2011,
Kau banyak mengajar aku tentang kehidupan,
Banyak membawa suka duka dalam kehidupanku,
Dari helaian hari-harimu, ku temui pelbagai peristiwa,
Dari dasarmu, ku kutip segala pengalaman,
Di tengah belantaramu, ku himpun ribuan pengajaran,
Dari masa-masa yang terlewati, ku peroleh sempadan dan teladan,
Dalam arca indahmu, ku simpan segala kenangan
Untuk tatapan hari muka.
2011,
Hari ini,
Datanglah janji Allah untuk membawa kau pergi.
Berangkatlah kau ke sana kerana kau telah sarat dibebani susur-galur peristiwa insani.
Di sini kita berpisah dan tak mungkin kita akan bertemu lagi kerana waktu berputar laju dan mustahil untuk ia berputar ke belakang.
Terima kasih 2011 atas hidangan peristiwa dan pengajaran yang menjadi bekal kedewasaanku.
Lepaslah genggaman tanganku.
Berikan pada 2012 untuk menggenggamnya erat selagi nafas masih mendesah.
Biar dia menjadi guruku yang seterusnya.
Selamat jalan 2011. Kau tetap dalam kenangan.
No comments:
Post a Comment