SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA

Thursday, January 13, 2011

Anugerah Juara Lagu 25

Tiga hari sudah berlalu. Komen tentang AJL 25 bagai hujan lebat sama ada di laman sesawang, media cetak, media elektronik mahupun kedai-kedai kopi. Kini tibalah masanya untuk aku pula memberi komen.

Rasanya... Tak perlulah aku komen semua sebab banyak blog yang aku jumpa komen satu persatu dari persembahan pembukaan hingga ke persembahan penutup dan keputusan.

Aku hanya berminat nak komen fasal juara yang diumumkan pada malam tersebut. Semua orang sedia maklum "Tolong Ingatkan aku" lagu hasil tulisan dan ciptaan Ana Raffali telah dinobatkan sebagai juara. Pelbagai reaksi yang aku baca dan aku dengar. Ramai yang tidak bersetuju dengan keputusan tersebut. Tapi harus diingat, juri yang mengadili pertandingan pada malam tersebut adalah juri-juri yang berpengalaman serta arif dalam bidang penulisan lirik dan penciptaan lagu. Jadi, apa perlu dipertikaikan lagi?

Satu fakta penting yang perlu diingat, anugerah juara lagu bukanlah pertandingan penyanyi melainkan kategori vokal terbaik atau persembahan terbaik. AJL juga bukan anugerah kepada lagu popular atau artis popular. AJL sebenarnya mencari lagu terbaik. Saya ulang, "lagu terbaik" bukan "lagu popular atau sedap". Jangan emosional dalam hal ini. Jangan kecewa kalau penyanyi atau lagu yang anda suka tidak dinobatkan sebagai lagu terbaik. Juri pastinya mempunyai ciri-ciri tertentu dalam pengadilan mereka. Pastinya lagu yang menepati ciri-ciri tersebut akan diangkat sebagai juara. Jangan lagu itu sedap didengar, artisnya popular dan kita suka lagu tu, kita nak lagu tu menang. Lagu yang kita suka tidak semestinya lagu itu bagus. Kita suka sesebuah lagu tentunya kerana lagu itu menepati citarasa kita tanpa kita ambil peduli mutu dan kualiti lagu tersebut. Aku tak kata lagu-lagu lain yang bertanding tu tak bagus tapi juara pastinya yang terbaik antara yang bagus. Aku juga tidaklah merendah-rendahkan penulis atau pencipta lain.

Aku dah baca lirik lagu "Tolong Ingatkan Aku". Memang hebat lirik tu. Penuh dengan puitis dan diperkemaskan lagi dengan susunan kata yang indah. Itu belum lagi maksud yang ingin disampaikan. Diksi yang menyampaikan maksud cukup halus. Penceritaan tentang hal yang "simple" tapi disampaikan dengan lenggok bahasa yang penuh dengan metafora. Memang jauh bezanya kalau dibandingkan lirik "Tolong Jangan Ingatkan Aku" dengan lagu-lagu lain yang bertanding seperti "Hanyut", "Sofea Jane", "Selamat Malam", "Kebahagiaan Dalam Perpisahan" dan lain-lain. Lagu-lagu yang bertanding kebanyakannya ditulis dengan bahasa yang terus. Kurang perlambangan dan nilai estetika bahasa dari sudut puitisnya. Tapi, kita tidak boleh salahkan penulis atau penciptanya kerana mereka mempunyai "taget market" yang tersendiri dan liriknya perlu disesuaikan dengan lagunya. Cubalah anda ambil semua lirik lagu yang bertanding, dan bandingkan lirik-lirik tersebut. Jangan kerana sedap didengar anda mahu sesebuah lagu itu menang. Lirik yang mudah difahami bukan bermakna bagus. Bagusnya mungkin dari sudut lain seperti dapat menyampaikan maksud lagu kepada pendengar tapi tidak dari segi halus bahasanya.

Apa yang paling mengecewakan, terdapat segelintir wartawan yang kecewa dengan keputusan tersebut. Kenapa jadi begitu? Wartawan seharusnya profesional dalam menjalankan tugas. Wartawan seharusnya bersedia dengan pelbagai kemungkinan yang akan berlaku kerana umum sedia maklum bahawa dalam AJL tiada yang mustahil. Rasanya tidak munasabah wartawan yang menulis mengikut emosi mereka. Sebagai wartawan, mereka perlu bijak dalam penulisan. Buat "homework" dulu tentang AJL terutamanya tentang matlamat AJL diadakan. Buat kajian terhadap lagu-lagu yang bertanding. Cari kekuatan dan kelemahan setiap lagu. Melalui beberapa tulisan yang saya baca, wartawan seolah-olah menyebelahi seseorang artis dan sesebuah lagu sedangkan, sebagai wartawan, kita harus telus dalam penulisan berita. Kalau dalam hal-hal yang sekecil ini media kita tidak boleh bersifat terbuka bagaimanakah pula dalam hal-hal besar seperti politik dan kehakiman??? Tidak salahlah kajian yang dikeluarkan baru-baru ini meletakkan media kita di tangga antara yang terbawah dalam kebebasan media kita menyampaikan berita. Bebas di sini membawa banyak maksud sama ada bebas dari segi kekangan pihak lain atau bebas dari segi pemikiran. Adakah hal ini berlaku kerana wartawan yang ada bukan dari jurusan kewartawanan? Rasanya itu tidak menjadi masalah. Apabila kita sanggup memasuki bidang yang bukan dari jurusan sewaktu menuntut di IPT, seseorang itu perlu belajar disiplin sesebuah bidang yang diceburi. Ingat, wartawan merupakan antara profyesen penting yang boleh mempengaruhi khalayak. Jadi, berhati-hatilah dalam menjalankan tugas. Jangan tulis berlandaskan emosi sebaliknya, kayakan ilmu di dada baru tulisan kalian hebat. Jangan lupa, ilmu yang baik disampaikan kepada khalayak manfaatnya sepanjang zaman. Kalau ilmu atau berita yang salah disampaikan, buruk akibatnya. Bukan saja kepada masyarakat dan dunia bahkan kepada diri sendiri dan akhirat. Ingat, mata pena itu lebih tajam dari mata pedang. Oleh itu, jaga pena dan tinta kalian agar tulisan kalian memberi kebaikan kepada diri sendiri, masyarakat, negara, dunia dan akhirat. Kita hidup bukan sahaja untuk dunia tapi paling utama adalah akhirat. Tak kiralah tulisan kalian dalam bidang apapun, pastikan ianya membawa kebaikan.

Agaknya, kalau Ana Raffali tu popular macam Dato' Siti Nurhaliza mesti tak ramai yang pertikaikan kemenangannya.

Kepada Ana Raffali:
Tahniah atas kemenangan anda. Semoga kejayaan kali ini, menjadi titiktolak kepada karier anda sebagai anak seni. Ingat, seni juga mampu membuka fikiran khalayak. Maka, berbuatlah sesuatu yang mendatangkan manfaat meskipun anda dalam bidang seni. Sebagai salebriti, lengkapkan diri anda dengan penampilan yang baik dan menarik tapi tak semestinya seksi. Paling penting kemahiran komunikasi yang bagus walau dengan siapapun anda berkomunikasi sama ada dengan peminat, khalayak mahupun media. Jaga diri, jaga tatatertib.

No comments: