Hampir pukul 7.00 malam. Setelah makan di Cengkih bersama Ali, aku terus pulang ke rumah. Aku membuka mangga pintu. Ketat dan susah untuk dibuka. Tidak seperti selalu. Mungkin kerana hari kerap hujan. Aku mencuba lagi. Kunci tidak dapat masuk ke tempat sepatutnya. Tanpa putus ada, aku mencuba lagi. Ya, kunci masuk tapi tak dapat dipusingkan. Kenapa pulak ni? Takkan aku nak duduk kat luar sampai Ija balik malam nanti? Aku menyentap mangga. Mangga terbuka. Aku cuba menguncinya semula, tak berjaya. Rupa-rupanya besi mangga sudah tidak dapat masuk ke tempat sepatutnya. Besi itu sememangnya susah bergerak kerana telah rosal. Sebaik sahaja mangga ku keluarkan, grill terus terbuka. Ya Allah, Ija ni, lupa nak kunci grilllah tu. Desis hatiku. Aku membuka pintu papan dan terus masuk ke rumah membuka lampu. Kemudian, pintu ku kunci kembali.
Seperti biasa, aku masuk ke bilik untuk menyimpan beg tangan. Pintu almari sedia terbuka. Eh, seingat aku, pagi tadi, aku tak bukapun pintu almari ni. Aku memeriksa purse di mana di dalamnya ku simpan duit sewa rumah. Ada. Betul-betul di tempat yang boleh dilihat tanpa perlu dicari. Aku ke katil untuk meletakkan beg tangan. Ya Allah, kenapa bantal-bantal dan kain selimutku telah berkecah? Ija cari apa? Kalau yapun cari barang untuk dipinjam, bagitahulah. Tapi takkanlah, selalunya kalau dia inginkan apa-apa, pasti dia akan menelefonku. Bulu romaku mula tegak berdiri. Hati berdebar-debar. Aku lantas ke ruang tamu mendapatkan telefon rumah dan terus menghubungi Ija. Aku bertanyakan hal tersebut kepada Ija. Ija menafikan itu semua perbuatannya. Aku risau. Talian ku matikan. Aku bergegas ke bilik semual. wayar laptop kesayanganku telah tiada. Aku cepat-cepat memeriksa tempat laptop disimpan. Almari kecil itu telah terbuka. Ada beberapa barang telah jatuh ke lantai. Malah, almari itu sudah berubah dari kedudukan asalnya. Masya-Allah!!! Laptopku telah hilang. Aku tergamam.
Lantas, ku hubungi Ija sekali lagi memberitahu apa yang berlaku. Ija terus mematikan talian dan bergegas pulang. Ali pulaku hubungi. Ali juga bergegas datang untuk membantuku memeriksa rumah. Kata Ali, tiada kesan tapak kaki tapi mungkin pintu dibuka menggunakan kad. Menurut Haida yang ku hubungi di kampung, pintu itu memang senang dibuka sebab dia pernah tertinggal kunci di dalam dan seorang kawan membantu membuka pintu menggunakan kad. Amat mudah. Anehnya, duit syiling di dalam botol di atas kabinet TV tidak terusik. Begitu juga dengan duit syiling di dalam botol di dalam almari barang. Tapi, seutas rantai tangan emas pemberian nenekku 19 tahun lalu yang ku simpan dalam musical box tiada. Walau bagaimanapun, aku tidak dapat mengesahkan kehilangan rantai tangan tersebut kerana aku ingat-ingat lupa tempatku letakkan rantai tangan tersebut. Syukur alhamdulillah cincin berlian hadiah perkahwinan mamaku tidak hilang. Alhamdulillah masih ada lagi barang kemas yang ku pakai. Kalau betul rantai tangan itu hilang, ini adalah kali kedua barang kemasku hilang setelah cincin hadiah mama sewaktu hari lahirku ke-16. Laci almari tempat aku menyimpan barang-barang kecil juga diselongkar. Kalau dah rezeki, cincin mama yang ku simpan berdekatan masih ada. Begitu juga dengan seutas rantai tangan emas milik Ija yang dia minta aku simpankan. Syukur padaMu Tuhan. Duitku juga masih ada. Peliknya, duit dalam purse yang kalau buka almari boleh dilihat itu tidak hilang. Mungkinkah kerana kehebatan Surah Yasin yang sering diperkatakan? Mungkin Allah menunjukkan kebesaranNya kerana di situ juga aku letakkan buku Surah Yasin meskipun buku tersebut tersembunyi. Tapi External CD Rom yang ku letakkan di bawah katil juga hilang hanya speaker sahaja yang tinggal.
Nampaknya, rumah aku ni bukanlah tempat yang selamat untukku simpan semua barang berharga. Cukup Tinta. Di rumah bukan tempat yang selamat. Jangan simpan barang berharga di rumah ini lagi.
Ya Allah, ini adalah musibah besar kedua yang ku alami untuk tahun ini selepas kehilangan Nokia N95 kesayanganku Jun lalu. Kalau laptop itu nilainya lebih kurang nilai Nokia yang hilang lepas, tidaklah aku begitu ralat. Harganya amat berbeza malah, laptop tersebut pemberian Abahku walaupun ada sedikit tambahan wangku. Laptop itu special edition. Tambahan lagi, ia banyak menyimpan kenangan. Ya Allah, Kau berilah petunjukMu kepada mereka yang mengambil semua barangan kesayanganku ini agar dia insaf dan tidak menyusahkan hidup orang. Tolonglah Tuhan. Aku percaya akan hikmah yang Kau janjikan pada setiap musibah yang berlaku. Meskipun aku berduka atas musibah ini, Kau tabahkanlah hatiku untuk menerima ujianMu dengan sabar dan redha agar aku tidak terpesong dari jalanMu. Semoga musibah ini adalah satu peringatanMu buatku. Semoga musibah ini akan menambahkan cintaku terhadapMu bukan menjauhkan aku dariMu.
Aku rasa sunyi atas kehilangan laptop tersebut. Bayangkan, hampir setiap hari, bila aku terjaga dari tidur, sebelum mandi aku pasti mengaktifkan laptop. Bila balik kerjapun, aku pasti bersamanya hingga ke malam. Kadang-kadang, aku tertidur dengan memangkunya. Meskipun aku lena hingga ke pagi, tak pernah sekali dia jatuh keranaku. Kadang-kadang, laptop di hujung kakiku atau di sebelah badanku bila aku tertidur. Tapi dia tetap setia di tempatnya menemani aku tidur tanpa jatuh. Hinggakan Ija juga terngiang-ngiang akan bunyinya. Apatah lagi aku yang sering bersamanya jika ada sedikit ruang waktu. Ferrari! Di mana kau? Ke manakah engkau dibawa? Bagaimana mereka menjagamu? Siapakah yang membawamu? Jika dia mampu melawan, aku pasti, dia akan melawan dan tidak akan meninggalkan aku. Pastinya dia setia menanti aku pulang dari pejabat. Sebenarnya, bila aku pulang semalampun, dari pejabat lagi aku telah bercadang untuk bersama Ferrariku. Ya Allah, jika ada ehsanMu, kembalikanlah dia padaku kerana aku yakin, tiada yang mustahil bagiMu Ya Allah. Lantas, hambaMu yang hina ini memohon hanya padaMu.
No comments:
Post a Comment