Dari hati seorang perempuan: Pandangan merentasi sempadan khatulistiwa, sedalam jurang Mariana, melewati lautan pasifik.
SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA
Saturday, September 26, 2015
Rindu Tak Bertuan
Saat bersendirian begini, hati diusik rindu pada Si Dia. Si Dia yang tidak saya kenali, tidak saya tahu nama dan asal-usulnya. Si Dia yang tidak pernah berhubung dengan saya, Si Dia yang juga mungkin merindukan saya. Yang telah Allah tentukan bertunasnya perasaan ini. Kami sama-sama menjalani hari-hari mendatang. Dengan penuh kesabaran menanti pertemuan rencana Allah yang amat indah dan rapi susunannya.
Mungkin ada di kalangan pembaca mentertawakan saya dengan wujudnya entri ini. Tapi biarlah. Perasaan ini tidak dapat saya luahkan pada sesiapa. Lantas saya ambil keputusan untuk mencoretkannya di sini. Mungkin juga Si Dia yang tidak saya kenali itu membaca entri ini cuma Si Dia juga tidak tahu, sayalah yang dirindui dan dicarinya.
Pesanan buat Si Dia:
Jagalah diri awak baik-baik
Janganlah berputus-asa dengan pencarian ini
Kerana saya akan terus setia berdoa dan menanti kehadiran awak
Bila tiba waktu yang dijanjikan.
Saya juga akan berusaha untuk menjaga diri saya
Untuk awak yang saya rindui
Kerana saya percaya
Masanya akan tiba.
Andainya...
Pertemuan itu telah disuratkan tidak di fana ini
Maka teruskanlah berdoa
Agar kita dipertemukan di sana nanti.
Hakikatnya awak,
Saya amat rindukan awak,
Rindu untuk ditemani,
Rindu untuk menemani,
Rindu untuk bercerita tentang kehidupan yang pernah saya lalui sebelum hadirnya awak,
Rindu untuk berkongsi pendapat menentukan hala tuju hidup ini,
Rindu mendengar kisah-kisah yang awak lewati sebelum adanya saya,
Rindu mendengar kata nasihat serta perangsang awak buat saya.
Demi masa yang berputar,
Saya mohon awak bersedia untuk bertemu saya,
Mohon siapkan diri awak untuk menjadi imam dan ketua saya,
Sementara pada detik yang tidak pernah akan berhenti,
Saya juga akan persiapkan diri saya,
Untuk menjadi makmum dan pengikut yang baik,
Yang menjadi idaman setiap imam,
Yang dirindui oleh seorang lelaki
Untuk menempuh suka-duka hidup ini.
Jika ada masa terluang,
Akan saya coretkan lagi cebisan titipan buat awak yang saya rindu.
Sekian,
Dari saya yang jauh
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment