Dari hati seorang perempuan: Pandangan merentasi sempadan khatulistiwa, sedalam jurang Mariana, melewati lautan pasifik.
SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA
Monday, April 16, 2018
Kuih Yang Dilempar
Assalammualaikum semua.
Salam sejahtera...
Saya ingin mencatatkan sebuah kisah untuk dijadikan iktibar kepada bakal ibu bapa atau mereka yang telahpun menjadi ibu bapa.
Sila ambil perhatian bahawa, perkara yang remeh dan kecil bagi anda namun sangat bererti bagi kanak-kanak yang sedang membesar.
Tindakan anda, kata-kata anda akan memberi kesan seumur hidup kepada anak anda tanpa anda sedari.
Baiklah, bacalah kisah simple ini namun fikirkan sedalamnya maksud tersirat agar anda sentiasa lekat dalam hati anak-anak anda sebagai ibu bapa yang dihormati.
***
Pagi itu, Puan Rafiah dan En. Azdan seperti hari-hari sebelumnya ke pejabat demi mencari nafkah keluarga. Dua orang anak mereka iaitu Wani dan Ayuni diam di rumah bersama Kak Ha, orang gaji yang diupah menjaga kedua adik-beradik tersebut dari pagi hingga petang. Wani berusia tujuh tahun manakala adiknya, Ayuni berusia empat tahun. Kedua beradik ini sangat suka bermain dan perasaan ingin tahu mereka amat tinggi. Setiap apa yang dilakukan orang dewasa, pasti mereka ingin mencubanya.
Minat kedua beradik ini bertukar-tukar. Hari itu, mereka teringin untuk memasak. Keinginan tersebut disuarakan kepada papa mereka, En. Azdan sehari sebelumnya. En. Azdan menyambut baik keinginan anak-anaknya yang ingin membuat jemput-jemput atau cekodok. En. Azdan meminta anak-anaknya tidur terlebih dahulu memandangkan hari telah lewat malam. Tentang keinginan kedua-dua puteri yang dikasihinya, dia meminta agar kedua beradik itu belajar membuat cekodok dari Kak Ha setelah Kak Ha siap mengemas rumah mereka keesokan harinya. Dengan harapan keinginan menjadi kenyataan, kedua beradik tersebut tidur dengan senyuman. Kedua-duanya berangan menguli tepung dan melenyek pisang untuk memasak cekodok.
Pagi menjelang bersama mentari riang memancar cahayanya seriang kanak itu menanti Kak Ha orang gaji mereka tiba untuk membuat cekodok. Setelah selesai Kak Ha mengemas, kedua beradik itu memberitahu Kak Ha akan hasrat mereka. Kak Ha enggan menurut, khuatir dimarahi Puan Rafiah. Namun, setelah didesak dan kedua beradik tersebut memaklumkan papa mereka yang menyuruh mereka belajar dengan Kak Ha, orang gaji itupun bersetuju. Maka, kedua beradik tersebut dengan gelak tawa penuh keriangan mula diajar Kak Ha membuat cekodok. Kedua-duanya diberi bekas sorang satu, gandum dan semua bahan untuk membuat cekodok. Masing-masing tekun membuat cekodok. Kedua-duanya berangan bahawa hari ini pasti mama dan papa mereka terkejut dengan surprise mereka. Almaklumlah, fikir mereka, pasti mama dan papa mereka terkejut melihat anak kecil mereka pandai membuat cekodok. Kedua-duanya berangan bahawa papa mereka yang selalu dihidangkan air setelah pulang dari pejabat oleh mama akan memakan cekodok mereka. Pasti papa akan berasa sangat gembira. Mereka mula bersembang menzahirkan angan-angan mereka. Kak Ha amat riang melayan keletah kanak-kanak tersebut. Dengan sabar, dia mengajar kanak-kanak itu satu demi satu cara membuat cekodok. Untuk menjaga kebersihan, Kak Ha sentiasa memastikan tangan kedua kanak-kanak itu bersih sebelum memegang bahan-bahan masakan.
Setelah selesai mencampur dan mengacau semua bahan, Kak Ha ingin menggorengkan cekodok tersebut namun ditegah oleh kedua beradik itu.
"Laaa... Dah buat gorenglah. Nanti Wani dan Ayuni boleh makan sama-sama,"
"Tak nak. Nak makan dengan papa. Dengan mama," Ayuni melahirkan keinginannya.
"Entah, Kak Ha ni. Kita orang kan masak untuk papa dengan mama," Sokong si kakak.
"Kita makan jelah. Tak payah simpan-simpan. Nanti mama marah," Kak Ha cuba memujuk untuk menggoreng cekodok tersebut.
"Tak nak. Kenapa mama marah pulak? Hari ni, mama tak payahlah buat apa-apa. Kita kan dah masakkan untuk dia orang. Mesti papa dengan mama suka punya,"
Akhirnya, Kak Ha mengalah.
Jam menunjukkan pukul 4.30 petang, Puan Rafiah pulang dahulu. Kak Ha kelihatan gelisah. Puan Rafiah terus ke dapur untuk menyiapkan minum petang suaminya, En. Azdan.
Si kakak mengekori Puan Rafiah ke dapur dan diikuti oleh Ayuni.
"Mama, gorengkan cekodok pisang," Pinta Wani dengan senyum terukir di bibir.
"Mana ada cekodok pisang? Jangan merepeklah. Duk luar sana. Mama sibuk. Mama nak buat air untuk papa. Jangan macam-macam, mama penat," Balas Puan Rafiah dengan suara meninggi.
"Ada, kita orang dah buat. Belum goring je," Si kak pudar senyuman.
Wajah si adik juga mula keruh.
Puan Rafiah membuka peti. Dia melihat bekas adunan cekodok dan dikeluarkan.
"Siapa buat ni?" Suara Puan Rafiah masih tinggi.
"Wani dengan Ayuni la," Balas Wani sambil diperhatikan Ayuni.
"Yang korang pandai-pandai main tepung ni kenapa?"
"Kita orang tak mainlah mama. Kita orang buat cekodok. Kak Ha yang ajar," Wani sedaya mungkin mempertahankan kuihnya.
Ayuni maju ke depan dan merapati kakaknya yang sedang bersoal jawab bersama mamanya. Wajahnya turut keruh sekeruh wajah kakak kesayangannya.
"Siapa suruh korang buat semua ni? Kotor! Siapa nak makan? Dah buang!" Tanpa mengendahkan perasaan anak-anaknya, Puan Rafiah terus membuang kesemua adunan tersebut dengan kasar ibarat membuang sesuatu yang sangat jijik dan Kotor ke belakang rumah. Wajah keruh Wani dan Ayuni bertukar menjadi tangisan. Kak Ha yang terdengar bunyi kecoh di dapur lekas-lekas mendapatkan kedua beradik yang mula menangis lalu memeluk dan membawa keduanya ke ruang tamu. Sedang Puan Rafiah terus membebel dengan suara yang tinggi dan mengeluarkan perkataan yang kurang enak didengar.
En. Azdan pulang lalu pantas mendapatkan anak-anaknya yang sedang dipujuk orang gaji. Dia ingin tahu apa yang berlaku sehingga kedua-dua anaknya menangis. Kak Ha menceritakan apa yang berlaku kepada En. Azdan setelah didesak. En. Azdan bergegas ke dapur mendapatkan Puan Rafiah.
"Mana kuih yang budak-budak tu buat?"
"Kuih apa?" Puan Rafiah marah-marah.
En. Azdan menahan kesabarannya.
"Kuih yang budak-budak tu buat tadi. Mana?" Dia menekankan suaranya meskipun perlahan.
"Tak ada. Saya dah buang," Balas Puan Rafiah geram.
"Kenapa awak buang?" En. Azdan tidak puas hati.
"Budak-budak tu dah main. Kotorlah!"
"Siapa kata kotor? Kalau awak tak nak makan, saya makan. Kesian budak-budak tu,"
Puan Rafiah diam.
En. Azdan sekali lagi mendapatkan anak-anaknya.
"Dah, jangan nangis eh. Nanti esok, papa ajar buat kuih. Nanti papa gorengkan, kita makan sama-sama," Kedua-duanya lantas memeluk papa mereka yang dirasakan penyelamat dan pembela mereka.
***
Tulisan ini amat meninggalkan kesan di hati saya. Maka saya mengharapkan agar kisah ringkas ini menjadi pengajaran kepada ibu bapa agar tidak memandang enteng akan perasaan anak anda kerana kesannya membawa ke usia dewasa mereka dan akhirnya, kesan tersebut turut mengganggu hubungan baik antara anak-anak dan ibu bapa. Menjadi ibu bapa bukanlah bermakna anda sentiasa betul dan perlu mengarahkan anak-anak anda sesuka hati tanpa mengambil kira perasaan mereka. Sebaliknya, sokongan, dorongan, pujian dan kasih sayang amat penting untuk membentuk sahsiah cemerlang anak-anak.
Nanti kita jumpa lagi dengan kisah yang lebih memberi pengajaran.
OK la, nak redakan perasaan sedih saya ni. Nak pergi solat.
Assalammualaikum.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment