SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA

Monday, May 14, 2012

Bingkisan Dari Jogjakarta, Indonesia 1

Mentari sore 12.30 tengahari 5 Mei lalu menyaksikan pesawat AK1336 mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Adisumarmo, Solo, Indonesia. Alhamdulillah, aku, Ali, Rafizza, Sam dan Syed selamat tiba di bumi Indonesia untuk sama-sama bercuti dan melawat negara serumpun. Kami diberi layanan istimewa sewaktu urusan ketibaan dan imigration. Paspot kami dicop di dalam bilik khas tanpa perlu beratur panjang dan menunggu lama. Mas Sandy, super selama kami berada di Jogjakarta telah sedia menanti di lapangan terbang. Destinasi pertama kami adalah kota Jogjakarta, kota yang dulunya bersatu dengan Kota Solo pada zaman pemerintahan kerajaan Mataram kini terpisah menjadi kota yang berasingan.

Sinonim dengan gelaran kota seni budaya, Jogjakarta sarat dengan budaya bangsa yang masih mengekalkan keaslian serta keunikan tradisinya. Sebelum kembara diteruskan, kami ke Delta Home Stay untuk urusan daftar masuk. Sementara Ari, sepupu kepada Ali telah siap menanti di Delta Home Stay. Wow!!! Sungguh mempesonakan! Delta Home Stay ditatahias dengan konsep Bali di mana pada bahagian hadapannya dihiasi dengan set ruang tamu berunsur kayu tapi kurang pasti kayu apa mungkin jati. Ada sebuah komputer disediakan untuk kegunaan para penyewa. Penyambut tamu yang ramah menyambut ketibaan kami dengan mesra.

Jalan penghubung antara ruang lega rumah tumpangan dengan bilik sewaan adalah berbatu. Batu-batu di sepanjang jalan tersebut adalah batu-batu sungai. Sementara pohon-pohon hijau melilit menghiasi dinding. Pada bahagian hadapan barisan bilik terdapat sebuah kolam renang. Pada hadapan setiap buah bilik terdapat set meja dan sofa kecil untuk bersantai. Sekeliling kawasan home stay, panorama indah menghijau memukau pandangan mata si pencinta alam.

Setelah berehat dan solat Zuhur, kami di bawa ke pusat membeli batik terkemuka di Jogjakarta, Kg Ngasem. Pelbagai jenis, corak dan warna batik dijual di sini. Batik lukis, tekap, batik tenun, batik bokep klasik dan sebagainya boleh didapati dengan harga yang pelbagai. Aku memilih beberapa helai batik untuk pakaianku dan untuk dijual. Awal-awal dah masuk budget la kan. Nak meniagalah katakan :) belajar-belajar.

Seterusnya, kami ke pusat jualan perak. Pelbagai perhiasan rumah dan eksesori wanita yang diperbuat daripada perak terdapat di sini. Ada perak asli dan campuran besi. Harganya terlalu mahal. Jadi kami sekadar mencuci mata :)

Destinasi terakhir kami untuk hari pertama ini adalah Jln Malioboro. Banyak gerai dan kedai didapati di sini. Tidak silap kiranya aku mengatakan Jln Malioboro ini seperti Jln Tar di Kuala Lumpur. Bezanya, barangan yang dijual di sini adalah hasil seni tangan rakyat tempatan seperti beg batik, Frame diperbuat daripada kulit lembu, hiasan rumah berunsur alatan tradisi seperti angkelong dan sebagainya. Hampir jam 11.00 malam kami mula bergerak meninggalkan Jln Malioboro. Kami menaiki beca ke tempat kereta diparkir. Hari pertama dilalui dengan begitu indah. Oh ya, kami telah singgah ke Kedai Sederhana dan makan nasi gudek sebelum bersiar-siar di Jogjakarta. Nasi Gudek adalah makanan tradisi Orang Jawa di Jogjakarta. Aku memesan nasi gudek complete di mana dalam satu hidangan terdapat ayam, telur, sambal kulit lembu, gudek dan sayur.

No comments: