SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA

Friday, February 20, 2009

Gadis Berkebaya Hijau

Titik-titik hujan mulai kasar menembusi langit lalu pecah di permukaan jalan raya yang berturap. Sesekali kilat menyambar menerangi kepekatan malam. Guruh pula mula bersahutan seakan garuda mengisyaratkan kedatangannya. Amir masih seperti tadi, tenang dengan pemanduannya. Keretanya terus membelah malam sunyi.

Dari jauh, lampu kereta Amir menyuluh sesosok tubuh gadis berkebaya hijau berbunga kecil serta berselendang warna yang sama sedang berdiri di bahu jalan. Amir terus memandu. Sebaik sahaja melintasi gadis tersebut, gadis itu menahan kereta Amir.

"Maaf bang, boleh saya tahu abang nak ke mana?" Tanya gadis itu lembut.
"Kota Bharu," Jawab Amir ringkas.
"Boleh saya tumpang?" Amir mengerutkan dahinya.
"Awak nak ke mana?"
"Gua Musang," Amir berfikir sejenak. Hatinya berbelah bagi. "Bolehlah bang. Nanti saya bayar minyaknya," Gadis itu merayu dengan wajah sayu.
"Naiklah,"

Amir memandu dengan tenang. Gadis berkebaya hijau duduk di bahagian belakang kereta. Bau wangi segera menusuk hidung tatkala gadis itu melangkah masuk ke perut kereta. Beberapa jam berlalu, akhirnya kereta yang dipandu Amir melewati kawasan Gua Musang. Di kiri kanan jalan, kelihatan pokok-pokok hutan berdiri tegak seakan serdadu bersiap sedia bagi memulakan peperangan. Hutan dara yang belum terusik dek pembangunan menyambut kepulangan Amir dengan seribu satu misteri di dalamnya. Cengkerik hutan galak menyanyi. Unggas rimba berdendang kegembiraan seakan berpesta meraikan ketibaan Amir ke negeri Cik Siti Wan Kembang tersebut. Dedaunan hijau dengan lemah-gemalainya menari keriangan ditiup angin malam yang menjalari kesejukan ke seluruh Bumi. Tiba di satu selekoh, gadis berkebaya hijau meminta Amir memberhentikan kereta.

"Berhenti kat sinilah, bang," Amir yang terperanjat dengan permintaan gadis itu, terus memberhentikan kereta. Namun, Amir tidak terus membuka kunci pintu.
"Kenapa?" Sambil menoleh ke belakang, Amir bertanya. Wajah gadis direnung hairan.
"Rumah saya kat sini," Dengan ulas bibir tersenyum manis, dia menyerahkan beberapa keping wang kertas kepada Amir. Amir memandang sekeliling. Rumah yang dimaksudkan si gadis tidak kelihatan.
"Tak payahlah. Tapi... Rumah awak kat mana?" Tanya Amir sangsi.
"Kat sana," Si gadis menudingkan jari ke suatu arah. Amir berpaling ke arah yang dimaksudkan. Amir tidak nampak sebuah rumahpun di situ. Malah, pondok buruk atau tempat kediaman lain juga tidak kelihatan. Yang kelihatan hanya rumput-rumput hutan yang tumbuh meliar bersama semak belukar yang mustahil ada kediaman di dalamnya.
"Terima kasih banyak, bang." Kedengaran suara gadis itu mengucapkan terima kasih sambil diiringi bunyi pintu kereta ditutup. Amir berpaling melihat gadis itu yang sedang meredah hutan dengan mudah sekali seolah tiada apa yang menghalang laluannya, perkara yang tidak bisa dilakukan oleh manusia biasa. Amir kaget. Lantas, dia menoleh melihat kunci pintu kereta. Amir terkejut apabila mendapati kunci pintu kereta masih belum dibuka. Jantung Amir berdegup laju. Darah panas mengalir ke seluruh tubuh. Amir terus memecut keretanya dengan laju.

Amir tiba di rumah ketika azan Subuh berkumandang mengejutkan Anak Adam menunaikan kewajiban pada Yang Kuasa. Saridah, isteri Amir yang menyambut kepulangan Amir kehairanan melihat Amir yang dalam ketakutan. Saridah bertanyakan apa yang telah berlaku. Amir lalu menceritakan peristiwa yang dialaminya dalam perjalanan pulang tadi.

Keesokan harinya, ketika Amir mengeluarkan barang dari dalam keretanya, Amir menemui sehelai selendang hijau dan Amir amat yakin, selendang itulah yang dipakai gadis yang menumpang keretanya malam tadi. Tanpa berfikir panjang, Amir terus membakar selendang tersebut. Kemudian, Amir kembali semula ke kereta untuk menyambung kerjanya. Alangkah terperanjatnya Amir tatkala membuka pintu kereta, bau mayat menerobos rongga hidungnya.

No comments: