Sedikit demi sedikit, aku kembali ke alam nyata ketika sejuk menjalar ke seluruh tubuhku pada awal Subuh yang mendamaikan. Alunan suci bergema dari surau pinggir jalan. Kesayuan mula menggigit pangkal hati. Sejenak air hangat mula merintik di bibir mata nan layu. Suasana seluruh bilik gelam kelam, tidak seperti semalam dan beberapa hari lalu, sinar si kalimantang sedia menyapa penglihatan tatkala terjaga dari tidur. Tubuhku pula terbaring di atas katil kecil seorang diri tidak seperti semalam, aku tidur di atas katil besar bersama chek yang aku sayangi. Tidurku malam tadi, lena. Tidak seperti beberapa hari lalu sering dikejutkan oleh suara lunak chek dan sentuhannya yang lemah, yang sentiasa bertanyakan aku waktu pada dada jam dan meminta aku menghantarnya ke bilik air untuk menunaikan hajat. Pukul lima.20 pagi ini tidak seperti jam 5.20 beberapa hari lalu di mana aku mula bangun dan memandikan chek, menyabunkannya seterusnya menyempurnakan wudhuknya, memakaikannya baju, menyikat rambutnya, memakaikan telekung, mengangkatnya dari pembaringan ke bilik air, mengangkat dari bilik air ke pembaringan untuk dia solat dan berdoa kepada Tuhan Yang Maha Esa. Pagi ini, jagaku tidak dihiasi perbualan dan gelak-tawa seperti beberapa hari lalu bersama chek.
Pagi ini, aku menghirup secawan susu dan memakan roti bakar di pejabat, tidak seperti beberapa hari lalu, aku menghirup segelas air panas mati bersama sebungkus nasi kerabu atau nasi berlauk di sisi chek. Saat mentari merangkak dara, aku di pejabat, di hadapan komputer sambil jemari menari di papan kekunci, memerah otak memikirkan soal-soal kerja, tidak seperti beberapa hari lalu, aku meletakkan beg-beg air panas untuk melembutkan urat saraf chek yang tersumbat dengan darah pekat seterusnya membantu chek melakukan senaman untuk melancarkan aliran darahnya dan berusaha untuk mengembalikan kebolehannya bergerak cergas seperti dulu.
Begitu juga makan tengahariku hari ini di kedai Dad, semangkuk mihun sup dan segelas air suam jadi santapan bertemankan Hadisah rakan sepejabat, tiada lagi chek di sisi menemani aku menikmati makanan tengahari yang disediakan oleh Cik Ani atau Mak Su Yah.
Waktu-waktu solat hari ini aku hanya perlu mengambil wudhuk dan solat, tidak seperti beberapa hari lalu aku perlu membantu chek mengambil wudhuk, memakaikannya telekung dan membuka telekungnya selepas solat lalu menyidainya.
Aku rindu, rindu dengan suasana beberapa hari lalu. Aku amat menyayangi chek. Biarlah apapun akan aku lakukan untuk chek, insan yang banyak berjasa dalam hidupku.
"Terima kasih ya Along sebab jaga chek," Sungguh, kata-kata itu mengundang sebak pada hatiku. Tak perlu berterima kasih chek kerana chek telah melakukan lebih dari itu. Apalah sangat jika dibandingkan dengan apa yang aku lakukan ini.
"Bila Along tak ada, chek tak tahulah siapa yang nak tolong chek buat senaman," Chek, Along sayang chek, sungguh, andai Along mampu, andai Along tak perlu bekerja Along akan sentiasa jaga chek biarpun itu saja rutin Along seharian.
"Kalau Along tak ada, chek kena pakai pampus tidur malam, takut orang tak sedar chek panggil," Chek, kalau boleh Along nak selalu ada dengan chek, buat yang terbaik untuk chek macam mana chek buat pada mama, Along dan Angah dulu.
Aku bermimpi chek tinggal bersamaku. Alangkah bahagianya kalau itu menjadi kenyataan. Along sayang chek. Along rindu chek. Dan saat ini tangis hiba tanpa suara menuntut hinjut pada bahu di hadapan komputer ini terluah menzahirkan rindu, kasih dan sayangku pada chek, sedihku kerana terpaksa berjauhan dengan chek. Along akan balik lagi untuk chek. Insya-Allah. Tuhan, panjangkan usia kami untuk kami saling menyayangi di bawah redhamu. Amin...
No comments:
Post a Comment