20 Mac, 2010, dengan tiga kali lafaz, maka sahlah Siti Noorhana Ali menjadi isteri kepada Mohd Yusof Yakop. Aku doakan semoga mereka berbahagia hingga akhir hayat. Aku tumpang gembira atas perkahwinan ini. Apatah lagi aku sebagai sahabatnya sejak dari sekolah sedikit-sedikit turut menyumbangkan tenaga dan masa untuk majlis perkahwinan tersebut yang diadakan di Diamond Square.
Masihku ingat, dua bulan lalu, aku dan Hana ke Jakel Masjid India membeli kain untuk dibuat baju pengantin. Kata Hana, dia kurang arif dalam jenis-jenis kain lalu dia meminta aku untuk memilihnya yang penting, warnanya krim. Memandangkan bos Jakel adalah bos tempat Hana bekerja dulu, potongan harga diberikan kepadanya. Sepanjang pengetahuan aku, baju untuk akad nikah biasanya kain lace atau shifon digunakan. Dengan ditemani seorang kakitangan Jakel, aku dan Hana mula memilih. Aku meminta pekerja tersebut memberikan contoh kain lace, shifon dan organza sebagai langkah pertama. Lalu, aku meminta Hana untuk memilih jenis kain yang dia suka. Secara peribadinya, aku sukakan lace tapi mana tahu kalau Hana sukakan kain shifon atau organza. Rasanya organza tu terus "out"lah bagi aku kerana teksturnya yang sedikit kasar berbanding lace dan shifon. Hana meminta pandangan aku, lalu aku menyatakan pendapat aku. Hana bersetuju. Seterusnya, aku meminta pekerja Jakel menunjukkan beberapa jenis kain lace. Setelah lama memilih lalu, kami memilih lace krim yang bersesuaian dengan budget Hana. Setelah itu, aku meminta pekerja tersebut menunjukkan kami tudung dan vail. Akhirnya, Hana buat keputusan untuk membeli tudung dan vail pada hari lain. Seterusnya kami ke sebuah kedai lagi untuk memilih tiara. Tapi, kata Hana, dia segan untuk memakai tiara. OK, tak apa tinggalkan tiara. Aku cadangkan dia pakai tudung, vail dan bunga sahaja.
Bulan lalu, ketika mummy di rumah aku, Hana meminta mummy, aku dan Haida untuk membantu membeli tudung, vail dan keronsang untuk majlis perkahwinanya. 11,00 pagi, kami ke Gelop untuk mencari barang yang diperlukan. Dari satu kedai ke satu kedai kami masuki untuk mencari tudung dan vail yang benar-benar cantik dan sesuai untuk Hana. Ketuanya sudah pastilah mummy. Entah berapa buahlah kedai yang kami masuki, aku pun tak pasti. Akhirnya, bertemu dengan vail yang dihajati. Sayangnya, tudung dalam yang diperlukan tidak ditemui. Bukan tak ada tudung krim yang kami temui tapi kata mummy tidak cantik. Mummy, kalau dah memilih biasalah. Dia akan cari sampai dia puas hati. Petang itu, kami pulang dengan vail dan kerongsang, tanpa tudung.
Selang beberapa hari, mummy yang keluar bersiar-siar membawa pulang sehelai tudung krim yang indah dan seni sulaman maniknya. Selesai bab pakaian.
Dua tiga minggu sebelum majlis, aku dan Haida sibuk menjemput kenalan rapat Hana untuk menghadiri majlis perkahwinannya.
Minggu-minggu akhir sebelum majlis, semua orang di pejabat sibuk dengan tugas masing-masing. Aku ditugaskan untuk mencari kumpulan kompang dan lagu-lagu pengantin.
Dua malam sebelum majlis, aku dan mummy memakaikan inai kepada Hana. Setelah selesai memakaikan inai di jari Hana, apa lagi, akupun tumpang berinai sekaki.
Sehari sebelum majlis, seawal jam 10.00 pagi, aku, Kak Imah dan anaknya sibuk mengupas kulit bawang, ubi kentang, dan lobak merah. Menjelang petang, Zura menyertai kami memotong timun dan lobak merah.
Pada hari perkahwinan Hana, 20 Mac, 2010 aku bangun seawal jam 5.25 pagi membersihkan diri dan solat Subuh. Pukul 8.00 aku perlu menemani mummy ke rumah Hana untuk menyolek dan menghiasnya. Barang-barang mekapku telah siapku masukkan dalam satu beg untuk digunakan di rumah Hana nanti. Mummy turut memasukkan eksesori pengantin ke dalam beg yang sama. Akulah tukang angkatnya. Berat juga beg ni. Oh ya, payung perlu dibawa bersama untuk perarakan pengantin nanti.
8 lebih, kami sampai di rumah Hana, lewat beberapa minit dari waktu yang dijanjikan kerana train lewat. Kerja solek-menyolek dimulakan dengan aku membersihkan wajah Hana dengan tona dan memakaikan pelembap muka ke wajahnya. Sementara menanti wajahnya benar-benar kering, mummy memakaikan Hana dengan eksesori wanita yang dibawanya. Setelah itu, mummy mula menyolekkan Hana. Aku tetap di situ selaku pembantu. Memberikan mummy apa yang diperlukannya. Selesai menyolek wajah Hana, mummy mula memakaikan Hana dengan tudung, kerongsang, vail dan menghiaskan bunga di kepala Hana. Hana tampak berseri dan cantik dalam pakaian pengantin. Setelah segalanya selesai, kami bersama keluarga Hana bertolak ke Masjid Salehuddin Al-Ayubi, Taman Melati untuk upacara akad nikah.
Hana meminta aku duduk di sebelahnya bagi menemaninya mengharungi detik-detik paling bersejarah dalam hidupnya. Aku memenuhi permintaan tersebut dengan duduk di kirinya, menyalurkan semangat kepadanya dan memberikan kata perangsang dan nasihat yang aku tahu. Sikit-sikit jelah, akupun belum ada pengalaman. Ibunya pula duduk di kanannya sama-sama memberikan semangat dan nasihat untuk dijadikan pedoman. Selesai khutbah nikah, dengan tiga kali lafaz dan mas kahwin RM100 Hana bertukar status dari seorang gadis kepada isteri orang. Tahniah, Hana! Majlis di masjid diakhiri dengan upacara pembatalan wudhuk dengan Yusuf menyarungkan cincin ke jari manis Hana.
Selepas majlis akad nikah, semua tetamu bertolak ke Diamond Square untuk jamuan makan tengahari. Ramai sahabat-handai yang datang untuk meraikan majlis tersebut. Sekali lagi, tahniah buat Hana dan Yusof semoga kalian sentiasa bahagia dalam lingdungan rahmat Allah dan hidup dalam berkasih sayang sepanjang masa.
2 comments:
Ramai yang dah kawin.. yang tukang tulis bila lagi????????????
Tukang tulis??? :) Kalau ada jodoh, Insya-Allah, adalah. Doakanlah ya. Siapa anda? Kenapa tak tulis nama?
Post a Comment