Dari hati seorang perempuan: Pandangan merentasi sempadan khatulistiwa, sedalam jurang Mariana, melewati lautan pasifik.
SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA
Monday, May 21, 2018
Berikan Kepada Mereka
Perkara ni berlaku masa saya balik angah kahwin hari tu.
Suatu malam, ketika saya duduk-duduk di ruang tamu, saya dikejutkan dengan kepulangan abah dari masjid dengan tergopoh-gapah. Kenapa pulak abah ni?
Abah meluru masuk ke dalam rumah menuju ke arah saya setelah membuka pintu.
Abah: Quran kau tu pakai tak?
Saya: Pakailah.
(Saya pelik dengan abah ni. Bukan dia tak tahu saya menggunakan quran tu. Malah, dia yang selalu suruh saya baca Al-mulk, Al-kahfi dan lain-lain. Saya hairan. Kenapa abah ni? Sedangkan dia selalu Nampak saya duk pilih-pilih jilid Al-quran tu.)
Abah: Kalau pakai tak apalah.
(Kedengaran suaranya kehampaan.)
(Dah kenapa?)
Saya: Kenapa?
(Saya lantas bertanya seakan ada sesuatu yang tak kena dengan jawapan saya sebentar tadi.)
Abah: Tak adalah. Kat masjid tadi, ada ustaz dari Pakistan. Dia minta derma nak beli Quran braille untuk murid-murid dia kat sana. Katanya mahal quran braille tu dalam RM200 lebih. Tapi Jemaah ramai yang tak bawa duit. Betul ke quran tu mahal? Kau beli berapa?
(Suara abah jelas bersimpati.)
Saya: Memanglah mahal. Quran braille. Tapi along dapat free je. Persatuan bagi. Ada orang taja.
Abah: Abah tak bawa duit tadi. Kalau kau tak pakai, abah nak bagi quran tu kat dia. Dia kata, kalau dapat satu pun jadilah. Sebab tu dia kutip derma.
Saya berfikir sejenak. Nak bagi sayang. Saya mana ada quran lebih kat rumah ni. Kalau kat KL tak ada, boleh pinjam surau pejabat. Tapi kesian pulak dia orang tak ada quran nak belajar. Nak kumpul duit lepas tu nak beli lagi. Tapi kalau dia kutip, boleh dapat duit banyak, boleh beli banyak naskah.
Tapi kalau saya bagi, boleh jadi amal kan? Tapi nanti saya tak ada quran kat kampong. Nak bawa balik berat yang kat KL tu.
Hish, hati dah mula bergaduh dengan akal ni.
Akal kata, "Tak apa Tinta, bagilah. Kesian dia orang. Kalau dia kutip derma pun, belum tentu boleh dapat satu setiap murid. Sekurang-kurangnya, dapatlah menampung. Pasal kau yang tak ada quran kat rumah ni, tak apa. Kita usaha kemudian. Kalau ada tajaan lebih boleh minta dengan PERTIS. Kalau tak, beli jelah. Nanti cuba Tanya PERTIS, boleh ke pos terus ke kampung? Mana tahu, pemberian ni boleh selamatkan kau dari neraka? Kau tu bukannya baik sangat. Ni ada peluang tuhan nak bagi jalan beramal. Apa salahnya bagi,"
Abah: Macam mana? Cepatlah. Nanti dia pergi.
(Saya tersedar dari lamunan. Rupanya abah tunggu dan perhatikan saya berfikir.)
Saya: Bagilah.
Abah: Betul ke ni?
(Suara abah riang.)
Saya: Betul.
Abah: Habis kau macam mana?
(Tiba-tiba suara riang tadi bertukar gusar.)
Saya: Tak apalah. Nanti along minta lain.
Abah: Abah bagi ya?
(Abah membuat pengesahan.)
Saya: Ya.
Abah: Satu kotak ni?
Saya: Ya.
Abah pun sepantas kilat mengangkat kotak dan berlari ke masjid. Saya berdoa dalam hati agar ustaz itu masih ada supaya abah tidak kehampaan. Saya berdoa juga agar Al-quran tersebut benar-benar sampai ke Pakistan dan digunakan untuk murid ustaz tersebut belajar membaca Al-quran.
Tak lama kemudian abah pulang semula ke rumah dan dengan gembira abah memberitahu saya bahawa Al-quran tersebut telah diserahkan kepada ustaz itu. Ternyata, ustaz berkenaan gembira menerima Al-quran tersebut dan dia tidak menyangka yang dia akan memperoleh senaskah Al-quran braille di kawasan rumah saya.
Abah saya ni memang lembut hatinya. Tak boleh orang minta, mesti dia nak tunaikan permintaan orang.
So, saya pulak nak minta Al-quran lebih untuk diletakkan di kampung bagi kegunaan saya apabila bercuti. Harapnya mereka boleh berikan kepada saya dan boleh pos terus ke rumah abah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment