SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA

Friday, February 11, 2011

Tidak, Bukan Itu Maksudku

Tersentak aku mendengar perkhabaran yang dibawa seorang teman. Teman itu inginkan kepastian daripadaku. Kepastian tentang satu entri yang aku tuliskan di sini lebih setahun lalu.

"Betulkah kau tulis kau cantik dalam blog kau?" Gulp! Soalan apa ni?
"Siapa cakap?" Dalam terkejut aku membalas soalan itu dengan soalan.
"Adalah orang cakap," Teman itu mahu merahsiakan.
"Cakap sajalah, aku takkan marah dia. Mungkin salah faham." Lama bersoal jawab, akhirnya ku tahu siapa gerangan orangnya yang berkata demikian.
"Dia baca blog aku ke?"
"Tak, yang bacanya sipulan (nama pembaca) dan sipulan tersebut memberitahu sipulan (nama pendengar) dan entah macam mana sipulan (nama orang ketiga) bercerita. Ada juga yang cakap, perlukah nak tulis fasal kau cantik kat blog?"
"Habis tu, kau tak baca blog aku untuk cari kebenaran?"
"Tak, akupun baru dengar cerita tu. Ada orang tanya aku, pernah tak kau cakap kau cantik pada aku? Aku cakap tak pernah pula," Aku cuba mengingati enteri-enteri yang pernah ku coretkan di sini. Oh, mungkin... Enteri ini:

Wednesday, October 21, 2009
You Are...

"Dont be sad, you are pretty, I'm telling the truth, you are pretty, girl." Itu kata-kata Ainol Zaffery, rakanku lewat panggilannya semalam.

Apakah itu satu pujian ikhlas atau kata-kata memujuk hatiku yang lara?

Subhanallah! Adakah tulisan yang ringkas ini sukar difahami? Atau... Mungkin bahasaku terlalu sukar untuk dimengertikan? Baiklah, biar aku huraikan di sini maksud enteri tersebut:

Enteri di atas, ku tulis tatkala hati bermuram durja akibat ujian melanda diri. Saat aku merasakan diriku terlalu kerdil dilempar ke tepi seolah-olah tiada guna langsung pada seseorang. Saat aku merasakan aku tidak layak mengecapi kebahagiaan. Saat aku merasakan yang bahagiaku telah berakhir dan tak akan ada lagi bahagia setelah itu. Ainol mengatakan, "Dont be sad, you are pretty, I'm telling the truth, you are pretty, girl." Itu kata-kata Ainol Zaffery, rakanku lewat panggilannya semalam. Ayat ini ku tulis sebagai terapi pemulih semangat tatkala Ainol memujukku agar tidak terlalu kecewa dengan apa yang berlaku. Lagipun, itu ayat Ainol bukan aku yang berkata demikian.

"Apakah itu satu pujian ikhlas atau kata-kata memujuk hatiku yang lara?" Ayat terakhir pada enteri tersebut menunjukkan bahawa aku meragui kata-kata Ainol tersebut. Aku sedia maklum, lelaki memang pandai memujuk dan mengayat. Aku juga tahu yang aku terlalu naif untuk membezakan pujian ikhlas atau sekadar pujian menyedapkan hati. Tambahan pula, aku maklum bahawa kecantikan itu amat subjektif. Kalau seseorang itu cantik di mata seseorang, belum tentu ia cantik pada pandangan orang lain. Lagipun, apa yang perlu dibanggakan pada cantik kalau diri serba kekurangan? Aku sendiripun merasakan yang aku dalam kategori orang yang biasa-biasa saja. Sebab itulah, aku tak pernah percaya dengan pujian-pujian sebegitu. Dan aku pun tidak berkecil hati kiranya orang tidak memujiku jauh sekali berasa iri apabila orang memuji orang lain di hadapanku. Masing-masing punya kelebihan. Bukankah kita ini manusia dan manusia itu adalah sebaik-baik ciptaan?

Kalau aku merasakan aku ini cantik, pastinya percakapanku sentiasa berkisar ke arah itu. Dan pastinya jua penulisanku di blog ini sering mencoretkan pujian-pujian yang aku terima. Aku sendiripun berhati-hati dengan pujian, masakan aku dapat berbangga dan mengiakan pujian orang terhadapku. Aku sedar siapa aku. Enteri di atas BUKANLAH ditulis untuk memberitahu pembaca yang aku ini cantik. Sebaliknya, enteri di atas pembakar semangat untuk aku terus mencari kekuatan dalam mengejar kebahagiaan yang aku impikan.

Blog ini satu diari tempat luahan isi hati dan lakaran kisah kehidupan kita, jadi tidak salahkan kalau aku menulis sesuatu yang inginku luahkan??? Seandainya ada enteri yang tidak pembaca senangi, atau kandungan blog ini tidak disukai, maafkanlah dan anda berhak tidak membaca blog ini.

Kepada pengunjung yang tidak senang dengan enteri di atas, jangan risau, saya sedar diri saya siapa dan saya takkan sesekali cuba menandingi kecantikan atau populariti anda.

Kepada kawan yang rapat denganku, mengapa tidak ditanya hal tersebut padaku sendiri setelah mendengar berita demikian? Mengapa terus saja diceritakan kepada orang lain tanpa mendapatkan kepastian daripadaku atau sekurang-kurangnya membaca sendiri enteri tersebut dan seterusnya membuat penilaian sendiri?

Kepada insan yang pernah dekat denganku, mengapa terus diberi kepercayaan tatkala angin bertiup menyebar berita tersebut? Tidakkah engkau arif akan sikapku? Adakah kau telah lupa siapa aku?

Tak mengapalah. Sekurang-kurangnya aku tahu sikap sebenar orang-orang di sekelilingku lebih-lebih lagi orang yang rapat dan amat aku percayai.

No comments: