Mummy (nenek) menghubungiku beberapa hari lalu. Dia menyatakan hasratnya untuk mewasiatkan rumah dan tanah yang didiaminya juga rumah yang membawa jutaan kenangan buatku kepadaku sekiranya mama sudah ada rancangannya sendiri untuk menetap di mana-mana. Kalaupun mama mahu menetap di situ, mummy meminta mama pula akan mewasiatkan rumah tersebut kepadaku kerana mummy mahu aku yang memiliki rumah itu. Aku pun tak tahu mengapa demikian. Mungkin... Mummy punyai alasannya tersendiri. Bagi aku... Aku hanya menurut apa yang mereka persetujui. Kata mummy... Hari ini, mama pulang untuk membincangkan hal tersebut.
Jika dilihat sekali imbas, rumah itu tidak seperti rumah yang dibina berpuluh tahun lalu lantaran daripada telah dinaiktaraf beberapa kali. Jika dilihat pada rekabentuk asal, perbezaannya dengan rekabentuk masa kini amat ketara.
Aku tidak dapat membayangkan bagaimana sekiranya aku tinggal sendirian di rumah tersebut. Rumah besar yang mampu menampung 200 orang dalam satu masa itu terlalu besar untuk ku diami seorang diri. Kini, hanya mummy yang mendiami rumah tersebut. Pernah aku bertanya pada mummy, apakah dia tidak takut tinggal sendirian di rumah itu? Sambil tersenyum mummy menjawab, "Apa yang nak ditakutkan? Rumah ini kan rumah kita, kalau tidak di sini, di mana lagi mummy mahu tinggal? Dalam kubur nanti pun... Sorang juga," Ish! Ke situ pula mummy ni. Kubur tu lainlah, ni rumah.
Manakala tanahnya yang berkeluasan hampir satu ekar itu ditanam dengan pelbagai pokok buah-buahan di bahagian belakang rumah. Sementara pada bahagian hadapan dan sisi rumah, pokok-pokok hiasan dari pelbagai spesis menghiasi laman yang luas. Pokok hiasan tersebut terdiri daripada pokok hiasan berbunga, tidak berbunga dan ada yang ditanam di dalam pasu dan di atas tanah. Mummy amat suka akan hiasan lanskap, dalaman rumah dan begitu mengambil berat tentang kebersihan rumah serta halaman.
Tanah tersebut bukan sahaja didirikan dengan rumah besar kesayanganku, tetapi turut dibina dengan dua buah kedai di hadapan kanan dan kiri rumah. Kedua-duanya disewakan kepada orang. Kedua-duanya nampak maju.
Rumah ini pernah didiami oleh moyangku. Menurut cerita mummy, ibu kepada moyangku juga pernah bertandang ke sini. Apa yang menariknya, sewaktu mummy bergiat aktif dalam politik dahulu, rumah ini sering menjadi tempat orang-orang politik bermesyuarat. Datuk Anuar Musa, adalah salah seorang YB yang pernah menghadiri mesyuarat yang diadakan di rumah ini (ops! Jangan silap, aku bukan pro UMNO). Kenduri-kendara juga sering diadakan di sini. Sewaktu perkahwinan mama, menurut cerita moyang dan gambar-gambar yang aku lihat, diadakan di sini secara besar-besaran. Aku harap... Jodoh mama dan abah diberkati sampai bila-bila, Amin! Sekarang, rumah ini sering menjadi rumah tumpangan mempelai orang-orang kampung dari jauh. Malah, rakan-rakan abah dan keluarga dari Negeri Sembilan juga pernah menginap di sini.
BAHAGIAN DALAM RUMAH:
Setelah menaiki enam anak tangga batu, terhampar anjung rumah yang ber"mozek" melebar dari kiri ke kanan rumah.
Naik satu bendul, adalah ruang tamu. Ruangnya agak besar. Bilik tidur yang terletak di bahagian ini dahulu telah dibuka dan menjadi ruang tamu. Aku membahagikan ruang tamu ini kepada dua bahagian iaitu, Ruang tamu I, yang dilengkapi dengan dua set ruang tamu, satu meja Jepun, Satu almari kecil untuk telefon rumah, dua kabinet barang perhiasan dan barang-barang lain, satu almari hiasan, satu meja makan panjang yang dilengkapi dengan kerusi bersalut baldu di mana meja makan ini digunakan juga sebagai meja mesyuarat dan satu singki. Oh ya, meja mesyuarat, singki dan almari hiasan terletak dalam ruang tamu II. Apa lagi ya? Aku pun tak ingat. Atas satu meja set ruang tamu yang beralas diletakkan teko tembaga besar yang aku dan adik-adik memanggilnya "Teko Aladin". Sementara meja yang satu lagi dihiasi dengan buah-buahan kaca yang diletakkan dalam bekas khas yang juga diperbuat daripada kaca. . Meja-meja kecil juga turut diletakkan dengan hiasan seperti bungan dan "Teko Aladin" bersaiz kecil. Bahagian atas kabinet yang terletak di belakang set ruang tamu dihiasi dengan pelbagai gubahan bunga. Meja makan turut tidak ketinggalan dihiasi dengan jambangan bunga. Pendek kata, semua barang di ruang tamu ini disusun dengan pelbagai hiasan di atasnya.
Seterusnya, ruang tengah. Ruang tengah juga ku bahagikan kepada dua. Ruang tengah I terdapat Almari televisyen, almari pakaian, sofa dan kerusi malas serta sebuah bilik tidur. Sementara ruang tengah II memuatkan kabinet pinggan-mangkuk, almari pinggan-mangkuk , meja menggosok pakaian, meja makan dan dua buah bilik tidur. Bahagian tepi ruang tengah terdapat satu beranda dan sebuah tandas untuk keselesaan penghuni. dua daripada bilik tidur rumah ini dilengkapi dengan bilik air dan tandas.
Bersambung pada hari akan datang.
No comments:
Post a Comment