. Ketinggian juga masih pada paras biasa. Alhamdulillah, tepat pukul 10.30, pesawat mencecah landasan Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa.

Mama dan abah sudah sedia menunggu di balai ketibaan. Hmmm... Tak sangka, aku bertemu Huzaimi dan isterinya, Emida bersama ibu Huzaimi yang turut menaiki pesawat MH7036. Huzaimi, senior sewaktu sekolah di Johor dulu dan pernah satu kelas denganku di sekolah agama. Manakala Emida pula juniorku. Mereka telahpun mempunyai seorang cahaya mata. Dari pengamatanku, mereka bahagia. Seronok ku lihat kehidupan mereka. Aku turut gembira.

Setelah mendapatkan beg, aku, mama dan abah terus pulang. Ah, tak sabarnya nak jumpa Yaya, kucing gemuk yang comel dan bijak. Tiba di rumah, Acik dan Hakim menyambut kepuanganku. Tanpa berlengah lagi, aku memberikan kepada semua apa yang ku beli buat mereka. Ish, mana si kucing gemuk ni? Anak dia lari, mungkin tak kenal aku kot. Si Bela ada. Lepasku usap kepalanya, dia pergi. Hahha... Bela mana suka orang usap dia! Si Hitam pula, nak duduk sekali di atas katil. Mana boleh! dia kurang sihat, berkudis. Kata mama, Angah dah bawa dia ke klinik haiwan berhampiran sebelum pulang ke Paris, dan dah diberi suntikan. Tapi belum sembuh juga. Habis! Si Gemuk mana? Puas aku dan acik mencarinya. Lama mencari, aku buat apa yang patut dan mula melayari internet. Mereka kata, Si Gemuk suka tidur. Mungkin ada di bawah katil mama atau dalam raga di dapur. Hehehehe, masih tak berubah perangai Si Gemuk kesayangan aku tu!

Masa aku asyik menulis, mama masuk ke bilik membawa Si Gemuk. Wah! Comelnya diaaa! Gemuk!!! Bulunya lebat dan panjang. Gigi pun masih cukup. American Forest campur Parsi, itulah spesisnya. Dia datang padaku dan membiarkan badannya diusap. Aku terus memeluk dan menciumnya. Dengan manja, dia membiarkan aku melakukan apa saja terhadapnya. Dia tak lari, maknanya, dia kenal aku. Si Gemuk ni, kalau tetamu datang, dia pasti lari menyembunyikan diri. Kalau dia tak lari, maknanya, dia kenal orang tu. Kenapa? Ada sejarahnya, nantilah, ada masa, akanku tuliskan di sini. Dapat jumpa gemuk, barulah puas hati. Oh, ada satu agenda lagi, tengok baju raya. Aku sendiripun tak tengok lagi baju dan tudung raya. Sepasang je yang aku dah tengok, itupun masa belum siap jahit sebab mama beli di KL. Yang mummy beli belum tengok lagi. Kejap lagilah.

No comments: