Dari hati seorang perempuan: Pandangan merentasi sempadan khatulistiwa, sedalam jurang Mariana, melewati lautan pasifik.
SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA
Thursday, February 18, 2016
Sahabat Yangku Sayang
Sahabat,
Bermusim telah kita lalui, gelak tawa tangis bersama. Apapun kisahmu, suka dan duka, tawa dan tangis yang ingin kau kongsikan, ku ikhlaskan hati dan hulurkan telinga ini untuk mendengarnya. Demi engkau yang telah ku anggap sebagai saudara sendiri.
Sejak kebelakangan ini, aku sering ingin bercerita padamu menerusi corong telefon. Tapiku mula rasa perubahanmu bila kau memberi alasan tidak enak bercerita dalam telefon, lebih baik cerita saja waktu kita jumpa nanti. Bila bertemu, kau lupa atau buat-buat lupa akan ada kisah yang inginku ceritakan, akupun tak tahu. Lalu aku diam, segala kisah yang ingin aku bentangkan, ku balut kemas dalam hatiku.
Sahabat,
Terbaru, aku menelefonmu. Katamu, dalam wayang. Aku faham lalu ku matikan talian dengan harapan kau hubungiku kembali seperti kebiasaannya. Tapi malam itu, tiada panggilan daripadamu. Ku buat kesimpulan sendiri, mungkin sahabatku penat setelah bersiar-siar. Sekali lagi aku faham. Kerana mungkin aku di tempatnya, aku juga begitu. Esoknya, dua kali ku hubungi, tiada jawapan. Dengar khabar, sahabatku menghadiri majlis. Tapi ada kawan yang bercerita sahabatku menghubunginya. Aku tunggu petang, kalau-kalau ada panggilan dari sahabat itu. Tiada. Lantas aku biarkan saja.
Selang beberapa minggu, ku hubungi lagi sahabatku. Dua kali dalam masa berjarak. Tiada jawapan dan sehingga aku menutup mata malamnya, tiada panggilan semula. Aku hampa.
Saat bertemu dalam majlis kenduri. Tidakku tahu rupanya kita semeja. Ada kawan memberitahu sahabatku di belakang. Fikirku di meja belakang. Rupanya semeja. Setelah pulang baruku tahu. Lagaknya seperti tidak mengenali aku. Sedih, tapi tak apa. Resam manusia bersahabat, begitulah.
Pada suatu majlis di sebuah rumah, sahabatku turut diundang. Tapiku lihat, lain benar sikap sahabatku hari itu terhadapku. Seakan aku tidak mengenalinya. Ku sapa untuk berurusan juga tidak semesra dulu. Mendekatpun tidak. Hatiku dipagut sendu. Mengapa berubah benar sahabatku? Tak apalah, aku punya Allah. Jika engkau menjauh mungkin saat itulah Allah mendekat. Kalau adapun salah dan silapku, ayuhlah bersemuka. Masakan seorang sahabat ingin bersengketa dengan sahabatnya? Sahabat, apakah tidak kau ambil pengajaran dari kejadian enam tahun lalu? Kali ini, entah apa puncanya. Mungkinkah kerana marahmu terhadapku dan ditambah dengan cocokan orang seperti 2010 lalu?
Sahabat,
Kala ini, aku amat memerlukan engkau di sisi. Ketahuilah sahabat, saat ini, aku jatuh, luka, lelah dan lemah. Asalnya aku ingin mencari sedikit keceriaan bersamamu. Namun bila melihatkan sikapmu yang begitu, ketahuilah aku, mungkin kau tiada lagi bersamaku. Tak mengapalah sahabat, mungkin kerana perwatakanmu yang disenangi ramai, maka dalam lautan teman-temanmu, aku telah tenggelam di sana.
Kini mengertilah aku, bahumu bukan lagi tempat aku rebahkan kepala mengadu nasib diri. Suaramu tidak lagi lunak mengalunkan kata-kata semangat menolakku ke atas. Jika itu yang kau mahu, pergilah sahabat. Aku tidak akan menghalangmu. Tentang aku, biarlah Allah yang tentukan. Maka benarlah kata orang, saat gembira, ada jutaan tangan yang memimpin kita. Tapi bila duka bertandang, hanya ada satu tangan saja yang kekal memaut kita ke atas.
Saat semua menjauh, aku ada Allah yang memelukku dalam kasih sayangNya. Sedikit demi sedikit diberinya aku lerai kesedihan yang ku tanggung sejak dua bulan lalu, diberinya khabar gembira, rezeki dan paling penting, Dia masih memberi kesempatan untuk aku bersama dengan insan yang aku cinta, punya keluarga yang sentiasa menyokong dan dua teman yang tidakku sangka menjadi tangan penyokong untuk aku bangun dari jatuhku. Terima kasih teman kerana sudi bersamaku saat duka laraku. Mungkin kita tidak sering bersama, tapi dari jauh semangat dan prangsangmu mampu memberi harapan padaku. Hari-hari kita bersama, aku rasa terhibur. Tapi status diri kalian, tidak memungkinkan kita sentiasa berdekatan.
Terima kasih Allah atas kasih sayangMu. Aku tahu, Kau sekadar mengujiku, melihat sejauhmana keimanan dan kesabaran hambaMu yang hina ini. Mungkin ini panggilanMu saat aku jauh, Kau ingin aku kembali padaMu. Ya Allah, janganlah Kau ambil daripadaku apa yang telah Kau beri padaKu sebelum ini. Ubatilah dukaku, Tuhan dengan pinjamkan sekali lagi padaku akan dirinya yang aku sayang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
kentalkan semangatmu zah. di sebalik ujian pasti ada rahmat yang menanti. lalui segalanya dengan hati yang redha.
Insya-Allah, terima kasih, teman.
Post a Comment