SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA

Monday, February 23, 2009

Panggilan Dari Sahabat

Terima kasih kawanku atas ingatanmu padaku.

Panggilan yang hanya seketika itu untuk memberitahuku tentang suatu urusan rasmi.

Dia, kawanku sejak di bangku sekolah rendah sehingga tamat sekolah menengah. Kami amat akrab. Tanyalah apa saja tentang diriku padanya, pasti dia mampu menjawabnya walaupun tidak 100 pratus. Ah! Dia, geli hatiku bila teringatkan kisah-kisah zaman persekolahan dulu. Adakalanya kami sangat akrab serta saling membantu. Pada ketika yang lain pula, kami bagaikan anjing dan kucing, masing-masing mahu menang, masing-masing tidak mahu kalah. Lalu, masing-masing mengeluarkan idea yang bernas dan ditangkis pula sesama sendiri. Perdebatan yang hangat itu sering menarik perhatian rakan lain. Tidak kurang juga menarik mereka untuk menjadi pengikut aku ataupun dia. Bila masing-masing punyai pengikut, makin gamatlah tempat perdebatan berlangsung. Siapa yang menang? Ada masanya, kemenangan menyebelahiku dan ada masanya pula menyebelahi dia. Ada waktunya pula, aku menganggap aku yang menang dan dia menganggap dialah juara. Begitulah aku dan dia. Apapun, perdebatan demi perdebatan yang berlaku tidak pernah menghancurkan persahabatan kami malah, kami terus akrab sehingga kini.

Uniknya, kami seakan memerlukan antara satu sama lain untuk saling mendengar dan menasihati. Aku senang bercerita dengannya soal peribadiku. Bahkan, dia bukan sahaja pendengar yang setia. Setiap luahanku pasti diiringi dengan nasihat dan pandangan yang baik. Begitu juga sebaliknya. Meskipun dia sukar untuk bercerita hal-hal peribadinya kepada umum, tapi... Tidak dengan aku. Dia selalunya dengan rela hati bercerita padaku tentang perasaannya terhadap sesuatu yang terlalu peribadi. Aku terasa begitu dihargai apabila aku menjadi orang pertama yang mengetahui rahsia hatinya. Kami pernah terpisah untuk beberapa tahun, namun, kami sering berbicara dan memberi pandangan menerusi corong telefon.

Sahabatku itu... Seorang yang amat memahami, berfikiran terbuka dan matang. Bicaranya yang lembut serta ketenangannya membuatkan aku sering memungut semangatnya untuk ku bangkit semula tatkala aku rebah menyembah bumi. Ketabahannya sering ku kutip untuk ku jadikan tapak tempat aku berdiri teguh menghadapi sebarang kemungkinan yang tiba.

Terima kasih teman, atas kepercayaanmu padaku. Insya-Allah, akanku simpan segala rahsiamu dalam hatiku. Andainya kau membaca coretan ini, maafkan aku sekiranya tulisanku ini tidak kau senangi. Beritahu saja padaku, akan ku padam entri ini untukmu sahabat.

No comments: