Dari hati seorang perempuan: Pandangan merentasi sempadan khatulistiwa, sedalam jurang Mariana, melewati lautan pasifik.
SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA
Monday, December 1, 2014
Teks Ucapan Pembahas OKU Di Persidangan Puteri UMNO Pada 26 November, 2014
Persidangan ini diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Nota:
- Teks ini sedikit berlainan daripada ucapan yang terdapat dalam video di mana-mana laman sesawang kerana pembahas diminta untuk menyampaikan ucapan tersebut tanpa teks. Namun begitu, usulnya tetap sama.
- Penulis teks merangkap pembahas tidak terlibat dalam dunia politik dan tidak menjadi mana-mana ahli kepada parti sama ada pemerintah atau pembangkang. Penulis teks merangkap pembahas sekadar mengambil peluang untuk menyampaikan suara OKU apabila diberi peluang dan ruang. Ini merupakan salah satu daripada usaha perjuangan terhadap golongan senasib.
Terima kasih Pengerusi Tetap
YB Datuk Hjh Mas Ermieyati Shamsudin, Ketua Puteri UMNO Malaysia
Y.Bhg Saudari Zahidah Arik Khan, Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia
Wakil-wakil Majlis Tertinggi UMNO, Malaysia,
Sidang Perwakilan
Para Pemerhati
Para Media
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian
Assalammualaikum WBT...
Pertama sekali, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Puteri UMNO kerana sudi menjemput saya bagi menyampaikan aspirasi beliawanis OKU.
Apabila melihat Golongan Kurang Upaya atau OKU di mana-mana, apakah yang masyarakat lakukan? Kebanyakan orang akan memandang OKU dan berkata dalam hati, “kesian, cacat,”. OKU sering dipandang simpati tetapi jarang sekali masyarakat empati terhadap OKU. Sebenarnya kami, golongan OKU tidak minta dikasihan belas atau dipandang luar biasa. Berdirinya saya di sini hari ini, bukanlah untuk meminta simpati atau keistimewaan. Tetapi, hadirnya saya di sini adalah untuk menuntut kesamarataan hak sesama manusia di Bumi Malaysia yang merdeka ini. Golongan muda khususnya pemudi OKU yang akan menjadi pelapis generasi bangsa memohon sokongan, galakan, peluang dan ruang dalam pelbagai aspek. Sesungguhnya, kami amat menyanjung tinggi dan menghargai segala usaha kerajaan sedia ada dalam menangani isu OKU umumnya serta Beliawanis OKU khususnya. Namun begitu, usaha perlu digiatkan bagi mencapai pengupayaan OKU secara lebih meluas. Dalam proses mengupayakan OKU, golongan ini harus dilibatkan dengan semua program yang dirancang tanpa mengasingkan OKU dengan mengadakan program yang khusus untuk OKU sahaja. Apa saja program dan latihan yang dirangka untuk wanita haruslah mengintegrasikan wanita OKU dalam program tersebut. Kami tidak mahu pengasingan, apa yang kami mahu perhatian yang lebih khusus daripada pihak berkenaan.
Selain usaha-usaha pengupayaan OKU itu sendiri, usaha Usaha memupuk kesedaran tentang keperluan dan potensi seseorang OKU kepada seluruh pihak sangat diperlukan. Di mana usaha-usaha ini boleh dilakukan melalui pelbagai saluran terutamanya menerusi media cetak dan elektronik milik kerajaan. Medium ini seharusnya digunakan sebaiknya bagi memupuk kesedaran di kalangan masyarakat dengan memaparkan rialiti kehidupan, keupayaan, kejayaan OKU, serta cara komunikasi dengan golongan berkenaan agar OKU ini tidak asing pada pandangan umum.
Oleh itu, beberapa perkara wajar diberi perhatian bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara mesra OKU. eskipun bilangan OKU dianggap kecil, ia masih satu jumlah yang besar. Daripada anggaran 29.7 juta rakyat Malaysia, 4.4 juta daripadanya adalah OKU. Kerajaan mengiktiraf anggaran World Health Organization (WHO) ini yang dikeluarkan oleh Bank Dunia. Sehingga Julai 2014, jumlah OKU berdaftar adalah seramai 506,228 orang. Justeru, isu didepani OKU kian pelbagai dan kompleks bermula daripada kelahiran, kemahiran, pekerjaan dan sara diri, perumahan, dan perundangan. Meskipun isu-isu tersebut boleh disifatkan umum, namun bagi OKU yang diciptakan sedemikian rupa, perhatian khusus mestilah diberi. Perhatian khusus di sini bukan bermakna bantuan khusus atau keistimewaan tertentu bagi OKU. Tetapi, pemberian hak, program atau antuan yang diperoleh oleh golongan normal hendaklah disalurkan secara saksama terhadap golongan OKU agar golongan ini tidak terpinggir daripada sebarang program pembangunan yang dirancang kerajaan
Dalam bidang pekerjaan misalnya, golongan wanita OKU sama seperti golongan wanita normal yang punya pendidikan dan kemahiran tertentu yang dijadikan aset bagi menjana ekonomi negara. Jika dilihat, dewasa ini rata-rata OKU mempunyai pelajaran. Peluang pendidikan yang diberikan terhadap golongan ini amat luas sehingga OKU berjaya menandingi pelajar normal dalam pelajaran. Malangnya, setelah tamat pengajian, peluang pekerjaan amat terhad. Makin tinggi tahap pendidikan yang dimiliki OKU maka makin terhad peluang memperoleh pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan. Kuota 1 pratus pekerja OKU dalam sesebuah jabatan sebagaimana menjadi dasar kerajaan sejak 1988 masih menyedihkan. 26 tahun berlalu, kebanyakan sektor awam masih belum memenuhi kuota ini. Namun pujian harus diberikan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat kerana berjaya memenuhi kuota ini dan kami amat berharap supaya, kementerian ini tidak berhenti setakat 1 pratus sahaja malah terus memberi peluang tersebut kepada OKU yang mempunyai kredibiliti bagi menyandang jawatan di kementerian itu pada masa akan datang. Kami juga menyeru agar peluang pekerjaan tidak hanya tertumpu kepada jawatan-jawatan yang menjadi kebiasaan bagi OKU umpamanya operator dan khidmat pelanggan. Tetapi, peluang menyandang jawatan di peringkat pembuat keputusan harus diberikan. Kebanyakan OKU yang menghadapi masalah pekerjaan ini adalah OKU lepasan sekolah dan keadaan lebih runcing bagi mereka lepasan IPT. Sepertimana wanita normal tidak menjadi keutamaan dalam banyak hal, keadaan beliawanis OKU lebih lagi terjejas bilamana golongan ini terdiri daripada wanita dan ditambah dengan kecacatan yang dialami.
Sebagaimana telah kita sedia maklum, pengupayaan OKU adalah satu hak di sisi perundangan. Walau bagaimanapun, ianya masih berhadapan dengan cabaran pendekatan kebajikan dan simpati. Hal inilah yang menghalang kepada pembangunan serta kemajuan OKU. Selagi OKU dianggap lemah dan penerima bantuan atau simpati, selama itulah peluang bagi OKU membuktikan keupayaannya tertutup. Akhirnya, golongan ini tidak dapat menyumbang kepada pembangunan negara sedangkan OKU mampu “berdiri sama tinggi, duduk sama rendah” dengan golongan normal. Usaha ke arah menjadikan inspirasi kerajaan yang ditampilkan melalui pelbagai komitmen di peringkat antarabangsa dan serantau dalam hal-ehwal OKU mesti dijelmakan. Pelbagai wacana, forum, dialog bersama OKU dan mereka yang berkepakaran dalam perkara-perkara perundangan dan dasar mesti dipergiat. Pembaharuan perundangan sedia ada mesti dilakukan agar ianya lebih berkesan dalam mempertahankan hak golongan ini.
Sehubungan dengan itu, kami ingin mencadankan agar satu unit berupa unit pengupayaan OKU di peringkat tertinggi yang bertanggungjawab kepada kabinet bagi memastikan hak yang diberi kepada OKU benar-benar dirasai oleh OKU dan keluarga ditubuhkan. Lebih dari itu, unit ini akan berfungsi sebagai unit yang memantau, menilai dan memastikan semua dasar serta peraturan bersesuaian dengan keperluan dan potensi OKU.
Semoga aspirasi ini akan membawa perubahan kepada Golongan OKU dengan sokongan, dorongan serta peluang daripada pelbagai pihak khususnya pihak pemerintah.
Sekian, terima kasih.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
10 comments:
Jujur saya katakan di sini bahawa saya tersangat jarang singgah dan komen di mana-mana blog kerana masa saya sangat terhad.
Terima kasih kerana sudi singgah dan meninggalkan komen di laman blog saya. Entri saudari tentang OKU sangat menarik perhatian.
Saya berhijrah ke Australia enam tahun yang lalu dan tinggal di dua buah bandar iaitu Melbourne dan Perth. Dalam waktu yang sama saya sudah mengelilingi seluruh negara. Sejak tahun 2012, saya dan suami pindah ke Amerika Syarikat.
Berbalik kepada isu OKU, saya ingin berkongsi pengalaman saya tentang OKU rakyat Australia.
Mereka dijaga dari segi pendidikan, kebajikan sejak dari kecil lagi. Dalam proses pembesaran hingga ke dewasa, mereka sudah mula berdikari hasil dari bantuan kerajaan serta sokongan moral dari keluarga, rakan-rakan dan rakyat serta penduduk Australia sendiri.
Saya dan rakyat Australia yang lain tidak pernah berasa 'kesiannya' apabila OKU di tempat awam. Ini kerana mereka menjalankan aktiviti harian seperti orang lain yang normal. Jadi tidak ada sebab untuk memandang rendah atau kasihan terhadap mereka.
Satu contoh - Saya pernah melihat seorang lelaki tua di dalam trem di Melbourne lebih kurang empat tahun lalu. Memakai sut formal dan membawa beg kerja. Dari segi penampilan nampak seperti seorang yang bekerja profesional. Apabila beliau hendak turun dari trem baru saya tahu yang beliau cacat penglihatan setelah melihat beliau meengeluarkan kayu putih.
Ramai sebenarnya OKU di Australia yang kadang-kadang saya sendiri tidak dapat membezakan mereka ini OKU dek kerana mereka sangat menjaga penampilan, profesional serta bekerja dari sektor kerajaan dan swasta.
Apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah tentang teks ucapan pembahasa tersebut. Rasa sangat sedih kerana OKU di Malaysia masih tidak mendapat tempat sama rata dengan rakyat yang lain malah berada di jurang yang sangat berbeza.
Saya berharap senario seperti ini akan berubah tidak lama lagi.InsyaAllah. :)
CK,
Saya adalah OKU Penglihatan. Dan sayalah yang menyampaikan ucapan tersebut dalam Perhimpunan Agung Puteri UMNO tahun lepas. Sebagai OKU, sekarang saya dan rakan-rakan berjuang agar OKU mendapat hak yang sama rata dengan masyarakat normal di Malaysia. Sebenarnya, Pendidikan di sini tidak menjadi masalah. Yang menjadi masalah adalah peluang pekerjaan. Jadi, di samping saya sendiri mencari peluang yang lebih baik, sementara saya di NGO ini dan selagi saya mampu, saya akan buat yang sehabis baik untuk komuniti saya.
Rakaman pembahasan berkenaan boleh dilihat di youtube dan laman Puteri UMNO Malaysia. Saya bukanlah orang politik atau ahli kepada mana-mana parti politik, sekadar menyampaikan suara komuniti saya tatkala mendapat peluang.
Oh ya, terima kasih juga kerana sudi menjenguk ke blog saya yang tak seberapanya ni.
Wah tak sangka ucapan tu dibaca oleh saudari sendiri. Proud of you. Semoga saudari sukses di masa hadapan. Dahulu kala saya pun bergiat aktif dalam Puteri UMNO. Memegang jawatan Ketua Puteri Cawangan Pusat Bandar Bahagian Ipoh Barat. Saya letakkan jawatan sebaik saya pindah ke Kuala Lumpur dan berkhidmat dengan MAS pada tahun 2004. Semuanya sudah tinggal kenangan :)
Oh macam tu. Tak sangka CK minat dengan politik. Saya ni bukan ahli Puteri UMNO, sekadar menyampaikan hasrat golongan senasib. Apapun terima kasih kerana sudi tingalkan komen kat sini.
Jangan panggil CK, panggil saya Shery saja. :)
Saya pun tak lah minat politik sangat. Tujuan saya menyertai Puteri UMNO pun untuk menarik generasi muda menjalankan kerja-kerja kebajikan. Dapat juga pengalaman saya menyertai pelbagai aktiviti dan kursus di pelbagai tempat,bandar dan negeri di Malaysia.
Lepas dah ada kerja tetap di Kuala Lumpur seterusnya berhijrah ke luar negara, saya memang dah tak terikat dengan Puteri UMNO. Malah jujur saya katakan di sini, saya sudah tidak berminat atau tidak menyokong mana-mana parti politik di Malaysia. :)
Ohh by the way. 26 November tu hari lahir saya. Hehehe :)
Oh, ya? Blog_TH2010, walaupun terlambat, saya ucapkan happy belated birthday untuk awak. Semoga sentiasa ceria dan bahagia di samping keluarga tercinta. Amin...
Shery, maafkan saya bertanya, Shery ni Shery yang pernah berlakon ke tu ke? Sebab diapun pernah jadi pramugari juga. Maaf kalau soalan ni tak sesuai di sini. Kalau Shery rasa ianya private, mungkin Shery boleh email saya di suteraemas20042000@yahoo.com
Saya sangat setuju dengan pendapat Shery. Dunia politik kat sini sekarang banyak kelemahan dan perlu diperbaiki. "Tak boleh komen lebih-lebih"
Post a Comment