SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA

Monday, April 29, 2013

Snorkeling



Aku ni sebenarnya, excited +takut bila mengenangkan Krabi ni. Maklumlah, aku ni kan takut air terutamanya air laut. Memandangkan dua hari lagi nak lakukan aktiviti air ni, mulalah jiwa aku ni gundah-gulana. So, aku carilah sedikit pengetahuan tentang snorkeling. Rasa tak sabar snorkeling ni, tapi risau jugalah memikirkan risikonya. Dalam berseronok, kita harus bersedia dengan segala kemungkinan. Minta jauhlah dengan tragedi amin... Dalam aku mencari-cari tu, maka tibalah aku ke blog

jimmymie26.blogspot.com/2010/asassnorkeling

Jadi aku share kat sini terutamanya untuk kawan-kawan yang akan sama-sama buat aktiviti ni nanti. Mungkin korang taklah takut macam aku kan? Tapi kita perlu ambil tahu :)

SEJARAH SNORKELING


1. Snorkeling pada zaman kini boleh dijejaki sejarahnya yang telah ada semenjak 5000 tahun dahulu. Teknologi yang semakin berubah dari hari ke hari begitu juga dengan usaha-usaha yang dilakukan bagi meneroka kedalaman laut.

2. Bukti dari 3000 BC telah menunjukkan bahawa terdapat beberapa penyelam-penyelam bebas yang terawal adalah para petani Spain di Crete. Penyelam pada zaman dahulu menggunakan buluh yang berongga untuk bernafas ketika didalam air.

3. Kemudian, usaha-usaha yang dilakukan untuk pergi ke dasar lautan telah menggunakan peralatan yang lebih rumit. Bukti pada 900 BC yang dahulu telah menunjukkan orang Assyria menggunakan kulit binatang yang diisi dengan udara dan membawa kulit itu menyelam bagi memanjangkan masa selaman. Pada 333 BC, Alexander Great telah menggalakkan pembangunan loceng selam pertama, iaitu satu alat besar yang direka untuk memerangkap satu saku udara apabila ia diturunkan ke dalam air. Loceng itu membenarkan penyelam untuk mengambil pernafasan tanpa pergi ke permukaan air.

4. Pada 1538, teknologi loceng itu telah ditingkatkan apabila dua rakyat Greece di Toledo, Spain telah melakukan satu demonstrasi di sungai Tagus, menggunakan satu buah cerek besar untuk turun ke dasar laut. Demonstrasi ini telah mengejutkan para penonton yang ada apabila mereka kembali ke permukaan air dengan keadaan baju yang kering dan lilin yang masih menyala.

5. Walaupun teknologi loceng selaman itu adalah berguna bagi membenarkan penyelam untuk berada di dalam air bagi satu jangka masa yang tertentu, ia adalah agak terbatas dari aspek mobiliti. Sebagai ganti, banyak cubaan yang telah dilakukan bagi membenarkan penyelam untutk bernafas daripada udara yang ada di permukaan air. Aristotle menyatakan bahawa para penyelam menggunakan tiub yang disambungkan ke permukaan air yang beliau samakan seakan-akan belalai gajah. Leonardo da Vinci pula telah mencipta beberapa rekaan bagi kegunaan penyelaman.

6. Daripada tiub-tiub bagi menghubungkan dasar dengan permukaan air, dan sut selaman yang lengkap. Beliau juga mempunyai satu lakaran yang menunjukkan lakaran jaringan sarung tangan dan beliau juga seorang perintis kepada sirip moden (fins/ kaki itik).

7. Malangnya, tidak lama kemudian manusia mendapat tahu, penggunaan tiub penghubungan seorang penyelam dengan permukaan adalah terhad. Kedalaman air sedalam satu hingga dua kaki telah menyukarkan paru-paru untuk bernafas. Pada 1771, ciptaan pam udara oleh jurutera British, John Smeaton telah membuka mata dunia selaman. Dengan memindahkan udara melalui tiub bertekanan tinggi, penyelam akan dapat menyelam lebih jauh ke dasar berbanding sebelum ini. Selepas itu, rekaan-rekaan bagi sut adalah lebih munasabah. Akhirnya rekaan-rekaan yang ada telah membawa kepada penciptaan sistem SCUBA (Self-Contained Underwater Breathing Apparatus ).

8. Teknologi moden kini bukan sahaja dapat mencipta alatan snorkeling yang kompleks tetapi juga telah membawa kepada kewujudan alatan snorkeling yang asas. Getah dan plastik dipadankan dan terciptalah google dan topeng-topeng yang mana ini meningkatkan lagi keselamatan penyelam. Akhirnya teknologi telah berjaya dan memudahkan lagi aktiviti snorkeling dan selaman bebas dilakukan.

ASAS SNORKELING

1. Kali Pertama Snorkeling-Bagi mereka yang pertama kali melakukan snorkeling, pastikan ‘mask’ selesa untuk dipakai dan mudah untuk bernafas dengan ‘snorkel’. Sesetengah orang akan berasa cemas dan susah untuk bernafas menggunakan ‘snorkel’. Oleh itu, adalah lebih baik dengan mencubanya di kawasan air yang cetek terlebih dahulu. Ramai mereka yang pertama kali melakukan snorkeling terus terjun ke dalam air dan akan berasa tidak selesa untuk bernafas menggunakan mulut melalui ‘snorkel’ yang dipakai. Dengan berdiri di air yang cetek, latih bagaimana untuk bernafas dengan meletakkan kepala didalam air dan melihat menggunakan ‘mask’. Kita boleh bernafas melalui ‘snorkel’ sambil melihat hidupan akuatik. Di kawasan air yang cetek, ianya sungguh menyeronokkan apabila kita dapat melihat bermacam-macam hidupan dengan tidak membazir tenaga untuk berenang. Melakukan snorkeling di air yang cetek dapat melatih kita menggunakan kelengkapan snorkeling dengan baik sekali.

2. Bagaimana untuk mengeluarkan air yang masuk ke dalam snorkel?-Ianya amat mudah untuk dilakukan. Hanya tarik nafas dan hembus menggunakan mulut dengan kuat ke dalam snorkel. Ini akan menguluarkan air yang terdapat di dalam snorkel itu. Sesetengah snorkel mempunyai injap pengeringan yang mana ianya memudahkan lagi untuk mengeluarkan air yang ada di dalam snorkel.

3. Bagaimana untuk mengeluarkan air yang masuk ke dalam ‘mask’ ?-Seperti mengeluarkan air di dalam snorkel, cara untuk mengeluarkan air yang masuk ke dalam ‘mask’ adalah dengan menaikkan kepala ke permukaan air dan tarik ‘mask’ keatas. Ini akan membuka sedikit ruang dan ini membolehkan air keluar dari ‘mask’ itu. Ada juga ‘mask’ yang didatangkan dengan sejenis injap. Injap ini berfungsi untuk tidak membenarkan air masuk ke dalam ‘mask’ tetapi hanya membenarkan air itu keluar sahaja dari ‘mask’. Apabila air memasuki ‘mask’ jenis ini, kita hanya perlu hembuskan udara melalui hidung dengan keadaan ‘mask’ masih dipakai. Jadi, ‘mask’ jenis ini boleh di keluarkan air yang masuk semasa kita berada di dalam air lagi.

4. Bagaimana untutk menghilangkan kabus pada ‘mask’?-Kadangkala, bahagian dalam ‘mask’ akan mulai kabur. Ini terjadi kerana kelembapan yang terhasil daripada pernafasan kita meluap dengan kesejukan kaca ‘mask’. Untuk menggelakkan ianya berlaku, kita perlu kerap membersihkan bahagian dalam dan luar kaca ‘mask’ itu tadi dengan sabun dan air untuk menghilangkan kekotoran dan minyak yang terlekat pada ‘mask’ itu tadi.

5. Penjagaan Kelengkapan Snorkeling-Kita dapat memanjangkan lagi usia alat kelengkapan dan mengekalkan bentuk asalnya dengan membasuh menggunakan air biasa. Jika kita tidak bilas alatan tersebut dengan baik, unsur garam yang terlekat boleh menjadikan alatan itu kering dan mengeras menyebabkan alat itu bercalar atau terdapat lubang pada alatan itu. Jadi pastikan alatan yang telah digunakan dibilas menggunakan air sepenuhnya.

KESELAMATAN SEMASA SNORKELING

1. Perkara yang paling penting ketika melakukan aktiviti snorkeling adalah tidak berseorangan. Banyak kecederaan dan kemalangan yang berlaku pada mereka yang melakukannya secara berseorangan. Oleh itu, amatlah baik jika kita mempunyai kawan yang akan bersama kita melakukan aktiviti snorkeling ini bagi menggelakkan sebarang kecelakaan dan sentiasa bersama. Jangan lakukan aktiviti snorkeling jika kita tidak tahu berenang.

2. Sentiasa berada dekat dengan kawasan pantai. Mereka yang baru pertama kali melakukan aktiviti snorkeling sering kali salah dalam menafsirkan keupayaan dan daya tahan mereka dan menyebabkan mereka keletihan. Sentiasa pastikan diri berada dekat dengan pantai dan mempunyai tenaga yang mencukupi untuk pulang ke pantai dengan selamat.

3. Sentiasa peka dengan keadaan sekeliling. Kita perlu mengetahui keadaan sekeliling dan perlu juga mengenalpasti kawasan yang perlu dijauhi. Sentiasa berhati-hati di kawasan berbatu dan ombak yang datang. Ini dapat mengelakkan kita daripada tercedera. Selain itu, kepekaan terhadap waktu air pasang dan surut juga dapat mengelakkan kita daripada terperangkap.

4. Simpan sedikit tenaga. Bagi mengelakkan keletihan, pemakaian alat apungan dapat membantu. Snorkeling vest yang dipakai akan menjadikan aktiviti snorkeling menjadi lebih menarik. Ini kerana kita dapat memberi sepenuh perhatian kepada aktiviti yang dilakukan. Jika kita hendak menyelam ke dalam air, alat apungan boleh dibiarkan terapung diatas air dan kembali semula ke permukaan air serta memulihkan tenaga kembali dengan alat apungan itu tadi.

5. Jangan sentuh hidupan akuatik. Walaupun kebanyakkan hidupan akan melarikan diri daripada didekati manusia, sebahagiannya juga mempunyai cara untuk mempertahankan diri jika ia merasa berada dalam bahaya. Oleh itu, kekalkan satu jarak yang selamat dari semua hidupan laut dan cuba untuk tidak membuat sebarang tindakan yang dapat mengejutkan hidupan laut.

6. Berhati-hati dengan landak laut. Jika kita melakukan aktiviti snorkeling di kawasan yang cetek yang mempunyai banyak terumbu karang, kita harus berwaspada dan lebih berhati-hati dengan kehadiran landak laut yang terdapat di celah-celah terumbu karang. Kebanyakkan kecederaan berlaku dimana duri landak laut ini tertusuk ke bahagian badan manusia.

7. Belajar pertolongan cemas dan kaedah pernafasan mulut ke mulut. Jika terdapat seseorang yang lemas ataupun paru-parunya dimasuki air, cara yang paling efektif adalah dengan melakukan pernafasan mulut ke mulut. Kita perlu belajar asas untuk melakukan kaedah ini samada di air ataupun di darat.

KELENGKAPAN SNORKELINGa. Google/MASK
a. Mask:
- Mask bagi aktiviti snorkeling merupakan satu keperluan yang sangat penting. Ianya seperti cermin diantara penyelam dan dunia dibawah air. Tanpa mask, pandangan penyelam menjadi kurang dan ini menggangu penglihatan secara tidak langsung. Oleh itu, apabila memilih mask, kita perlulah memilih mask yang dapat memberikan pandangan yang jelas, tidak menghalang pandangan, dan tidak mengehadkan pandangan sekeliling. Sesetengah mask mempunyai cermin yang berfungsi seakan cermin sisi dan mempunyai cermin yang luas. Elakkan cermin gelap (tinted).
- Selain itu, pastikan memilih mask yang bersesuaian dengan muka kita. Ini bagi mengelakkan berlaku kebocoran dan dimasuki air.

- Bagi menggelakkan dimasuki air, kita perlu mencuba terlebih dahulu google yang mahu dibeli. Pertama sekali, kenal pasti material dan design google tersebut. Google tersebut mesti mempunyai badan yang keras dan bahagian skirt yang fleksible yang mana ianya akan membolehkan google itu sepadan dengan bentuk muka.

- Teknik yang betul semasa mencuba google adalah dengan meletakkan google itu ke muka dengan talinya longgar. Kita akan dapat merasakan adakah google itu longgar, padan dengan bentuk muka ataupun terlalu besar. Sebenarnya adalah sukar untuk kita memastikan samada google itu dimasuki air atau tidak sehinggalah kita memakai google itu untuk menyelam.

- Akhir sekali, terdapat banyak google yang dijual dipasaran serta berbagai jenis. Terdapat juga google yang khas untuk dewasa dan kanak-kanak. Bagi mereka yang memakai cermin mata atau rabun, terdapat google yang besar yang mempunyai ruang untuk memakai cermin mata. Tetapi mereka yang memakai cermin mata ini di sarankan memakai contact lense ataupun memebeli google yang dibina dengan kanta bersesuaian.

b. Snorkel / alat pernafasan

- Snorkel adalah satu tiub yang fleksible, dibuat daripada plastik ataupun getah, yang mana menghubungkan penyelam dengan permukaan air. Snorkel ibarat nyama bagi penyelam. Dengan snorkel, penyelam dapat meneruskan pernafasan walaupun kepala di bawah permukaan air. Snorkel yang baik dapat memudahkan kita bernafas melaluinya dalam jangka masa yang tertentu.

- Snorkel direka berdasarkan diameter dan panjang yang berbeza. Penyelam seharusnya memilih snorkel berdasarkan keperluan dan jenis bentuk badan. Lagi besar bentuk badan penyelam, lagi besar diameter yang diperlukan. Ini bagi membolehkan udara yang lebih melaluinya.

- Jika lubang diameter snorkel itu terlalu luas, ini akan menyukarkan untuk penyelam membuang air yang termasuk ke dalam snorkel. Jadi pilihlah snorkel yang bersesuaian.

- Injap yang terdapat pada snorkel akan lebih memudahkan air yang masuk ke dalam snorkel di keluarkan. Injap ini adalah injap sehala yang mana penyelam boleh mengeluarkan air sambil terus bernafas.

- Akhir sekali, terdapat banyak snorkel yang mempunyai pelbagai rekaan yang dapat membantu para penyelam. Terdapat klip yang mengikat google dan snorkel yang dapat membantu penyelam agar tidak kehilangan salah satu alatan.
c. Fins / Kaki itik

- Snorkeling fins adalah salah satu alatan yang dapat membantu pergerakan penyelam. Tanpa fins, aktiviti snorkeling masih boleh dilakukan. Akan tetapi, fins dapat menambah kelajuan pergerakan semasa melakukan aktiviti. Pengalaman menggunakan fins atau tidak menggunakannya adalah berbeza sekali. Fins, dapat memberi kuasa yang lebih kepada penyelam untuk bergerak didalam air. Meningkatkan kelajuan berenang lebih kurang 50%. Fins juga dapat memfokuskan daya lancaran pada kaki dan ini secara tidak langsung mengurangkan ketegangan pada bahagian badan atas dan ini membolehkan penyelam untuk mengawal alatan yang lain dan meneroka keindahan dunia di bawah permukaan air.

- Terdapat dua jenis fins iaitu jenis tumit terbuka dan jenis tumit tertutup. Fins yang dipakai mestilah selesa dan padan dengan saiz kaki. Jika terlalu ketat, kaki dikhuatiri akan sakit dan melecet. Jika terlalu longgar, berkemungkinan akan tertanggal ketika digunakan. Fins yang mempunyai tumit tertutup lebih selamat kerana ianya dapat melindungi keseluruhan kawasan kaki tetapi ianya tidak dapat disesuaikan mengikut saiz kaki. Fins jenis tumit terbuka pula dapat disesuaikan mengikut saiz kaki dan mudah di pasang dan ditanggalkan. Walaupun begitu, fins jenis ini tidak melindungi bahagian tapak kaki penyelam.

- Tidak kira yang mana satu adalah pilihan penyelam, penyelam seharusnya selesa dengan fins yang dipakai sebelum menggunakan di air. Walaupun penciptaan fins bertujuan untuk memudahkan pengendalian selaman, bagi mereka yang pertama kali, ianya akan menjadi sebaliknya. Mereka akan berasa cepat letih ekoran ketidakbiasaan menggunakan fins tersebut. Fins yang mempunyai sirip yang panjang dan lebar memerlukan tenaga yang banyak untuk menggunakannya. Oleh itu bagi mereka yang baru mencuba, gunakan fins yang lebih kecil dan fleksible.

- Kesimpulannya, ramai penyelam merasakan memakai fins adalah menyusahkan dan menjengkelkan untuk menggunakan fins terutamanya di darat. Oleh itu, sentiasa berlatih menggunakan fins di darat dan di air. Kita mungkin akan mendapati dengan berjalan secara membelakang adalah lebih mudah ketika hendak masuk ke dalam kawasan berair.

d. Snorkeling Vest / jaket keselamatan

- Vest bagi snorkeling adalah satu alat apungan yang agak kecil berbanding jaket keselamatan yang biasa digunakan. Vest ini dipakai semasa berada di dalam air bertujuan untuk membantu dan meningkatkan lagi daya apungan penyelam terbabit. Vest ini tidak direka untuk digunakan sebagai life jacket tetapi ianya membenarkan pengguna untuk merasa tenang ketika menikmati dunia dibawah permukaan air.

- Vest ini dapat membantu terutamanya kanak-kanak dan mereka yang mahu mengurangkan penggunaan tenaga ketika bergerak di dalam air.

P/S: Kepada kawan-kawan yang akan buat snorkeling bersama, jangan tinggalkan I tau dalam laut nanti. Nanti kalau I jeritpun mesti you all tak dengar sebab pakai mask :)

Monday, April 8, 2013

Maka Sampailah Janji Allah

Innanillahi wainna ilaihi rajiun...

Maka sampailah janji Allah buat seorang hambaNya. Tiada dipercepat atau diperlambat walau sesaatpun bila tiba waktu dan ketikanya.

Awal pagi Jumaat, 5 April, 2013 lalu, aku menerima panggilan daripada Mami. Tapi sebelum tu, mama telah kerap kali menelefonku tapi aku sedang mandi jadi, bila sibuk bersiap, aku tidak lihat telefon bimbit. Tatkala melihat nama tertera di skrin telefon, Hatiku pantas sekali teringat kepada chek. Chek sakitkah? Kenapa dengan chek? Hati mula berdebar, detak jantung semakin laju.  Suara mami kedengaran begitu pilu.

Mami: Long, chek dah nazak ni. Along baliklah.
Tinta: Ha??? Nazak? Ye, ye, Along balik. Sekarang jugak Along cari tiket.

Ya Allah! Demi mendengarkan itu, dada terus sebak, tangisan tiada tertahan lagi. Aku menghubungi Sam, meminta dia menempahkan tiket penerbangan buatku. Setelah mencuba, Sam menelefon aku, memaklumkan bahawa tiket saat akhir tidak boleh ditempah secara online. Aku call MAS. Ku tempah tiket jam 10.30. Aku tidak peduli berapapun harganya. Yang penting, aku perlu tiba di sisi chek dengan segera. Mujur Fauzi sudi menghantarku ke KL Sentral kerana aku perlu mengambil tiket sebelum 9.30 pagi.

Setelah aku membayar tiket penerbangan dan KL Express, aku ke kaunter check in. Malangnya, petugas di kaunter tersebut tidak mahu mendaftar masuk aku. Katanya, Jika aku ke KLIA, aku pasti ketinggalan kapal terbang. Masa sudah suntuk. ERL baru saja lepas dan ERL seterusnya jam 9.40 pagi nanti. Ya Allah! Kau berilah kesempatan kepadaku untuk menemui chek untuk kali terakhir jika Engkau mahu mengambilnya.

Tinta: Tapi kenapa orang kaunter tiket tak advice saya?

Aku mula mahu menangis. Marah juga mula menyelinap di hati.

Fauzi: Dia ada imergency ni, macam mana ya?

Penjaga kaunter: Sabar, cik. Jom kita ke kaunter. Kita tengok apa yang mereka boleh buat. Nanti saya bagi tahu dia orang, minta tukarkan tiket cik.

Setelah penjaga kaunter check in dan kaun ter tiket berkomunikasi, tiket aku bertukar tangan. Beberapa minit kemudian, penjaga kaunter tiket memberikan aku tiket jam 2.30 petang. Masya-Allah! Lambatnya. Aku nak cepat ni.

Tinta: Pukul 11.00 lebih, ada flight ke Kota Bharu, kan? Tanyaku sedih.

Penjaga kaunter: Maaf, cik. Tiket pukul 11.00 dah habis. Itu je paling awal yang kami ada.

Dengan hampa, aku menerima tiket tersebut.

Kebetulan adikku acik balik bersama. Angah pula mengambil flight dari Johor dan transit di KL. Kami menaiki pesawat yang sama ke Kota Bharu.

Tiba di Pengkalan Chepa, abah dan Hakim telah sedia menanti. Kami bergegas pulang. Dalam kereta:

Abah: Abah rasa, chek dah tak ada.

Aku makin gelisah. Kereta yang dinaiki terasa begitu lambat. Aku diam. Betulkah? Hatiku berkata-kata.

Acik: Pukul berapa dia tak ada?

Abah: Abah rasa, calllah mama kalau nak tahu.

Semua diam. Semua enggan menelefon mama. Mungkin semua orang tidak bersedia mendengar khabar duka tersebut. Sebentar kemudian, telefon Hakim berdering.

Hakim: Dah sampai. Dah nak sampai rumahpun. Sekejap je lagi.

Kami dapat meneka bahawa panggilan itu dari mama. Ya Allah, apa benar telahan abah sebentar tadi?

Setibanya di rumah chek, abah terus memimpin aku masuk tanpa menunggu adik-adikku. Mama menangis. Yang lain-lain turut sebak. Suasana amat pilu dan suram. Ya Allah! Aku sudah dapat meneka apa yang terjadi. Ya Tuhan, tabahkan hatiku menerima suratan ini.

Mama: Chek dah tak ada.

Beritahu mama pada seseorang. Dum!!! Aku seakan dipanah halilintar. Aku enggan mempercayai berita itu. Aku terus berjalan laju ke bilik chek. Ya Allah! Maka telah sampailah janji Allah buat hambaNya. Benarlah janji Allah. Apabila Ia ingin memanggil hambaNya pulang menemuiNya, Ia tidak akan mempercepat atau memperlambat walau sesaatpun detik kematiannya. Ramai orang dalam bilik chek.

Mami: Beri laluan, ni cicit dia nak kucup ni.

Semua yang ada berundur dan memberi laluan kepadaku. Aku menahan diri dari menangis.

Mami: Jangan menitis air mata kalau nak cium chek.

Tinta: (Sambil sebak mencium dahi chek) Chek, Along ni, chek. Along minta maaf semua kesilapan Along dengan chek. Along pun maafkan semua salah silap chek. Dari Along kecil duduk dengan chek sampailah sekarang. Along halalkan semua yang Along bagi chek.

Aku berbicara perlahan dengan chek. Bukankah jenazah itu boleh mendengar apa yang kita perkatakan? Biarpun mungkin chek tahu walau tidak aku katakan, biarlah aku melafazkannya, agar tenang chek di sana. Biar hatiku puas kerana memberi tahu chek isi hatiku. Setelah itu, aku menutup kembali wajah chek, wajah yang amat aku sayangi dan rindui. Mama kata, jenazah chek cantik. Kuning je, macam orang tidur. Aku lantas duduk berhampiran chek. Kalau boleh, sedetikpun aku tidak mahu meninggalkannya bersendirian. Biarlah aku menemaninya di saat-saat akhir ini. Apalah sangat yang dapat aku lakukan buatnya berbanding didikan dan asuhan dia terhadapku. Dia yang mengajar aku berbuat baik dibalas baik, berbuat jahat, Allah akan membalas dengan azabNya. Macam-macam ajarannya terhadapku. Tentang hubungan hamba dengan pencipta, tentang hubungan makhluk sesama makhluk dan tentang hubungan manusia dan haiwan serta alam sekitar. Menurut mami, chek dijemput pulang pada jam 3.30 petang. Ketika itu, pesawat yang aku naiki baru tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Mami: Chek tak sedarkan diri pagi semalam.

Tinta: Kenapa lambat bagi tahu, Along?

Mami: Bimbang kalau jadi macam hari tu, tak sedar kejap, lepas tu OK.

Dah suratan. Tak perlulah mencari salah atau marah. Bisik hatiku.

Achik: Long, abah kata, jom makan dulu. Kejap lagi nak Maghrib, nak mandikan jenazah dan nak kebumikan.

Tinta: Aku tak nak.

Acik: Habis tu, aku nak cakap apa pada abah?

Tinta: Cakap je aku dah kenyang. Dah makan tadi.

Aku tak nak tinggalkan cheklah. Jerit hatiku.

Kedengaran tetamu yang datang bertanya sesama mereka siapa aku. Mungkin kerana aku paling dekat duduk dengan jenazah dan tidak ada siapapun yang mengganggu aku. Aku bebas untuk membuka kain yang menutupi dan mencium chek. Malah, setiap orang yang mahu membuka kain penutup chek, memberi tahu atau meminta kebenaranku terlebih dahulu untuk berbuat demikian. Sementara mami pula sibuk di luar melayan tetamu dari kawasan rumah mami. Saudara chek pula sibuk melayan tetamu daripada tetangga dan saudara-mara lain. Adik-adikku, setelah membacakan Surah Yasin, keluar, mungkin turut sama melayan tetamu yang ramai.

Sipulan A: Siapa tu?

Sipulan B: Tak tahulah tu. Tak kenal.

Ini mesti orang kampung chek ni. Sebab tu tak kenal aku.

Sipulan A: Siapa tu? (Bertanya kepada orang lain pula)

Orang sedih dengan ujian ni, sibuk pulak nak berkenalan. Aku malas melayan. Biar kesempatan yang ada aku manfaatkan untuk melakukan hal sepatutnya buat chek.

Sipulan C: Mungkin anak-beranak dialah tu, duduk dekat dia.

Sipulan A: Yelah agaknya. Agaknya yang duduk Kuala Kerai kot. Dia selalu cerita fasal cucu kat sana.

Kuala Kerai tempat tinggal mamaku. Ya Allah! Aku bertambah sebak. Sampai saat chek terlantarpun, dia masih lagi bercerita tentang aku dan keluargaku. Betapa chek menyayangi dan merindui kami.

Mami kembali semula ke bilik tempat aku menemani chek.

Mami: Maaflah, Long, mami tinggalkan Along. Ramai orang tempat mami datang.

Maksu Chek Timah: Siapa tu, Yam?

La... Tak habis lagi ke persoalan dia orang ni?

Mami: Ni Along. Anak Nah. Yang chek selalu bawa dulu. Yang selalu ikut chek ke mana saja tu.

Tinta: Ha, Along la ni. Yang chek selalu bawa pergi mana-mana tu. (akuiku)

Maksu Chek Timah: Oh, ye ke? Dah besar dah. Tu tak kenal tu.

Lepas Maghrib, Meskipun terbatas dan dihalang, aku tetap berkeras untuk membantu memandikan jenazah. Mereka tak faham betapa aku menyayangi chek. Mereka tak faham betapa aku rindunya aku pada chek. Mereka tak faham bahawa aku ingin melakukan yang terbaik buat chek. Inilah saat-saat akhir untuk aku melakukan yang terbaik buat chek. Meskipun chek pernah beritahu yang dia berpuas hati kerana aku banyak menjaganya sewaktu dia terlantar, namun bagiku, apalah sangat kalau setakat menjaganya dengan mengambil cuti dan balik berulang kali. Terlalu sedikit jika dibandingkan banyak masa dan tenaga yang chek gunakan untuk menjaga aku dulu. Macam mana chek boleh berasa puas kerana aku menjaganya? Chek, chek, hal yang terlalu sedikit aku lakukan, tetap besar padanya dan sering diingatinya. Mujur mama faham, mama membenarkan aku membantu memandikan jenazah. Chek, inilah kali terakhir Along memandikan chek. Chek rasalah sentuhan tangan Along ni. Rasalah gosokan akhir tangan ni buat chek. Along tahu, chek amat kenal dengan sentuhan ni. Alangkah bagusnya jika aku sahaja yang memandikan chek tanpa orang lain. Biar aku lakukan segala-galanya buat kali terakhir untuk insan yang amat aku sayangi.

Selepas Isyak, aku menciumnya untuk kali terakhir. Ciuman kali ini lama dan menyeluruh di wajah chek termasuk kepala. Inilah kali terakhir dapat aku menciumnya. Lepas ni tiada lagi. Biarpun ciuman dan pelukan menjadi pengakhiran kepada setiap pertemuan kami, namun ciuman kali ini adalah pengakhiran bagi segala pertemuan dengan chek. Hatiku sebak, terlalu sebak. Ciuman kali ini tanpa balasan ciuman dan pelukan dari chek. Chek kaku. Tak macam selalu. Meskipun lemah. dia akan berusaha sedaya mungkin untuk memeluk dan mencium aku.

Setelah dikafankan dan disembahyangkan, van jenazah membawa chek ke tanah perkuburan di mana bersemadinya arwah ayah dan ibu chek serta anak chek, Arwah Noriah yang meninggal dunia pada usia kanak-kanak. Kerana itu, chek tidak mempunyai zuriat sendiri melainkan kami anak, cucu dan cicit tiri selain daripada saudara-maranya. Aku sekeluarga mengikut jejak mereka yang membawa chek ke tanah perkuburan tempat di mana dia akan disemadikan.

Kami menyaksikan upacara pengkebumian chek. Mengaminkan doa buatnya, mendengar talkin dibacakan buatnya dan seterusnya bergilir-gilir menyiramkan air di tanah perkuburannya.

Mungkin kalian tidak merasa kesediahan yang aku rasakan kini. Tapi aku percaya, kalian pasti tahu bagaimana sedihnya bila orang yang kita sayangi dijemput Ilahi. Kedukaan masih lagi merah di hatiku mungkin semerah tanah perkuburan chek yang baru berusia empat hari.

Kepada pembaca yang budiman,
Mohon kalian sedekahkan Al-Fatehah buat insan yang aku sayangi, Allahyarhamhumah, Siti Fatimah Jusoh, moyangku. Mohon doa kalian untuk kesejahteraannya di sana.

Al-Fatehah buatnya.

Tuesday, April 2, 2013

Rindu Gym!!!

Amboi! Sedapnya kau berehat, Tinta. Makan macam-macam. Pergi gym tidak.

Hahahaha sebenarnya, bukan sengaja aku tak nak pergi gym. Pergelangan kaki aku ni sakit, jatuh dalam tandas. Lepas tu, tambah dengan terpelecok kat LRT station. Bengkak, lebam dan rasa sakit bila berjalan. Sekarang, bengkak dan lebam dah sembuh, dijangkakan, minggu depan boleh ke gym. :)

Monday, April 1, 2013

Protes Mengada-ngada

Korang tahu tak? Sejak Si Gemuk ni ada anak, dia makin mengada-ngada dan suka protes. Paling aku tak boleh belah malam tadi.

Nak dijadikan cerita, Si Gemuk dan anak-anaknya duduk dalam sangkar. Tapi aku tak kunci sangkar tu. Diapun keluarlah sambil dukung anak. Nak pindah tempatlah tu. Kebetulan kawan aku yang ada bersama masa tu, jentik telinga dia. Bukan apa, tak nak ajar dia letak anak merata, kena pijak karang baru tahu. Lagipun, takut anak dia membuang. Lepas tu, kita orangpun ambil anak dia masuk sangkar balik. Diapun ikutlah sama. Tak lama lepas tu, kami keluar. Of cause la kami kunci sangkar dia. Bila kita orang balik, korang tahu apa yang jadi? Si Gemuk dah bawa anak dia yang dua ekor tu baring dalam bekas buang air dia. Iiiii... Geram aku. Habis nanti kalau dia buang air macam mana? Takpun kalau Si Mickey buang air macam mana? Kena najis, tak ke jenuh aku yang nak kena bersihkan. Pandai betul kau protes ye, Gemuk. Begitu jugalah yang berlaku pagi tadi setelah semalaman aku kurung dia dalam sangkar. Gemuk, Gemuk. Kau memang mengada-ngada dan bijak buat onar. Tengok apa pulak perangai dia petang ni. :)