SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA

Sunday, December 14, 2014

Rumah Sewa Baruku

Alkisahnya, setelah sekian lama aku mencari rumah sewa, akhirnya dapatlah sebuah rumah teres lama 2.5 tingkat di Desa Setapak. Memang dekat sangat dengan LRT kalau jalan kaki lebih kurang dua minit. Mula-mula aku ingat agen tu saja cakap manis untuk lakukan rumah sewa dia. Tapi bila dah cuba terlalu dekat. Alhamdulillah. Tak sia-sialah lama mencari dan memilih. Bukan cerewet tapi untuk keselamatan dan kemudahan kami. Mula menyewa sejak 2007 tak pernah duduk rumah atas tanah. Semuanya rumah dalam bangunan. So kali ni mungkin rezeki kucing-kucing kesayangan aku kot, dapatlah rumah teres. Sewa mahal sikit tak apa, adalah rezeki lain yang Allah nak bagi tu. Rumah ni sebenarnya tiga tingkat. Habis tu macam mana jadi 2.5 tingkat pulak? Sebab, bawah ruang tamu yang luas beserta dapur. Ada ruangan belakang rumah dan depannya ditutup atap. Jangan main-main, ada tangga Cenderella tau untuk naik ke atas. Tingkat dua ada dua bilik dan satu bilik air. Manakala tingkat tiga ada satu saja bilik yang terdapat bilik air di dalamnya. Bilik ni luas berbanding dengan bilik bawah. OK, bilik ni aku punya jadi, kenalah bayar lebih sikit. Privasi katanya. Berapa kena bayar untuk masuk rumah ni? Sewa RM1,200.00 so 1 +2 =RM3,600.00 +Deposit air dan elektrik RM600.00 +agreement fee RM300.00 total RM4,500.00. Memang sakit sikit.Tapi tak apalah. Tuhan tahu yang terbaik buat kita sebab tu Dia bagi rumah ni. Maknanya, seorang lagi housemate diperlukan. Tak tahulah siapa yang nak sewa rumah mahal macam ni. Kalau orang dah biasa menyewa mesti tak kisah. Tapi mereka yang tak biasa mesti kata mahal. Mana nak cari yang murah kat KL ni? Flat dua bilik dekat LRT pun RM1,000.00. Tak ke gila namanya? Cari rumah lain? Tak payahlah. Aku dah penat. Takkan nak minta tangguh keluar dengan tuan rumah ni yang tak sabar-sabar nak suruh kami keluar? Tak naklah. Adalah rezeki tu. Tuhan yang bagi yang ni, takkan Dia nak biarkan hambaNya susah? Allah tak zalim. Dia bagi apa yang layak dan mampu bagi hambaNya. Masuk 15 Disember ni. OK, rumah lama nipun aku ada masa sampai hujung bulan. Jadi bolehlah masuk barang sikit-sikit. Pagi nanti bayar diposit dan dapat kunci. Korang doa ya supaya rumah ni OK dan tuan rumah tak buat perangai. First time menyewa rumah yang ownernya chinese. Sebelum masuk, aku nak upah orang bersihkan lagi rumah ni dan cat supaya nampak lebih menarik. Yelah, kita nak duduk. Kalau tuan rumah tak buat, kita usahalah. Harapnya, Jarry, Chiko dan Hazel akan suka dengan rumah baru ni. Korang jangan murung pulak. A

Monday, December 1, 2014

Teks Ucapan Pembahas OKU Di Persidangan Puteri UMNO Pada 26 November, 2014

Persidangan ini diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Nota: - Teks ini sedikit berlainan daripada ucapan yang terdapat dalam video di mana-mana laman sesawang kerana pembahas diminta untuk menyampaikan ucapan tersebut tanpa teks. Namun begitu, usulnya tetap sama. - Penulis teks merangkap pembahas tidak terlibat dalam dunia politik dan tidak menjadi mana-mana ahli kepada parti sama ada pemerintah atau pembangkang. Penulis teks merangkap pembahas sekadar mengambil peluang untuk menyampaikan suara OKU apabila diberi peluang dan ruang. Ini merupakan salah satu daripada usaha perjuangan terhadap golongan senasib. Terima kasih Pengerusi Tetap YB Datuk Hjh Mas Ermieyati Shamsudin, Ketua Puteri UMNO Malaysia Y.Bhg Saudari Zahidah Arik Khan, Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia Wakil-wakil Majlis Tertinggi UMNO, Malaysia, Sidang Perwakilan Para Pemerhati Para Media Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian Assalammualaikum WBT... Pertama sekali, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Puteri UMNO kerana sudi menjemput saya bagi menyampaikan aspirasi beliawanis OKU. Apabila melihat Golongan Kurang Upaya atau OKU di mana-mana, apakah yang masyarakat lakukan? Kebanyakan orang akan memandang OKU dan berkata dalam hati, “kesian, cacat,”. OKU sering dipandang simpati tetapi jarang sekali masyarakat empati terhadap OKU. Sebenarnya kami, golongan OKU tidak minta dikasihan belas atau dipandang luar biasa. Berdirinya saya di sini hari ini, bukanlah untuk meminta simpati atau keistimewaan. Tetapi, hadirnya saya di sini adalah untuk menuntut kesamarataan hak sesama manusia di Bumi Malaysia yang merdeka ini. Golongan muda khususnya pemudi OKU yang akan menjadi pelapis generasi bangsa memohon sokongan, galakan, peluang dan ruang dalam pelbagai aspek. Sesungguhnya, kami amat menyanjung tinggi dan menghargai segala usaha kerajaan sedia ada dalam menangani isu OKU umumnya serta Beliawanis OKU khususnya. Namun begitu, usaha perlu digiatkan bagi mencapai pengupayaan OKU secara lebih meluas. Dalam proses mengupayakan OKU, golongan ini harus dilibatkan dengan semua program yang dirancang tanpa mengasingkan OKU dengan mengadakan program yang khusus untuk OKU sahaja. Apa saja program dan latihan yang dirangka untuk wanita haruslah mengintegrasikan wanita OKU dalam program tersebut. Kami tidak mahu pengasingan, apa yang kami mahu perhatian yang lebih khusus daripada pihak berkenaan. Selain usaha-usaha pengupayaan OKU itu sendiri, usaha Usaha memupuk kesedaran tentang keperluan dan potensi seseorang OKU kepada seluruh pihak sangat diperlukan. Di mana usaha-usaha ini boleh dilakukan melalui pelbagai saluran terutamanya menerusi media cetak dan elektronik milik kerajaan. Medium ini seharusnya digunakan sebaiknya bagi memupuk kesedaran di kalangan masyarakat dengan memaparkan rialiti kehidupan, keupayaan, kejayaan OKU, serta cara komunikasi dengan golongan berkenaan agar OKU ini tidak asing pada pandangan umum. Oleh itu, beberapa perkara wajar diberi perhatian bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara mesra OKU. eskipun bilangan OKU dianggap kecil, ia masih satu jumlah yang besar. Daripada anggaran 29.7 juta rakyat Malaysia, 4.4 juta daripadanya adalah OKU. Kerajaan mengiktiraf anggaran World Health Organization (WHO) ini yang dikeluarkan oleh Bank Dunia. Sehingga Julai 2014, jumlah OKU berdaftar adalah seramai 506,228 orang. Justeru, isu didepani OKU kian pelbagai dan kompleks bermula daripada kelahiran, kemahiran, pekerjaan dan sara diri, perumahan, dan perundangan. Meskipun isu-isu tersebut boleh disifatkan umum, namun bagi OKU yang diciptakan sedemikian rupa, perhatian khusus mestilah diberi. Perhatian khusus di sini bukan bermakna bantuan khusus atau keistimewaan tertentu bagi OKU. Tetapi, pemberian hak, program atau antuan yang diperoleh oleh golongan normal hendaklah disalurkan secara saksama terhadap golongan OKU agar golongan ini tidak terpinggir daripada sebarang program pembangunan yang dirancang kerajaan Dalam bidang pekerjaan misalnya, golongan wanita OKU sama seperti golongan wanita normal yang punya pendidikan dan kemahiran tertentu yang dijadikan aset bagi menjana ekonomi negara. Jika dilihat, dewasa ini rata-rata OKU mempunyai pelajaran. Peluang pendidikan yang diberikan terhadap golongan ini amat luas sehingga OKU berjaya menandingi pelajar normal dalam pelajaran. Malangnya, setelah tamat pengajian, peluang pekerjaan amat terhad. Makin tinggi tahap pendidikan yang dimiliki OKU maka makin terhad peluang memperoleh pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan. Kuota 1 pratus pekerja OKU dalam sesebuah jabatan sebagaimana menjadi dasar kerajaan sejak 1988 masih menyedihkan. 26 tahun berlalu, kebanyakan sektor awam masih belum memenuhi kuota ini. Namun pujian harus diberikan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat kerana berjaya memenuhi kuota ini dan kami amat berharap supaya, kementerian ini tidak berhenti setakat 1 pratus sahaja malah terus memberi peluang tersebut kepada OKU yang mempunyai kredibiliti bagi menyandang jawatan di kementerian itu pada masa akan datang. Kami juga menyeru agar peluang pekerjaan tidak hanya tertumpu kepada jawatan-jawatan yang menjadi kebiasaan bagi OKU umpamanya operator dan khidmat pelanggan. Tetapi, peluang menyandang jawatan di peringkat pembuat keputusan harus diberikan. Kebanyakan OKU yang menghadapi masalah pekerjaan ini adalah OKU lepasan sekolah dan keadaan lebih runcing bagi mereka lepasan IPT. Sepertimana wanita normal tidak menjadi keutamaan dalam banyak hal, keadaan beliawanis OKU lebih lagi terjejas bilamana golongan ini terdiri daripada wanita dan ditambah dengan kecacatan yang dialami. Sebagaimana telah kita sedia maklum, pengupayaan OKU adalah satu hak di sisi perundangan. Walau bagaimanapun, ianya masih berhadapan dengan cabaran pendekatan kebajikan dan simpati. Hal inilah yang menghalang kepada pembangunan serta kemajuan OKU. Selagi OKU dianggap lemah dan penerima bantuan atau simpati, selama itulah peluang bagi OKU membuktikan keupayaannya tertutup. Akhirnya, golongan ini tidak dapat menyumbang kepada pembangunan negara sedangkan OKU mampu “berdiri sama tinggi, duduk sama rendah” dengan golongan normal. Usaha ke arah menjadikan inspirasi kerajaan yang ditampilkan melalui pelbagai komitmen di peringkat antarabangsa dan serantau dalam hal-ehwal OKU mesti dijelmakan. Pelbagai wacana, forum, dialog bersama OKU dan mereka yang berkepakaran dalam perkara-perkara perundangan dan dasar mesti dipergiat. Pembaharuan perundangan sedia ada mesti dilakukan agar ianya lebih berkesan dalam mempertahankan hak golongan ini. Sehubungan dengan itu, kami ingin mencadankan agar satu unit berupa unit pengupayaan OKU di peringkat tertinggi yang bertanggungjawab kepada kabinet bagi memastikan hak yang diberi kepada OKU benar-benar dirasai oleh OKU dan keluarga ditubuhkan. Lebih dari itu, unit ini akan berfungsi sebagai unit yang memantau, menilai dan memastikan semua dasar serta peraturan bersesuaian dengan keperluan dan potensi OKU. Semoga aspirasi ini akan membawa perubahan kepada Golongan OKU dengan sokongan, dorongan serta peluang daripada pelbagai pihak khususnya pihak pemerintah. Sekian, terima kasih.