SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA

Monday, December 19, 2011

Bingkisan Dari Kerala, India (Bahagian 2)

Maaf, lambat sambung cerita ni. Kebelakangan ni sibuk sikit. Baiklah, kita terus ke cerita seterusnya.

Ahad, 27, November, 2011

Pagi itu, kami bersarapan di hotel. Pelbagai jenis makanan dihidangkan. Orang-orang India memang berpegang teguh pada akal tradisi mereka. Semua makanan dihidangkan adalah makanan tradisi mereka. Tiada langsung makanan barat kecuali roti plantar/jam dan jus apple dan mangga. Aku mengambil kesempatan ini untuk menikmati makanan yang lain dari kebiasaan itu. Sedap tak sedap. Tak tahu bila lagi aku akan ke mari. Jadi, masa nilah masa untuk aku mencuba. Aku minum beberapa teguk air jus. Alamak! Orang kata, kat India ni jangan minum air sejuk takut ceret-beret nanti. Kalau nak minum, minum air panas, terjamin sikit. Tapi... Memang menjadi kebiasaan aku mengambil air jus jika ada pada waktu sarapan. Ah, tawakal jelah. Aku menghabiskan air tersebut. Oh ya, satu lagi, air herba untuk menjaga kesihatan tekak juga disediakan. Unikkan? Di Malaysia, mana ada minuman tradisi begitu dihidangkan di hotel.

Setelah selesai bersarapan, sementara menunggu masa untuk bertolak ke destinasi seterusnya, aku dan rakan-rakan mengambil kesempatan untuk bergambar di sekitar hotel. Hotel kami terletak di tempat yang kelihatan tidak seperti bandar seperti lazimnya hotel-hotel di Malaysia. Tapi, kawasan sekitarnya sangat sibuk menjelang pagi. Usahkan kenderaan bertali-arus dengan bunyi hon malah, orang-orang yang lalu-lalang juga ramai tidak seperti di Malaysia. Anjing-anjing pula bebas begitu saja. Kami perhatikan bas mereka yang mempunyai pintu seperti pintu ais dan para penumpang perlu membuka pintu tersebut sebelum menaiki bas. Bas awam di sana tidak mempunyai tingkap. Sisi basnya terbuka begitu saja cuma ada batang besi yang menjadi penghalang. Sekiranya hujan, ia hanya ditutup menggunakan kain kamvas. Kadang-kadang, bas sudah berjalanpun masih ada yang menaiki bas. Ngeri betul. Ada satu kenderaan yang dipanggil oto. Oto adalah sebuah kenderaan lebih kurang seperti beca. Bezanya, Oto di bahagian belakangnya seperti kereta kancil yang tidak siap. Kenapa aku kata begitu? Tempat duduknya seperti kusyen kereta, kiri kanan terbuka dan berbumbung seperti beca. Pemandunya duduk di bahagian hadapan, di atas moto. Oto mempunyai enjin dan tiga roda. Sebuah oto boleh memuatkan dua orang penumpang.

Kami berangkat ke International Institute Social Entrepreneurs (IISE). Sewaktu dalam perjalanan, kami melalui jambatan yang usianya 200 tahun. Menurut Mr. Trevor, satu jambatan baru sedang dibina bagi menggantikan jambatan tersebut. Seperti biasalah, bas melalui jalan yang mencabar dan dihiburkan dengan bunyi hon sepanjang jalan.

Lebih kurang pukul 9.45 pagi kami tiba di (IISE). Bas berhenti di jalan besar. Laluan untuk ke IISE terlalu sempit untuk dimasuki bas. Jadi, kami harus berjalan kaki lebih kurang 1KM ke IISE dengan dipandu arah oleh seorang pekerja IISE. Kami melewati jalan seperti jalan kampung. Jalan yang sempit, kadangkala terpaksa melalui lecak kerana hujan yang baru berhenti dan ada tanda-tanda mahu turun lagi. Kiri kanan jalan adalah deretan rumah. Tak sangka pusat latihan dibina di kawasan begini. Apa yang kami perhatikan, lelaki-lelaki India yang bertembung di perjalanan dan juga di tempat-tempat lain memakai kain pelekat dan kain itu diikat naik ke atas iaitu ke pinggang bersama kemeja. Kanak-kanak pula bermain riang di sesetengah tempat. Ada juga orang yang berjalan kaki tanpa alas kaki. Ada lagi manusia begitu pada zaman moden ni ya?

Semerbak bau minyak Ayuvedig menusuk hidung kami setibanya kami di perkarangan IISE. Kedatangan kami disambut mesra oleh pekerja di sana yang terdiri daripada Orang Inggeris dan India. IISE ini diasaskan oleh Paul Cronimburg dan seorang rakannya yang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan. Kedua-dua mereka berasal dari Jerman. Projek di Kerala ini adalah kesinambungan dari projek Braille With Out Borders yang dijalankan di Tibet tidak lama dulu. Objektif pusat ini adalah untuk melahirkan orang-orang yang memperjuangkan nasib sesuatu golongan di sesuatu tempat atau negara. Lebih tepat lagi, projek ini bertujuan memantapkan individu yang telahpun memperjuangkan hak orang lain. Mereka yang terpilih untuk belajar di pusat ini adalah mereka yang hebat, mereka yang telah berjaya menyumbang kepada masyarakat. Kami ke IISE adalah untuk melihat cara program itu berjalan. Kebetulan, masa kami ke sana adalah hari pembentangan kisah dan impian hidup para pelatih. Di sinilah aku mengenali:

Alieu. Kalau tak silap, Alieu berasal dari Libia yang memperjuangkan nasib OKU Penglihatan di sana. Alieu sedang berusaha untuk menubuhkan pusat pengajian bagi OKU Penglihatan di sana. Hasratnya, dia mahu OKU Penglihatan mendapat pendidikan tinggi sepertimana masyarakat normal. Alieu juga seorang OKU Penglihatan.

Nosisa. Nosisa berasal dari Zimbobway. Dia menubuhkan pusat penjagaan bagi penghidap HIV.

Bayangkan, permohonan untuk masuk ke IISE dari serata dunia sedangkan IISE hanya memerlukan 20 pelatih pada setiap tahun. Pemohonnya pastilah hebat-hebat belaka. Antara pelajaran yang diajar di sini adalah, keusahawanan, pengurusan organisasi, sosial, pemasaran, akaun dan sebagainya.

Rekabentuk bangunan dan lanskapnya juga menarik. Bahagian belakang dewan yang kami menonton pembentangan tersebut terdapat sebuah tasik yang indah. Sayangnya, kami tidak berkesempatan untuk melawat seluruh kawasan IISE. Apapun, IISE tetap dalam kenangan. Terasa sayu hati ini tatkala mahu berpisah dengan rakan-rakan yang baru ku kenali. Sentimental sentiasa aku ni kan?

Aku tidak boleh lupa, Ija menjerit-jerit sewaktu ingin masuk ke dewan kerana anjing mahu menggeser di kakinya. Sewaktu mahu pulang ke bas, kami terserempak dengan penggembala lembu yang membawa seekor lembu yang besar. Takut juga kalau lembu tu kejar kami. Hehehe... Ah, sempat lagi tu singgah di kedai runcit. Tahu tak? Aku nak beli empat biji gula-gula kata penjual tu harganya tak ingatlah berapa sen. Tapi aku nak bagi 10 rupi. Terus pakcik tu bagi aku gula-gula free. Eh, kat kedai runcit ni ada jual barangan kulit. Aku pun tak tahu. Mr. Devan yang bagi tahu itupun setelah kami pulang. Oh, bawang dan ubi kentang pula dilambakkan di atas simen begitu sahaja tanpa bekas dan alas. Sedikit peliklah bagi aku. Kalau kat Malaysia kan mesti ada bekas paling tidakpun alas.

Kami meninggalkan IISE menuju ke Pantai Kovolum yang tidak jauh dari IISE. Terdapat beberapa kedai menjual cenderahati sepanjang jalan sebelum sampai di tepi pantai. Dapatlah aku dua keping magnet peti ais. Satu jenis bulat gambar Taj Mahal dan satu berbentuk sudu gambar pemandangan laut. Kami menyusuri jalan menurun bukit dan terus ke tepi pantai. Kami tidak dibenarkan menjejaki gigi air kerana ombak di pantai ini terlalu tinggi. Tiada seorangpun pengunjung yang mandi-manda di pantai ini seperti di pantai-pantai di Malaysia. Para pengunjung kebanyakannya melihat keindahan laut dengan berdiri di atas batu yang menganjur ke dalam laut. Tidak lama masa yang kami ambil di pantai ini. Setelah merakamkan beberapa keping gambar, kami kembali ke bas untuk ke kedai makan.

Kami dibawa ke restoran mewah. Kebanyakan daripada kami memesan nasi beriani. Sayangnya, nasi beriani telah habis. Sudahnya, kami makan nasi goreng. Ala... Nasi goreng yang digoreng bersama ayam dan telur sedikit tawar dan membantutkan seleraku. Ha... Nasib baik ada penyelamat rasa. Ayam Masala. Ayam Masala ni boleh tahanlah sedap. Oh ya, satu lagi budaya orang India adalah tips. Mereka sering diberi tips seperti pelayan restoran yang kami makan juga diberi tips. Keadaan ini berbeza dengan Malaysia yang kurang menitikberatkan tentang tips.

Setelah makan, lebih kurang pukul 4.00 petang, kami ke Istana Kuthiramalika dan Napier Musium. Menurut Mr. Trevor, istana ini kepunyaan sebuah kerajaan yang paling kaya di India. Kebanyakan harta, emas dan berlian keturunan raja ini disimpan di kuil berdekatan. Aku sedikit sesal kerana tidak memasuki istana tersebut. Semuanya gara-gara salah faham dengan pengumuman yang disampaikan Mr. Trevor. Muslim tidak dibenarkan masuk. Rupa-rupanya tidak dibenarkan masuk dalam kuil sahaja. Menurut rakan yang berkesempatan masuk ke istana itu, istana tersebut mempunyai 80 pintu jika tidak silap. Mereka melihat artifek-artifek sejarah seperti pedang, pakaian dan lain-lain. Terdapat juga bilik-bilik yang tidak dibenarkan masuk. Uniknya, keturunan pemerintah itu masih wujud sehingga hari ini dan ada yang di antara mereka yang tinggal di kawasan berdekatan istana.

Ke mana aku? Tentunya aku ke kedai, shopping. Tapi aku beli sehelai kain pasang untuk dibuat baju punjabi. Lebih kurang jam 6.00 petang, kami pulang ke hotel.

Satu masalah tibul apabila kami ingin makan malam. Pihak hotel hanya menyediakan buffet vegetarion. Para pelanggan dibenarkan untuk memesan menu lain walau bagaimanapun, untuk memesan menu lain, para pelanggan perlu membayar harga buffet bernilai 250 rupi. Tak naklah. Membazir. Kalau order benda lain, tambah lagi. Aku banyak lagi benda nak beli. Aku, Ija, Syed, Suhaimi dan Ali mengambil keputusan untuk naik semula ke bilik. Kami memikirkan bagaimana cara untuk memesan makanan dengan harga yang murah. Yes!!! Room Service. Wah... Berjalan juga otak si Syed ni. Masalah lagi apabila orang yang menyambut panggilan kami tidak tahu berbahasa Inggeris. Seorang pelayan datang untuk mengambil pesanan. Bila ditanya tentang ayam halal, dia jawab, "not available". Ish, macam mana ni? Suhaimi dengan bijaknya bertanyakan tentang ikan halal atau tidak. "not available" juga jawabnya. Sah! Memang dia tak faham soalan kami. Kami meminta masa untuk membuat pesanan. Tidak lama kemudian, seorang pelayan lagi datang ke bilik Suhaimi tempat di mana kami berkumpul untuk makan. Bagus, fahampun Bahasa Inggeris. Menurut Syed, ketika pelayan tersebut menghantar makanan dan kami membuat bayaran, pelayan itu kelihatan hampa apabila tiada tips untuknya. Kesian dia. Mesti dia perlukan duit untuk menyara keluarganyakan? Aku benar-benar lupa akan budaya tips di India. Aku berharap agar pelayan yang sama datang lagi untuk mengambil pinggan kami. Harapanku diperkenankan oleh Allah. Pelayan yang sama datang untuk mengambil bekas makan kami. Masalahnya, tiada wang rupi yang kecil untuk diberikan. Takkan nak bagi 500 rupi kot? Akupun tak tahu duit aku ni cukup atau tidak. Ah, bagi jelah duit ringgit. Kata Syed, pelayan tersebut gembira sangat apabila menerima tips yang diberikan. Ya Allah, kalau dia bukan Islam, bukakan hatinya untuk mengenaliMu. Kalau dia muslim, kau permudahkanlah urusan hidupnya.

Bersambung.

No comments: