SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA

Monday, April 8, 2013

Maka Sampailah Janji Allah

Innanillahi wainna ilaihi rajiun...

Maka sampailah janji Allah buat seorang hambaNya. Tiada dipercepat atau diperlambat walau sesaatpun bila tiba waktu dan ketikanya.

Awal pagi Jumaat, 5 April, 2013 lalu, aku menerima panggilan daripada Mami. Tapi sebelum tu, mama telah kerap kali menelefonku tapi aku sedang mandi jadi, bila sibuk bersiap, aku tidak lihat telefon bimbit. Tatkala melihat nama tertera di skrin telefon, Hatiku pantas sekali teringat kepada chek. Chek sakitkah? Kenapa dengan chek? Hati mula berdebar, detak jantung semakin laju.  Suara mami kedengaran begitu pilu.

Mami: Long, chek dah nazak ni. Along baliklah.
Tinta: Ha??? Nazak? Ye, ye, Along balik. Sekarang jugak Along cari tiket.

Ya Allah! Demi mendengarkan itu, dada terus sebak, tangisan tiada tertahan lagi. Aku menghubungi Sam, meminta dia menempahkan tiket penerbangan buatku. Setelah mencuba, Sam menelefon aku, memaklumkan bahawa tiket saat akhir tidak boleh ditempah secara online. Aku call MAS. Ku tempah tiket jam 10.30. Aku tidak peduli berapapun harganya. Yang penting, aku perlu tiba di sisi chek dengan segera. Mujur Fauzi sudi menghantarku ke KL Sentral kerana aku perlu mengambil tiket sebelum 9.30 pagi.

Setelah aku membayar tiket penerbangan dan KL Express, aku ke kaunter check in. Malangnya, petugas di kaunter tersebut tidak mahu mendaftar masuk aku. Katanya, Jika aku ke KLIA, aku pasti ketinggalan kapal terbang. Masa sudah suntuk. ERL baru saja lepas dan ERL seterusnya jam 9.40 pagi nanti. Ya Allah! Kau berilah kesempatan kepadaku untuk menemui chek untuk kali terakhir jika Engkau mahu mengambilnya.

Tinta: Tapi kenapa orang kaunter tiket tak advice saya?

Aku mula mahu menangis. Marah juga mula menyelinap di hati.

Fauzi: Dia ada imergency ni, macam mana ya?

Penjaga kaunter: Sabar, cik. Jom kita ke kaunter. Kita tengok apa yang mereka boleh buat. Nanti saya bagi tahu dia orang, minta tukarkan tiket cik.

Setelah penjaga kaunter check in dan kaun ter tiket berkomunikasi, tiket aku bertukar tangan. Beberapa minit kemudian, penjaga kaunter tiket memberikan aku tiket jam 2.30 petang. Masya-Allah! Lambatnya. Aku nak cepat ni.

Tinta: Pukul 11.00 lebih, ada flight ke Kota Bharu, kan? Tanyaku sedih.

Penjaga kaunter: Maaf, cik. Tiket pukul 11.00 dah habis. Itu je paling awal yang kami ada.

Dengan hampa, aku menerima tiket tersebut.

Kebetulan adikku acik balik bersama. Angah pula mengambil flight dari Johor dan transit di KL. Kami menaiki pesawat yang sama ke Kota Bharu.

Tiba di Pengkalan Chepa, abah dan Hakim telah sedia menanti. Kami bergegas pulang. Dalam kereta:

Abah: Abah rasa, chek dah tak ada.

Aku makin gelisah. Kereta yang dinaiki terasa begitu lambat. Aku diam. Betulkah? Hatiku berkata-kata.

Acik: Pukul berapa dia tak ada?

Abah: Abah rasa, calllah mama kalau nak tahu.

Semua diam. Semua enggan menelefon mama. Mungkin semua orang tidak bersedia mendengar khabar duka tersebut. Sebentar kemudian, telefon Hakim berdering.

Hakim: Dah sampai. Dah nak sampai rumahpun. Sekejap je lagi.

Kami dapat meneka bahawa panggilan itu dari mama. Ya Allah, apa benar telahan abah sebentar tadi?

Setibanya di rumah chek, abah terus memimpin aku masuk tanpa menunggu adik-adikku. Mama menangis. Yang lain-lain turut sebak. Suasana amat pilu dan suram. Ya Allah! Aku sudah dapat meneka apa yang terjadi. Ya Tuhan, tabahkan hatiku menerima suratan ini.

Mama: Chek dah tak ada.

Beritahu mama pada seseorang. Dum!!! Aku seakan dipanah halilintar. Aku enggan mempercayai berita itu. Aku terus berjalan laju ke bilik chek. Ya Allah! Maka telah sampailah janji Allah buat hambaNya. Benarlah janji Allah. Apabila Ia ingin memanggil hambaNya pulang menemuiNya, Ia tidak akan mempercepat atau memperlambat walau sesaatpun detik kematiannya. Ramai orang dalam bilik chek.

Mami: Beri laluan, ni cicit dia nak kucup ni.

Semua yang ada berundur dan memberi laluan kepadaku. Aku menahan diri dari menangis.

Mami: Jangan menitis air mata kalau nak cium chek.

Tinta: (Sambil sebak mencium dahi chek) Chek, Along ni, chek. Along minta maaf semua kesilapan Along dengan chek. Along pun maafkan semua salah silap chek. Dari Along kecil duduk dengan chek sampailah sekarang. Along halalkan semua yang Along bagi chek.

Aku berbicara perlahan dengan chek. Bukankah jenazah itu boleh mendengar apa yang kita perkatakan? Biarpun mungkin chek tahu walau tidak aku katakan, biarlah aku melafazkannya, agar tenang chek di sana. Biar hatiku puas kerana memberi tahu chek isi hatiku. Setelah itu, aku menutup kembali wajah chek, wajah yang amat aku sayangi dan rindui. Mama kata, jenazah chek cantik. Kuning je, macam orang tidur. Aku lantas duduk berhampiran chek. Kalau boleh, sedetikpun aku tidak mahu meninggalkannya bersendirian. Biarlah aku menemaninya di saat-saat akhir ini. Apalah sangat yang dapat aku lakukan buatnya berbanding didikan dan asuhan dia terhadapku. Dia yang mengajar aku berbuat baik dibalas baik, berbuat jahat, Allah akan membalas dengan azabNya. Macam-macam ajarannya terhadapku. Tentang hubungan hamba dengan pencipta, tentang hubungan makhluk sesama makhluk dan tentang hubungan manusia dan haiwan serta alam sekitar. Menurut mami, chek dijemput pulang pada jam 3.30 petang. Ketika itu, pesawat yang aku naiki baru tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Mami: Chek tak sedarkan diri pagi semalam.

Tinta: Kenapa lambat bagi tahu, Along?

Mami: Bimbang kalau jadi macam hari tu, tak sedar kejap, lepas tu OK.

Dah suratan. Tak perlulah mencari salah atau marah. Bisik hatiku.

Achik: Long, abah kata, jom makan dulu. Kejap lagi nak Maghrib, nak mandikan jenazah dan nak kebumikan.

Tinta: Aku tak nak.

Acik: Habis tu, aku nak cakap apa pada abah?

Tinta: Cakap je aku dah kenyang. Dah makan tadi.

Aku tak nak tinggalkan cheklah. Jerit hatiku.

Kedengaran tetamu yang datang bertanya sesama mereka siapa aku. Mungkin kerana aku paling dekat duduk dengan jenazah dan tidak ada siapapun yang mengganggu aku. Aku bebas untuk membuka kain yang menutupi dan mencium chek. Malah, setiap orang yang mahu membuka kain penutup chek, memberi tahu atau meminta kebenaranku terlebih dahulu untuk berbuat demikian. Sementara mami pula sibuk di luar melayan tetamu dari kawasan rumah mami. Saudara chek pula sibuk melayan tetamu daripada tetangga dan saudara-mara lain. Adik-adikku, setelah membacakan Surah Yasin, keluar, mungkin turut sama melayan tetamu yang ramai.

Sipulan A: Siapa tu?

Sipulan B: Tak tahulah tu. Tak kenal.

Ini mesti orang kampung chek ni. Sebab tu tak kenal aku.

Sipulan A: Siapa tu? (Bertanya kepada orang lain pula)

Orang sedih dengan ujian ni, sibuk pulak nak berkenalan. Aku malas melayan. Biar kesempatan yang ada aku manfaatkan untuk melakukan hal sepatutnya buat chek.

Sipulan C: Mungkin anak-beranak dialah tu, duduk dekat dia.

Sipulan A: Yelah agaknya. Agaknya yang duduk Kuala Kerai kot. Dia selalu cerita fasal cucu kat sana.

Kuala Kerai tempat tinggal mamaku. Ya Allah! Aku bertambah sebak. Sampai saat chek terlantarpun, dia masih lagi bercerita tentang aku dan keluargaku. Betapa chek menyayangi dan merindui kami.

Mami kembali semula ke bilik tempat aku menemani chek.

Mami: Maaflah, Long, mami tinggalkan Along. Ramai orang tempat mami datang.

Maksu Chek Timah: Siapa tu, Yam?

La... Tak habis lagi ke persoalan dia orang ni?

Mami: Ni Along. Anak Nah. Yang chek selalu bawa dulu. Yang selalu ikut chek ke mana saja tu.

Tinta: Ha, Along la ni. Yang chek selalu bawa pergi mana-mana tu. (akuiku)

Maksu Chek Timah: Oh, ye ke? Dah besar dah. Tu tak kenal tu.

Lepas Maghrib, Meskipun terbatas dan dihalang, aku tetap berkeras untuk membantu memandikan jenazah. Mereka tak faham betapa aku menyayangi chek. Mereka tak faham betapa aku rindunya aku pada chek. Mereka tak faham bahawa aku ingin melakukan yang terbaik buat chek. Inilah saat-saat akhir untuk aku melakukan yang terbaik buat chek. Meskipun chek pernah beritahu yang dia berpuas hati kerana aku banyak menjaganya sewaktu dia terlantar, namun bagiku, apalah sangat kalau setakat menjaganya dengan mengambil cuti dan balik berulang kali. Terlalu sedikit jika dibandingkan banyak masa dan tenaga yang chek gunakan untuk menjaga aku dulu. Macam mana chek boleh berasa puas kerana aku menjaganya? Chek, chek, hal yang terlalu sedikit aku lakukan, tetap besar padanya dan sering diingatinya. Mujur mama faham, mama membenarkan aku membantu memandikan jenazah. Chek, inilah kali terakhir Along memandikan chek. Chek rasalah sentuhan tangan Along ni. Rasalah gosokan akhir tangan ni buat chek. Along tahu, chek amat kenal dengan sentuhan ni. Alangkah bagusnya jika aku sahaja yang memandikan chek tanpa orang lain. Biar aku lakukan segala-galanya buat kali terakhir untuk insan yang amat aku sayangi.

Selepas Isyak, aku menciumnya untuk kali terakhir. Ciuman kali ini lama dan menyeluruh di wajah chek termasuk kepala. Inilah kali terakhir dapat aku menciumnya. Lepas ni tiada lagi. Biarpun ciuman dan pelukan menjadi pengakhiran kepada setiap pertemuan kami, namun ciuman kali ini adalah pengakhiran bagi segala pertemuan dengan chek. Hatiku sebak, terlalu sebak. Ciuman kali ini tanpa balasan ciuman dan pelukan dari chek. Chek kaku. Tak macam selalu. Meskipun lemah. dia akan berusaha sedaya mungkin untuk memeluk dan mencium aku.

Setelah dikafankan dan disembahyangkan, van jenazah membawa chek ke tanah perkuburan di mana bersemadinya arwah ayah dan ibu chek serta anak chek, Arwah Noriah yang meninggal dunia pada usia kanak-kanak. Kerana itu, chek tidak mempunyai zuriat sendiri melainkan kami anak, cucu dan cicit tiri selain daripada saudara-maranya. Aku sekeluarga mengikut jejak mereka yang membawa chek ke tanah perkuburan tempat di mana dia akan disemadikan.

Kami menyaksikan upacara pengkebumian chek. Mengaminkan doa buatnya, mendengar talkin dibacakan buatnya dan seterusnya bergilir-gilir menyiramkan air di tanah perkuburannya.

Mungkin kalian tidak merasa kesediahan yang aku rasakan kini. Tapi aku percaya, kalian pasti tahu bagaimana sedihnya bila orang yang kita sayangi dijemput Ilahi. Kedukaan masih lagi merah di hatiku mungkin semerah tanah perkuburan chek yang baru berusia empat hari.

Kepada pembaca yang budiman,
Mohon kalian sedekahkan Al-Fatehah buat insan yang aku sayangi, Allahyarhamhumah, Siti Fatimah Jusoh, moyangku. Mohon doa kalian untuk kesejahteraannya di sana.

Al-Fatehah buatnya.

No comments: