SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA

Monday, April 20, 2009

Rumah Pusaka, Tinggalan Turun-temurun II

Setelah melewati ruang tamu dan ruang tengah, terdapat empat anak tangga ke bawah iaitu dapur. Dapur luas ini memuatkan sebuah peti sejuk yang di atasnya dihiasi dengan jambangan bunga, digantung pada pintunya kain lap tangan berbentuk indah dan sebuah mesin basuh bertutup rapi dengan kain alas khusus. Berdekatan mesin basuh, terdapat binaan batu seperti meja yang panjang terbahagi kepada dua ruang di mana ruang pertama disusun dengan pelbagai peralatan dapur sementara ruang kedua pula diletakkan sebuah dapur gas. Bahagian tepi dinding sebelah kanan pula terdapat kabinet dapur yang panjang yang memuatkan pelbagai lagi peralatan dapur. Manakala di atasnya diletakkan bahan membancuh air seperti teh, kopi dan sebagainya. Kabinet yang di atasnya disusun dengan kepingan mozek bersambung dengan dua buah singki membasuh pinggan yang juga diperbuat daripada kepingan mozek di sekelilingnya. Sebuah rak kayu bertingkat diletakkan di tepi tangga. Selain daripada barangan dapur, rak ini turut menempatkan sebuah telefon rumah.

Berhampiran tangga dapur, terdapat dua anak tangga lagi ke bawah di mana, di sinilah bilik air lama yang telah dinaiktaraf. Bilik air bersaiz besar ini bukan sahaja boleh digunakan oleh tiga orang dalam satu masa malah, turut digunakan untuk mencuci pinggan-mangkuk, periuk belanga dan kuali setiap kali berakhirnya sesuatu majlis yang diadakan di rumah ini. Uniknya, sumber air kegunaan penghuni rumah ini adalah perigi lama yang telah dikepung dengan konkrit serta disambungkan ke setiap pili dalam rumah. Perigi tersebut juga terletak di dalam bilik air ini. Menurut cerita mummy, perigi ini alhamdulillah tidak pernah kering dan ia digali mengikut cara tradisional oleh... Aku lupa sama ada moyangku atau bapanya.

Jika dilihat menerusi jendela di bahagian belakang rumah, dari kejauhan akan kelihatan sawah padi terbentang luas saujana mata memandang.

Rumah kesayanganku,
Aku terlalu rindu untuk menghirup udara pagi dengan pemandangan indahmu
Saat aku menemani ayah (moyang) bersiar di sekitar rumahseawal pagi,
Aku juga rindu akan pijar sang matahari yang baru menjengah bumi saat melihat:
Ayah menyapu dedaun kering di laman,
Cik (moyang perempuan) memasak minyak kelapa di sudut laman,
Atau waktu kedua-duanya dibantu bibik memunggah buah-buahan untuk dijual,
Malah kerinduan ini terhala pada tika menemani mummy membaja dan mencantas reranting pokok hiasan lalu mengubah lanskap laman,
Hatiku digamit panorama penuh asyik
Tatkala melihat rerama hinggap bebas dari satu pokok ke satu pokok menghisap madu bunga,
Atau keriangan saat mengusik sang gonggok berjalan hingga membuatkan ia berlengkar.

Aku mahu merasa hangat mentari petang tatkala aku dan angah:
Sama-sama bermain basikal,
Berlarian bebas di laman luas,
Menyaksikan ayam pulang dipanggil ayah,
Dan menyentuh semalu kembang hingga ia tertutup malu.

Aku mahu meratah senja keemasan di dada langit,
Saat aku dan angah:
Mengejar merpati di belakang rumah,
Melihat burung cik rumah yang tinggi di atap; Hati ingin menangkap, tangan tak kesampaian,
Melihat tompok awan serta arakan mega merah,
Juga seakan terdengar teriakan cik dan bibik memanggil kami mandi dan makan.

Aku turut rindukan gemerlapan bintang hiasan langit malam serta sinar purnama memanah laman sunyi,
Melihat lampu jalan menguning menerang jalan raya di hadapan rumah,
Serta melihat pakcik dan makcik yang berjalan di bahu jalan hadapan rumah pulang dari masjid.

3 comments:

Cikgu Zakaria said...

Satu tulisan yang menarik dan berbakat besar. "Selamat mendapat rumah!"

hati kristal said...

hehehe, macam aku pernah pergi rumah itu ya? tapi bila ya? hehehe.

TINTA EMAS said...

Cikgu, Zakaria: Terima kasih atas pujian itu. Saya masih baru dalam bidang penulisan :) Tak sangka cikgu membaca blog saya yang tidak seberapa ini.

Wan Mohd: Macam pernah pergi? Bukan dijavu kan? Ianya kenyataan. Buat-buat lupa pula.