SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA

Saturday, December 31, 2011

Imbasan suka-duka 2011

Januari:
- Aku telah tahu bahawa temudugaku di SBM KIV. Maksudnya? Mereka mencari calon yang pandai berbahasa Inggeris. Oleh itu, aku dijadikan calon simpanan. Sebab itu temuduga diadakan sebanyak tiga kali dan aku menghadiri temuduga pertama. Sedih rasanya, seolah-olah, aku diperkotak-katikkan. Kebolehan aku dipandang rendah. Ada kawan menyampaikan, dalam temuduga tersebut Inggerisku boleh diberi lapan markah daripada 10 markah. Apa-apalah, mereka bukan cikgu mahirpun yang nak menilai Bahasa Inggeris aku. Tapi betulkah? Macam tak percaya je, atau mungkin kenyataan itu sekadar untuk menyedapkan hati. Khabar angin menyampaikan, aku ditolak sebab mahu mencari calon penglihatan terang. Whatever, rezeki Allah ada di mana-mana. Aku akan buktikan kebolehan aku pada mereka. Jangan kerana aku diam dalam mesyuarat, aku tak banyak cakap dengan orang-orang besar aku ini lemah, tak tahu apa-apa, tak tahu mentadbir. I'm so sorry, that's not my type. Aku bukan jenis orang yang nak membodek-bodek, nak berlakon tahu serba-serbi tapi tak tahu apa-apa. Biar kita jadi ubi, diam-diam berisi bukan tin kosong, bising tapi tak ada apa-apa. Kenapa aku diam? Sebab dalam hal-hal yang serius, aku bercakap pada tempatnya. Bercakap bila perlu. Lagipun, mereka tak kenal aku siapa. Tak tahu aku sebenarnya banyak cakap dan peramah. Cara dia orang yang tak boleh membuatkan aku jadi peramah dengan mereka. Jangan ingat aku sentiasa bertutur dalam Bahasa Melayu maknanya aku bodoh Inggeris. Dan, satu yang perlu diingat, aku diam kerana aku menghormati mereka sebagai ketua. Tapi tepat pada masanya, aku akan bercakap. Jangan terperanjat bila aku lantang bersuara menyatakan pendapat dan pendirianku. Aku akan bertegas sekiranya perlu tak kira dengan siapapun aku berhadapan. Tapi aku akan berfikir terlebih dahulu sebab tu aku diam. Aku lebih suka memerhati dan sampai pada masa yang patut, aku akan bersuara.
- Satu keputusan yang amat menyakitkan telahku buat. Bukan sengaja mahu menghampa atau melukakan orang, tapi aku perlu memulangkan dia pada yang berhak meskipun, aku terlebih dahulu memilikinya. Walaupun dia dan beberapa orang dari pihaknya telah melukakan hatiku, namun aku nekad seperti nasihat Ustaz Mohd Nor pensyarah UiTM melalui perbualan di Yahoo Messenger, biarlah mereka menyakiti Tinta dan bertindak kejam terhadap Tinta. Tapi jangan sesekali Tinta membalasnya dengan turut sama berlaku zalim seperti mereka. Kepada dia, jutaan kemaafan ku pohonkan sejak awal perkenalan kerana titik noktahnya telah kau letakkan. Aku hanya mengikut jalan yang telah kau petakan. Jangan pernah kau cuba untuk memutar fakta menyalahkan aku. Kerana itu pilihanmu dan itu jua yang memaksaku mengambil keputusan ini. Demi kebaikan semua pihak, aku rela beralah. Biarlah aku terluka kerana masa akan merawatnya. Pada Pencipta, aku sandarkan harapan dan cintaku. Aku pasrah.

Februari:
- Aku dikhabarkan bahawa temudugaku dengan MAB berjaya. Alhamdulillah. Cuma tunggu masa untuk dipanggil bertugas. Syukur padaMu Ya Allah. Benarlah janjiNya, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Dia tahu apa yang terbaik buatku. Terima kasih, Tuhan. Mungkin inilah hikmah dari kegagalanku dalam temuduga di SBM.

Mac:
- Berita tentang kemasukan setiausaha eksekutif baru diterima. Aku tiada masalah untuk berkawan dengannya meskipun ku tahu, aku gagal dalam temuduga dan pihak organisasi memilih dia. Aku kurang senang bila ada yang mengatakan aku kecewa kerana gagal menyandang jawatan tersebut. Tidak! Aku tidak kecewa atau marah, sebab aku tahu, ada pihak lain yang lebih menghargai aku. Ada pihak lain yang lebih nampak akan kebolehan dan kelebihan aku. Tidak seperti di sini, kebolehanku sering dipertikai. Sejak 6 November, 2010 bila aku dipanggil untuk menghadiri temuduga yang diadakan oleh MAB meskipun aku tidak memohon, aku bersyukur dan gembira kerana mereka menghargai kebolehanku. Dari November lagi, aku telah diberitahu bahawa aku akan ditawarkan untuk menyandang jawatan "public relations". Satu jawatan yang ku minat. Pastinya, mereka percaya bahawa aku boleh berkomunikasi dalam kedua-dua bahasa iaitu Melayu dan Inggeris malah, aku sering diberi semangat untuk lebih mempersiapkan diri. Kadang-kadang, aku bertanya juga macam mana kalau Inggerisku kurang baik? Tahu apa jawapan mereka? Belajar dan mereka yakin aku boleh. Jika perlu masuk kelas Bahasa Inggeris. Alhamdulillah, sampai begitu mereka menerima seadanya aku. kekurangan dalam Inggeris bukan alasan untuk menolak aku. Syukur, Tuhan.
- 18 Mac, unit aku bertugas berjaya mengadakan Makan Malam Amal untuk mengumpul dana bagi Tabung Pembangunan Usahawan.

Jun:
- Setiausaha Eksekutif baru melaporkan diri. Bermakna, aku dapat bos baru di pejabat.
- Telefon bimbitku hilang sewaktu membeli-belah di Jaya Jusco, Wangsa Maju (J Card Day). Sudah ketentuan Allah, aku terima dengan redha.

Julai:
- Menyertai Ekspedisi Mendaki Gunung Bunga Buah, Genting Highlands, Pahang.
- Berlaku krisis yang membuatkan aku tak sabar berpindah tempat kerja.

Ogos:
- Ku terima surat tawaran dari MAB. Betul, jawatan yang ditawarkan "public relations"
- Aku turut dikhabarkan oleh Dr. Wong dan presiden bahawa jawatanku di TPU akan ditetapkan dan gaji akan dinaikkan (SBM bayar separuh, TPU bayar separuh). Aku sangat-sangat tidak setuju. Sebab aku rasa aku diperkotak-katikkan. Bukan tak bersyukur dengan kenaikan gaji dan tetap jawatan tapi, bayaran gaji separuh-separuh itu ada agenda lain. Wajarkah kalau aku tak masuk mesyuarat, tapi aku yang kena menyediakan minit mesyuarat??? Fikir logiklah! Jangan sebab aku tahu sesuatu maka suruh aku yang buat dengan menambahkan senarai tugas aku, sedangkan jawatan aku adalah eksekutif TPU lepas tu tambah kerja lain yang memang dah ada penjawatnya. Jangan kerana nak jaga individu tetentu jadikan aku sebagai mangsa! Sungguh tak adil!!! Mana perginya syarat kelayakan nak menjawat jawatan tertentu tu? Tiba-tiba je dah berubah? Tak jadi masalah! Kita sebagai majikan, kita kena tegas! Suruhlah dia belajar. Dah itu memang tugas dia. Tak payahlah nak berdolak-dalih dengan aku, gunakan kebolehan bercakap tu untuk mengaburi mata aku untuk menegakkan benang yang basah! Aku bukan budak-budak! Aku bukan bodoh!!! Bagilah alasan apapun, aku takkan terima! Salah tetap salah!!! Kalau tak tegas, macam mana nak maju??? Senang dikotak-katikkan! Hal kecil macam ni pun tak boleh nak selesaikan!
- Aku menghantar surat perletakan jawatan.
- 17 Ogos, aku mula menghabiskan cuti yang masih tinggal sebelum berhenti.
- 31 Ogos, aku telah menamatkan perkhidmatan di tempat lama.

September:
- 5 September, aku melapor diri di tempat kerja baru. Bekerja di bawah Mr. Ramdas dengan Catherin kerani department aku.
- Hari kedua, aku mula didedahkan dengan meeting yang melibatkan wakil council dan jawatankuasa program yang dirangka.
- Mula didedahkan dengan pelawat.
- Pendek kata, kerja baruku telah bermula.

Oktober:
- Sibuk membuat persiapan untuk Lawatan Ke India, Cabaran Mendaki Menara Kuala Lumpur dan Makan Malam Amal Sempena ulang tahun ke-60 MAB.
- Tak dilupakan, aku menyambut hari ulang tahun kelahirku pada 16 Oktober. Tahun depan korang kena bagi hadiah tau :)
- Diberi kepercayaan untuk mengacarakan Pertandingan Bakat SBM Peringkat Kebangsaan di Down Town Cheras (aku ingat lupa betul ke Oktober?). Aku bergandingan bersama Ali.

November:
- Berlangsungnya Cabaran Mendaki Menara Kuala Lumpur pada 12 November, 2011.
- Terbang ke India pada 26 November selama lima hari empat malam dan pulang pada 30 November.

Disember:
- Aku ditetapkan pada 1 Disember, 2011
- Aku menerima khabar tentang tangga gajiku pada tahun hadapan. Alhamdulillah, syukur padaNya yang memberi rahmat.
- 13 Disember, berlangsungnya Makan Malam Amal Ulang Tahun ke-60 MAB.
- 29 Disember, rumah dipecah orang. Kehilangan laptop dan rantai tangan emas. Anggaran kerugian RM6,500.00. Acer Ferrari kesayangan dah hilang. Aku sedih sangat.

Begitulah rentetan suka-duka yang berlaku dalam hidupku dalam tahun 2011.

Selamat Tinggal 2011

2011,
Kau banyak mengajar aku tentang kehidupan,
Banyak membawa suka duka dalam kehidupanku,
Dari helaian hari-harimu, ku temui pelbagai peristiwa,
Dari dasarmu, ku kutip segala pengalaman,
Di tengah belantaramu, ku himpun ribuan pengajaran,
Dari masa-masa yang terlewati, ku peroleh sempadan dan teladan,
Dalam arca indahmu, ku simpan segala kenangan
Untuk tatapan hari muka.

2011,
Hari ini,
Datanglah janji Allah untuk membawa kau pergi.
Berangkatlah kau ke sana kerana kau telah sarat dibebani susur-galur peristiwa insani.
Di sini kita berpisah dan tak mungkin kita akan bertemu lagi kerana waktu berputar laju dan mustahil untuk ia berputar ke belakang.
Terima kasih 2011 atas hidangan peristiwa dan pengajaran yang menjadi bekal kedewasaanku.
Lepaslah genggaman tanganku.
Berikan pada 2012 untuk menggenggamnya erat selagi nafas masih mendesah.
Biar dia menjadi guruku yang seterusnya.

Selamat jalan 2011. Kau tetap dalam kenangan.

Friday, December 30, 2011

Dia Pergi Meninggalkanku

Hampir pukul 7.00 malam. Setelah makan di Cengkih bersama Ali, aku terus pulang ke rumah. Aku membuka mangga pintu. Ketat dan susah untuk dibuka. Tidak seperti selalu. Mungkin kerana hari kerap hujan. Aku mencuba lagi. Kunci tidak dapat masuk ke tempat sepatutnya. Tanpa putus ada, aku mencuba lagi. Ya, kunci masuk tapi tak dapat dipusingkan. Kenapa pulak ni? Takkan aku nak duduk kat luar sampai Ija balik malam nanti? Aku menyentap mangga. Mangga terbuka. Aku cuba menguncinya semula, tak berjaya. Rupa-rupanya besi mangga sudah tidak dapat masuk ke tempat sepatutnya. Besi itu sememangnya susah bergerak kerana telah rosal. Sebaik sahaja mangga ku keluarkan, grill terus terbuka. Ya Allah, Ija ni, lupa nak kunci grilllah tu. Desis hatiku. Aku membuka pintu papan dan terus masuk ke rumah membuka lampu. Kemudian, pintu ku kunci kembali.

Seperti biasa, aku masuk ke bilik untuk menyimpan beg tangan. Pintu almari sedia terbuka. Eh, seingat aku, pagi tadi, aku tak bukapun pintu almari ni. Aku memeriksa purse di mana di dalamnya ku simpan duit sewa rumah. Ada. Betul-betul di tempat yang boleh dilihat tanpa perlu dicari. Aku ke katil untuk meletakkan beg tangan. Ya Allah, kenapa bantal-bantal dan kain selimutku telah berkecah? Ija cari apa? Kalau yapun cari barang untuk dipinjam, bagitahulah. Tapi takkanlah, selalunya kalau dia inginkan apa-apa, pasti dia akan menelefonku. Bulu romaku mula tegak berdiri. Hati berdebar-debar. Aku lantas ke ruang tamu mendapatkan telefon rumah dan terus menghubungi Ija. Aku bertanyakan hal tersebut kepada Ija. Ija menafikan itu semua perbuatannya. Aku risau. Talian ku matikan. Aku bergegas ke bilik semual. wayar laptop kesayanganku telah tiada. Aku cepat-cepat memeriksa tempat laptop disimpan. Almari kecil itu telah terbuka. Ada beberapa barang telah jatuh ke lantai. Malah, almari itu sudah berubah dari kedudukan asalnya. Masya-Allah!!! Laptopku telah hilang. Aku tergamam.

Lantas, ku hubungi Ija sekali lagi memberitahu apa yang berlaku. Ija terus mematikan talian dan bergegas pulang. Ali pulaku hubungi. Ali juga bergegas datang untuk membantuku memeriksa rumah. Kata Ali, tiada kesan tapak kaki tapi mungkin pintu dibuka menggunakan kad. Menurut Haida yang ku hubungi di kampung, pintu itu memang senang dibuka sebab dia pernah tertinggal kunci di dalam dan seorang kawan membantu membuka pintu menggunakan kad. Amat mudah. Anehnya, duit syiling di dalam botol di atas kabinet TV tidak terusik. Begitu juga dengan duit syiling di dalam botol di dalam almari barang. Tapi, seutas rantai tangan emas pemberian nenekku 19 tahun lalu yang ku simpan dalam musical box tiada. Walau bagaimanapun, aku tidak dapat mengesahkan kehilangan rantai tangan tersebut kerana aku ingat-ingat lupa tempatku letakkan rantai tangan tersebut. Syukur alhamdulillah cincin berlian hadiah perkahwinan mamaku tidak hilang. Alhamdulillah masih ada lagi barang kemas yang ku pakai. Kalau betul rantai tangan itu hilang, ini adalah kali kedua barang kemasku hilang setelah cincin hadiah mama sewaktu hari lahirku ke-16. Laci almari tempat aku menyimpan barang-barang kecil juga diselongkar. Kalau dah rezeki, cincin mama yang ku simpan berdekatan masih ada. Begitu juga dengan seutas rantai tangan emas milik Ija yang dia minta aku simpankan. Syukur padaMu Tuhan. Duitku juga masih ada. Peliknya, duit dalam purse yang kalau buka almari boleh dilihat itu tidak hilang. Mungkinkah kerana kehebatan Surah Yasin yang sering diperkatakan? Mungkin Allah menunjukkan kebesaranNya kerana di situ juga aku letakkan buku Surah Yasin meskipun buku tersebut tersembunyi. Tapi External CD Rom yang ku letakkan di bawah katil juga hilang hanya speaker sahaja yang tinggal.

Nampaknya, rumah aku ni bukanlah tempat yang selamat untukku simpan semua barang berharga. Cukup Tinta. Di rumah bukan tempat yang selamat. Jangan simpan barang berharga di rumah ini lagi.

Ya Allah, ini adalah musibah besar kedua yang ku alami untuk tahun ini selepas kehilangan Nokia N95 kesayanganku Jun lalu. Kalau laptop itu nilainya lebih kurang nilai Nokia yang hilang lepas, tidaklah aku begitu ralat. Harganya amat berbeza malah, laptop tersebut pemberian Abahku walaupun ada sedikit tambahan wangku. Laptop itu special edition. Tambahan lagi, ia banyak menyimpan kenangan. Ya Allah, Kau berilah petunjukMu kepada mereka yang mengambil semua barangan kesayanganku ini agar dia insaf dan tidak menyusahkan hidup orang. Tolonglah Tuhan. Aku percaya akan hikmah yang Kau janjikan pada setiap musibah yang berlaku. Meskipun aku berduka atas musibah ini, Kau tabahkanlah hatiku untuk menerima ujianMu dengan sabar dan redha agar aku tidak terpesong dari jalanMu. Semoga musibah ini adalah satu peringatanMu buatku. Semoga musibah ini akan menambahkan cintaku terhadapMu bukan menjauhkan aku dariMu.

Aku rasa sunyi atas kehilangan laptop tersebut. Bayangkan, hampir setiap hari, bila aku terjaga dari tidur, sebelum mandi aku pasti mengaktifkan laptop. Bila balik kerjapun, aku pasti bersamanya hingga ke malam. Kadang-kadang, aku tertidur dengan memangkunya. Meskipun aku lena hingga ke pagi, tak pernah sekali dia jatuh keranaku. Kadang-kadang, laptop di hujung kakiku atau di sebelah badanku bila aku tertidur. Tapi dia tetap setia di tempatnya menemani aku tidur tanpa jatuh. Hinggakan Ija juga terngiang-ngiang akan bunyinya. Apatah lagi aku yang sering bersamanya jika ada sedikit ruang waktu. Ferrari! Di mana kau? Ke manakah engkau dibawa? Bagaimana mereka menjagamu? Siapakah yang membawamu? Jika dia mampu melawan, aku pasti, dia akan melawan dan tidak akan meninggalkan aku. Pastinya dia setia menanti aku pulang dari pejabat. Sebenarnya, bila aku pulang semalampun, dari pejabat lagi aku telah bercadang untuk bersama Ferrariku. Ya Allah, jika ada ehsanMu, kembalikanlah dia padaku kerana aku yakin, tiada yang mustahil bagiMu Ya Allah. Lantas, hambaMu yang hina ini memohon hanya padaMu.

Wednesday, December 28, 2011

Syukur Pada Tuhan

Alhamdulillah, syukur padamu Ya Allah yang memberi rahmat. Minggu lepas aku diberi surat pengesahan jawatan dan hari ini, aku diberi surat pemberitahuan kajian semula gaji yang akan berkuatkuasa pada Januari ini dan kenaikan gajiku pada September tahun depan iaitu genap setahun aku mula bertugas di sini.

Terima kasih, Tuhan.

Monday, December 26, 2011

Angan-angan

Nak tahu tak satu tabiat aku? Di sebalik penampilan dan perwatakan aku yang korang tengok seharian ni, aku ada satu tabiat yang... Entahlah nak kata yang buruk ke tidak ek? Aku ni, suka berangan. Sama ada berangan tentang sesuatu yang rialiti ataupun memang angan-angan yang aku ciptakan untuk menghiburkan hati aku. Kebanyakan angan-angan aku ni, boleh bersambung macam novel atau dalam dunia skripnya, berepisod, boleh sambung-sambung jika ada masa terluang. Contohnya, sebelum tidur atau dalam LRT. Yelah, tak ada apa nak buatkan? Betul kata Haida, kalau berangan sambil tu terus tulis kan bagus, terus jadi novel. Hehehehe

Shopping, Shopping Dan Shopping

Semalam, seharian aku di Sogo dan Jalan TAR. Sogo, memang tempat shopping yang aku suka lebih-lebih lagi akhir tahun macam ni. Sebab apa? Sebab "end year sale" la. Tujuan utama aku nak beli kasut. Mula-mula tengok Bonia. La... Designnya tak menepati cita rasa aku sebab designnya lebih kepada orang dewasa tambah lagi aku yang cerewet pilih kasut ni. Lepas tu pergi Sembonia pulak. Ada yang aku berkenan, tapi tak ada warna pulak. Putih campur hijau, tak naklah! Aku nak cari kasut hitam. Pergi Carlorino pulak. La... Kasut dinner dah Carlorino, nak beli Carlorino lagi ke? Ah, janji aku selesa dan aku pakai. Ketepikan soal jenama. Cuba punya cuba, adalah dua pasang aku berkenan. Timbang, ukur, sukat, harga sama je. Nampaknya yang hitam atasnya bertali kelabu menjadi pilihan hati.

Lepas tu teman Muna nak beli handbag pulak. Muna pilih, akupun sibuk memilih. Eh, siapa nak beli handbag sebenarnya ni? Muna ke aku? Ah, kalau dah ada budget tu boleh je. Bonia, ah, kurenglah designnya dia. Aku ni kan cerewet. Nak yang banyak compactment la, nak ada poket luarlah, nak itulah, inilah. Dah semua jenama kami jelajah, Sembonia, Alain Delon, Guess dan banyak lagi. Tiba-tiba hati tertarik dengan sebuah handbag Polo. Dah elok tanya fasal beg tu dan sales man dah terangkan panjang lebar, aku ambil beg tu pergi tengok beg lain pulak. Dah sales man tu datang ingatkan aku jangan letak beg tu merata dan kalau nak beli, datang buka bil dan kalau tak nak, letak balik kat tempat dia. OK, OK. Yang bestnya, Muna pun sama macam aku, cerewet pilih beg. Dah lama pusing sampai Muna jumpa beg yang dia berkenan, baru keputusan aku muktamat, beli Beg Polo warna hitam tu. Hei, ni siapa teman siapa shopping ni? Muna ajak aku teman dia. Tapi nampak gaya, dia yang teman aku.

Lepas berhenti makan kat Pertama Complex, aku dengan Muna jalan-jalan. Aku dapat sehelai gaun untuk ke pejabat. Muna sibuk cari tudung Siria. Carilah Muna, aku tak suka tudung Siria. Sudahnya, aku beli sehelai selendang. Muna ajak aku ke Muaz. Kat sini dia borong tudung. Aku tengok juga Tudung Siti Nurhaliza. La... Tudungnya tak sama macam aku beli kat Masjid Jamek. Tak payahlah. Nanti membazir je. Aku tak pakai pun. Dekat pukul 8.00 baru aku sampai rumah. Keluar pukul 10.00 pagi lagi. Kalau dah perempuan kan?

Saturday, December 24, 2011

Kasihan Kanak-kanak ini...

Semalam, ketika aku, Kak Milah dan Hadisah berehat-rehat di sofa tempat penyambut tamu, dua orang perempuan dan beberapa orang kanak-kanak masuk. Seorang daripadanya bertanya tentang program pemulihan.

Seorang daripadanya pula membawa seorang kanak-kanak berusia dua tahun. Menurutnya, anaknya itu Cacat Penglihatan sejak lahir disebabkan glukoma. Sebelah matanya telah dibuang oleh doktor kerana jangkitan kuman. Sebelah lagi iaitu sebelah kiri anak matanya telah terkeluar dari tempat asalnya.

Ibunya cuba untuk mendapatkan latihan pemulihan seperti yang disarankan oleh doktor dari ISEC Klinik. Kata ibunya, kanak-kanak itu boleh berjalan tapi dia tiada keyakinan dan takut untuk berjalan. Mungkin kerana dia tidak dapat melihat. Aku ingin mendekati dan melatih kanak-kanak itu tapi apa boleh buat, itu bukan tugasku. Pastinya orang yang lebih berhak akan menjalankan tugas itu. Semoga tugas dijalankan dengan baik.

Ya Allah, kasihan kanak-kanak ini. Kau berikanlah kekuatan dan ketabahan buatnya untuk menempuh hidup di BumiMu ini. Amin...

Sayang, kanak-kanak yang cantik seperti peranakan, hidungnya terletak tapi diuji Allah dengan kesakitan begini. Apalah dosanya? Dan apalah yang dia tahu hanya menangis dan menangis. Kasihan dia. Moga ibu, bapa dan keluarga dapat menjalani ujian ini dengan tenang dan sabar. Mungkin bagi mereka ini satu tamparan hebat. Tapi ketahuilah, Allah telah menyediakan sesuatu yang Maha Indah buat kalian. Pastinya, Allah telah merencana sesuatu yang terbaik untuk kanak-kanak tersebut. Aku pasti! Tentu ada hikmahnya.

Cikgu Salmah

Rasa gembira sangat kerana dapat bercakap dengan cikgu yang aku sayang dan ku rindu, Cikgu Salmah. Cikgu yang telahku anggap seperti kakak sendiri. Setelah sekian lama terpisah, hari ni, aku dapat mendengar suaranya.

Cikgu Salmah masih di Muar. Mengajar juga di Muar, di High School Muar.

Cikgu, semoga ikatan ini berkekalan selamanya. Amin...

Thursday, December 22, 2011

Speaker Apple

Lepas kerja petang tadi, aku bergegas ke Loyad semata-mata nak beli speaker laptop. Pilih punya pilih, akhirnya, Speaker jenama Apple menjadi pilihan. Tak sangka boleh dapat dengan harga semurah ni lepas diskaun. Kenapa beria-ia sangat? Sebab aku nak improve Inggeris aku. Kalau ada speaker tu, bolehlah dengar siaran Inggeris walaupun tengah buat kerja. Aku usaha je. Semoga Allah memberkati usaha ini. Amin...

Monday, December 19, 2011

Bingkisan Dari Kerala, India (Bahagian 2)

Maaf, lambat sambung cerita ni. Kebelakangan ni sibuk sikit. Baiklah, kita terus ke cerita seterusnya.

Ahad, 27, November, 2011

Pagi itu, kami bersarapan di hotel. Pelbagai jenis makanan dihidangkan. Orang-orang India memang berpegang teguh pada akal tradisi mereka. Semua makanan dihidangkan adalah makanan tradisi mereka. Tiada langsung makanan barat kecuali roti plantar/jam dan jus apple dan mangga. Aku mengambil kesempatan ini untuk menikmati makanan yang lain dari kebiasaan itu. Sedap tak sedap. Tak tahu bila lagi aku akan ke mari. Jadi, masa nilah masa untuk aku mencuba. Aku minum beberapa teguk air jus. Alamak! Orang kata, kat India ni jangan minum air sejuk takut ceret-beret nanti. Kalau nak minum, minum air panas, terjamin sikit. Tapi... Memang menjadi kebiasaan aku mengambil air jus jika ada pada waktu sarapan. Ah, tawakal jelah. Aku menghabiskan air tersebut. Oh ya, satu lagi, air herba untuk menjaga kesihatan tekak juga disediakan. Unikkan? Di Malaysia, mana ada minuman tradisi begitu dihidangkan di hotel.

Setelah selesai bersarapan, sementara menunggu masa untuk bertolak ke destinasi seterusnya, aku dan rakan-rakan mengambil kesempatan untuk bergambar di sekitar hotel. Hotel kami terletak di tempat yang kelihatan tidak seperti bandar seperti lazimnya hotel-hotel di Malaysia. Tapi, kawasan sekitarnya sangat sibuk menjelang pagi. Usahkan kenderaan bertali-arus dengan bunyi hon malah, orang-orang yang lalu-lalang juga ramai tidak seperti di Malaysia. Anjing-anjing pula bebas begitu saja. Kami perhatikan bas mereka yang mempunyai pintu seperti pintu ais dan para penumpang perlu membuka pintu tersebut sebelum menaiki bas. Bas awam di sana tidak mempunyai tingkap. Sisi basnya terbuka begitu saja cuma ada batang besi yang menjadi penghalang. Sekiranya hujan, ia hanya ditutup menggunakan kain kamvas. Kadang-kadang, bas sudah berjalanpun masih ada yang menaiki bas. Ngeri betul. Ada satu kenderaan yang dipanggil oto. Oto adalah sebuah kenderaan lebih kurang seperti beca. Bezanya, Oto di bahagian belakangnya seperti kereta kancil yang tidak siap. Kenapa aku kata begitu? Tempat duduknya seperti kusyen kereta, kiri kanan terbuka dan berbumbung seperti beca. Pemandunya duduk di bahagian hadapan, di atas moto. Oto mempunyai enjin dan tiga roda. Sebuah oto boleh memuatkan dua orang penumpang.

Kami berangkat ke International Institute Social Entrepreneurs (IISE). Sewaktu dalam perjalanan, kami melalui jambatan yang usianya 200 tahun. Menurut Mr. Trevor, satu jambatan baru sedang dibina bagi menggantikan jambatan tersebut. Seperti biasalah, bas melalui jalan yang mencabar dan dihiburkan dengan bunyi hon sepanjang jalan.

Lebih kurang pukul 9.45 pagi kami tiba di (IISE). Bas berhenti di jalan besar. Laluan untuk ke IISE terlalu sempit untuk dimasuki bas. Jadi, kami harus berjalan kaki lebih kurang 1KM ke IISE dengan dipandu arah oleh seorang pekerja IISE. Kami melewati jalan seperti jalan kampung. Jalan yang sempit, kadangkala terpaksa melalui lecak kerana hujan yang baru berhenti dan ada tanda-tanda mahu turun lagi. Kiri kanan jalan adalah deretan rumah. Tak sangka pusat latihan dibina di kawasan begini. Apa yang kami perhatikan, lelaki-lelaki India yang bertembung di perjalanan dan juga di tempat-tempat lain memakai kain pelekat dan kain itu diikat naik ke atas iaitu ke pinggang bersama kemeja. Kanak-kanak pula bermain riang di sesetengah tempat. Ada juga orang yang berjalan kaki tanpa alas kaki. Ada lagi manusia begitu pada zaman moden ni ya?

Semerbak bau minyak Ayuvedig menusuk hidung kami setibanya kami di perkarangan IISE. Kedatangan kami disambut mesra oleh pekerja di sana yang terdiri daripada Orang Inggeris dan India. IISE ini diasaskan oleh Paul Cronimburg dan seorang rakannya yang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan. Kedua-dua mereka berasal dari Jerman. Projek di Kerala ini adalah kesinambungan dari projek Braille With Out Borders yang dijalankan di Tibet tidak lama dulu. Objektif pusat ini adalah untuk melahirkan orang-orang yang memperjuangkan nasib sesuatu golongan di sesuatu tempat atau negara. Lebih tepat lagi, projek ini bertujuan memantapkan individu yang telahpun memperjuangkan hak orang lain. Mereka yang terpilih untuk belajar di pusat ini adalah mereka yang hebat, mereka yang telah berjaya menyumbang kepada masyarakat. Kami ke IISE adalah untuk melihat cara program itu berjalan. Kebetulan, masa kami ke sana adalah hari pembentangan kisah dan impian hidup para pelatih. Di sinilah aku mengenali:

Alieu. Kalau tak silap, Alieu berasal dari Libia yang memperjuangkan nasib OKU Penglihatan di sana. Alieu sedang berusaha untuk menubuhkan pusat pengajian bagi OKU Penglihatan di sana. Hasratnya, dia mahu OKU Penglihatan mendapat pendidikan tinggi sepertimana masyarakat normal. Alieu juga seorang OKU Penglihatan.

Nosisa. Nosisa berasal dari Zimbobway. Dia menubuhkan pusat penjagaan bagi penghidap HIV.

Bayangkan, permohonan untuk masuk ke IISE dari serata dunia sedangkan IISE hanya memerlukan 20 pelatih pada setiap tahun. Pemohonnya pastilah hebat-hebat belaka. Antara pelajaran yang diajar di sini adalah, keusahawanan, pengurusan organisasi, sosial, pemasaran, akaun dan sebagainya.

Rekabentuk bangunan dan lanskapnya juga menarik. Bahagian belakang dewan yang kami menonton pembentangan tersebut terdapat sebuah tasik yang indah. Sayangnya, kami tidak berkesempatan untuk melawat seluruh kawasan IISE. Apapun, IISE tetap dalam kenangan. Terasa sayu hati ini tatkala mahu berpisah dengan rakan-rakan yang baru ku kenali. Sentimental sentiasa aku ni kan?

Aku tidak boleh lupa, Ija menjerit-jerit sewaktu ingin masuk ke dewan kerana anjing mahu menggeser di kakinya. Sewaktu mahu pulang ke bas, kami terserempak dengan penggembala lembu yang membawa seekor lembu yang besar. Takut juga kalau lembu tu kejar kami. Hehehe... Ah, sempat lagi tu singgah di kedai runcit. Tahu tak? Aku nak beli empat biji gula-gula kata penjual tu harganya tak ingatlah berapa sen. Tapi aku nak bagi 10 rupi. Terus pakcik tu bagi aku gula-gula free. Eh, kat kedai runcit ni ada jual barangan kulit. Aku pun tak tahu. Mr. Devan yang bagi tahu itupun setelah kami pulang. Oh, bawang dan ubi kentang pula dilambakkan di atas simen begitu sahaja tanpa bekas dan alas. Sedikit peliklah bagi aku. Kalau kat Malaysia kan mesti ada bekas paling tidakpun alas.

Kami meninggalkan IISE menuju ke Pantai Kovolum yang tidak jauh dari IISE. Terdapat beberapa kedai menjual cenderahati sepanjang jalan sebelum sampai di tepi pantai. Dapatlah aku dua keping magnet peti ais. Satu jenis bulat gambar Taj Mahal dan satu berbentuk sudu gambar pemandangan laut. Kami menyusuri jalan menurun bukit dan terus ke tepi pantai. Kami tidak dibenarkan menjejaki gigi air kerana ombak di pantai ini terlalu tinggi. Tiada seorangpun pengunjung yang mandi-manda di pantai ini seperti di pantai-pantai di Malaysia. Para pengunjung kebanyakannya melihat keindahan laut dengan berdiri di atas batu yang menganjur ke dalam laut. Tidak lama masa yang kami ambil di pantai ini. Setelah merakamkan beberapa keping gambar, kami kembali ke bas untuk ke kedai makan.

Kami dibawa ke restoran mewah. Kebanyakan daripada kami memesan nasi beriani. Sayangnya, nasi beriani telah habis. Sudahnya, kami makan nasi goreng. Ala... Nasi goreng yang digoreng bersama ayam dan telur sedikit tawar dan membantutkan seleraku. Ha... Nasib baik ada penyelamat rasa. Ayam Masala. Ayam Masala ni boleh tahanlah sedap. Oh ya, satu lagi budaya orang India adalah tips. Mereka sering diberi tips seperti pelayan restoran yang kami makan juga diberi tips. Keadaan ini berbeza dengan Malaysia yang kurang menitikberatkan tentang tips.

Setelah makan, lebih kurang pukul 4.00 petang, kami ke Istana Kuthiramalika dan Napier Musium. Menurut Mr. Trevor, istana ini kepunyaan sebuah kerajaan yang paling kaya di India. Kebanyakan harta, emas dan berlian keturunan raja ini disimpan di kuil berdekatan. Aku sedikit sesal kerana tidak memasuki istana tersebut. Semuanya gara-gara salah faham dengan pengumuman yang disampaikan Mr. Trevor. Muslim tidak dibenarkan masuk. Rupa-rupanya tidak dibenarkan masuk dalam kuil sahaja. Menurut rakan yang berkesempatan masuk ke istana itu, istana tersebut mempunyai 80 pintu jika tidak silap. Mereka melihat artifek-artifek sejarah seperti pedang, pakaian dan lain-lain. Terdapat juga bilik-bilik yang tidak dibenarkan masuk. Uniknya, keturunan pemerintah itu masih wujud sehingga hari ini dan ada yang di antara mereka yang tinggal di kawasan berdekatan istana.

Ke mana aku? Tentunya aku ke kedai, shopping. Tapi aku beli sehelai kain pasang untuk dibuat baju punjabi. Lebih kurang jam 6.00 petang, kami pulang ke hotel.

Satu masalah tibul apabila kami ingin makan malam. Pihak hotel hanya menyediakan buffet vegetarion. Para pelanggan dibenarkan untuk memesan menu lain walau bagaimanapun, untuk memesan menu lain, para pelanggan perlu membayar harga buffet bernilai 250 rupi. Tak naklah. Membazir. Kalau order benda lain, tambah lagi. Aku banyak lagi benda nak beli. Aku, Ija, Syed, Suhaimi dan Ali mengambil keputusan untuk naik semula ke bilik. Kami memikirkan bagaimana cara untuk memesan makanan dengan harga yang murah. Yes!!! Room Service. Wah... Berjalan juga otak si Syed ni. Masalah lagi apabila orang yang menyambut panggilan kami tidak tahu berbahasa Inggeris. Seorang pelayan datang untuk mengambil pesanan. Bila ditanya tentang ayam halal, dia jawab, "not available". Ish, macam mana ni? Suhaimi dengan bijaknya bertanyakan tentang ikan halal atau tidak. "not available" juga jawabnya. Sah! Memang dia tak faham soalan kami. Kami meminta masa untuk membuat pesanan. Tidak lama kemudian, seorang pelayan lagi datang ke bilik Suhaimi tempat di mana kami berkumpul untuk makan. Bagus, fahampun Bahasa Inggeris. Menurut Syed, ketika pelayan tersebut menghantar makanan dan kami membuat bayaran, pelayan itu kelihatan hampa apabila tiada tips untuknya. Kesian dia. Mesti dia perlukan duit untuk menyara keluarganyakan? Aku benar-benar lupa akan budaya tips di India. Aku berharap agar pelayan yang sama datang lagi untuk mengambil pinggan kami. Harapanku diperkenankan oleh Allah. Pelayan yang sama datang untuk mengambil bekas makan kami. Masalahnya, tiada wang rupi yang kecil untuk diberikan. Takkan nak bagi 500 rupi kot? Akupun tak tahu duit aku ni cukup atau tidak. Ah, bagi jelah duit ringgit. Kata Syed, pelayan tersebut gembira sangat apabila menerima tips yang diberikan. Ya Allah, kalau dia bukan Islam, bukakan hatinya untuk mengenaliMu. Kalau dia muslim, kau permudahkanlah urusan hidupnya.

Bersambung.

Sunday, December 4, 2011

Bingkisan Dari Kerala, India (Bahagian 1)

Sabtu, 26 November, 2011

Seawal pukul 10.00 pagi, aku dan Ija keluar dari rumah untuk berkumpul di MAB jam 11.30 pagi. Alhamdulillah, tatkala kami keluar rumah, sebuah teksi melintasi rumah kami. Tanpa berlengah, kami menaiki teksi tersebut.

Setelah mengisi perut yang kosong, aku dan Ija bergegas ke MAB di mana bagasi kami tinggalkan sebelum keluar makan. Semua peserta Lawatan India anjuran Kelab Belia, MAB telah berkumpul. Tanda nama dan riben dilekatkan pada bagasi bagi memudahkan urusan mengambil bagasi dari kargo.

12.00 Tengahari,
Kami bertolak ke LCCT dengan menaiki bas. Ada sebahagian peserta yang pergi dengan kenderaan sendiri. Lebih kurang 1.00 tengahari, kami sampai di LCCT dan terus melakukan urusan daftar masuk penerbangan dan sebagainya. Aku sangat teruja. Bagaimanalah agaknya negara orang ya? Mr. Devan (wakil travel agen) sebelum ini telah berpesan agar tidak terlalu mengharapkan perkara-perkara yang fantastik kerana Negara India berbeza dengan negara kita. Ada juga Kaum India yang pernah ke sana memberi gambaran buruk tentang negara Mahatma Gandi tersebut. Aku tertanya-tanya, kalau Kaum India sendiri memberi gambaran kurang enak tentang negara asal-usul mereka, macam manalah agaknya ya? Pratus kebenarannya agak tinggi. Takkanlah mereka mahu memburuk-burukkan negara asal mereka? Namun bagi aku, cerita yang disampaikan menampakkan betapa buruknya imej India. Tapi, aku bukanlah orang yang cepat terpengaruh dengan khabar-khabar angin. Aku tidak sabar ke sana kerana ingin melihat sendiri sejauh mana kebenaran cerita yang disampaikan. Aku berat mengatakan bahawa hal itu tidak benar. Walau bagaimanapun, aku harus ke sana untuk membuktikan hal itu. Menurut kata En. Fairuz pula, Kerala didiami oleh para cerdik pandai India. Kebanyakan penghuninya terdiri dari mereka yang berpelajaran tinggi. Katanya lagi, Kadar buta huruf dan peminta sedekah terlalu minimum di Kerala dan kebanyakan mereka tahu bertutur dalam Bahasa Inggeris. Menurutnya, 90 pratus penduduk Kerala pandai berbahasa Inggeris. Betulkah? En. Fairuz juga memberitahuku, Kerala merupakan negeri terbersih di India. Isteri En. Fairuz, Kak Sah pula mengatakan, Warga emas di sana kebanyakannya membaca akhbar berbahasa Inggeris dan Trivandrum merupakan kawasan elite. Sungguh menakjubkan. Hal ini amat kontra dengan khabar angin yang mengatakan, India negara miskin, berhati-hati jika makan dan minum di sana kerana risiko ceret-beret dan muntah-muntah adalah tinggi, India negara kotor, hotel di India kotor dan buruk, bau kurang menyenangkan sering kali menjadi bahan hidu sewaktu di India seawal keluar lapangan terbang, makanan di India tak sedap dan macam-macam lagi. Teruk sangatkah India? Oh cepatlah, Tuhan! Aku tak sabar untuk mengutip pengalaman dari negara yang budayanya banyak tersadur ke dalam budaya bangsaku. Ada juga rakan-rakan yang tak begitu teruja untuk ke India kerana khabar angin yang didengar. Ah, pedulikan! Aku ke sana bukan untuk bersuka-suka semata-mata tapi aku ingin mempelajari sesuatu dari negara orang. Sebagai langkah berhati-hati, para peserta dinasihatkan untuk membawa bekalan ubat secukupnya, hotel penginapan ditempah dari jenis yang baik meskipun mahal bagi mengelakkan kesukaran kerana kami difahamkan India sering mengalami masalah keputusan air dan jika kita perlukan air kita harus membayar RM5.00 untuk sebaldi air. Bekalan elektrik pula dengarnya sering dicatu. Maknanya, Penyewa hotel tidak dibenarkan menggunakan streka dan untuk mengelakkan keingkaran, bekalan elektrik akan ditutup sekiranya streka digunakan. Jika mahu menggosok baju, baju akan dihantar gosok di luar dan dua jam belum tentu kita dapat memakai baju itu. Ish, macam mana ni? Bekalan air mineral juga disediakan oleh travel agen kerana minum air botol adalah lebih baik di India untuk mengelakkan ceret-beret.

3.35 petang merupakan waktu penerbangan. Namun, pesawat AK1302 yang kami naiki meluncur ke angkasa raya pada lebih kurang jam 3.45. Penerbangan ke Cochin, Kerala India mengambil masa 4 jam 30 minit. Harus diketahui bahawa masa di Kerala India adalah dua jam setengah lebih lewat dari waktu Malaysia. RM1.00 pula bersamaan 15 Rupi India. Bunyinya banyakkan? Kata En. Fairuz, sekali makan untuk seorang makan lebih kurang 100 rupi. Hmmm... Lebih kurang Malaysia juga harganya.

5.00 petang waktu India,
Pesawat AK1302 selamat mendarat di Lapangan Terbang Cochin. Mr. Trevor (pemandu pelancong) rakyat tempatan telah sedia menunggu ketibaan kami bersama sebuah bas. Setelah selesai urusan imigration dan bagasi, kami keluar dari Lapangan Terbang Cochin. Hidungku tajam menghidu. Tak adapun bau busuk atau hancing seperti yang digembar-gemburkan? Alhamdulillah, aku lega. Kami menaiki bas untuk ke Trivandrum di mana tempat kami akan menginap dan International Institut Social Entrpreneurs berpusat.

Dalam bas, Mr. Devan memperkenalkan kami kepada Mr. Trevor. Mr. Trevor seorang yang mudah mesra dan ramah. Beliau tidak mempunyai masalah dalam berbahasa Inggeris namun slanganya agak sukar untuk difahami. Walau bagaimanapun, Bahasa Inggeris tetap menjadi bahasa perantaraan kami. Mr. Trevor memberi tahu, perjalanan ke Trivandrum mengambil masa enam jam. Dalam perjalanan tersebut, Yon dan beberapa orang rakan menceritakan pemandangannya sungguh indah. Meskipun perjalanan yang kami tempuh tidak seperti di Kuala Lumpur, namun keindahan panorama alam dan keunikan budaya menjadi santapan mata. Jalan rayanya berturap namun tidak seelok jalan turap di Malaysia. Oleh itu, bas yang kami naiki sentiasa bergoyang dan seakan melompat. Rasa seronok juga kadang-kadang naik bas mencabar macam ni. Uniknya, pemandu bas mempunyai bilik kecil tempat beliau memandu. Hon sentiasa kedengaran di jalanan seperti dalam filem-filem Tamil dan Hindi. Bunyi hon merupakan budaya mereka. Ianya seolah sapaan kepada kenderaan lain di jalanan.

8.00 lebih malam,
Kami singgah di Allappey untuk menikmati hidangan makan malam di sebuah kedai makan di tepi jalan. Menurut Mr. Trevor, kedai makan dan lain-lain kedai akan menamatkan operasinya pada jam 9.00 malam. Kedai makan tersebut terlalu sesak dengan pengunjung. Rata-rata rakyat tempatan memakai baju tradisi mereka. Kami dipandang pelik oleh mereka mungkin juga kerana cara kami berpakaian. Tiada pilihan makanan lain. Hanya Capati makanan yang dijual di sini. Kami hanya boleh memilih untuk makan capati bersama daging kari atau ikan kari. Aku memilih untuk memakan capati bersama daging kari. Alamak! Tiga keping capati setiap orang? Ah, lapar, makan jelah. Daging karinyapun sedap. Kalau di Kedai Mamak Malaysia aku jarang makan capati, tapi di sini, aku berjaya menghabiskan tiga keping capati yang nipis. Rakan-rakan serombongan ada yang berwajah keruhtatkala dihidangkan capati. Ada yang tidak suka akan capati. Apa nak buat? Kalau kita memilih untuk berkunjung ke sesebuah negara, kita harus belajar budaya mereka dari pelbagai segi termasuk pemakanan mereka. Mana nak cari nasi atau makanan Malaysia? Ah, janji aku tiada masalah dengan makanan dah cukup syukur bagiku. Kita harus menghormati budaya mereka. Bukankah itu juga yang kita harapkan apabila pelancong asing berkunjung ke negara kita yang tercinta? Kalau kita kata makanan mereka tak sedap, kitapun tak tahu kalau mereka juga tidak suka akan makanan Malaysia kita. Oh ya, kami juga dihidangkan dengan air masak dalam cawan besi. Katanya, ini juga sebahagian daripada budaya mereka.

Alamak! Satu masalah timbul. Perjalanan jauh lagi. Bas terlalu sejuk. Aku nak ke tandas. Macam mana ni??? Sedangkan di Malaysiapun aku jarang ke tandas awam. Apatah lagi di sini. Di negara yang dikatakan kotor ini? Tapi aku tak ada pilihan. Aku kena ke tandas. Tawakallah jelah, Tinta. Ramainya orang keluar masuk tandas kedai! Mesti tandasnya lebih teruk dari tandas KL Sentral atau tandas stesen minyak Malaysia. Rasa nak nangispun ada. Aku tak sanggup masuk tandas busuk dan kotor. Kalau keluar di Malaysia dari pagipun, aku sanggup tidak buang air kalau tidak terdesak sampai malam, sampai balik rumah. Macam mana ni??? Nak tak nak, langkah malas aku hayunkan ke bahagian belakang kedai. Nafasku tahan sewaktu membuka pintu tandas. Walau macam manapun, aku perlu bernafas. Eh, tak busukpun? Tak kotor? Kata negara India ni kotor dan busuk? Dalam Mr. Devan pesan suruh cepat aku sempat mengelamun kehairanan. Tandasnya juga besar. Lebih besar dari tandas awam di Malaysia. Ada baldi dan gayung. Gayung bentuk jag lagi. Okay, dah dua khabar angin yang ku dengar tidak tepat.

Seterusnya, kami meneruskan perjalanan ke Trivandrum. Lebih kurang jam 12.00 malam, kami tiba di Chitram KTDC Hotel. Aku menghuni bilik triple sharing bersama Ija dan Kak Rahimah. Ada dua katil. Tapi katilnya tidak sebesar katil di Malaysia. Rasanya katil bujang Malaysia besar sikit dari katil di hotel ni. Alhamdulillah hotel ini selesa. Satu tambahan tilam diberi untuk mereka yang tinggal tiga orang sebilik.