Kami terus berkelana di bumi Jawa, Jogjakarta untuk hari kedua. Hari kedua dimulakan dengan sarapan yang siap dibungkus dan dihantar ke bilik kerana pada hari sebelumnya kami meminta sarapan kami dibungkus untuk kami bawa keluar awal. Super diminta menghantar kami ke rumah Presti, kawan kepada Sam. Dalam perjalanan, kami singgah di sebuah kedai untuk membeli buah tangan buat Presti. Buah Epal, Lai, per dan naga digubah indah dalam sebuah bakul berhias bunga-bungaan dan dedaunan. 50 ribu rupiah bersamaan RM17.00, murah bukan? Kalau di Malaysia, gubahan seperti gubahan untuk hantaran perkahwinan itu paling murahpun RM70.00, RM80.00. Presti telah sedia menanti kami berdekatan rumahnya. Apa yang mengagumkan, Presti ke tempat dia menanti kami seorang diri tanpa tongkat. Jalan di kawasan rumahnya agak sukar.
Ketibaan kami disambut mesra oleh ibu dan bapa Presti. Ibu bapa Presti mempunyai sebuah kedai runcit. Katanya, untuk menghilangkan rasa bosan ketika anak-anak tiada di rumah. Maklumlah, Presti hanya dua beradik dan adiknya juga tiada di rumah. Pelbagai juadah dihidangkan buat kami antaranya, Kuih Satu, Rempeyek dan ada beberapa kuih yang tidak aku ketahui namanya. Selang beberapa ketika, ibu Presti menghidangkan kami sejenis makanan yang diberi nama Lotek. Lotek ini lebih kurang seperti pecal tapi tentunya ramuan dan campurannya berbeza daripada pecal. Akhirnya, Presti dan keluarganya kami tinggalkan bagi meneruskan lawatan kami di beberapa tempat yang dipilih sepanjang di Bumi Jawa ini.
Pantai Parangtritis, terkenal dengan lagenda Ratu Kidolnya. Hingga kini, aku sendiripun masih tercari-cari lagenda tersebut dan jika ada kesempatan, akan aku coretkan di sini nanti. Pantai Parangtritis, dihiasi dengan batuan karang yang indah, tajam, besar dan tinggi, taburan pasir halus memutih berkilauan di bawah panahan matahari pantai, air beralun lembut menyapa gigi pantai. Sungguh mendamaikan. Pantai ini punya persamaan dengan Pantai Irama Bachok jika dilihat pada pasir, air dan ombaknya. Keindahan ciptaan Allah amat sukar digambarkan dengan kata-kata mahupun tulisan. Ada bahagian pantai tertentu Jauh di pasirnya, bebatu karang tegak berdiri. Menurut kata pemandu pelancong pantai dan kesan pasir yang basah, air laut akan naik sampai ke batu tersebut sewaktu air pasang. Betapa jauhnya beza air pasang dan air surut. Kami sempat merakam beberapa foto kenangan di kawasan batu tersebut. Bayangkan, kawasan batu agak jauh dengan gigi air ketika kami di situ tapi air akan naik ke batu ketika pasangnya. Ketenangan pantai dimeriahkan dengan penduduk setempat yang bersiar-siar dan kanak-kanak bermain sepak raga di sekitarnya.
No comments:
Post a Comment