Dari hati seorang perempuan: Pandangan merentasi sempadan khatulistiwa, sedalam jurang Mariana, melewati lautan pasifik.
SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA
Friday, August 31, 2018
Di Saat Orang Hangat Memperkatakannya
Assalammualaikum...
Boleh saya masuk?
Ada orang tak kat rumah?
Hahhaha... Melawak je.
Seharian hari ni saya baca novel. Setakat 111 muka surat. Sekali baca terus habis. Hadoi, tak boleh jadi macam ni. Nanti saya tak keluar bersosial pulak.
********************
OK, kita terus ke tajuk perbincangan kita hari ni.
Isu buskers dirampas peralatan muzik dan isu tandas OKU digunakan oleh golongan LGBT. Bukan setakat akhbar, media sosial juga tular dengan dua isu ni. Saat orang sibuk memperkatakannya, memberi kenyataan akhbar dan sebagainya, saya membisu. Mengapa?
Tentu ada yang tertanya-tanya mengapa saya membisu isu ni. Sekurang-kurangnya melahirkan rasa kesal di Facebook juga tidak saya buat. Kenapa?
Kalau saya tulis kat Facebook nanti ramai yang marah.
Mari kita lihat isu ni secara dekat.
1. Isu buskers OKU Penglihatan dirampas peralatan muzik:
Kenapa saya diam? Kata memperjuangkan hak? Saya diam sebab saya memperjuangkan hak golongan ini. Saya pernah memuatnaik status di FB saya tentang memperjuangkan hak ni. Antara lain saya menyebut, perjuangan hak itu penting tapi biarlah pada tempatnya. Samalah dengan isu ini. Bila kita seorang pejuang hak, kita harus tahu apa hak kita dan bukan hak kita. Jika sesuatu itu bukan hak kita, eloklah dipulangkan kepada mereka yang berhak. Kalau kita mahu hak kita dihormati, kita juga harus menghormati hak orang lain. Jika bukan hak kita pun kita mengaku hak kita, itu namanya menganiaya serta menzalimi orang lain.
Saya cukup tak setuju dengan mereka yang memuatnaik status di media sosial bersimpati dengan buskers berkenaan. Itu namanya mereka bersimpati. Bukan memberikan hak kepada mereka. Saya juga mempunyai pendapat berlainan daripada pihak yang mengeluarkan kenyataan akhbar tentang perkara ini. Saya faham, apa yang dilakukan dengan niat membela golongan ini. Tetapi saya masih dengan pendirian saya. Tak perlu kita mengeluarkan kenyataan akhbar yang memperlihatkan tidak rasionalnya kita dalam memperkatakan tentang sesuatu. Janganlah semata-mata mahu mengejar nama atau mahu dikenali kita mengeluarkan kenyataan akhbar yang berunsurkan simpati. Itukah yang mahu kita banggakan?
Dalam isu ini, jelas, kesalahan itu adalah pada buskers berkenaan. Tidakkah mereka ketahui undang-undang busking yang dikeluarkan DBKL? Mustahil mereka tidak diberi tahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan sewaktu busking. Bengkel juga dibuat pihak DBKL setiap tahun. Tidakkah mereka menghadirinya? Jika kita mahu orang menghormati hak kita, kita juga harus menghormati masyarakat. Bermain di tempat awam itu betul untuk mencari rezeki. Namun, sekiranya perbuatan itu mengganggu ketenteraman awam, itu sudah menyalahi undang-undang. Janganlah kerana ada kekurangan, perbuatan salah itu minta dimaafkan. Mujurlah pegawai berkenaan merampas peralatan muzik yang akhirnya dipulangkan. Jika beliau melaporkan kepada polis dengan sebab mengganggu ketenteraman awam dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas, tak ke naya? Perkara yang selalu kita pandang remeh, mengganggu ketenteraman awam. Kalau di luar negara, perkara ini amat dititikberatkan. Dan dalam undang-undang negara kita pun mengganggu ketenteraman awam boleh diambil tindakan.
Jadi, sebagai orang yang memperjuangkan hak, Haruskah saya mengeluarkan kenyataan akhbar membela golongan ini? Golongan yang tidak mahu menghormati hak orang lain tetapi mahu haknya diberikan? Jika sudah tahu mereka melakukan kesalahan, perlukah saya bersusah-payah menghubungi DBKL meminta penjelasan sedangkan saya telah tahu jawapannya? Haruskah saya memohon sesi perbincangan bersama DBKL bagi membincangkan perkara ini sedangkan garis panduan busking telah ditetapkan? Apa yang saya akan lakukan adalah memperhalusi garis panduan tersebut. Sekiranya ada mana-mana garis panduan yang dirasakan boleh diperbaiki, saya akan mengutarakannya kepada DBKL.
2. Isu saranan penggunaan tandas OKU kepada LGBT oleh YB Fuziah Salleh:
Nak ketawa saya baca berita ni di akhbar. Susah betullah kalau seorang menteri tak buat homework dan mengeluarkan kenyataan akhbar yang memalukan malah menyinggung hati mereka yang berhak. Mak menteri, kot ya pun isu LGBT ni hangat diperkatakan, janganlah mak menteri main hentam keromo je nak selesaikan masalah mereka. Masalah OKU ni lagi serius kot daripada masalah mereka. Mereka tu yang cari masalah. So kenapa kita sibuk nak selesaikan masalah mereka? Saya bukan memusuhi golongan LGBT, hak mereka nak memilih jalan hidup mereka. Tapi berfikirlah dengan akal yang dikurniakan, Allah dah bagi bahagian masing-masing, jantina masing-masing, so kenapa nak ditukar-tukar? Allah pun dah bagi peringatan, penukaran jantina membawa kepada laknatNya. Kalau hunsa pun ada garis panduan penentuan jantina yang Allah dah gariskan. Tengok kecenderungan. Yang jadi masalahnya sekarang ni bukan hunsa, tapi lelaki dan perempuan jadian. Lepas tu sibuk memperjuangkan hak mereka. Hak apa yang mereka mahu perjuangkan? Hak Allah untuk murka kepada mereka? Kalau kerana politik menteri mahu membela mereka, itu maknanya, menteri tu jugak kena masuk kelas belajar agama balik. Memberi hak kepada mereka bermakna menggalakkan mereka untuk menjadi begitu. Kalau mereka pilih nak jadi lelaki, masuklah tandas lelaki. Nak takut apanya? Dah rasa diri tu lelaki kan? Takkan takut diusik pula sedangkan mereka yang pilih jalan hidup begitu? Kalau pilih jadi perempuan, masuklah tandas perempuan. Takkan ada nafsu nak apa-apakan perempuan pulak? Ataupun, kalau takut, masuk je tandas mengikut fitrah kejadian tuhan. Kalau tom boy, masuk tandas perempuan. Kalau mak nyah, masuk tandas lelaki. Ikut jantina asal. Lagi selamat.
Dan lagi! Kenapa saya membisu isu ni tanpa mahu mengeluarkan kenyataan akhbar dan mengutus surat kepada mereka berkaitan? OK, buat pengetahuan semua, tandas OKU tu sebenarnya adalah hak pengguna kerusi roda. Bukan untuk OKU Penglihatan. Sebab tu tandas OKU tu dibina dengan saiz besar, mempunyai grab bar, singki rendah, paip mudah dibuka dan ada sesetengahnya mempunyai pintu gelongsor dan ada juga yang menggunakan sistem tekan button seperti di KLIA untuk membuka dan menutupnya. Semua ciri aksesibiliti ini adalah untuk kegunaan mereka Kurang Upaya Fizikal. Mereka perlukan ruangan besar untuk membuat pusingan kerusi roda serta membuat 'transfer' dari kerusi roda ke mangkuk tandas serta sebaliknya. Begitu juga singki yang rendah. Ianya untuk membolehkan mereka mencapai serta menggunakannya. Lain-lain kemudahan dalam tandas OKU tu semuanya untuk kegunaan mereka. Bukan untuk kegunaan OKU Penglihatan biarpun OKU Penglihatan juga termasuk dalam OKU dan boleh menggunakan tandas berkenaan. Tapi prioriti haruslah diberikan kepada mereka berkerusi roda.
Oleh yang demikian, siapakah yang paling wajar mengeluarkan kenyataan akhbar? Adakah OKU Penglihatan yang bukan golongan prioriti menggunakan kemudahan tersebut? Pada saya tidak. Mereka berkerusi rodalah yang patut dan berhak mengeluarkan kenyataan akhbar. Saya baca kenyataan akhbar yang dikeluarkan beberapa pihak bukan dari mereka berkerusi roda. Hujah mereka dalam kenyataan akhbar tersebut adalah lemah. Mungkin penulis kenyataan akhbar tersebut bukan dari kalangan mereka berlatarbelakangkan aksesibiliti. Mungkin mereka juga tidak tahu tentang MS1184 sebab itulah kenyataan akhbar dikeluarkan tidak bernas dan kelihatan menjurus kepada simpati. Kalau nak keluarkan kenyataan akhbar, biarlah hujah kita kukuh dan meminta hak kita dihormati dengan fakta logik. Kalau kita mempunyai fakta yang kuat, maka ianya akan membuatkan pihak bertentangan goyah. Jadi, sekali lagi saya tidak bersetuju mengeluarkan kenyataan akhbar untuk dipandang orang yang agensi atau NGO itu ke hadapan dalam membela hak. Untuk dikenali ramai ada banyak cara bukan semata-mata menerusi akhbar yang memperlihatkan kelemahan hujah kita.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment