SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA

Monday, February 23, 2009

Panggilan Dari Sahabat

Terima kasih kawanku atas ingatanmu padaku.

Panggilan yang hanya seketika itu untuk memberitahuku tentang suatu urusan rasmi.

Dia, kawanku sejak di bangku sekolah rendah sehingga tamat sekolah menengah. Kami amat akrab. Tanyalah apa saja tentang diriku padanya, pasti dia mampu menjawabnya walaupun tidak 100 pratus. Ah! Dia, geli hatiku bila teringatkan kisah-kisah zaman persekolahan dulu. Adakalanya kami sangat akrab serta saling membantu. Pada ketika yang lain pula, kami bagaikan anjing dan kucing, masing-masing mahu menang, masing-masing tidak mahu kalah. Lalu, masing-masing mengeluarkan idea yang bernas dan ditangkis pula sesama sendiri. Perdebatan yang hangat itu sering menarik perhatian rakan lain. Tidak kurang juga menarik mereka untuk menjadi pengikut aku ataupun dia. Bila masing-masing punyai pengikut, makin gamatlah tempat perdebatan berlangsung. Siapa yang menang? Ada masanya, kemenangan menyebelahiku dan ada masanya pula menyebelahi dia. Ada waktunya pula, aku menganggap aku yang menang dan dia menganggap dialah juara. Begitulah aku dan dia. Apapun, perdebatan demi perdebatan yang berlaku tidak pernah menghancurkan persahabatan kami malah, kami terus akrab sehingga kini.

Uniknya, kami seakan memerlukan antara satu sama lain untuk saling mendengar dan menasihati. Aku senang bercerita dengannya soal peribadiku. Bahkan, dia bukan sahaja pendengar yang setia. Setiap luahanku pasti diiringi dengan nasihat dan pandangan yang baik. Begitu juga sebaliknya. Meskipun dia sukar untuk bercerita hal-hal peribadinya kepada umum, tapi... Tidak dengan aku. Dia selalunya dengan rela hati bercerita padaku tentang perasaannya terhadap sesuatu yang terlalu peribadi. Aku terasa begitu dihargai apabila aku menjadi orang pertama yang mengetahui rahsia hatinya. Kami pernah terpisah untuk beberapa tahun, namun, kami sering berbicara dan memberi pandangan menerusi corong telefon.

Sahabatku itu... Seorang yang amat memahami, berfikiran terbuka dan matang. Bicaranya yang lembut serta ketenangannya membuatkan aku sering memungut semangatnya untuk ku bangkit semula tatkala aku rebah menyembah bumi. Ketabahannya sering ku kutip untuk ku jadikan tapak tempat aku berdiri teguh menghadapi sebarang kemungkinan yang tiba.

Terima kasih teman, atas kepercayaanmu padaku. Insya-Allah, akanku simpan segala rahsiamu dalam hatiku. Andainya kau membaca coretan ini, maafkan aku sekiranya tulisanku ini tidak kau senangi. Beritahu saja padaku, akan ku padam entri ini untukmu sahabat.

Friday, February 20, 2009

Gadis Berkebaya Hijau

Titik-titik hujan mulai kasar menembusi langit lalu pecah di permukaan jalan raya yang berturap. Sesekali kilat menyambar menerangi kepekatan malam. Guruh pula mula bersahutan seakan garuda mengisyaratkan kedatangannya. Amir masih seperti tadi, tenang dengan pemanduannya. Keretanya terus membelah malam sunyi.

Dari jauh, lampu kereta Amir menyuluh sesosok tubuh gadis berkebaya hijau berbunga kecil serta berselendang warna yang sama sedang berdiri di bahu jalan. Amir terus memandu. Sebaik sahaja melintasi gadis tersebut, gadis itu menahan kereta Amir.

"Maaf bang, boleh saya tahu abang nak ke mana?" Tanya gadis itu lembut.
"Kota Bharu," Jawab Amir ringkas.
"Boleh saya tumpang?" Amir mengerutkan dahinya.
"Awak nak ke mana?"
"Gua Musang," Amir berfikir sejenak. Hatinya berbelah bagi. "Bolehlah bang. Nanti saya bayar minyaknya," Gadis itu merayu dengan wajah sayu.
"Naiklah,"

Amir memandu dengan tenang. Gadis berkebaya hijau duduk di bahagian belakang kereta. Bau wangi segera menusuk hidung tatkala gadis itu melangkah masuk ke perut kereta. Beberapa jam berlalu, akhirnya kereta yang dipandu Amir melewati kawasan Gua Musang. Di kiri kanan jalan, kelihatan pokok-pokok hutan berdiri tegak seakan serdadu bersiap sedia bagi memulakan peperangan. Hutan dara yang belum terusik dek pembangunan menyambut kepulangan Amir dengan seribu satu misteri di dalamnya. Cengkerik hutan galak menyanyi. Unggas rimba berdendang kegembiraan seakan berpesta meraikan ketibaan Amir ke negeri Cik Siti Wan Kembang tersebut. Dedaunan hijau dengan lemah-gemalainya menari keriangan ditiup angin malam yang menjalari kesejukan ke seluruh Bumi. Tiba di satu selekoh, gadis berkebaya hijau meminta Amir memberhentikan kereta.

"Berhenti kat sinilah, bang," Amir yang terperanjat dengan permintaan gadis itu, terus memberhentikan kereta. Namun, Amir tidak terus membuka kunci pintu.
"Kenapa?" Sambil menoleh ke belakang, Amir bertanya. Wajah gadis direnung hairan.
"Rumah saya kat sini," Dengan ulas bibir tersenyum manis, dia menyerahkan beberapa keping wang kertas kepada Amir. Amir memandang sekeliling. Rumah yang dimaksudkan si gadis tidak kelihatan.
"Tak payahlah. Tapi... Rumah awak kat mana?" Tanya Amir sangsi.
"Kat sana," Si gadis menudingkan jari ke suatu arah. Amir berpaling ke arah yang dimaksudkan. Amir tidak nampak sebuah rumahpun di situ. Malah, pondok buruk atau tempat kediaman lain juga tidak kelihatan. Yang kelihatan hanya rumput-rumput hutan yang tumbuh meliar bersama semak belukar yang mustahil ada kediaman di dalamnya.
"Terima kasih banyak, bang." Kedengaran suara gadis itu mengucapkan terima kasih sambil diiringi bunyi pintu kereta ditutup. Amir berpaling melihat gadis itu yang sedang meredah hutan dengan mudah sekali seolah tiada apa yang menghalang laluannya, perkara yang tidak bisa dilakukan oleh manusia biasa. Amir kaget. Lantas, dia menoleh melihat kunci pintu kereta. Amir terkejut apabila mendapati kunci pintu kereta masih belum dibuka. Jantung Amir berdegup laju. Darah panas mengalir ke seluruh tubuh. Amir terus memecut keretanya dengan laju.

Amir tiba di rumah ketika azan Subuh berkumandang mengejutkan Anak Adam menunaikan kewajiban pada Yang Kuasa. Saridah, isteri Amir yang menyambut kepulangan Amir kehairanan melihat Amir yang dalam ketakutan. Saridah bertanyakan apa yang telah berlaku. Amir lalu menceritakan peristiwa yang dialaminya dalam perjalanan pulang tadi.

Keesokan harinya, ketika Amir mengeluarkan barang dari dalam keretanya, Amir menemui sehelai selendang hijau dan Amir amat yakin, selendang itulah yang dipakai gadis yang menumpang keretanya malam tadi. Tanpa berfikir panjang, Amir terus membakar selendang tersebut. Kemudian, Amir kembali semula ke kereta untuk menyambung kerjanya. Alangkah terperanjatnya Amir tatkala membuka pintu kereta, bau mayat menerobos rongga hidungnya.

Peaching, Adil Atau Bias?

Lima idea telemovie telah ku bentangkan. Persoalannya, adilkah setiap juri yang menilai hasil karya kami para pembentang untuk menentukan telemovie yang terpilih mengisi siaran RTM? Bilangan penilai yang sedikit berbanding wakil syarikat yang lebih daripada 100 buah syarikat membentangkan karya masing-masing tanpa disertakan dengan kertas kerja, mampukah diingati dengan teliti jalan ceritanya? Hanya catatan ringkas penilai dan pertemuan "empat mata" dalam masa 10 minit dengan pembentang, cukupkah bagi juri membuat pemilihan yang adil? Pastikah para penilai tidak mempunyai bias terhadap pembentang yang mereka lihat pembentangannya? Benarkah pembentangan artis dan penulis biasa terutamanya penulis baru sepertiku dinilai sama adil?

Pendapat anda?

Wednesday, February 18, 2009

Pengalaman Baru

Menghadiri sesi "peaching" bukan sahaja memberi pengalaman baru dalam kerjayaku. Malah, ia turut memberi gambaran sebenar tentang mereka yang terlibat dalam industri seni. Ruang menunggu penuh dengan mereka yang melobi hasil karya masing-masing. Mejoriti daripada mereka pastinya produser termasuk penulis skrip dan wakil syarikat. Ada di antara mereka merupakan artis. Aku suka memerhatikan gelagat mereka. Rata-ratanya, mereka saling mengenali antara satu sama lain. Tak kurang juga yang bermulut celupar dan mahu menonjolkan kehebatan mereka.

Aku? Langsung tidak mereka hiraukan. Mungkin aku penulis baru dan tidak ada nama. Memandangku pun seolah-olah aku melakukan kesilapan. Aku janggal dengan pandangan mereka. Aku diperlakukan seperti budak mentah yang tidak memberi makna kepada mereka. Jauh sekali untuk menyapa meskipun duduk bersebelahan. Mungkin pada mereka, aku hanya budak-budak yang tidak langsung memberi saingan kepada mereka. Hmmm... Siapalah aku jika dibandingkan dengan mereka yang telah lama merasa asam garam dunia seni ni.

Tapi... Produser ku ini lain benar sikapnya. Dia boleh dikatakan peramah kerana menegur setiap orang yang ditemuinya. Namun, tegurannya cukup sekadar mempamerkan keramahannya,tidak untuk berbicara yang bukan-bukan. Dia lebih suka duduk menemaniku. Memberi ingatan itu dan ini kepadaku ketika "peaching" berlangsung. Rupanya, dalam dunia seni pun masih ada orang yang bersikap begini. Aku ingatkan, masa di fakulti dulu saja terdapat orang sepertiku dan rakan-rakan yang sejiwa yang tidak suka bercakap tidak tentu fasal. Mungkin kerana itulah, Allah temukan aku dengan produser ini.

Setelah beberapa hari menghadiri "peaching", semalam, baru aku didekati oleh seseorang yang amat dikenali ramai, Rozi Osman. Tentu kalian juga cukup kenal dengan pelakon itu. Dia menyentuh pipi dan tanganku sambil tersenyum dan diperkenalkan oleh produserku. Biar sentuhan itu ku anggap salam perkenalan daripadanya.

Peaching, Suatu Pengalaman Baru

Sudah lamaku biarkan blog ini tidak di "update". Entahlah, akhir-akhir ini... Aku terasa malas untuk menulis. Lalu, aku hanya menjadi pembaca senyap kepada beberapa blog. Kadang-kadang... Aku menjengah ke sini. Bukan untuk menulis tapi melihat sekiranya ada komen yang ditinggalkan. Hari ini, hati terdetik untuk menulis. Semoga hari ini menjadi inspirasi kepadaku untuk menulis pada hari-hari seterusnya. Baiklah, kita mulakan:

Dari minggu lepas hingga minggu ini dan mungkin akan berlarutan hingga minggu hadapan, aku ke RTM untuk "peaching". Hari pertama "peaching" bagi penulis baru sepertiku amat mendebarkan. Aku tidak dapat membayangkan bagaimana suasana "peaching" yang akan aku hadapi. Bagaimana pula reaksi para juri yang akan menilai hasil karyaku nanti? Tertarik hatikah mereka dengan ideaku nanti? Kalau ideaku tidak menarik, macam mana? Aaaaahhhhhh!!! Tentionnya.

Aku ke RTM bersama produser dan director yang juga menghadapi sesi "peaching" karyanya hari itu. Tatkala kaki melangkah ke ruang menunggu, rasa sejuk segera menggenggam tangan dan kakiku. Sudah beberapa kali aku berlatih "peaching" tapi kurang memuaskan. Masa 10 minit yang diberikan kepada setiap pembentang ku rasakan tidak mencukupi. Eh, kenapa dengan aku ni? Kan masa belajar dulu pernah "peaching" 10 minit, dan akulah orangnya yang paling suka buat pembentangan kertas kerja. Bercakap di hadapan rakan sekuliah macam pensyarah (Ewwah). Setiap solan yang dilontarkan pasti menerima jawapan yang tidak menghampakan dariku. Pernah juga aku berdebat dengan pensyarah untuk mempertahankan kerjaku. Kali ini lain pula rasanya. Mungkin ini pengalaman pertama "peaching" dalam erti kata sebenar, dalam industri. Ish... Entahlah....

Nama syarikat dipanggil. Aku tahu, panggilan syarikat itu bermakna aku. "Bismillahi rahmani rahim". Aku melangkah ke bilik "peaching" bersama produser dan director yang akan sama-sama menyaksikan pembentanganku. Dua orang perempuan, seorang lelaki dan seorang penjaga masa telah siap sedia menanti kehadiran kami. Telemovie hari guru "Obor Itu Dia", taruhan karyaku yang pertama. Aku menamatkan ayat terakhirku. Aaahh... Lega. Tak sampaipun 10 minit. Masa yang berbaki ku isi dengan penerangan tentang watak dan persoalan yang ingin aku paparkan. Director di sebelah turut sama-sama membantu menarik perhatian juri terhadap karyaku.


Sesi "peaching" director pula bermula pada pukul 4.00 lebih petang. Nampaknya, suasana "peaching" ini berbeza dengan suasana "peaching" ku tadi. Para juri nampak tidak secerdas juri yang menilai "peaching" ku tadi. Cubalah bayangkan kalau aku di tempat director ni, Hmmm... Entahlah.

Minggu lepas sehingga semalam sudah beberapa kali aku menghadiri sesi "peaching". Bukan sahaja untuk karyaku tetapi juga mewakili director dan seorang rakanku yang tidak dapat menghadiri sesi tersebut kerana bertugas di lokasi penggambaran. Ya, debaranku sudah tidak sehebat kali pertama dulu. Dua sesi "peaching", esok dan lusa akan aku hadiri. Mohon doa dari pembaca agar karyaku mudah diterima.