SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA

Friday, May 11, 2018

Tahniah Rakyat Malaysia, Tahniah Pakatan Harapan

Assalammualaikum pembaca budiman. Salam sejahtera semua. Jarang saya menulis tentang politik di sini. Sebab saya tak suka politik. Tapi sejak akhir-akhir ni, saya menyampah dengan kerajaan BN yang melakukan perkara-perkara yang merosakkan imej Malaysia, menyusahkan rakyat serta pelbagai kesilapan. Malaslah nak tulis pasal tu, banyak blog dah tulis tentang mereka. 28 April, 2018: Merupakan hari penamaan calon bertanding bagi setiap parti. Saya lihat, PRU kali ini terlalu hangat bahangnya sehinggakan di sana sini terjadi perang bendera. Rata-rata parti bertanding dalam keadaan tiga penjuru. Saya lihat, Pakatan Harapan bermati-matian untuk mendapatkan tampuk pemerintahan negara. Paling menarik apabila Tun Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ke-4 sekali lagi bertanding menerusi Pakatan Harapan. Beliau juga dinobatkan sebagai Calon Perdana Menteri Malaysia ke-7 dengan Datin Sri Wan Azizah sebagai calon Timbalan Presiden dan Datuk Sri Anuar Ibrahim sebagai Calon Perdana Menteri Malaysia menanti. Bak kata Saudara Rafizi, "orang lain tak buat, kita buat," Saya dengarpun nak ketawa. Pertandingan kali ini amat hebat dan sengit. Keseimbangan parti bertanding dilihat serata atau jika diperhalusi berat kepada Pakatan Harapan untuk memenangi PRU ke-14 kerana Pakatan Harapan mempunyai tokoh-tokoh yang bijak. Manakala Barisan Nasional (BN) membariskan calon-calon yang tidak lagi dipercayai rakayt terutamanya Datuk Sri Najib Tun Razak sebagai calon Perdana Menteri Malaysia mempertahankan kedudukannya. Hal ini ditambah dengan kesilapan demi kesilapan yang dilakukan kerajaan sedia ada yang membangkitkan kemarahan rakyat. Dalam entri ini saya tidak akan mengulas parti lain bertanding. Tumpuan saya hanya kepada dua gabungan parti bertanding yang telah saya nyatakan sahaja. Meskipun halangan demi halangan terhadap kempen Pakatan Harapan (PH) namun, kempen mereka berjalan lancar dengan dihadiri ramai orang awam. Manakala BN pula, giat berkempen melalui media cetak dan elektronik dominasi mereka. Daripada pemerhatian saya yang bukan pakar politik ini, kempen PRU Malaysia terutamanya melalui media cetak dan elektronik ni zaman berzaman berat sebelah sejak dari dulu sampai sekarang. Agaknya memang parti pemerintah ni takut turun takhta kot. Parti lawan tidak dibenarkan penyiaran kempen mereka di media cetak sedangkan parti pemerintah bermaharajalela berkempen, menghentam dan mengutuk pihak lawan secara terbuka di media. Media kita tidak cukup matang apabila tidak memberi ruang kepada pihak lawan untuk membalas serangan, mempertahankan diri atau menjelaskan sesuatu isu berbangkit. Sungguh menyedihkan menjadi rakyat Malaysia yang tidak dapat menilai kedua-dua belah pihak bertanding bagi membuat pilihan tepat. Mujurlah sekarang ni ada internet dan media sosial. Sekurang-kurangnya ia membantu kempen pihak lawan atau suara mereka untuk sampai kepada rakyat. PRU kali ini juga memperlihatkan kematangan rakyat Malaysia dalam memilih pemimpin mereka. Bilangan orang awam yang keluar mendengar ceramah parti lawan tidak lagi kurang seperti dahulu. Mungkin benar, rakyat Malaysia kini semakin matang dan bijak dalam membuat penilaian meskipun disogokkan dengan bantuan kewangan. Kami sudah tahu membuat kira-kira untung rugi manufesto kedua-dua belah pihak. Bahkan, daripada itu, kita ketahui bahawa wang bukanlah segala-galanya bagi rakyat Malaysia. Alhamdulillah, ada ramai rupanya bangsa Malaysia yang bermarwah. Namun saya tidak faham dengan manufesto BN yang saya kira tidak matang dan kebudak-budakan. Adakah kerana terlalu takut menyebabkan mereka melakukan kesilapan demi kesilapan dalam membentangkan manufesto mereka? Tidak payah melihat kepada manufesto yang berat. Kita lihat janji kecil mereka. Cuti dua hari pada hari Isnin dan Selasa berikutnya. Apa mereka ingat rakyat tak ada urusan lain? Selepas mengundi balik bekerja terutamanya yang dari jauh lepas tu nak balik semula untuk cuti Sabtu-Selasa? Seterusnya pembayaran tol percuma selama lima hari untuk hari raya puasa. Come on la, setakat lima hari tol percuma tu tak beri kesan besar pun kepada rakyat. Bukan rakyat perlu lalu tol tu 10 kali sehari setiap orang. Apa mereka fikir rakyat Malaysia ni budak-budak ke yang perlu diberi gula-gula? Beginikah pemikiran bakal pemimpin? Amat menyedihkan. Bangkitlah rakyat Malaysia. Kita sedang dipermainkan. Tidak terkecuali janji perlepasan cukai pendapatan bagi mereka berusia 26 tahun ke bawah. BN sedang buat lawak ke apa ni? Berapa sangat rakyat yang berusia 26 tahun ke bawah membayar cukai pendapatan? Budak baru habis belajar dan baru mula kerja. Cukai pendapatan apa? Kalau ada pun tak ramai. Sepatutnya mereka yang bijak pandai dalam BN kena buat plan dan janji sesuatu yang benar-benar menguntungkan rakyat. Bukan untung sedikit sekejap lepas tu rugi besar. Di mana kebajikan rakyat ni kalian letakkan? Ketahuilah, rakyat sedang marah kepada kerajaan atas isu-isu yang brlaku. So, jangan tambahkan kemarahan rakyat. Mereka rasa mereka cukup gagah berkuasa tapi mereka lupa bahawa rakyat lebih berkuasa dan kami akan zahirkan kuasa kami dalam PRU 14. Dengan kehadiran Tun M sebagai calon Perdana Menteri Malaysia, saya kira ramai rakyat yang setia kepada BN akan berpaling tadah. Bukan kerana apa tetapi kerana kesilapan yang BN lakukan dan mereka tahu profil Tun M yang memerintah negara sebelum ini. Tapi, bukan mudah untuk PH menyertai PRU bagi merebut tampuk pemerintahan negara. Pelbagai ujian dan dugaan harus mereka hadapi. Misalnya, tayar kapal terbang Tun M yang rosak untuk melakukan penerbangan ke Langkawi, tempat beliau akan bertanding bagi proses penamaan calon. Tun M menunggu lama kerana juruterbang memberitahunya mereka cuba untuk membaikpulih kerosakan berkenaan. Malangnya, tiada pegawai DCA datang menemui beliau. Jika diikutkan, Tun M mahu ke Langkawi dengan menaiki kereta tetapi dinasihatkan oleh ahli keluarganya agar tidak berbuat demikian kerana mereka tidak mahu Tun M letih dan kesihatan Tun M terganggu. Kapal terbang komersial pula tiada jadual yang bersesuaian dengan waktu Tun M. Tun M, Toh Puan Hasmah dan Datin Paduka Marina mula resah. Kalau Allah dah tuliskan bahawa rezeki Tun M ada untuk bertanding maka, Allah lorongkan jalan kepadanya. Dalam waktu mereka keresahan menanti pesawat dibaiki dan tiada tanda masalah tersebut dapat diselesaikan, kawan kepada adik Datin Paduka Marina tiba di lapangan terbang. Beliau mahu ke Singapura. Dalam perbualan mereka, kawan tersebut bertanya akan destinasi Tun M sekeluarga. Apabila mengetahui pesawat Tun M rosak, kawan tersebut menawarkan pesawatnya untuk dinaiki. Maka Tun M dan rombongan berangkat ke Langkawi dengan menaiki pesawat peribadi kawan anak Tun M. Banyak lagi kisah dugaan calon untuk bertanding. 9 Mei, 2014 hari mengundi untuk orang awam: Bagaikan hari raya, rakyat seawal mungkin keluar mengundi. Situasi klise, adalah permasalahan tentang peti undi yang tersalah label, peti undi membawa undi palsu, peti undi dilarikan tapi katanya dapat dikejar dan dihalang dari dibawa lari dan pengiraan semula undi. Seluruh rakyat Malaysia mengharapkan perubahan terhadap kerajaan Malaysia. Kami mahu Malaysia dipandang gah seantero dunia seperti dulu. Kami mahukan kemajuan dalam pelbagai aspek termasuk infrastruktur, ekonomi dan lain-lain tanpa membelakangkan hal-hal keagamaan. Dinding-dinding Facebook juga banyak menampilkan status berkenaan PRU dan undi. Selepas jam 5, rata-rata rakyat berdebar menanti proses pengiraan undi berlangsung dan pengumuman kerajaan yang akan mentadbir negara tercinta ini untuk lima tahun akan datang. Dalam jam 10 lebih malam, saya mendapat berita tidak rasmi bahawa PH memenangi PRU ke-14 sekaligus menawan Putrajaya. Hanya Allah yang tahu perasaan saya bercampur-baur. Saya harap kerajaan baru ini mampu membersihkan nama serta imej Malaysia yang telah tercalar, mendaulatkan Malaysia, menyelesaikan isu 1MDB, isu projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing, MH370, akta-akta yang telah dibuat bagi melindungi individu tertentu, GST, isu harga minyak, subsidi kepada rakyat, isu PTPTN dan biasiswa, isu MARA, FELDA dan Proton, isu tanah Malaysia yang dijual/beri kepada warga asing, isu pendatang asing, isu pengangguran, isu isu keselamatan negara, SPRM, Peguam Negara, kehakiman negara dan beberapa jabatan yang perlu dibebaskan daripada belenggu penguasa serta banyak lagi. Kesiannya Tun M yang telah berusia 93 tahun namun kini terbeban di bahunya segala permasalahan besar lagi berat. 10 Mei, 2018: Istiadat Angkat Sumpah, Perdana Menteri Malaysia Ke-7, Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir Mohamad. Sekali lagi kerisauan rakyat Malaysia mendebarkan hati serta perasaan apabila Tun M ditangguhkan daripada mengangkat sumpah kerana kononnya tiada parti majoriti yang memenangi PRU kerana gabungan PH tidak sah. Ini pun bagai ada yang telah merencanakan isu tidak sah ini. Biarpun, surat persetujuan setiap parti dalam PH memilih Tun M sebagai PM telah ditandatangan, DYMM Yang Dipertuan Agong mahu menemui Ketua Parti Keadilan Rakyat dan lain-lain parti untuk mendapatkan keizinan perlantikan Tun sebagai PM. Dari pagi tunda ke petang. Akhirnya malam barulah selesai upacara mengangkat sumpah Perdana Menteri Malaysia Ke-7. Majoriti rakyat Malaysia menghela nafas lega apabila berakhirnya istiadat berkenaan. Saya pelik dengan SPR yang melambat-lambatkan proses perlantikan berkenaan. Semua pihak harus menghormati hak serta pilihan rakyat yang memilih Tun M sebagai PM kami. Ini negara demokrasi. Jangan cabuli hak kami. Takut kepada siapa? Kepada pihak tertentu? Mereka sudah tiada kuasa. Kalau mahu menghukum kalian, kerajaan baru yang akan mengambil tindakan ke atas kecuaian kalian. Alhamdulillah, segalanya selesai. Malaysia kini mempunyai kerajaan baru yang membawa harapan baru untuk seluruh rakyat jelata di segenap pelusuk negara. Tahniah Tun Mahathir dan terima kasih kerana dalam usia begini, Tun berkorban mengambil alih negara untuk kepentingan kami rakyat Malaysia. Semoga Allah memberi hidayah dan memimpin Tun dalam setiap urusan agar ianya selari dengan syariatNya. Tahniah Pakatan Harapan atas kemenangan ini. Kejayaan ini bermakna bahu kalian dibebani dengan segala permasalahan yang telah ditinggalkan dan yang akan datang. Berkhidmatlah ikhlas untuk rakyat dan Malaysia. Jangan sesekali mengkhianati kami kerana kuasa ada di tangan kami. Ambil sebagai pengajaran bagaimana kami menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional yang telah mentadbir Malaysia selama 60 tahun. Tahniah juga buat rakyat Malaysia kerana telah mengundi dengan bijak dan matang. Semoga kita sama-sama membantu kerajaan yang kita pilih ini untuk membangunkan negara dengan lebih pesat. Mari kita berubah menjadi rakyat yang lebih prihatin, berdikari, berdisiplin, berilmu, amanah, rajin dan tekun agar negara ini mampu bersaing dengan negara maju. Maju mundurnya sesebuah negara adalah kerana rakyatnya. ********************** Banyak lagi yang ingin saya coretkan tentang PRU ni. Nantilah kalau ada masa dan kalau rajin nak ulas tentang PRU ni.

No comments: