Semalam, ketika aku, Kak Milah dan Hadisah berehat-rehat di sofa tempat penyambut tamu, dua orang perempuan dan beberapa orang kanak-kanak masuk. Seorang daripadanya bertanya tentang program pemulihan.
Seorang daripadanya pula membawa seorang kanak-kanak berusia dua tahun. Menurutnya, anaknya itu Cacat Penglihatan sejak lahir disebabkan glukoma. Sebelah matanya telah dibuang oleh doktor kerana jangkitan kuman. Sebelah lagi iaitu sebelah kiri anak matanya telah terkeluar dari tempat asalnya.
Ibunya cuba untuk mendapatkan latihan pemulihan seperti yang disarankan oleh doktor dari ISEC Klinik. Kata ibunya, kanak-kanak itu boleh berjalan tapi dia tiada keyakinan dan takut untuk berjalan. Mungkin kerana dia tidak dapat melihat. Aku ingin mendekati dan melatih kanak-kanak itu tapi apa boleh buat, itu bukan tugasku. Pastinya orang yang lebih berhak akan menjalankan tugas itu. Semoga tugas dijalankan dengan baik.
Ya Allah, kasihan kanak-kanak ini. Kau berikanlah kekuatan dan ketabahan buatnya untuk menempuh hidup di BumiMu ini. Amin...
Sayang, kanak-kanak yang cantik seperti peranakan, hidungnya terletak tapi diuji Allah dengan kesakitan begini. Apalah dosanya? Dan apalah yang dia tahu hanya menangis dan menangis. Kasihan dia. Moga ibu, bapa dan keluarga dapat menjalani ujian ini dengan tenang dan sabar. Mungkin bagi mereka ini satu tamparan hebat. Tapi ketahuilah, Allah telah menyediakan sesuatu yang Maha Indah buat kalian. Pastinya, Allah telah merencana sesuatu yang terbaik untuk kanak-kanak tersebut. Aku pasti! Tentu ada hikmahnya.
No comments:
Post a Comment