SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA

Monday, September 14, 2009

Hari-hari Terakhir Di Makmur Megah

Suria,

Beberapa hari lagi, aku akan meninggalkan Makmur Megah, syarikat yang memperkenalkan aku kepada dunia seni dan glamor. Syarikat yang mengajar aku tentang kehidupan anak seni. Syarikat yang membawa aku mengenali baik buruk insan seni. Meninggalkan Makmur Megah tidak bermakna aku akan melupakan cita-citaku untuk menjadi seorang penulis. Malah, aku melangkah dari syarikat ini untuk memenuhi ilmu dan pengalaman agar karyaku seterusnya lebih indah. Semoga persekitaran baru kelak mampu melahirkan ilham yang lebih seni.

Makmur Megah, meskipun aku gembira menerima tawaran baru ini, hatiku sebenarnya terasa berat untuk meninggalkanmu. Apatah lagi bidang ini bidang yang aku minati. Tapi aku perlu pergi, pergi untuk mencari sesuatu yang baru. Mungkin khidmatku lebih diperlukan di sana. Biarpun aku pasti, banyak perkara baru yang perlu ku pelajari di sana memandangkan tugas tersebut di luar bidang pengajianku, aku sudah bersedia untuk itu semua. Dan kini, aku begitu teruja untuk memulakannya. Azamku, aku ingin lakukan yang terbaik untuk semua orang yang berurusan denganku. Aku akan cuba buat yang sehabis baik agar perasaanku yang terkilan dengan layanan sesetengah pihak selama ini tidak akan dirasai oleh orang yang akan berurusan denganku. Tapi... Pasti ada kekuranganku dalam menjalankan tugas itu kelak. XXX Nantikan kehadiranku.

Ke mana aku? Nantilah, Insya-Allah, aku akan tukar profilku nanti setelah aku memulakan kerja di tempat baru.

Oh ya, terima kasih kepada semua yang menyumbang kepada kejayaanku menambat hati para panel terutamanya Cikgu Khairul yang telah memberi idea dan cadangan dalam menyiapkan kertas kerja projek untuk temudugaku tempoh hari dan sesiapa saja yang menyumbang kepada idea kertas kerja tersebut termasuk Hotel Istana, Kuala Lumpur. Menurut salah seorang panel, kertas kerjakulah yang memberi kelebihan kepadaku untuk menjawat jawatan tersebut.

3 comments:

Cikgu Zakaria said...

Ke mana pun anda akan pergi, saya doakan selamat berjaya.

TINTA EMAS said...

Terima kasih, cikgu. Saya harap, ini sebagai satu langkah ke arah cita-cita saya walaupun saya belum dapat apa yang saya mahu, saya rasa ini sebagai langkah permulaan untuk saya belajar tentang selok-belok pentadbiran dan komunikasi dengan orang ramai.

Anonymous said...

emmm... sama2. kerja elok2 yer semoga cepat dapat jodoh... he he he.. tempat baru, kawan baru, pengalaman baru.. Saya doakan kejayaan Siti Huraizah bt Roslan semoga lebih berjaya dalam hidup.

cikgu khairul