Tiba-tiba rindu menggamit pada keindahan khazanah alam yang dimiliki Gunung Tahan. Serentak dengan itu, hati terusik mengimbau kenangan di Gunung Tahan yang masih segar dalam kotak fikiran. Telatah peserta ekspedisi, sukarelawan dan jurupandu arah gunung masih jelas terbayang. Ya Allah, alangkah indahnya andai masa-masa tersebut dapat diputar kembali. Meskipun penat mendaki, namun tawa dan senyum tetap menghiasi perjalanan yang sukar ke puncak dengan pelbagai peristiwa dan gurauan.
Lantas, telefon bimbit ku keluarkan dari tas tangan. Nombor-nombor tertentu ku tekan. Nada berbunyi namun tiada jawapan. Aku mencuba lagi. Panggilan bersahut. Abang Madi!!! Rindunya aku pada abang yang seorang ini. Walaupun kami jauh dan perkenalan kami bermula empat tahun lalu, hubungan kami tetap erat. Dari statusnya bujang hingga bertukar status suami kami masih erat. Persahabatan ini dieratkan lagi dengan perkenalan bersama keluarganya. Mak Ngah (ibu), abah (bapa), Amalina, Fizah dan Nurul (adik-adik) semuanya telahku kenali semasa aku berkunjung ke Kampung Pagi lebih kurang setahun lalu. Mereka terlalu baik dan mudah mesra. Sepanjang berada di sana, aku dan rakan yang menemaniku ke sana sentiasa dilayan baik oleh semua orang. Yang tak tahan tu, akulah yang sering menjadi sasaran usikan mereka. Abang Madi dah tentulah suka mengusik sejak dalam ekspedisi Gunung Tahan lagi. Tambah pula dengan jurupandu arah yang lain makin teruklah kena usik. Fizah, Mak Ngah dan paling tak sangka tu, abah yang agak seriuspun boleh mengusik dan menyakat aku??? Lucu bila diingatkan balik usikan-usikan mereka. Kini, kemesraan tersebut dieratkan lagi dengan kehadiran Kak Baiti sebagai isteri Abang Madi. Alhamdulillah, Kak Baiti amat memahami hubungan kami yang erat. Malah, dia juga menjalinkan hubungan baik denganku. Masa Abang Madi nak kahwin dulu, risaulah juga kalau isterinya cemburu akan kemesraan kami. Tapi alhamdulillah setiap kali aku menelefon Abang Madi, pasti aku akan turut berbual mesra dengan Kak Baiti.
Dalam perbualan pagi ini tawa tak habis-habis meletus dari mulutku dengan lawak Abang Madi. Dari belakang, aku turut terdengar gelak Kak Baiti yang sama-sama ketawa dengan lawak tersebut. Awal-awal aku dah tanya Abang Madi tentang Megat Panji Alam dan saudara-saudaranya. Siapa Megat Panji Alam? Kucing. Dulu sewaktu aku ke sana, aku ke Tempan (suatu tempat berdekatan rumah rakit milik keluarga Abang Madi, ada kebun limau dan tempat peliharaan ikan air tawar). Ada tiga ekor kucing Abang Madi yang manja sentiasa mengikutku. Abang Madi mengatakan yang tempat itu adalah kayangan dan kucing-kucing tersebut diperkenalkan padaku dengan nama-nama watak mitos dan dongeng rakyat. Sampai sekarang aku panggil kucing tu Megat Panji Alam. Yang lain tu aku tak ingatlah nama apa. Itu nama yang paling glamor. Sekarang ni kata Abang Madi, Megat dah ada anak, Malim Kundanglah apalah, entah apa-apa lagilah yang Abang Madi merepek tadi. Kak Baiti pula suruh aku ke sana. Katanya, asyik dengar suara dalam telefon je tapi tak kenal tuannya. Insya-Allah, jika ada kesempatan aku akan ke sana. Sayangnya, aku tak dapat berbual dengan adik-adik kerana mereka tinggal di asrama. Mak Ngah dan abah pula tiada di rumah.
Ya Allah, bahagianya aku rasa apabila hidup ini dikelilingi dengan orang-orang yang begitu baik dan mengambil berat tentang diriku. Aku rasa disayangi. Aku gembira begini. Syukur padaMu Ya Allah yang memberikan rahmat ini kepadaku. Kalau sebuah persahabatan itu dibina atas keikhlasan dan kejujuran pasti ianya akan berkekalan, Insya-Allah. Pasti dengki, iri dan cemburu sedaya mungkin dijauhkan. Kalau ada pun, pasti cepat-cepat akan dipadamkan. Tapi minta dijauhkanlah. Namun, hal ini memerlukan kerjasama dan persefahaman di kedua-dua belah pihak. Pihak yang satu mesti menjaga adab pergaulan dalam kemesraan dan pihak yang satu lagi perlu menjaga batas dan hati orang tertentu misalnya isteri.
Jika seorang lelaki baik dengan kita, jangan cepat menganggap lelaki itu mencintai kita. Jangan mudah menyalahertikan kebaikan seorang lelaki kerana mereka sememangnya dibekalkan dengan sifat penyayang dan prihatin yang tinggi. Mereka mengambil berat, selalu menghubungi tapi tidak semestinya mereka mencinta. Antara minat dan cinta juga berbeza. Mungkin lelaki meminati seorang perempuan tetapi tidak berhasrat untuk menjadikannya teman istimewa. Mungkin dia sukakan sesuatu kelebihan yang ada pada seseorang perempuan. Kalau kita mudah merasakan yang lelaki itu mempunyai perasaan pada kita dan kita dibuai perasaan, pasti kita akan kecewa jika itu tidak berlaku.
No comments:
Post a Comment