Sahabat,
Kepercayaanku padamu tiada taranya. Lantaran itu, aku luahkan isi hatiku tentang apa yang berlaku padaku. Soal peribadiku, ku ceritakan padamu untuk ku peroleh nasihat dan pendapatmu. Agar hati yang keliru mendapat petanda. Agar jiwa yang buntu beroleh petunjuk. Angin bertiup membawa berita tentang kisahku ke pengetahuan orang. Bagaimana orang tahu sedangkan hanya engkau sahabat, tempat aku luahkan segalanya?
Sahabat,
Butiran kisahku, ku rangkaikan padamu. Tidakkah kau ingat bahawa setiap kali aku bercerita, aku pasti akan mengingatkanmu yang cerita itu rahsia? Jadi mengapa perlu kau rungkaikan kisah peribadiku pada sahabatmu? Aku memberikan hak eksklusif kepadamu untuk mengetahui perjalanan kisah peribadiku kerana aku selesa bercerita denganmu dan paling penting aku percaya pada kejujuranmu. Tapi mengapa ada insan lain yang perlu tahu tentang itu? Sudah lama aku diamkan hal ini. Tapi hari ini... Fikiranku menerawang mengingatkan dirimu dan kisah peribadiku. Aku tertanya-tanya, bagaimana sahabatmu tahu akan hal peribadiku dengan terperinci (walaupun tak berapa lengkap tapi aku sendiripun tak tahu, tak berapa lengkap tu, apa yang tidak lengkap) yang pasti isi ceritanya telah diketahui sahabatmu. Mengapa sahabat? Mengapa tergamak kau melakukan itu padaku? Bersahabatlah sahabat dengan sesiapa yang kau suka, tapi tak perlulah kau bercerita rahsiaku padanya dan meminta dia merahsiakan hal itu kerana apabila kau bercerita padanya, maka secara tidak langsung, kau telah mendedahkan rahsiaku pada orang meskipun sahabatmu. Beberapa minggu lalu, aku amat terperanjat tatkala mengetahui ada orang lain yang tahu tentang kisahku. Kenapa ini semua terjadi, sahabat?
No comments:
Post a Comment