SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA

Thursday, July 30, 2009

Tak suka! Tak Suka! Tak Suka!!!

Masa aku sekolah dulu, aku amat memilih dalam bab makan ni. Duduk asrama, mestilah ada menunya. Hari makan lauk ayam, bukan main semangat lagi aku naik ke dewan makan. Tapi bila lauk ikan… Alamak! Bosannya! Sayur? Huh, jangan harap aku nak makan. Pasti akan ku beri kepada rakan semeja atau ku sedekahkan ke dalam tong sampah jika rakan-rakan enggan menerima pemberianku.

Masa aku baru-baru masuk sekolah, aku paling tak suka bila Cikgu Sharifah warden. Semua orang yang nak hantar tray ke troli, mesti kena lalu depan dia, tunjuk tray, habis tak makanan dalam tray. Kalau tak… Patah balik. Ada juga kawan-kawan yang masukkan sayur dalam gelas untuk selamatkan diri. Tapi aku taklah tergamak buat macam tu. Macam kotor je. Agak-agak Cikgu Sharifah jauh, aku bagilah pada kawan. Kadang-kadang, aku buat selamba je hantar kat troli. Kalau dia perasan, habislah aku, kena duduk balik kat meja dan habiskan makanan tu. Bukan setakat makanan dia jaga. Nak naik makan pun kena pakai “podo,” itu sebutan Cikgu Sharifahlah. Kena pakai bedak. Mak oi, nak naik makan pun kena berbedak bagai? Kalau tak kemas, tak berbedak, pasti dihalaunya balik ke asrama untuk buat apa yang patut. Pas tu baru naik balik. Tapi aku tak pernah kenalah. Waktu makan pula, sudu garpu tak boleh berbunyi. Masa nak duduk atau bangun, kerusi pun tak boleh bising. Pernah sekali tu, lepas baca doa, kerusi ditarik kuat. Kami disuruh bangun dan disuruh duduk semula dengan menarik kerusi cara sopan (tak berbunyi).

Begitu juga kalau Cikgu Mastar warden. Ha, itupun lagi satu masalah tu. Ish, menyusahkan orang betullah! (fikirku pada masa bodoh-bodoh dulu). Dia pun suka paksa orang makan. Tapi tak apa, Cikgu Mastar ni, bila dekat-dekat Maghrib, dia pasti duduk di buai kat padang atas, nak pastikan semua pelajar naik ke surau untuk solat jemaah. Aku pun “ce, alip but lah,” apa tunggu lagi. Kan selamat. Bila aku naik sekolah menengah, hatiku sedikit lega. Cikgu Sharifah sudah berhenti menjadi warden. Cikgu Mastar pula, tak setegas dulu. Fasal makan ni, dah tak dijaganya, sekali-sekala tu adalah. Ini satu perkembangan yang bagus! Haaah! Aku menarik nafas lega.

Namun, betullah kata orang,
Langit tu tak selalunya cerah. Dalam panas seharian, kadang-kadang hujan turun. Kadang-kadang tu, rebut taufan melanda.

Kalau tak silap aku, tahun 2000, masa aku tingkatan empat ataupun masa aku tingkatan lima. Adalah sorang cikgu ni. Aku memang tak berapa suka dengan cikgu ni masa tu. Kerek semacam je. Baru masuk sekolah ni, dah kerek. Tapi, menyampah aku tu dalam hati jelah. Mana berani nak memberontak. Aku kenalah jaga riputasi aku kat sekolah tu. Aku kan pelajar baik, pelajar contoh lagi.

Aik! Cikgu baru, alih-alih dah jadi warden dah? Ish, tak boleh jadi ni. Ah, tapi tak apalah. Dia tak kacau hidup aku pun. Petang-petang hari dia dah bising kat atas tu, kat depan dewan makan. Apa hal entah? Malaslah nak ambil pusing. Begitulah aku masa dia mula-mula jadi warden.

Jap! Jap! Lain macam je berita yang budak-budak kecil tu bawa.

“Awak cakap apa tadi?” Tanyaku pada budak tadi. Biasalah, budak junior makan dulu, setengah jam kemudian baru budak sinier makan.
“Cikgu Khairul suruh semua orang habiskan makanan,” Ulang budak itu sekali lagi.

Mengada-ngada betullah dia tu! Baru berapa bulan jadi warden. Nanti entah apa-apa lagilah tu! Nasib badanlah!

“Hari ni, saya nak, semua orang habiskan makanan dalam tray masing-masing. Selagi tak habis, jangan bangun,”

Alah, tak apa, hari nil auk ayam. Ejekku dalam hati. Sayur ni… Ah, bagi jelah kat orang. Hari itu, aku selamat dan turun dengan jayanya.

Bila hari dia warden je, dengan berbekalkan pengalaman yang aku timba semasa zaman pemerintahan Cikgu Sharifah dan Cikgu Mastar dulu, aku sering bertanya kepada Abang Lan (tukang masak)

“Lauk apa hari ni Abang Lan?” Senyum lebarlah aku kalau jawapannya ayam. Tapi kalau ikan,
“Abang, letak nasi saya sikit je, ya. Tak nak banyak-banyak, tau.”

Kalau nasi dalam tray banyak ketika lauk ikan, kelam-kabutlah aku mencari bekas nasi tambah, nak kurangkan nasi dalam tray. Tak pun aku bagi kawan yang nak tambah.

Tapi dia ni lain macam sikitlah. Pemerhatian dia tajam.

“Saya nak, semua orang makan apa yang ada dalam tray masing-masing sampai habis. Kalau nak tambah, angkat tangan, mintak. Jangan ambil kawan punya. Kita ada tambah. Tak payah nak baik hati nak tolong habiskan orang punya. Kalau tak, dengan awak-awak sekali saya denda. Saya tak kira, makanlah awak. Sampai bunyi loceng sembahyang Maghribpun tak apa, saya tunggu,” Gulp! Peluang aku nak selamat makin tipislah ni! Ish, dia ni bukan tahap masalah dah ni, ini dah sampai tahap bala ni! Menyampah aku dengar ucapan alu-aluan dia tu. Dengan pelatnya tu, Iiiiii! Geram aku!!! Dia ni kalau bercakap ada pelat sikit, pas tu ada gaya yang cukup buat tahi telinga student kat sini cair.

Mulai dari hari tu, ada yang mengatakan aku makan banyak sebab selalu makan sampai loceng sembahyang kalau masa Cikgu Khairul warden. Lantaklah! Apa orang nak kata! Bukan aku makan banyak! Dah, dia tu paksa aku makan benda yang aku tak suka. Lambatlah jadinya. Malang betul nasib aku. Asal dia warden je lauk ikan, asal lauk ikan je, dia warden. Warden-warden lain ni pula, macam tak ada cikgu lain nak dijadikan warden ganti. Masa dia orang wardenlah, dia orang nak ada hal. Pas tu, ganti dengan si dictator yang tak ada perasaan ni. Tapi kira bagus sikitlah kalau si dictator tu warden hari sekolah. Makan malam je yang aku kena mengadap muka dia. Kalau hari cuti, aku rasa nak jadi halimunan je. Biar dia tak nampak aku. Apa taknya, Saranpan, minum pagi, makan tengahari, minum petang, makan malam complete, dia mesti jadi Pak Cangak kat dewan makan tu. Nasib baik minum malam tak wajib, kalau tak, awal-awal lagi dia dah terpacak kat dewan. Kalau hari cuti, mi kasar yang aku tak suka, biskut lemak yang aku tak gemar, kuih donat yang aku tak minat, semuanya kena habiskan. Kalau setiap kali makan tu semuanya menu yang aku tak suka? Itu baru bab makan! Tak termasuk bab lain lagi! Dia ni, bukan warden, tapi pendera mental dan fizikal. Boleh telefon teledera ni. Waduh! Pusing deh!

Suatu hari,
“Tinta! Tinta! Duduk! Habiskan makanan awak!” Alamak, bukan tadi dia dah keluar ke? Dia pakai ilmu apa ha? Tau je aku nak bangun? Memalukan aku je, dah semua orang tahu, aku nak lari. Dada aku ni dah berapi ni, dah menjulang lebih tinggi dari bumbung dewan makan ni. Macam biasalah, aku tinggal seorang di meja makan. Bukan setakat tinggal sorang kat meja makan, tinggal sorang kat dewan makan ni pun aku dah biasa sejak dictator ni ambil alih pemerintahan. Habis zaman kegemilangan aku! Pekerja dewan makan pun dah sedia maklum dah. Apa tidaknya, masa dia orang mula kemas dewan, aku masih lagi makan.

“Haha! Tinta kena duduk balik,” Kedengaran suara-suara sumbang mentertawakan aku. Dari jauh, aku dengar si Mr. Diktator tu sibuk bercerita yang aku kena duduk balik sebab tak habis makan.

“Hei! Apa cikgu ni???” Panas betul hatiku ketika itu. Mukaku masam mencuka. Elok je nasi aku tinggal sikit, dia datang tambahkan nasi dalam tray aku. Dahlah, nak habiskan yang tadipun siksa! Ini ditambahnya lagi! Sabar, Tinta, sabar, cover, cover. Dekat hati aku ni, laha gunung berapi dah meletus dah. Nantilah kau! Diktator, kalau aku jadi cikgu esok, siaplah anak kau! (masa tengah geram tulah). Dia ketawa. Mungkin puas sebab dapat sakitkan hati aku. Dia ni ada satu habit, suka buat orang sakit hati, lepas tu dia akan ketawa kesukaan. Aku tak tahulah dia ni makhluk dari planet mana! Pengikut Hitler dulu kot, hidup balik! Ataupun Hitler bersi baru!

Tak cukup dengan tu, dia ambil pula pinggan nasi dia tu, datang makan semeja dengan aku. Ish!!! Bengang betullah!

“Hei! Awak makan ke kira nasi?” Tanyanya setelah dilihatnya aku bermain-main dengan nasi.
“Makanlah ni,” Aku menyuapkan sedikit nasi ke mulut. Menyampah! “Hei! Awak makan ke kira nasi?” Ejekku dalam hati. Tak berapa lama kemudian,
“Awak tahu tak Tinta?”
“Apa dia?” Soalku malas. Nak cakap tu, cakaplah! Mengada-ngada nak Tanya-tanya pula. Malas aku nak bersoal jawab dengan dia ni. Ishhh!
“Nasi tu, pada zaman hidupnya, sentiasa bertasbih pada Allah. Kalau kau buang dia, menangislah dia kat dalam tong sampah tu,” Alamak, dia ni! Kalahlah aku dengan ayat macam ni. Terus aku teringat moyangku yang sering cakap begitu dulu bila aku tak mahu habiskan makanan. Aku dahlah sayang gila kat moyang aku tu. Aku pun mula menyuap kembali. Tapi… Tak sedap. Suapanku kembali perlahan.
“Sayur tu…”
“Ya, bertasbih pada masa hidupnya,” Sambungku cepat tanpa membenarkan dia menghabiskan kata-katanya. Aku pun makan sayur pula bersama nasi. Dia ketawa lagi. Benci aku!!! Ketawa dia tu, ibarat memerah air limau nipis ke luka tahu!
“Awak nak sayur lagi?”
“Tak nak! Cikgu jangan mengada ek!” Aku melarikan trayku sebelum dia sempat menambahkan sayur ke dalam tray tersebut. Nasi tu okay lagilah. Tapi yang selalu aku sangkut, bab sayur. Heiii! Lemah betul aku.

“Sedap makan? Dah kenyang?” Itulah soalan yang sering dilontarkan kepadaku setelah aku berjaya menghabiskan semua makanan ke dalam trayku. Biasanya soalan itu ku jawab dengan cebikan atau muncung yang panjang sedepa. Tapi Cikgu Khairul tak pernah marah. Dia hanya ketawa kegirangan menerima reaksi tersebut daripadaku. Ish! Menyampahnyaaaa Aku!!! Takkanlah dia tak faham yang aku tak suka kalau dah reaksi aku macam ni? Dia kan cikgu, dahlah tu, selalu cakap yang dia tu pandailah, bijaklah, takkan itu pun tak faham???

Agaknya, sebab dah selalu dipaksa makan sayur, jadi sekarang ni, aku sukakan sayur dan tidak lagi bermasalah untuk menghabiskan sayur. Sayur peria yang pahit dan paling aku tak suka pun aku boleh makan sekarang.

Kepada Mr. Diktator yang aku yakin membaca enteri ni, terima kasihlah banyak-banyak kerana mengajar saya makan sayur. Sukalah tu!!! Mesti tengah ketawa berdekah-dekah baca enteri ni. Ni tengah muncung ni, tujuh kali ganda lebih panjang dari masa kat sekolah dulu. Amboi! Bukan main suka lagi bila baca enteri masak sayur tu. Huh!

Friday, July 17, 2009

Esok...

Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang masih memberi kesempatan untuk aku bernafas.

Hari ni... Ada kelainan sikit di rumahku. Ibu, adik dan kakak Hana ada di rumah. Mesra alam betul Ibu Hana tu. Aku senang berbual dengannya. Orangnya banyak cakap dan kelakar. Tak kering gusi dibuatnya. Tak sabarnya nak tunggu pukul 6.00, nak balik.

Macam biasalah, aku ingat, malam ni aku nak masak ringkas je. Masak sawi tumis air. Biasalah, malam kan aku makan sayur je. Esok atau lusa, ingat nak buat bubur nasi untuk sarapan. Lauk pula ingat nak masak ayam masak lemak cili api dan ayam paprik (bukanlah dalam hari yang sama). Minggu ni kan ada tetamu, masak istimewa sikitlah. Lagipun hari cuti, banyaklah masa yang aku ada untuk masak. Kesian Hana, hari kerja, tiap-tiap hari dia masak. Yalah, dia kan balik awal. Nak harapkan aku yang balik pada senja kala ni, alamat lambatlah makan malam. Tapi, sesekali je aku makan malam. Balik kerja pun aku kena masak juga, masak untuk menu kesihatan akulah, apa lagi masak sayur. Malam kan, aku makan sayur je. Ada masa teringin tu, aku makanlah juga nasi. Nak-naknya kalau Hana masak sambal. Itukan masakan kegemaran aku tu. Agak tak boleh kawal nafsu makan tu, makanlah juga. Tapi tak boleh selalulah.

Diet untuk apa? Ha, diet aku ni berbeza dengan diet orang lain tau. Bukan sebab nak kuruskan badan aku yang dah memang sedia kurus ni. Tapi, diet untuk keseimbangan zat makanan. Aku nak berisi sikit jadi, aku perlukan zat yang seimbang (bukan main makan je bagi badan naik). Dan makan sayur adalah salah satu cara ke arah itu. Bukan makan sayur sikit-sikit tau, semangkuk sayur atau lebih. Jadi, hari-harilah aku kena fikirkan masakan sayur yang berbeza supaya sayur tu menyelerakan dan sedap dimakan. Sebagai usaha untuk kesihatan, sekarang ni, aku ada rutin mingguan yang baru. Hari minggu, aku pasti akan ke gymesium. Yalah, selain daripada pemakanan yang baik, bersenam itu penting. Jadi, pagi-pagi lagi aku akan bersiap untuk ke gym. Harap-harap, aku istiqamah dalam melaksanakan semua ini. Oh ya, buah untuk sarapan pagi pun tak ada ni, jadi, kenalah beli minggu ni. Kalau tak berkesempatan, makan kismis dan oat jelah sarapan minggu depan.

Aku terbaca satu artikal baru-baru ni, kita kena makan antara lima hingga enam kali sehari. Dan waktu makan tu, mesti konsisten pada setiap hari. Sarapan tu paling penting kerana dia akan mempercepatkan proses pembakaran kalori selain daripada memberi tenaga kepada tubuh. Patutlah abah aku marah bila aku atau adik-adik enggan bersarapan. Rupanya, sarapan juga membantu otak berfungsi dengan baik. Aku masih ingat, bagaimana beberapa bulan lalu, ketika abah ada di rumahku. Hari itu, aku lambat ke pejabat dan aku tidak mahu bersarapan kerana bimbang akan lewat. Abah marah dan paksa aku makan. Begitulah abah. Masa sekolah dulu, aku selalu dihantar ke sekolah menjelang buka persekolahan setelah bercuti. Memang abah yang akan hantar aku dengan kereta dari Kelantan ke JB. Kadang-kadang, kami sampai ke JB pagi hari persekolahan kalau abah tidak boleh hantar awal. Walaupun lambat, abah pasti akan mengajak aku ke kedai untuk bersarapan terlebih dahulu. Atau pun, abah akan bungkuskan sarapan dan tidak lupa untuk berpesan padaku, jangan lupa sarapan sebelum masuk kelas. Makan apa yang abah bagi tu.

Memang susah nak jaga kesihatan ni. Patutlah, abah beli basikal semata-mata untuk keluarkan peluh. Katanya, kerja di pejabat macam dia tak berpeluh. Abah juga jika ada masa terluang pasti akan berjoging. Kalau tak pun main badminton. Cuma sekarang, sejak abah sering sakit belakang, abah tidak lagi bermain badminton.

Tuesday, July 14, 2009

Lelaki Sejati

Mari sama-sama kita renungkan email yang aku terima dari seorang sahabat.


Aku bertanya pada Ibuku, bagaimanakah lelaki sejati itu ?
Ibuku menjawab, Nak...

Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari bahunya yang kekar,
tetapi dari kasih sayangnya pada orang disekitarnya...

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari suaranya yang lantang,
tetapi dari kelembutannya mengatakan kebenaran...

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari jumlah sahabat di sekitarnya,
tetapi dari sikap bersahabatnya pada generasi muda bangsa...

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari bagaimana dia di hormati ditempat bekerja,
tetapi bagaimana dia dihormati didalam rumah...

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari kerasnya pukulan,
tetapi dari sikap bijaknya memahami persoalan...

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari dadanya yang bidang,
tetapi dari hati yang ada dibalik itu...

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari banyaknya wanita yang memuja,
tetapi komitmennya terhadap wanita yang dicintainya...

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari jumlah tanggungjawab yang dibebankan,
tetapi dari tabahnya dia menghadapi liku-liku kehidupan...

Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari rajinnya membaca kitab suci,
tetapi dari konsistennya dia menjalankan apa yang ia baca...

Kepada pembaca lelaki, apakah anda telah memiliki ciri-ciri yang dinyatakan di atas?

Jika belum, berusahalah ke arah itu kerana di bahu andalah tempat wanita sandarkan harapannya. Kerana anda tunggak kebahagiaan keluarga.

Teruskan! Jangan Tangguh Lagi!!!

Sudah empat tahun ku biarkan novel tulisanku terbengkalai. Tiada pengakhiran dan tiada kesudahan. Aku pun tak tahu mengapa sejak kebelakangan ini, aku malas berkarya. Ish! Tak boleh jadi ni. Akanku gagahi untuk siapkan novel tersebut. "Bismillahir rahmanir rahim"

Monday, July 13, 2009

Mimpi Yang Menakutkan Dan Cerita Hakim

Malam itu, aku tidur seperti biasa. Namun lenaku tidak diulit mimpi indah yang sering aku dambarkan. Aku bermimpi menerima panggilan telefon dari seseorang yang mengatakan mama ku telah kembali ke rahmatullah. Anehnya, aku tidak mahu pulang untuk memberikan penghormatan terakhir buatnya. Aku seakan tidak percaya dengan berita yang dikhabarkan. Sejurus aku terjaga, mengingatkan kembali mimpi itu.

"Kalau kita bermimpi seseorang itu meninggal dunia, itu maknanya, Insya-Allah, orang itu mempunyai umur yang panjang. Tapi mungkin pada masa kita bermimpi itu, dia sedang sakit." Sejenak, patah bicara Cikgu Sali (guru sekolah agama semasa di PES) terngiang di telinga.

Apa benarkah itu maknanya? Dan semalam... Aku menelefon rumah. Dari cerita Acik, mama ku sihat-sihat saja. Aku lantas menceritakan mimpi tersebut padanya. Acik tergelak kecil.

"Mama pun mimpi benda yang sama. Mimpi tentang mati," Gulp! Aku telan liur.

"Siapa yang mati?" Pantas aku bertanya.

"Mama mimpi adik kau mati," Ah, Acik adik ku itu suka bergurau.

"Yalah, adik yang mana? Engkau ke? Ke Angah?"

"Hakim,"

Hakim adik bongsuku? Mungkin ini satu kebetulan. Menerusi Acik, ku ketahui Hakim juga sihat. Dia baru pulang ke MRSM Sabtu lalu setelah pulang bercuti hujung minggu. Hakim, ah rindu pula aku pada dia. Kenapalah, aku lupa untuk telefon rumah Jumaat lalu bertanyakan kalau-kalau Hakim pulang bercuti? Jika tidak, mesti aku dapat berbual-bual dengannya. Hmmm... Hakim adikku yang si pemalu dan tidak banyak cakap itu sudah mampu bercerita panjang sejak tinggal di asrama. Kadang-kadang ceritanya bisa meledakkan gelakku. Apatah lagi bila mengenangkan sikapnya yang malu dan sering menjawab "tak tahu" apabila ditanya pada suatu ketika dahulu, sudah pandai berbual dan berlawak. Cerita percutiannya ke Paris, London dan Itali pada Jun lalu pun belum habis diceritakannya padaku. Aku ingat lagi petang setelah ia pulang dari sana, aku menghubunginya. Bukan main asyik lagi dia bercerita tentang negara-negara yang dikunjunginya. Dia turut membuat perbandingan sikap antara penduduk negara tersebut. Paling buat aku gelak, dia bandingkan kucing-kucing di ketiga-tiga negara tersebut. Hakim memang begitu. Dia amat sukakan kucing. Hakim... Hakim...

"Negara mana yang Hakim suka, London ke, Perancis ke Itali?" Tanyaku mengujinya. Tanpa dia tahu senyumku leretkan di bibir.

"Kenapa? Tak suka Itali?" Dugaku lagi."Hakim suka London," Jawabnya teruja.

"Orang Itali tu, masam je muka. Pentingkan diri sendiri. Tak mesra langsung. Kalau orang London, senyum je. Ramah pula tu. Kalau tengok kita terpinga-pinga, terus datang tawarkan bantuan," Ceritany